Friday, 4 May 2018

Surat Pembaca & Sejarah : Bagaimana Orang Kita Melayu Mahu Berkemajuan? - 1935

Deskripsi :
Maka di dalam zaman yang akhir ini, bermacam-macamlah penulisan kaum Melayu berseru di sekutu suratkhabar alam Melayu berkenaan dengan kemajuan Melayu jauh benar ke belakang dipukul oleh taufan kecabaran, ke belakang sebagaimana yang sudah termaklum ke sisi pengetahuan pembaca-pembaca sekalian sudah sayup-sayup kedengaran digesek biola kepada kaum kita Melayu sehingga habis madu kelazatan kemajuan Melayu dikecapkan oleh bangsa asing sebagaimana penuh di dalam tempat-tempat yang besar, iaitu pandai sungguh bangsa itu menggali duit-duit Melayu dengan begitu begini.
Dan lagi, begitu jua seperti anak-anak mereka itu berumur di dalam tujuh lapan tahun itu, ibu bapanya ia tiada dibiar bermain-main di serata tempat yang tidak berguna seperti anak-anak Melayu bermain tidak memberi guna seperti bermain galah panjang dan lain-lainnya. Semuanya sia-sia!
Dan anak-anak bangsa asing selalu jua dari kecil diajar diasuh itu ini ataupun disuruh membaca buku-buku yang berfaedah. Ia tiada dibiar menghilangkan masa yang berharga. Lagi belakang parang pun diasah lagikan tajam. Dan tatakala besar pandai ia mencari wang bermacam-macam jumlah, tidak ia bercintakan baju, makan gaji dan ia tiada pilih apa-apa pekerjaan, asal ada nampaknya peluang ilham Pak Sodok. Dan dengan lama-kelamaan perusahaan-perusahaan makin sehari bertambah banyak.
Wahai insaflah kaumku bangsaku! Jaga-jaga supaya jangan terkena perangkap si ketam itu. Dan begitu jua saya telah melawat ke sebuah kampung Melayu seorang bapa dan dengan anaknya yang berumur lebih kurang tiga tahun. Maka tiba-tiba bapanya membeli dua batang cigarette. Maka dengan seketika itu jua sangatlah hairannya di hati penulis dengan tujuannya, iaitu sebatang cigarette itu tercongkah di mulut anaknya, bapanya yang menyuap. Kemudian batangnya mencucuhkan api. Kemudian penulis pun seraya berkata, pandai budak itu mengisap rokok. Jawab bapanya, mestilah pandai, kalau tidak diberi ia menangis. Dan seperkara lagi, apabila anak-anak mereka itu menangis, bapanya pun bertanya, muhendak apa? Orang hendak minum air kopi. Bahwasanya memanglah kelakuan budak-budak mana yang tersua semuanya mahu dan dah besar pun tidak jua dihantar ke sekolah biar bermain-main ke situ ke sini.
Jadi samalah dengan perkataan syair: sorong papan tarik papan, buah keranji di dalam perahu. Suruh makan saya makan, suruh mengaji saya tidak tahu.
Tentulah ayuhai Tuan-Tuan Pembaca itu Melayu betul-betul mengajar itik berenang, bagaimanakah kaum Melayu mahu berkemajuan, sudah dari kecil diajar dengan boros ((membuang duit)). Dan jikalau besar macam manakah mahu berjimat cermat? Tentulah sombong besar hati tiada pekerjaan.
Lama-lama menjadi kutu jalan, bersepah-sepah merata-rata, di kedai kopi!
Harap maaf pembaca-pembaca mana yang tercanggung, serta berbanyak-banyaklah saya ucapkan tahniah terima kasih pada Tuan Pengarang Majlis kerana melapangkan ruangannya yang terkenal.
Oleh Muhammad bin Abdul Rahman, Marang, Trengganu.
Petikan Surat Pembaca di atas dari terjemahan tulisan Jawi Melayu kepada tulisan Roman Melayu.
Gesaan dari Kaum Muda Melayu (KMM) dari Marang, Trengganu agar Orang-orang Melayu berubah dengan memberikan keutamaan kepada anak-anak Membaca dan Belajar agar menjadi Bangsa yang Berjaya Dunia dan Akhirat semenjak tahun 1935 lagi.
Rujukan :
1.Foto Pintu Gerbang Sambutan Jubilee King George V di Kampung Cina, Kuala Trengganu - May 1935 - Arches Of KT Chinatown Blog.
2. Surat Pembaca - Bagaimana Orang Kita Melayu Mahu Berkemajuan? – Akhbar Majlis, 8 Jul 1935, p.9 - Malay concordance project – Digital Collection – Australian National University.

Copy and Paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
4.5.2018 : 10.10 pm

No comments: