Friday, 19 August 2022

SEJARAH TULISAN JAWI DI NUSANTARA

Posted by : Ibnu Kamal Aliff
PERISTIWA N' SEJARAH : 15 Ogos 2022

Tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad 10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu ketika itu.
Selain menjalankan aktiviti perniagaan, peniaga Arab juga menyebarkan dakwah Islam. Antara kesan penyebaran dakwah Islamiah ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu.
Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk Nusantara adalah huruf-huruf Arab atau sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi.
Pada abad ke sebelas hingga ke empat belas, tulisan jawi digunakan dengan meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara. Malah, dikatakan Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu merupakan golongan yang celik jawi
ASAL USUL PERKATAAN JAWI
Berdasarkan sejarah Bahasa Melayu (Kang Yong Seock, 1990) perkataan “Jawi” (جاوي) berasal daripada bahasa Arab “Jawah” (جاوة) Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu.
Berdasarkan catatan Sejarah Melayu ditulis oleh Hashim Hj Musa, 1999; perkataan Jawi adalah diadaptasikan oleh Bahasa Melayu daripada tulisan Arab. Kemudiannya dibuat beberapa penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi
mantap
sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini.
Berdasarkan kata adjektif dalam Bahasa Arab, perkataan Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain.
JAWI SEBAGAI GELARAN PARA ULAMA MASA LAMPAU
Oleh sebab itulah, maka para ulama dari Asia Tenggara sering meletakkan nama al-Jawi sebagai gelaran, pada hujung nama mereka sekalipun mereka terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al-Fatani al-Jawi dan lain-lain.
Selain itu, kata Jawi digunakan juga untuk ungkapan-ungkapan seperti bahasa Jawi, masuk Jawi dan bangsa Jawi.
Sampai kini orang-orang Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa.
Istilah “tulisan Jawi” hanya dikenali di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan dan Brunei Darussalam dan Sri Lanka (bagi rumpun Melayu). Tulisan jawi di Indonesia terkenal dengan nama “tulisan Melayu Huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”.
Penggunaan jawi (atau apa sahaja istilah yang semakna dengannya) digunakan di banyak tempat di Asia Tenggara.
TULISAN JAWI BUKAN HANYA UNTUK BAHASA MELAYU..
Tulisan Jawi bukan hanya digunakan oleh orang Melayu untuk bahasa Melayu tetapi juga oleh suku-suku bangsa Melayu yang lain. Antara suku bangsa Melayu yang juga ibu menggunakannya ialah Campa di Indo-China, Patani di selatan Thailand, Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Minangkabau, Bengkulu dan juga lain-lain.
Bagi tulisan Jawa yang menggunakan huruf Arab dikenal dengan nama atau tulisan Pegon, yang sekarang ini masih dipakai atau digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama yang digunakan di pesantren-pesantren atau pondok-pondok pengajian agama di Jawa. Contohnya ialah kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa (Amat Juhari Moain 1996: 18).
Bahasa Melayu bukan berasal daripada tulisan Jawi. Ramai yang salah anggap mengenai fakta sejarah ini. Bahasa Melayu telah wujud lebih lama sebelum munculnya tulisan jawi di Nusantara.
Seperti di awal lagi dinyatakan, tulisan jawi berkait-rapat dengan penyebaran agama Islam. Ia telah disesuaikan agar memudahkan agama Islam tersebar luas kerana miripnya ia dengan tulisan bahasa Arab yang menjadi teras bahasa dalam Al-Quran dan juga kitab-kitab daripada Timur Tengah.
Pun begitu, kemunculan tulisan jawi ini telah membuka lembaran baru dalam sejarah Bahasa Melayu.
Sebuah batu bersurat telah dijumpai pada tahun 1899 Masihi di Sungai Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu. Pada batu itu terpahat huruf Arab-Melayu dianggap tulisan jawi tertua di Asia Tenggara.
Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masihi.
Inti batu bersurat itu bertulis pengumuman sepuluh fasal “syarat undang-undang”. Pengumuman itu dimulakan dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah S.A.W.
Penemuan ini bermakna, sebelum tahun 1303 Masihi, sekurang-kurangnya di Terengganu, sudah ada orang yang mengetahui atau boleh membaca tulisan jawi. Perkara inilah dapat dirumuskan bahawa penulisan bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan dan menggunakan beberapa jenis huruf yang saling berganti.
Tulisan yang mula dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dari India. Tulisan Pallava ini kemudian mengalami perubahan. Oleh itu, timbul jenis-jenis tulisan seperti berikut Tulisan Rencong, Tulisan Pallava, Tulisan Kawi, Tulisan jawi, dan Tulisan Rumi.
KEPELBAGAIAN KEGUNAAN TULISAN JAWI
ASAL USUL TULISAN JAWI
Menurut sebuah buku ditulis oleh Amat Juhari Moain (1996) tulisan jawi telah digunakan oleh orang Melayu dalam berbagai-bagai jenis lapangan dan kegiatan penulisan. Bahkan untuk kesenian juga tulisan ini digunakan, iaitu pada seni khat bagi menghiasi mihrab, di dinding dalam masjid, batu nisan dan seumpamanya.
Dalam Sejarah Melayu (Hashim Musa, 1996) dicatatkan bahawa tulisan jawi telah digunakan untuk perkara berikut:
PRASASTI atau BATU BERSURAT.
Contohnya prasasti Terengganu yang telah ditemui di Sungai Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
BATU HIDUP.
Tulisan ini terdapat pada batu hidup yang ditemui di Pangkalan Kempas, Negeri Sembilan.
BATU NISAN.
Ini banyak terdapat di berbagai-bagai tempat bekas berdirinya kerajaan-kerajaan Islam pada zaman silam.
MATA WANG
Terutama wang emas dan perak. Pada mata wang ini diukir nama raja Melayu yang memerintah dengan menggunakan tulisan jawi seperti nama Sultan Muzaffar Shah, Mansur Shah dan lain-lain.
SURAT KIRIMAN ANTARA RAJA.
Ini banyak dibuat bukan sahaja antara raja Melayu tetapi juga dengan raja-raja di tempat lain seperti raja Melayu dengan raja Portugal atau raja Inggeris atau raja-raja lain.
KITAB DAN BUKU.
Jenis ini yang paling banyak terdapat sama ada dalam bentuk manuskrip (bertulisan tangan) atau cap batu.
SURAT-SURAT PERJANJIAN ANTARA RAJA DAN NEGARA di ALAM MELAYU.
Catatan-catatan pemilikan dan perdagangan terutama di pelabuhan dan kapal-kapal perdagangan.
SURAT KHABAR DAN MAJALAH
seperti surat khabar Alamat Lankapuri, Majalah Bustan Arifin, surat khabar Jawi Peranakan dan majalah al-Imam.
PIAGAM DAN TEKS PEMASYHURAN. Contohnya seperti tulisan pada teks ciri yang dibacakan ketika melantik seseorang itu menjadi pembesar.
Hasil catatan tersebut jelas menunjukkan bahawa tulisan jawi pada waktu itu digunakan dengan meluas dalam urusan-urusan penting sehingga dianggap satu tulisan yang
hebat
di kepulauan Tanah Melayu dan Nusantara.
Penggunaan yang meluas itu telah menarik perhatian penulis-penulis tempatan dan luar negeri seperti W.G Shellaber (1925) untuk menulis buku Evolution of Malay Spelling, R.J. Wilkinson dan Winstedt dengan terbitan Kamus Jawi Melayu-Inggeris (1901,1903, 1913, 1939) yang masih menggunakan versi ejaan jawi tua.
Daripada catatan dan perkongsian ini, sedikit sebanyak kita dah tahu mengenai asal-usul tulisan jawi ini. Memang dasarnya ia adalah disebabkan oleh penyebaran agama Islam di Nusantara ini, tetapi dek kerana tulisan jawi inilah, Tanah Melayu dikenali dan dihormati di seluruh dunia.
Sebagai salah seorang warga Malaysia, seharusnya kita angkat fakta sejarah ini sebagai satu kebanggaan dan bukan menjadi satu taboo dalam masyarakat berbilang bangsa.
Walaupun tulisan jawi telah wujud dalam pelbagai urusan sejak sekian lama, ia tidak sedikit pun menjejaskan adanya tulisan lain .. malah setiapnya berkembang dan diterima. Inilah toleransi yang menjadikan Malaysia unik dengan adanya pelbagai bentuk tulisan dan bahasa.
Mungkin ada yang risau kerana wujudnya tulisan jawi adalah dek kerana tersebarnya agama Islam di Nusantara. Pun begitu, harus juga diamati sebaiknya, agama Islam tersebar di wilayah lain, termasuk di India dan China, bukan disebabkan adanya tulisan jawi ini, tetapi tulisan asal difahami masyarakat setempat.
"Tulisan jawi merupakan tulisan rasmi manakala tulisan khat merupakan salah satu aspek seni bahasa atau kaligrafi dalam Bahasa Melayu yang melibatkan tulisan jawi ditulis secara berangkai menjadi tulisan khat." - -Pensyarah Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr S Vijayaletchumy.
Blogger HasrulHassanblogspot.com.my

Copy and paste > 19 Ogos 2022 : 22 Muharam 1444H: 9.47 pm

No comments: