Friday, 13 June 2025

APA ITU KOTAK TABUT SAKINAH?

Sumber: The Patriots Studios

Oleh: Muqri Nizam
Anda pernah dengar tak tentang Tabut Sakinah? Apa itu Tabut Sakinah? Tabut merupakan sebuah peninggalan lama bagi Bangsa Bani Israil. Peninggalan ini telah diletakkan di dalam sesebuah peti yang dikatakan bertatahkan emas dan mempunyai sayap dikiri dan kanannya. Di dalam kotak ini mengandungi tongkatnya Nabi Musa AS dan beberapa relik suci bagi kepercayaan Yahudi.
Bagi Orang Yahudi, kotak ini amat berharga buat mereka kerana bagi mereka jikalau relik ini mereka kuasai nescaya mereka amat yakin untuk memenangi sesebuah peperangan bagi memerangi musuh mereka. Mereka juga mengusung peti ini kemana sahaja demi menjaga kemuliaan peti ini daripada jatuh ke tangan musuh.
Pembuatan peti ini pula dikatakan telah mengikuti arahan Nabi Musa AS dengan bantuan tukang kayu yang mahir daripada Bani Israil pada ketika itu. Dengan peti ini, setiap kali ia diusung, ia akan diiringi dengan tiupan trompet bagi menandakan kemuliaan dan ketinggian peti tabut ini.
Peti ini kemudiannya dibawa oleh Nabi Yusya Bin Nun untuk menakluk Baitul Maqdis semula bersama Bani Israil untuk ke tanah Filistin. Dalam ketika ini juga, Allah SWT telah mengurniakan mukjizat buat nabi Yusya Bin Nun untuk menahan matahari daripada terbenam sehingga baginda bersama pasukan Bani Israil berjaya menundukkan musuh mereka.
Peti ini juga dikatakan pernah dirampas oleh Jalut dan akhirnya dimunculkan semula dengan Izin Allah di hadapan pemuka Bani Israil. Peti ini kemudiannya dibawa oleh Bani Israil untuk memerangi pasukan Jalut dibawah pimpinan Raja Talut.
Peti ini kemudiannya dibawa ke Al-Quds dan diletakkan di bawah jagaan Raja Raja Bani Israil sehinggalah zaman pemerintahan Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS. Usai itu, Kerajaan Bani Israil ini terpecah kepada dua iaitu Kingdom of Israel dan Kingdom of Judah. Dua kerajaan ini saling bermusuhan antara satu sama lain.
Muncul sebuah kuasa baru meranapkan kedua dua kerajaan ini iaitu Nebuchadnezzar II (605 BC – 562 BC). Nebuchadnezzar II telah merampas Tabut ini. Usai daripada serangan ini, lokasi sebenar Tabut ini masih tidak diketahui sehingga kini. Beberapa pendapat menyatakan bahawa ia telah dirampas oleh pasukan Babylon ini. Sesetengah pendapat yang lain menyatakan bahawa ia ada di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa dan pendapat yang lain ia telah dimusnahkan oleh pasukan Babylon sewaktu penaklukan mereka ke atas kerajaan Israil ini.
Sebenarnya sejarah Bani Israil ini telah dicatat berulang kali bahkan di dalam Al-Quran kisah mereka ini sering diulang ulang supaya menjadi pengajaran agar tidak diulangi oleh bangsa bangsa yang terkemudian. Nak tahu lebih lanjut tentang bangsa ini? Jom dapatkan buku Palestin: Dari Sungai ke Segara terbitan baharu The Patriots. Buku ini merupakan karya terbaru saudara Ayman Rashdan Wong yang menggalurkan konflik, kesan daripada geopolitik terhadap pengilhakan tanah Filistin ini kepada kestabilan rantau tersebut. Jadi, nak tahu lebih lanjut, jom dapatkan buku ini.

Copy and paste:
13 June 2025: 8.19 p.m

No comments: