SUMBER: JABATAN MUFTI NEGERI PERLIS
Oleh : Dr. Asri Zainal Abidin
PULAK DAH! PERLIS LARANG ZIKIR SELEPAS SOLAT???
Tiba-tiba seseorang datang menghulurkan tangan sambil berkata: “Minta maaf Dato’”. Saya tersenyum sahaja sambil bersalaman. Saya ingat itu sekadar ucapan.
Dia berkata lagi: “Dato maafkan saya tak ni?”.
Saya bertanya dia: “Pasal apa?”.
Dia menjawab: “Saya selalu kutuk Dato Mufti dan buat status FB kata Dato melarang orang berzikir selepas solat. Bila saya datang ke Perlis melawat kawan di sini, saya dah masuk empat buat masjid. Kesemuanya ada tergantung di depan bacaan ‘zikir selepas solat’ arahan Jabatan Mufti. Mereka kata dah lama dah arah. Saya rasa saya silap fitnah kata Dato melarang zikir selepas solat. Minta maaf. Jangan Dato tuntut saya di akhirat”.
Saya membalas: “Sebenarnya kita tidak mengarahkan sebagai wajib. Zikir atau wirid selepas solat itu sunat untuk dilakukan. Kita dah lama edarkan supaya menjadi panduan untuk jemaah yang ingin beramal. Tapi bukan wajib, namun ia sangat digalakkan. Di semua masjid di Perlis kita lancarkan dan minta digantung. Dah lama. Bukan sahaja itu, kita edarkan juga untuk setiap rakyat buku kecil zikir selepas solat. Ada lagi buku himpun doa dan zikir. Semua percuma.
Dia berkata: “Maaf saya Dato’. Saya fitnah Dato sebab terikut dengan ustaz yang suka maki Dato’ tu. Bila kawan bagi kat saya video Dato Mufti pasal ‘anak panah malam’ tu, saya risau kena kat saya pula. Minta maaf Dato. Cuma nak tanya, depa kata yang sesat tu sebab zikir itu tidak berjemaah. Dia orang kata Dato. Minta maaflah saya tanya”.
Saya bertanya: “Saudara pernah ke Mekah dan Madinah?”.
Dia jawab: “Ya, dua kali”.
Saya bertanya lagi: “Adakah mereka berzikir dan berdoa berjemaah selepas solat fardu?”.
Dia jawab: “Tidak. Mereka memang sendiri-sendiri. Kat Perlis pun saya tengok macam tu juga. Sendiri-sendiri zikir dan berdoa. Cumanya ada yang sekejap sahaja terus bangun”.
Saya bertanya: “Apakah saya berpendapat Masjid Nabawi dan al-Masjidil-Haram mengamalkan amalan yang sesat?”. – dia diam-. Saya sambung lagi: “Dalam Kitab al-Umm, al-Imam al-Syafi’i sendiri berpegang kepada zikir secara perlahan selepas solat. Apakah beliau juga sesat atau wahabi? Kemudian, bagi setiap negeri Ulul Amri memilih pendapat yang mereka mahu. Perlis juga memilih perlaksanaan amalan-amalan yang membabitkan masyarakat awam selaras apa yang Jawatankuasa Fatwa percaya itulah yang paling teguh di sisi nas. Jawatankuasa Fatwa Perlis mempunyai ramai tokoh-tokoh ilmuan dalam negara ini. Jika ada yang ingin mengamalkan yang berbeza, dia boleh buat secara sendirian atau di rumah sendiri. Tiada siapa atau membangkang. Adapun urusan pemtadbiran awam, itu berada di bawah garis panduan pihak yang mentadbir. Pun begitu, belum ada lagi di Perlis yang ditahan ataupun dibawa ke mahkamah kerana amalan-amalan sunat ataupun perkara-perkara khilaf dalam kalangan imam-imam mazhab. Kita bukan puak yang suka kafir-mengkafir atau memaki hamun. Namun fitnah dan pembuat fitnah akan membayar harganya di dunia dan di akhirat”.
Dia cepat menjawab: “Dato, saya dah minta maaf. Janganlah sampai ke akhirat”.
Saya jawab: “Untuk yang meminta maaf berhubung hak orang lain, dia mesti mengembalikan hak itu jika dituntut. Dalam kes saudara, saya tuntut saudara membetulkan balik fakta yang salah yang saudara sebarkan”.
Dia menjawab: “In sha Allah Dato, saya cuba. Sekali lagi Dato, minta maaf”.
Dia bersalam dengan saya lalu pergi.
Demikianlah sesetengah pihak mengambil maklumat yang palsu sedangkan mereka sendiri tidak tahu benar ataupun salah.
Firman Allah:
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
(maksudnya) “dan mereka yang menyakiti perasaan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka (yang menyakiti itu) telah memikul kesalahan secara dusta, dan berbuat dosa ang amat nyata”. (Surah al-Ahzab: 58).
Adapun apa yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i r.h adalah seperti berikut:
وأختار للامام والمأموم أن يذكرا الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكرَ إلا أن يكون إماما يُحِبُّ أن يتعلّم منه فيجهر حتى يُرى أنه قد تُعُلِّمَ منه ثم يُسِرّ
“Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir. Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu hendaklah dia perlahankan”.
Adapun mengenai hadis Ibn ‘Abbas yang menyebut zikir kuat selepas solat, al-Imam al-Syafi’i menjelaskan seperti berikut:
وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلّم الناس منه وذلك لأن عامة الروايات التي كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تَهليلٌ ولا تكبير، وقد يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصَفْتُ، ويذكر انصرافَه بلا ذكر، وذكرت أمُّ سلمةَ مُكْثَه ولم يذكر جهرا، وأحسبه لم يَمكُثْ إلاّ ليذكرَ ذكرا غير جهْرٍ. فإن قال قائل: ومثل ماذا؟ قلت: مثل أنه صلّى على المنبر يكون قيامُه وركوعُه عليه وتَقهْقَرَ حتى يسجدَ على الأرض، وأكثر عمره لم يصلّ عليه، ولكنه فيما أرى أحب أن يعلم من لم يكن يراه ممن بَعُد عنه كيف القيامُ والركوعُ والرفع. يُعلّمهم أن في ذلك كله سعة. وأستحبُّ أن يذكر الإمام الله شيئا في مجلسه قدر ما يَتقدم من انصرف من النساء قليلا كما قالت أم سلمة ثم يقوم وإن قام قبل ذلك أو جلس أطولَ من ذلك فلا شيء عليه، وللمأموم أن ينصرفَ إذا قضى الإمام السلامَ قبل قيام الإمام وأن يؤخر ذلك حتى ينصرف بعد انصرافِ الإمام أو معه أَحَبُّ إلي له.
Aku berpendapat baginda menjelaskan suara (zikir) hanya seketika. Untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini, atau selainnya tidak menyebut selepas salam tahlil dan takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah pula menyebut duduk baginda (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda zikir secara terang. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak terang. Jika seseorang berkata: Seperti apa?. Aku katakan: Seperti baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat di atasnya. Tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua. Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya).
(Al-Syafi'i,Mausu‘ah al-Imam al-Syafi'i: Al-Umm, 1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi.)
Copy and paste: 1 Ogos 2022 > 4 Muharam 1444H: 10.05 pm
No comments:
Post a Comment