Friday, 11 November 2022

DI MANA RASULULLAH S.A.W. DI HATI MU?

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, 
"Seseorang akan menjadi hamba kepada apa-apa yang dicintainya."
(Riwayat al-Bukhari). 

Jika hati mencintai Allah, kita akan menjadi hamba kepada Allah dan seluruh hidup kita akan terfokus kepada iman dan Islam. Alangkah ruginya jika di hati kita bertakhta kejahatan dan kemungkaran kerana kita akan menjadi hamba kepada kejahatan dan kemungkaran ini. 
Hidup memang untuk cinta, tetapi cinta kepaea siapa?
Jawapnya, Cinta kepada Allah. 

Namun, cinta kepada Allah tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta Rasulullah s.a.w. Cinta Allah itu tujuan, cinta kepada Rasulullah s.a.w pula jalan. Tujuan tidak akan dicapai tanpa mengikut jalan. 
Jalan mencintai Allah adalah dengan mencintai Rasulullah s.a.w. Jalan itu wajib diikuti. Tidak ada manusia yang mampu mencintai Allah mengikut jalannya tersendiri. 
Kita mesti mencintai segala-gala yang dicintai Allah. Ia meliputi mencintai para Rasul, Nabi, Malaikat, hamba-Nya yang soleh, amal soleh dan akhlak mulia. 

Cinta kepada Allah mewajibkan kita agar mencintai sesiapa dan segala sesuatu yang dicintai-Nya. Insan yang paling dicintai Allah ialah Rasulullah s.a.w. Inilah syarat pertama dan utama untuk meraih cinta Allah
Orang yang memuliakan insan yang dimuliakan Allah (Rasulullah s.a.w) akan turut dimuliakan-Nya. 

Allah s.w.t berfirman:
"Katakan: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad). Nescaya Allah mengasihani dan mengampunkan dosa-dosa mu. Allah Maha Pengampun lagi Penyayang."
(Surah Al-Imran 3: 31)

Rasulullah s.a.w adalah Nabi yang paling mencintai umatnya. Belum tentu orang yang kita cintai akan mencintai kita, tetapi Baginda memang terbukti mencintai kita umatnya. Jika kita mencintai Rasulullah s.a.w, kita tidak akan bertepuk sebelah tangan.... Cintailah Rasulullah s.a.w, pasti cinta kita berbalas. 
Tidakkah kita lihat bagaimana besarnya pengorbanan Baginda, menumpahkan keringat, mengalirkan airmata, rela menyabung nyawa demi menyelamatkan umat Islam daripada siksaan api neraka?

Cuba bandingkan Rasulullah s.a.w dengan pemimpin dunia yang lain. Pemimpin biasa hanya berusaha menyelamatkan pengikutnya di dunia, tetapi Rasulullah s.a.w. berusaha menyelamatkan umatnya daripada kesengsaraan di dunia dan juga di akhirat. Baginda bukan sahaja membersihkan dunia daripada kejahatan, malah membersihkan hati manusia daripada dosa dan kemungkaran. 

Setiap hati manusia akan jatuh cinta kepada orang yang mempunyai akhlak yang baik. Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak jatuh cinta kepada Rasulullah s.a.w. itu petanda dia menolak fitrah manusia. Orang yang baik dan ingin menjadi baik akan mencintai dan menaladani orang yang baik. Tidak ada insan sebaik Nabi Muhammad s.a.w.. Akhlak Baginda bukan sahaja dipuji oleh kawan dan lawan, malah oleh Tuhan Yang Maha Pencinta. 

Antara tanda mencintai Rasulullah s.a.w ialah banyak mengingat, menyebut, merindu dan seterusnya ingin sekali bertemu. Cinta adalah satu perasaan yang bersemi dalam hati, diluahkan dengan lidah dan dibuktikan dengan tindakan dari pengorbanan. 

Jika kita mengaku cintakan Rasulullah s.a.w. muhasabahlah sebanyak mana kita berselawat kepada Baginda sehari semalam? Selawat itu tanda ingatan

Kaedah Mencintai Rasulullah s.a.w.
Kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah s.a.w melalui sirah dan sunnah Baginda. Tidak cukup hanya mengetahui dengan akal, tetapi kita perlu mengenali Baginda dengan hati, lalu cuba mempraktikkan segala sunnahnya dalam realiti kehidupan. 

"Tak kenal maka tak Cinta" - Apabila kita mengenali Rasulullah s.a.w. barulah kita boleh mencintainya. Tuntutan yang paling utama selepas mengenal Allah adalah dengan mengenal Rasulullah

Mematuhi ajaran Rasulullah s.a.w
Tanda cinta ialah patuh. Pepatah Arab menyatakan "Seseoran akan menjadi hamba kepada perkara yang dicintainya."
Seorang yang mencintai Rasulullah s.a.w. akan menjadi hamba kepada Allah dengan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Kepatuhan seseorang terhadap ajaran Rasulullah adalah bukti yang paling kuat menunjukkan kebenaran cintanya. Tanpa mematuhi ajarannya, dakwaan cinta itu adalah palsu. 

Memuliakan dan menghormati Rasulullah s.a.w.
Kita dianggap memuliakan Rasulullah apabila membenarkan segala berita yang dibawa oleh Baginda, mematuhi segala suruhan, menjauhi segala larangan dan beribadah kepada Allah dengan cara yang ditunjukkanknya. Sesiapa yang tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, ini bererti dia tidak lagi menghormati Rasulullah walaupun mulutnya mendakwa demikian. 

"Love is a verb not a word"
Cinta itu tindakan, bukan perkataan. Bukti mencintai Rasulullah s.a.w. adalah dengan menegakkan Sunnah Baginda. 

Mencintai kaum keluarga, kaum kerabat dan sahabat Rasulullah. 
Apabila kita mencintai seseorang, kita akan turut mencintai semua orang yang dicintainya dan segala sesuatu yang membawa kepada kecintaannya. 
Bukti cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan mencintai seluruh keluarganya (isteri, anak, cucu dan seterusnya) serta para sahabat Baginda. 
Bagaimana caranya?
Dengan menghormati para sahabat, mengakui keutamaan ahli bait, memelihara kehormatan dan kedudukan mereka. 

Mencintai Ulama yang gigih berdakwah
Ulama ialah pewaris Nabi. Merekalah golongan orang paling teguh berpegang dengan sunnah dan gigih berdakwah menyebarkan Islam sejak dahulu sehingga kini. Di bahu merekalah terletaknya amanah untuk meneruskan perjuangan menegakkan Islam kepada umat setelah tidak akan ada lagi nabi atau rasul yang akan diutuskan kepada umat manusia. 
Ulama mesti diletakkan sebagai penasihat, murabbi bahkan pembimbing ke jalan kebenaran. 
Kita dituntut memuliakan ulama silam yang banyak berjasa dan menjaga warisan ilmu dengan penuh iltizam, ikhlas dan professional. Mereka mewariskan kitab-kitab muktabar dan generasi ilmuwan yang meneruskan legasi kecemerlangan sehingga pada zaman kini. 

Mencintai kerana Allah
Mencintai Allah adalah sumber cinta semua dan segala-galanya. Dalam apa jua keadaan sekalipun, kecintaan kepada makhluk tidak boleh melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Persoalan sekarang "Dimana Rasulullah s.a.w di hati kita?"
Satu persoalan yang perlu dijawab dengan jujur oleh setiap Muslim kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. di hati kita adalah pengukur kedudukan Allah di hati kita. Di mana Allah di hati kita juga menentukan sejauh mana kebahagiaan, kejayaan, ketenangan, keselamatan dan keharmonian hidup kita di dunia dan akhirat. 

Wassalam

Nota diambil dari tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam Majalah Solusi
11/11/2022 > 16 Rabiulakhir 1444H: 8.47 am






No comments: