SUMBER: FB PERISTIWA N' SEJARAH
BH ONLINE...
*Artikel ditulis pada 14 March 2016*
RACUN yang disebarkan orientalis Barat menerusi ilmu dan kajian negatif terhadap perkembangan Islam dan budaya di alam Melayu memberikan kesan cukup besar khususnya kekeliruan sejarah, pemikiran dan penghayatan agama dalam kalangan masyarakat.
Hal itu dikupas secara tuntas dalam pembentangan berjudul Refleksi Sejarah Ilmu Tarekat Rohani Alam Melayu pada Wacana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa oleh Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), ATMA UKM, Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah bertempat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Dr Mohd Syukri berkata, proses Islamisasi di Alam Melayu yang bermula pada awal abad ke-8 hingga 17 Masihi dicemari dengan kehadiran penjajah Barat yang mempunyai niat jahat untuk menguasai ilmu dan ekonomi di Timur.
"Kesan penjajahan Barat seperti membunuh ulama mursyid, merampas manuskrip dan melakukan kajian semula terhadapnya sehingga ia menjadi sumber rujukan primer menyebabkan kerosakan disiplin ilmu dalam Islam.
"Salah satu disiplin ilmu yang terjejas adalah tarekat rohani yang berkembang daripada zaman Rasulullah S.A.W sehingga ia tersebar ke dunia Arab dan alam Melayu.
"Kesan campur tangan Barat itu mendorong kepada salah faham terhadap disiplin ilmu itu sendiri seperti disamakan dengan ilmu tasawuf dan mewujudkan perpecahan kepada sesama kumpulan aliran tarekat," katanya pada acara anjuran bersama ATMA dengan kerjasama Pusat Islam UKM.
Beliau turut menjelaskan, proses Islamisasi di alam Melayu 'diganggu' oleh penjajah atas beberapa faktor, antaranya bukan saja bagi mengaut kekayaan sumber buminya, bahkan bagi menebus semula kekalahan pada Perang Salib.
"Sarjana Barat, Jacques Barzun ada menyebut dalam kajiannya bahawa penjelajahan bangsa Eropah ke Asia adalah bermatlamatkan 'Gold, Glory and the Gospel' iaitu mencari kekayaan, kejayaan dan menyebarkan agamanya.
"Kenyataan itu juga diperkukuh dengan kenyataan Karel Blei apabila Columbus memulakan pelayaran ke Timur buat pertama kalinya iaitu dia mengakui bukan hanya ingin berdagang dengan penduduk tempatan, tetapi juga bertujuan menukar agama mereka.
"Selain itu, kekalahan pada Perang Salib ke-8 juga mendorong untuk Barat menebusnya semula menerusi cara penjajahan,"katanya.
Katanya, selepas Perang Salib ke-8, lebih ramai orientalis Barat muncul dengan melakukan penyelidikan terhadap manuskrip Timur yang dirampas ketika penjajahan.
"Banyak hasil penyelidikan Barat yang menjadi sumber rujukan primer ketika kiblat ilmu dari Islam dialih ke Barat.
"Antaranya menimbulkan keraguan ke atas kitab Al-Quran dengan membuat penafian kesasihan pengumpulan naskhah itu oleh Saidina Abu Bakar, membuat dakwaan mistik Kristian sebagai asas yang mempengaruhi tasawuf dan merendahkan Nabi Muhammad S.A.W.
"Lebih parah apabila kajian Barat ini diguna pakai oleh sebilangan besar sarjana Melayu tanpa melakukan analisis mendalam, sekali gus menunjukkan betapa berjayanya golongan orientalis mengubah kiblat masyarakat islam di alam Melayu dalam pelbagai aspek,"katanya.
Beliau menambah, badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memainkan peranan dalam melakukan kajian tuntas terhadap manuskrip alam Melayu bagi membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat yang masih berkiblatkan Barat.
"Badan kerajaan seperti Jakim, Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam perlu memainkan peranan dalam menolak sumber hasil kajian Orientalis Barat yang selama ini dijadikan sumber rujukan utama.
"Banyak yang boleh diperbaiki antaranya memperkasakan semula institusi kesultanan Melayu melalui manuskrip Qanun, mengangkat disiplin ilmu tarekat yang pernah menjadi dasar amalan rohani masyarakat alam Melayu, selain menggunakan dinar emas dan dirham perak yang satu masa dulu digunakan Sultan Melayu bagi membebaskan diri daripada penjajahan ekonomi," katanya.
Katanya, walaupun Barat sudah lama membebaskan alam Melayu daripada dijajah, hakikatnya kita masih terikat dengan sistem Sekular Barat menerusi campur tangan dalam urusan pemerintahan politik dan memanipulasi sistem kewangan serta pelbagai bidang ilmu penting.
BH ONLINE...
Copy and paste:
30 November 2022 > 5 Jamadilawal 1444H: 7.48 am
No comments:
Post a Comment