Wednesday, 29 June 2016

Maarof Diculik, Dibunuh dan Digantung Dalam Hutan

Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia. Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria.
Jalan Maarof
Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar.
Siapa Maarof
Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.
Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).
Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991).
Pengasas Malay Nasional Bank
Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.
Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.
Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation.
Pada bulan Julai, 1947 sebuah Bank Kebangsaan Melayu telah diasaskan oleh seorang peguam Melayu bernama Encik Maarof Zakaria.
Bank tersebut hanya mempunyai 2 juta saham yang hanya terbuka kepada orang-orang Melayu.
Pelanggannya juga terhad kepada orang-orang Melayu sahaja.
Pada waktu itu hanya ada dua buah bank; iaitu bank milik British bernama The Chartered Bank dan bank milik China bernama Overseas Chinese Banking Corporation.
Di kedua buah bank ini Melayu tidak dibenar meminjam wang.
Melayu hanya boleh meminjam wang dari ceti-ceti haram dengan bayaran bunga yang cukup tinggi.
Encik Maarof menjawab cabaran ini dengan menubuhkan bank untuk Melayu sahaja.
Dibunuh Kejam
Selepas 6 bulan beroperasi dengan jayanya Encik Maarof Zakaria telah didapati terbunuh di Lake Garden.
Maarof dikatakan hilang selama 2 hari selepas keluar dari rumah menuju ke Kampung Baru. Beliau ditemui di dalam hutan tergantung.
Jam rolex di tangannya dan wang dalam sakunya telah tidak diambil oleh pembunuh itu. Ini bererti pembunuh hanya ingin membunuh pengasas bank Melayu yang didirikan oleh Encik Maarof itu.
Encik Maarof Zakaria telah mendirikan Bank Kebangsaan Melayu dengan bermodalkan 27 ekar Tanah serta tiupan roh semangat perjuangan bangsa Melayu di bidang ekonomi.
Yang membunuh Encik Maarof nampaknya bertujuan membunuh semangat perjuangan Melayu di bidang ekonomi.
Berlandaskan tiupan roh semangat perjuangan Melayu di bidang ekonomi inilah maka dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama dalam tahun 1965 cadangan menubuhkan Bank Bumiputra telah diketengahkan.
Sumber: Bharian
29 June 2016 (24 Ramadhan 1437H)

No comments: