Sunday, 5 June 2016

PERIHAL SOLAT TERAWIH

1. Solat Terawih sebahagian dari solat sunat malam (qiyam al-layl) yang sangat ditutut di bulan Ramadhan.
2. Solat malam sebagaimana yang disabdakan Nabi SAW: “Solat malam itu (dilakukan) dua raka’at dua raka’at, jika salah seorang kalian khuatiri (masuknya waktu) subuh (sehingga kamu tidak mampu melaksanakannya lagi) maka lakukanlah (solat sunat witir) satu raka’at” [riwayat Muslim].
3. Tiada riwayat arahan dari Nabi SAW yang menghadkan bilangan solat Terawih minimumnya dan maksimumnya. Yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA dari Nabi SAW hanyalah hikayat perbuatan baginda SAW yang pernah dilihat oleh ‘Aisyah RA.
4. Solat Terawih bukan spesifik solat tertentu seperti solat Istisqa’, solat Janazah dan seumpamanya. Solat sunat malam secara berjemaah pada malam-malam bulan Ramadhan dinamakan sebagai Terawih kerana pada zaman awal dahulu mereka berehat seketika antara 2 raka’at solat atau bilangan raka’at tertentu dan solat yang seterusnya kerana penat dengan panjangnya qiyam solat mereka. Terawih berasal dari perkataan “tarwihah=rahah” iaitu bermaksud rehat [rujuk Fath al-Bariy].
5. Penglimitan bilangan raka’at solat Terawih oleh sebahagian khalifah selepas baginda SAW adalah dari bab pengurusan solat sunat malam pada bulan Ramadhan secara berjemaah bagi mereka yang berniat mengikuti solat imam sehingga akhir, berikutan ganjaran ganjaran besar bagi mereka yang menanti solat bersama imam.
Dalam suatu hadis sahih: “Barangsiapa yang membangunkan (solat) bersama imam sehingga dia beredar, akan ditulis baginya (pahala) qiyam al-layl” [riwayat Sunan yang empat].

6. Perbezaan bilangan raka’at pilihan solat Terawih yang dilakukan oleh para sahabat dan ilmuwan Islam terdahulu menunjukkan urusan raka’at Terawih ini luas.
7. Bilangan 11 raka’at solat malam (termasuk witir) yang dilaksanakan oleh Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA bukan terhad pada solat Terawih, bahkan pada solat-solat malam pada bulan selain Ramadhan berdasarkan riwayat al-Bukhariy dan Muslim: “مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً”.
8. Bilangan raka’at yang kurang atau lebih bergantung pada kadar panjang atau pendek solat yang dilakukan. Walaupun Nabi SAW melaksanakan solat malamnya 11 raka’at, namun solat baginda tersangatlah panjang sebagaimana yang disebut oleh ‘Aisyah selepas menukil bilangan raka’at 11 tersebut: “Jangan kamu tanya akan elok serta panjangnya (solat baginda SAW kerana terlalu elok dan lama solat baginda)”.
9. Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, menjadi sebahagian tuntutannya untuk membangunkan bulan ini sebaik-baiknya termasuk membangunkan malam harinya dengan amalan berupa solat, membaca al-Quran, berdoa dan seumpamanya dengan PENUH keimanan, keinsafan dan penuh pengharapan berdasarkan hadis: “مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ” [riwayat al-Bukhariy dan Muslim].
10. Maka yang menjadi tuntutan buat kita yang melakukan solat Terawih ialah membangunkannya dengan penuh khusyuk dan pengharapan akan ganjaran Allah SWT. Bilangan banyak atau sedikit raka’at kita tidak menjadi ukuran penting tanpa kita memberi hak solat itu sewajarnya.
* Apa guna kita solat 20 atau 36 raka’at jika hati kita kosong, pemikiran kita merewang tatkala mendengar bacaan imam?
* Apa guna juga kita bersolat 4 raka’at atau 8 raka’at jika kita tergopoh-gapah solat bagai hendak melepas batok di tangga?
* Apa guna kita solat Terawih bersama imam jika tiada kekhusyukan pada diri dan riya’ yang menjadi pemangkin diri, berselfie menunjuk pada rakan-rakan di FB bahawa diri sudah melaksanakan Terawih penuh di masjid sekian-sekian?
* Apa guna juga solat Terawih bersendirian jika kualiti dan istiqamah semakin ranap dari hari ke hari?
* Jangan kita baloh bilangan raka'at jika tuntutan sebenar membangunkan Ramadhan tidak kita ta'at..!

Sumber: Facebook
5.6.2016

No comments: