Friday, 25 May 2018

Muang Saiburi, Capital of The Great Srivijaya Empire

Apabila saya berkempen supaya pihak-pihak berautoriti di Kedah terutamanya dalam industri pelancongan mengambil kesempatan dari kenyataan bahawa Kedah pernah menjadi salah satu pusat pentadbiran atau 'capital' bagi empayar Srivijaya, saya membayangkan apakah akan jadi jika Kedah kini sebahagian dari Thailand.
Jika Kedah sebahagian dari wilayah Thailand, maka pihak berkuasa Thailand akan mempromosikan Kedah sebagai salah satu pusat pemerintahan dan ibukota bagi seluruh empayar paling 'femes' Asia Tenggara, Srivijaya. Memang Chaiya dikatakan pernah menjadi ibukota Srivijaya namun itu sekadar pendapat sesetengah sejarahwan dan tidak ada bukti konkrit sebaik bukti prasasti yang mengesahkan rekod bahawa Kedah adalah salah satu ibukota Srivijaya sepanjang kewujudannya selama lebih 6 abad.
Sebagai ulangkaji, dalam Prasasti Kepingan Leiden Besar (kurun ke-11 Masihi) yang di­tulis dalam bahasa Sanskrit, peme­rintah Srivijaya pada mulanya di­sebut sebagai “Śriviṣayādhipatinā Kaṭah-ādhipatyam ātavantā” da­lam bahasa Sanskrit yang bermaksud “Pemerintah Srivijaya dan yang menjalankan pemerintahan di Kedah”. Baginda juga telah diberi gelaran “Kaṭah-ādhipates” yang bermaksud “Pemerintah Kedah”. Pada bahagian bahasa Tamil pula, Raja Suvarnabhumi disebut sebagai “Kiḍāratta-araiyan” ataupun “Kaḍāratta-araiyan”, masing-ma­sing bermaksud Raja Kidara dan Raja Kadara, kedua-duanya membawa makna Raja Kedah.
Frasa “Pemerintah Srivijaya dan yang menjalankan pemerintahan di Kedah” itu amat mahal dan jika ini jatuh ke tangan Thailand, maka Thailand umpama mendapat 'Trident of Poseidon' bagi mengklaim sejarah Srivijaya.
Apa Thailand akan buat apabila terkena 'jackpot' ini?
Thailand akan membina prasarana bernilai berjuta-juta dollar bagi membangunkan tapak-tapak sejarah di Kedah termasuk membina kembali (reconstructing) candi-candi, bangunan, premis atau rumah-rumah purba bagi menggambarkan Kedah sebagai ibukota Srivijaya. Thailand akan mempromosikan Kedah sebagai 'the capital of Srivijaya Empire' dan membangunkan seni-seni berkaitan seperti seni lukisan, mencipta tarian Srivijaya yang khas, seni arca, teater, persembahan muzikal, dramatari dan sebagainya dengan membangunkan galeri seni dan pentas secara besar-besaran.
Pihak tentera akan dikerahkan untuk menjaga tapak-tapak arkeologi dan para pakar sejarah dan arkeologi akan diberi dana kewangan bagi mengkaji sejarah Kedah secara mendalam. Peruntukan berjuta dollar akan disalurkan untuk menaikkan kapal-kapal purba yang tertimbus di dalam paya dan apabila ia dinaikkan, pihak berkuasa warisan Thailand akan meletakkannya di satu muzium khas setanding dengan muzium kapal Vasa di Sweden. Replika lengkap dibina bagi setiap artifak kapal dan dipamerkan di luar muzium. Replika itu dibina besar-besar setanding dengan kapal Flor de la mar, kapal penjajah Portugis yang dibina oleh Malaysia.
Industri filem dan hiburan di Thailand juga tidak melepaskan kesempatan terbaik ini, mereka akan mengeluarkan filem-filem sejarah yang bermutu tinggi menceritakan sejarah Kedah dan Srivijaya. Teknologi CGI yang canggih dimanipulasikan dengan menggambarkan betapa gah dan hebatnya Kedah sebagai ibukota satu empayar maritim yang disegani. Industri perkilangan besi di Sungai Batu juga ditonjolkan, dan semestinya Thailand amat berbangga memiliki tamadun paling tertua di Asia Tenggara setakat ini.
Thailand juga akan bersungguh-sungguh melobi UNESCO supaya mengiktiraf tapak-tapak sejarah di Kedah sebagai tapak warisan dunia. Apabila nama Kedah diumumkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO, rakyat Thailand menangis gembira sambil menjunjung foto raja mereka tinggi-tinggi. Para netizen mereka atau forumer (jika masih ada) tidak habis-habis menyambut situasi ini dengan penuh bangga dan bongkak sambil memerli Malaysia yang tidak ada apa-apa tamadun, candi, batu atau apa-apa tapak sejarah yang boleh dibanggakan sebaik Muang Saiburi mereka. Kapal Flor de la Mar menjadi bahan ketawa dan ejekan sambil mereka menaikkan gambar kapal-kapal perdagangan purba di Sungai Batu yang diekskavasi dan dipulihara dengan menggunakan teknologi kimia yang tercanggih.
Kita di sini, apabila melihat semua situasi ini mula tercangak-bangak dan mengutuk-ngutuk diri sendiri. Kita juga telah menonton filem-filem sejarah Thailand yang hebat ini dan merasa teramat kagum melihat sejarah Kedah difilemkan dengan begitu menakjubkan sebagaimana filem Queens of Langkasuka. Kita tiba-tiba merasa takjub, rakyat Thailand begitu bangga dengan 'sejarah negara' mereka yang hebat dan gemilang itu dan kagum juga melihat mereka menjunjung potret raja mereka. Kita pun mempersoalkan, mengapa Malaysia tidak punya tamadun purba sehebat di Muang Saiburi? Mengapa orang Melayu tidak mampu bina industri perkilangan besi dan tamadun seawal 500 tahun Sebelum Masehi?
Apabila melihat para sejarahwan dan 'bijakpandai' Malaysia, mereka masih sibuk bertarung tarikh-tarikh yang benar atau salah, meneka-neka nama pahlawan yang mungkin salah baca, ada yang sibuk mengecop manuskrip-manuskrip Melayu sebagai mitos dan dongeng atau berdebat kota Melaka dari batu atau kayu atau masih tersilap adakah Jawi itu Kawi atau Kawi itu Jawi.
Maka kembalilah kita ke rumah dan tidur tanpa mahu ambil peduli lagi dengan semua benda yang mengecewakan dan membuang boreh ini.
Tips: Orang luar rata-rata menganut fahaman sejarah praktikal, manakala kita di sini rata-rata menganut fahaman sejarah polemik. Orang luar memakai sejarah bagi tujuan membangunkan jatidiri dan estim-diri.
~Srikandi
Rentaka Sekalian Bijasura
Baiduri Segala Permaisuri
Emas Para Dapunta & Maharaja

*batubersurat_oak: http://goo.gl/eInJzI
Copy and paste: FB Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara
25.5.2018 : 12.52 am

No comments: