Tuesday, 21 June 2016

SUNGAI BATU 500 B.C

Alhamdulillah. Semakin ramai mereka yang terlibat di dalam bidang pendidikan telah diberi tugasan untuk mendapatkan maklumat tentang Sungai Batu. Ada antaranya yang mencari-cari keratan akhbar serta artikel-artikel berkenaan Sungai Batu di internet.
Bagaimana halaman ini boleh membantu? Saya tak pasti berapa ratus posting yang telah saya tulis berkenaan Tamadun Terawal Asia Tenggara ini tetapi yang paling banyak adalah pendapat yang diutarakan berdasarkan penemuan.
Untuk saya memberi satu penulisan umum yang segera...hmmmm..Hendak mula dari mana ya?
Saya cuba ya. Seringkas yang mungkin.
Sungai Batu terletak di dalam satu kawasan yang bersejarah di dalam Lembah Bujang. Ianya terletak di tengah jalan antara Semeling ke Merbok melalui sebuah jalanraya baharu yang dibina pada 2006/2007.
Pengkalan Bujang, Kampung Sungai Mas, Sungai Muda, Yan dan Sungai Batu itu sendiri terletak di dalam kawasan Lembah Bujang iaitu kawasan yang ditandai sebagai kawasan tertua yang dulunya dikesan mempunyai bukti adanya penempatan dan perkembangan ekonomi berdasarkan eksport hasil hutan, manik dan sebagainya. Juga sebagai pusat perkembangan kepercayaan dengan terjumpanya banyak candi-candi yang dicadangkan adalah Hindu-Buddha.
Sungai Batu adalah lokasi baharu yang dikesan turut berada di dalam lembah bersejarah ini dengan bukti yang lebih memeranjatkan. Bukti sebuah tamadun. Bukan status tamadun sahaja di mana tamadun itu bermakna perkembangan kemajuan serta peradaban tetapi yang tertua di rantau ini.
Jauh meninggalkan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Dan mengapa diklasifikasikan sebagai tamadun?
Sungai Batu ditemui pada 2007 melalui pengesanan geologis dan penggunaan satelit dan dibuka pada tahun 2009 dengan permulaan tapak ditandai 97 kesemuanya yang dijangka punyai kesan peninggalan.
Hasil daripada 50 yang dibuka dari 97 tapak yang kini bertambah lagi 50 tapak baharu menjadikan 147 tapak, telah dijumpai 4 fungsi yang sudah menggambarkan masyarakat seawal 600 tahun sebelum masehi ini maju, punyai peradaban yang tinggi di mana untuk melengkapkan penyelidikan sepenuhnya tanpa menjejaskan pengikhtirafan tamadun yang wujud itu sendiri, cuma tinggal 3 fungsi lagi yang belum dijumpai.
Apakah 4 fungsi yang telah ditemui itu yang sudah meletakkan Sungai Batu, Merbok Kedah ini adalah sebuah tamadun?
Pertama adalah jeti. Terdapat 10 jeti yang cukup teratur ditemui sepanjang Sungai Kuno. Satu sistem pengangkutan yang cukup sistematik. Menunjukkan susunan yang cukup cantik. Kiri dan kanan dengan pelbagai rekabentuk lantai, binaan serta kegunaaan. Yang paling lama adalah berusia kurun ke 4 sebelum masehi. Jeti mewakili fungsi pengangkutan.
Kedua, bangunan pentadbiran. Terdapat 11 tapak bangunan pentadbiran yang mempunyai bilangan bilik yang berbeza dan dipercayai digunakan untuk tujuan yang berbeza. Terletak di sebelah kiri Sungai Kuno yang menyokong kegunaan jeti. Yang paling lama berusia 487 tahun sebelum masehi. Fungsi pengurusan.
Ketiga, monumen ritual. Berbentuk hanya satu-satunya di dunia pada hari ini mewakili agama baharu yang dijumpai diamalkan oleh masyarakat purba iaitu berbentuk bulatan dasarnya. Di atasnya sebuah binaan empat segi. Dibina pada 110 masehi kemudian terdapat bulatan yang ditebuk di atasnya menjadikannya ianya berbentuk stupa yang dikesan ditebuk pada kurun ke 5 -7 masehi. Fungsi kepercayaan. Dicadangkan animisme. Penyembahan alam sekitar bukannya Hindu-Buddha.
Keempat, 7 tapak peleburan besi dengan jutaan jongkong besi terlebur tertanam dan timbul di permukaan, jutaan tuyere dan kesan relau dan aktiviti pembakaran. Ianya mewakili fungsi ekonomi yang cemerlang.
Tapak-tapak ini adalah jawapan di manakah Kataha, Kadaram, Chieh Cha, Keda, Qada, Qadah, Qalah, Qala'i dan puluhan lagi nama bagi sebuah Kerajaan yang menjadi tempat dunia mendapatkan besi terlebur dunia yang kedua terbaik pada masa lampau. Nama-nama ini dicatat di dalam puluhan kitab-kitab lama negara Arab, India, China, Korea, Jepun, Pakistan lama dan sebagainya.
3 lagi fungsi yang sedang dicari dan sebenarnya telah dikesan tetapi masih belum sampai ke fasa tersebut untuk dibuka kerana membabitkan wang, masa dan tenaga.
Fungsi penempatan, pemerintahan, perkuburan serta sumber makanan.
Hari ini jika tidak percaya dengan apa yang saya tulis ini pembaca boleh ke Sungai Batu untuk melihat sendiri 4 fungsi yang saya nyatakan ini.
Tahukah apa yang paling mahal? Sejarah Melayu yang sebenar ada di situ.
Ok. 10 kali menulis 10 kali ayat yang berlainan tetapi maksud sama. Semoga faham dengan penerangan ini.


Facebook : Sungai Batu 500BC
21.6.2016

No comments: