Saturday, 22 September 2018

KAPAL JONG MELAYU / NUSANTARA



Sebanyak 54,000 kg emas bernilai lebih USD 2.6 billion dianggarkan karam bersama kapal terbesar Portugis, Flor De La Mar di perairan Selat Melaka berdekatan Acheh. Ia adalah harta ‘melanun’ terbesar dalam sejarah penaklukan Portugis.
Catatan sejarah tempatan menyebutkan bahawa harta yang karam itu hanya 1/3 dari kekayaan kerajaan Melaka, selebihnya sempat diselamatkan oleh pihak istana ketika berundur.
Memang kerajaan Melaka amat maju dan kaya suatu ketika dahulu, bahkan Tun Seri Lanang menyebutkan kekayaan Bendahara Seri Maharaja sahaja memiliki 6 bahara emas!
Peradaban Melayu pernah melalui sebuah era gemilang. Sebelum abad ke-15 kota Melaka, kota Riau dan Acheh pernah menjadi pelabuhan bertaraf dunia setaraf Canton dan Venice. Bahkan ada penulis sejarah Eropah menyatakan jika dibandingkan dengan Melaka, sebenarnya Venice itu tiada apa-apa.
Sejak abad pertama, peradaban Melayu telah menjadi hubungan perdagangan dengan dunia luar merentasi China hingga Rom. Sejarawan China abad pertama mencatatkan bahawa kapal Melayu ketika itu amat besar diberi nama kunlun bo/po.
Catatan Greek abad pertama menyebut bahawa orang-orang India di Ganges menyebutkan kapal Melayu dengan nama colandia dipercayai dari bahasa Sanskrit ‘kolantriopa’. (The Periples of The Erythaen Sea)
Kapal berukuran panjang lebih 100 meter dan muatan 500 tan inilah yang disebut dalam bahasa Jawa sebagai jong. Ia adalah jenis kapal alam Melayu yang terbesar.
Saiz ini adalah yang terbesar pada zamannya sehingga disebutkan jong Melayu tidak dapat menghampiri dermaga pelabuhan di China kerana terlalu besar. Kapal China terbesar ketika itu disebut sebagai ‘chuan’. Ibn Battutah ahli pelayaran abad ke 14 menyatakan bahawa saiz jong lebih besar berbanding kapal ‘chuan’.
Jika tidak, masakan ketua lanun Alfonso yang datang ke Melaka menaiki kapal ‘nao’ terbesar Portugis, Flor De La Mar berasa terkejut dan gerun ketika melihat jong Melayu di perairan Selat Melaka. Dari catatan mereka, mereka menggelar jong Melayu sebagai ‘Penggegar Dunia’!
Jong sebagaimana juga kapal-kapal moden, ia diberi nama khusus seperti Flor De La Mar, Santa Maria & The Victoria. Antara jong yang terkenal disebut dalam sumber Melayu ialah;
i) Mendam Berahi: jong yang dibina oleh Hang Tuah khusus untuk pergi meminang Puteri Majapahit bagi pihak Sultan Mansur dalam Hikayat Hang Tuah
ii) Jong Sairul A’lam: jong diraja kerajaan Acheh di dalam Hikayat Hang Tuah
iii) Jong Chakra Dunia: jong kerajaan Acheh
iv) Jong Sasana: jong kerajaan Sulawesi ketika meminang puteri Majapahit
Berdasarkan maklumat yang sampai kepada kita setakat ini, peradaban Melayu meniti era gemilang sejak abad pertama hingga abad ke-15 yakni 1500 tahun.
Setelah itu, ia jatuh merudum dan salah satu dari faktornya ialah era penjajahan oleh kerajaan lanun Portugal, Sepanyol, Itali, Belanda dan beberapa lanun yang lain.
Sumber Portugis sendiri sebut, ketika Flor de La Mar berlayar ke Melaka, mereka menemui sebuah kapal besar yang sarat dengan harta. Apa kata ketua lanun Alfonso?
“Kalau bukan kerana kita sedang menuju ke Melaka, sebuah negeri yang lebih kaya, maka sudah tentu harta atas kapal ini akan menjadi hadiah terbaik buat raja Portugal.” (Catatan-Catatan Alfonso yang dikumpulkan oleh anaknya, Baz Alburquerqe)
Alam Melayu telah berlayar jauh sejak abad pertama dengan kapal besar, demikian juga negara China. Cheng Ho melalukan pelayaran monumental dengan ratusan kapal dan ribuan pengiring, namun sejarah peradaban mereka bukanlah untuk melanun!
Menyingkap sejarah khususnya sejarah teknologi maritim bukan semata-mata nostalgia. Ia adalah ibrah (pengajaran) yang perlu diinsafi. Bahkan teknologi maritim termasuk ilmu pengetahuan yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Qur’an sekurang-kurangnya puluhan kali. Firman Allah maksudnya,
“Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.” (Surah Luqman 31: 31)
dan di dalam ayat yang lain,
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kapal-kapal (yang berlayar di laut seperti gunung-gunung).” (Surah Syuura 42: 32)
Jumlah harta Flor de la Mar bukan sedikit. Namun yang kita semua terlepas pandang, yang jauh lebih mahal dan berharga dari emas itu ialah pengetahuan dan teknologi maritim yang pernah orang Melayu juarai suatu ketika dahulu.
Sejak zaman Melaka lagi laluan Selat Melaka menjadi laluan perdagangan paling sibuk dalam dunia. Pada tahun 2006 sahaja, direkodkan 65,000 kapal melalui Selat Melaka.
Kerajaan klasik alam Melayu seperti Acheh, Majapahit, Srivijaya, Demak, Pasai dan banyak lagi direkodkan masing-masing memiliki armada laut yang mencecah ratusan dan ribuan kapal besar ‘jong’.
Itu tidak termasuk kapal-kapal kecil seperti lancaran layar tiga, kapal dendang, kapal banting, kapal pilau dan ratusan jenis kapal lain yang pernah digunakan. Dan disyaki bahawa semuanya bersemadi di dasar lautan sepanjang Selat Melaka dan lautan yang lain.
Jong Melayu hilang dari lautan selepas selama 1500 tahun merajai lautan. Prof Manguin, sarjana keturunan Itali antara yang banyak membuat kajian berkaitan jong dan sejarah Asia Tenggara menyebutkan, menjelang akhir abad ke-16 dan abad ke-17, jong-jong besar Melayu mulai hilang dari lautan. Manguin menyifatkan kehilangannya itu berlaku dengan secara amat misteri.
Sebenarnya orang Melayu bukan sahaja hilang jong, juga bukan hampir kehilangan perkataan jong dan yang paling menyeram dan mengerikan ialah ketika bangsa Melayu hilang ingatan terhadap jong!
Artifak kuno yang paling lama dan paling signifikan sehingga Alfonso sebut ‘Penggegar Lautan’, dikagumi dunia maritim seluruh dunia dari seluruh zaman, dan Melayu hilang ingatan tentangnya...
Kredit:
akhbar Renungan
dablugen.blogspot (foto)

-Debu-
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
22.9.2018 : 11.27 am

2 comments:

IRZAMI said...

NOYANG SAYA, NAKHODA YUSOF YANG MERUPAKAN TOKO MELAYU PADA ZAMAN SULTAN ABDUL SAMAD, SELAGOR JUGA MEMPUNYAI JONG TENANG DAN LENANG DALAM ERA ABAD KE 18

zulheimymaamor.blogspot said...

Alhamdulillah...hebat nenek moyang kita dulu...