Monday, 3 September 2018

SUNGAI BATU - TAMADDUN TERTUA DI ASIA TENGGARA


SUMBER: SUNGAI BATU TAMADUN TERAWAL ASIA TENGGARA

Selama ini dalam buku-buku sejarah kita diajar bahawa tamadun Melayu hanya bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka kira-kira 400 tahun yang lalu. 
Namun kerja penggalian arkeologi yang bermula sejak tahun 2007 di Sungai Batu telah membuktikan bahawa sejarah yang dilaungkan selama ini oleh pihak orientalis adalah tidak tepat kerana tamadun Melayu telah bermula seawal kira-kira 2,000 tahun yang lalu, dan merupakan tamadun tertua di Asia Tenggara malah lebih tua dari candi Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja. 
Penggalian tapak arkeologi ini bermula tahun 2007 atas permintaan mantan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 
Sekumpulan ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Warisan Negara memperluaskan penyelidikan di Lembah Bujang yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Professor Mokhtar Saidin. 
Pada 2009, pasukan itu memetakan kawasan berkenaan dan mengenal pasti 100 titik penggalian berpotensi di kawasan Sungai Batu. Pasukan itu kemudian mula menemukan bahan peninggalan yang menunjukkan bahawa tapak itu pernah menempatkan industri peleburan besi yang berkembang maju kira-kira 2,000 tahun lalu, yang mengaitkannya dengan Tamadun Kedah purba di kawasan itu.

Ahli-ahli sejarah menyatakan bahawa orang zaman purba menggelar  Kedah Tua dengan pelbagai nama yang berbeza: Kataha dalam bahasa Sanskrit, Kadaram, Kidaram dan Kidara dalam Tamil, Chieh-Cha dalam bahasa Cina, Kalah dalam bahasa Arab dan Quedah di Barat.

Selain pelebur besi, penggalian pasukan Mokhtar menemukan sisa-sisa 12 jeti dan bangunan pentadbiran, yang menunjukkan bahawa tapak itu pernah menjadi pelabuhan yang berkembang maju dan berada pada paras laut.

Pasukan itu juga menemukan sebuah monumen bata tanah liat yang berbeza dengan struktur bulat yang mewakili bulan, matahari dan bumi. Bahagian utaranya menghadap Gunung Jerai, yang terletak berdekatan kawasan itu, yang dipercayai menjadi kediaman suci bagi tuhan-tuhan semasa zaman purba.

Memandangkan ahli-ahli arkeologi telah mengiktiraf bahawa sisa runtuhan itu berlaku sejak dua ribu tahun yang lalu, negeri Kedah kini bersedia untuk melobi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk menyenaraikan Sungai Batu sebagai Tapak Warisan Dunia yang dilindungi, kata pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Warisan Kedah Mohd Rawi Abdul Hamid kepada BeritaBenar.


Professor Oxford University, Stephen Oppenheimer
Tapak Sungai Batu yang berusia 2,000 tahun di iktiraf semasa Persidangan Antarabangsa Kedah Tua  pada Mei. [Ihsan daripada Rakan-rakan Arkeologi Universiti Sains Malaysia]

Penemuan terkini mengesahkan telah ditemui sebuah jeti pelabuhan perdagangan berusia dalam tahun 582 Sebelum Masehi. 
Jika sekiranya tarikh pelabuhan itu berusia 582 SM, maka tamadun Sungai Batu adalah sezaman dengan peristiwa-peristiwa berikut:
  1. Sezaman dengan pemerintahan Maharaja Jimmu, Maharaja pertama tamadun Jepun yang menaiki takhta pada tahun yang sama. 
  2. Pada zaman ini taman Tergantung Babylon sedang dibina. 
  3. Pada masa yang sama agama Majusi tersebar di Parsi. 
  4. Pythagoras Theorem yang dicipta oleh ahli matematik, Pythagoras lahir pada masa ini juga. 
  5. Dinasti Zhou di China (1046 - 256 SM) - kota purba Wuxi didirikan. 
  6. Empayar Neo-Babylon dengan rajanya Nebuchadnezzar II sezaman dengan Sungai Batu. 
  7. Pada tahun 588 SM, Cyrus The Great mengasaskan Empayar Achaemenid, empayar pertama Kerajaan Parsi. 
  8. Conficius lahir di China pada tahun 550 SM. 
  9. Siddharta Gautama Buddha mengasaskan agama Buddhism sekitar tahun 550 SM. 
  10. Kuil khas untuk Dewa Zeus dibina di Athens sekitar tahun ini. 
  11. Sezaman dengan Dinasti ke 26 Mesir Purba dibawah pemerintahan Firaun Apries. 
  12. Kuil Arthemis dibina di Ephesus, Turki pada zaman yang sama dengan Sungai Batu. 
  13. Ajaran Taoisim bermula dizaman yang sama 
  14. Sun Tzu di China yang terkenal dengan Falfasah Seni Peperangan lahir sekitar tahun 544 SM.
  15. Nabi Zulkifli a.s. wafat sekitar tahun 570 SM.
Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku sezaman dengan tamadun Sungai Batu kalau nak disenaraikan disini. 
Apa yang perlu kita ketahui ialah Tamadun Sungai Batu lebih tua dari zaman Alexander The Great yang mengalahkan Parsi pada tahun 332 SM, juga lebih tua dari zaman General Titus Rom yang menguasi Jurusalem , lebih tua dari zaman Raja Uryanus Rom dan lebih tua dari zaman Byzantine (Rom Timur) dan banyak lagi. 
Tidakkah kita rasa bangga apabila penemuan terbaru ini membuktikan bahawa bangsa kita sebenarnya telah mempunyai tamadun yang jauh lebih tua dari tamadun-tamadun terkemuka di dunia yang kita pelajari dalam pelajaran sejarah semasa di bangku sekolah dulu. 

No comments: