Sunday 27 January 2019

RUMPUN AUSTRONESIA


By Ku Aminah
Sesuatu bahasa menjadi bahasa utama dunia ialah kerana faktor sosial dan bukan kerana faktor tatabahasa. Sesungguhnya, setiap bahasa mempunyai keunikan dan keindahan tatabahasa, leksikon serta frasanya yang tersendiri. Jika melihat kepada anggaran konservatif, jumlah bahasa yang dipertuturkan di dunia ialah kira-kira 4000.
Bahasa-bahasa ini juga dikelaskan ke dalam rumpun masing-masing termasuklah Austronesia. Menurut Asmah Haji Omar (2008), “Istilah rumpunditakrifkan sebagai satu kumpulan besar bahasa yang berasal daripada satu sumber yang menurunkan bahasa-bahasa Austronesia.” Maka, tidak hairanlah apabila ditemui banyak persamaan antara bahasa serumpun. Sebagai contoh, wujudnya kata aku dalam bahasa Jawa, Melayu dan Iban.
Merujuk kepada Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia, nama Austronesia dipetik daripada bahasa Yunani kuno yang membawa makna ‘pulau-pulau selatan’. Dianggarkan bahawa jumlah bahasa Austronesia ialah sebanyak 1500 hingga 2000. Berdasarkan kedudukan geografi, antara kelompok darat yang tergolong dalam Austronesia ialah Indonesia, Madagaskar, Formosa, dan Filipina. Manakala, kelompok pulau pula ialah Mikronesia, Melanesia, dan Polinesia di Pasifik.
Tolai dan Motu menjadi antara bahasa utama yang digunakan di Melanesia kerana kepentingan perhubungan dengan pentadbiran penjajah Eropah. Sebagai contoh, dua bahasa ini dituturkan di ibu kota Jerman lama, Rabaul dan juga di Port Moresby. Selain itu, dicatatkan dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, usia sesuatu rumpun ialah antara 2500 hingga 5000 tahun. Tambahan lagi, kaedah glotokronologi akan digunakan untuk mengira usia sesuatu bahasa.
Pada abad ke-17, keluarga bahasa Austronesia telah dikenal pasti kewujudannya. Namun, penting untuk dinyatakan di sini bahawa rumpun Austronesia telah dibahagikan kepada dua keluarga besar pada suku akhir abad ke-20, iaitu rumpun Melayu-Polinesia dan keluarga Formosa. Melayu-Polinesia Timur, Melayu-Polinesia Tengah, dan Melayu-Polinesia Barat tergolong dalam rumpun Melayu-Polinesia. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang terangkum dalam Melayu-Polinesia Barat.
Menariknya, walaupun jumlah penutur asli bahasa Melayu amat kecil jika dibandingkan dengan bahasa lain seperti bahasa Jawa, namun ia tersebar dengan meluas sehingga menjadi bahasa kebangsaan di empat buah negara pada abad ini, iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, dan Malaysia. Akan tetapi, bahasa Orang Asli Utara, Tengah, dan Selatan di Semenanjung Malaysia tidak terangkum dalam rumpun Austronesia tetapi termasuk dalam rumpun Austroasia.
Pakar-pakar linguistik telah berusaha mengkaji perihal tanah asal bahasa Austronesia dengan menggunakan beberapa kaedah bersama bukti linguistik, budaya, dan sebagainya. Antara teori yang menarik perhatian ramai adalah daripada pakar linguistik Hendrik Kern (1889) dan Peter Bellwood (1986). Berdasarkan teori Kern, Yunnan di China ialah tanah asal orang Austronesia. Manakala, Bellwood pula mempercayai bahawa tanah asal orang Austronesia adalah di selatan China.
Terdapat juga teori daripada Isidore Dyen yang menggunakan kaedah perhitungan leksikostatistik. Menurut Dyen, Papua merupakan tanah asal orang Austronesia, namun ramai yang menolak teori tersebut. Mengikut saiz keluasan kawasan pula, bahasa Austronesia merupakan yang lebih luas tersebar jika dibandingkan dengan rumpun-rumpun lain seperti rumpun Indo-Eropah.
Tuntasnya, etimologi bahasa nenek moyang kita haruslah dikaji secara mendalam supaya komuniti lebih memahami, mencintai, dan memartabatkan serta menghargai bahasa Melayu.
Nota definisi;
Leksikon ialah perbendaharaan kata, termasuk semua kata, idiom, dan metafora, yang ada dalam bahasa berkenaan.
Etimologi ialah ilmu yang mengkaji asal usul kata, sama ada asal usul itu terdapat dalam bahasa sendiri, atau daripada rumpun yang sama dengan bahasa berkenaan, atau daripada rumpun yang berlainan sama sekali, atau daripada bahasa dan rumpun yang berlainan.
 Rujukan
Aishah Mahdi et al., (1998). Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Asmah haji Omar., (2015). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Copy and paste: HistoriaFactory
27 January 2019: 11.45 am

No comments: