Friday, 3 June 2016

Perihal Sujud Sahwi

Perkongsian Diskusi Dhuha bersama Ustaz Mohd Hazri Hashim Al Bindany pada 1 Jun 2016 di MSSAAS.
Perihal Sujud Sahwi
Sahwi bererti lupa atau alpa/ lalai terhadap sesuatu. Maka ‘Sujud Sahwi’ dilakukan oleh seseorang yang bersolat, apabila terlupa melakukan sunnah Ab’adh atau hal yang salah lainnya tanpa sengaja.
‘Sujud Sahwi’ adalah sunat muakad yang dilakukan untuk menampung kekurangan atau kecacatan yang terjadi dalam pelaksanaan solat.
Sujud sahwi adalah sujud sebanyak 2 kali yang dilakukan sesudah membaca tasyahud akhir dan selawat (Tahiyaat Akhir) sebelum memberi salam.
Kecacatan dalam solat yang dituntut sujud sahwi ada 4 perkara iaitu:
(1) Bila tertinggal sunat Ab'ad (7) iaitu:

- Membaca tahiyat awal
- Duduk dalam tahiyat awal
- Selawat dalam tahiyat awal
- Membaca doa qunut
- Berdiri qunut
- Selawat di dalam doa qunut
- Selawat dalam tahiyat akhir

(2) Bila tersasul dalam melakukan rukun fi'ili

Misalnya menambah gerakan atau mengurangkannya dalam jumlah rukuk, sujud, berdiri atau duduknya.

(3) Bila tersasul dalam bacaan. Misalnya tersasul membaca bukan pada tempatnya seperti membaca Al Fatihah dalam tahiyat akhir.
(4) Bila ragu-ragu (syak) bilangan rakaat. Misalnya ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat samada tiga atau empat.
Diriwayatkan Abu Sa’id Al-Khudri, ia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Apabila salah seorang di antara kalian ragu di dalam solatnya sehingga ia tidak tahu lagi apakah ia sudah melakukan solat sebanyak tiga rakaat atau empat rakaat, hendaklah dibuangnya keraguan itu dan yang ia yakini, kemudian hendaknya ia sujud sebanyak dua kali sebelum melakukan salam. Sekiranya ia telah melakukan solat 5 rakaat, bererti solatnya telah digenapkan dengan sujud sahwinya itu. Dan sekiranya solatnya tepat empat rakaat, dua sujud itu menghinakan bagi syaitan.” (HR. Ahmad dan Muslim).
Diriwayatkan pula dari Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya syaitan itu masuk di antara anak Adam dan nafsunya, sehingga ia tidak tahu sudah berapa rakaat ia melakukan solat. Maka bila seorang di antara kalian mengalami hal demikian, hendaklah ia sujud dua kali sebelum memberi salam.” (HR. Abu Ahmad dan Ibnu Majah).
Sujud sahwi dalam solat berjemaah
- Jika imam sujud sahwi, wajib makmum turut melakukannya walaupun tidak diketahui sebabnya. 

- Jika imam meninggalkannya, makmum boleh sujud sahwi tetapi perlu pastikan imam telah benar-benar memberi salam dan keluar dari solat dengan wirid zikir sepertimana lazimnya.

7 keadaan jemaah ketika imam memberi salam dan meninggalkan sujud sahwi
1. Makmum *tahu* imam ada tuntutan sujud sahwi.

Makmum yang beri salam sedangkan tahu tuntutan sujud sahwi, salamnya dianggap sengaja dan sudah keluar dari sembahyang.

Andai kata imam kembali sujud sahwi..makmum tersebut tidak lagi dituntut kerana sudah terputus ikutannya dengan imam.
2. Makmun *tidak tahu* imam ada tuntutan sujud sahwi lalu ikut beri salam.. Jika imam tiba-tiba kembali sujud, makmum tersebut wajib kembali sujud sahwi juga.
3. Imam dan makmun *kedua2nya terlupa* ada tuntutan sujud sahwi. Imam beri salam sebab lupa dan makmum pun lupa untuk sujud sahwi.. jika imam teringat dan kembali sujud..makmum juga wajib kembali sujud.
4. Makmum sedar ada tuntutan sujud sahwi dan langsung melakukan sujud sahwi sebelum memastikan adakah imamnya beri salam kerana lupa atau beri salam dgn sengaja meninggalkan sujud sahwi...maka terbatal solat makmum itu kerana melakukan sujud sebelum memastikan sama ada ikutannya dah terputus dgn imam ( dngn salam imam yg sengaja) atau belum ( dengan salam imam yg lupa)
5. Makmum sedar ada tuntutan sujud sahwi, tidak mahu tunggu imam...lalu langsung mufaraqah dan buat sujud sahwi, maka makmum mufaraqah dengan kebenaran dan solatnya sah serta dapat pahala jemaah.
6. Makmum tidak beri salam sehingga pasti imam sudah keluar dari solat dengan salamnya itu .. (dipastikan dengan adat kebiasaan seperti imam mula berwirid selepas salam), maka makmum itu boleh sujud sahwi kerana ikutannya dengan imam telah pun terputus.
7. Makmum masbuk yang ada baki rakaat dan sudah bangun berdiri selepas imam memberi salam dalam keadaan meninggalkan sujud sahwi...tiba tiba imam kembali sujud sahwi, terdapat khilaf ulama:

- wajib makmum masbuk patah balik sujud sahwi sebab wajib ikut imam dan bersama imam, kemudian sambung baki rakaatnya.
- makmum tidak wajib kembali sujud sahwi tetapi niat mufaraqah (mufaraqah yang dibenarkan).

Apakah yang harus dibaca ketika sujud sahwi?
Pada umumnya kita diajar untuk membaca:

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو

Subhaana man laayanaamu walaa yashuu

(Mahasuci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa)

Tetapi hadis-hadis Rasulullah

berkaitan dengan sujud sahwi, ternyata baginda tidak pernah mengajar bacaan khusus yang perlu dibaca ketika sujud sahwi ini. Maka bacaan ketika sujud sahwi adalah sama seperti yang dibacakan dalam sujud solat biasa:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Maha suci Tuhanku dan segala puji bagi-Nya.
Wallahu'alam
Kitab: Bekalan imam & idaman makmum.

Sumber: Facebook
3.6.2016

No comments: