Saturday, 13 August 2022

Mormonisme: Kristian Yang Dituduh Bukan Kristian

SUMBER: FB FIRDAUS WONG - MRM

Perkataan Mormon asalnya diambil daripada nama salah seorang rasul terdahulu yang mereka imani dan nama itu juga diberi bersempena kitab suci mereka iaitu Kitab Mormon. Berdasarkan nama tersebut agama mereka dinamakan sebagai Mormonisme.

Mereka sangat aktif berdakyah, malah di Malaysia juga mereka sudah bertapak di Sibu, Sarawak. Mereka menamakan gereja mereka sebagai Gereja Yesus Kristus dari Orang-orang Suci Zaman Akhir.

Mormonisme adalah sebuah aliran yang sangat kontroversi. Ini kerana terdapat banyak aliran gereja utama menuduh mereka sesat dan ada yang mendakwa mereka bukan lagi Kristian.

Sejarah Kewujudan Mormonisme

Agama Mormon diasaskan oleh Joseph Smith. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga miskin pada tahun 1805 di Sharon, Vermont, Amerika Syarikat. Beliau anak kelima dari sebelas adik beradik.

Disebabkan keluarganya begitu miskin, Joseph Smith mendapat pendidikan yang sangat terhad. Beliau hanya sekadar mempelajari asas huruf dan nombor untuk membaca dan juga mengira. Ketika awal usianya beliau banyak menghabiskan masa dalam membuat kajian Bible.

Kemudian, keluarganya berpindah ke Palmyra di New York. Di sana ia merupakan kawasan kebangkitan agama Kristian yang pesat dan ketika Smith masih remaja, beliau tidak pasti versi aliran gereja Kristian manakah yang harus beliau ikuti. Pada tahun 1829 M beliau mendakwa telah didatangi oleh cahaya yang merupakan Tuhan bapa dan Jesus Christ. Beliau juga mendakwa telah melihat Jesus dengan Tuhan Bapa yang merupakan identiti (individu) yang berasing diantara mereka dan bukan seperti konsep triniti dalam kepercayaan Kristian (Doctrine and Covenants 130: 22).

Dikatakan pada ketika itu Jesus memberitahu kepada Smith bahawa beliau tidak boleh menyertai mana-mana gereja yang sedia ada, akan tetapi perlu menjadi utusan Tuhan untuk memulihkan Gereja Kristus yang sebenar.

Tiga tahun kemudian, Smith mendakwa beliau telah dikunjungi oleh malaikat Moroni dan beliau dikhabarkan tentang kewujudan kitab Mormon. Setelah itu Smith juga mendapat arahan daripada Tuhan menyuruhnya untuk mewujudkan semula gereja Kristian yang sebenar dan Kitab Mormon tersebut merupakan panduan dan cara-cara untuk mewujudkan doktrin yang betul untuk memulihkan gereja. Bagi Smith, gereja pada hari ini sudah menyeleweng dari ajaran Jesus yang asal. Setahun sebelum beliau menubuhkan gerejanya, beliau mendakwa telah didatangi oleh Yohanes si Pembaptis (John The Baptist) dan Yohanes meletakkan tangannya di kepada Smith dengan sahabatnya Oliver Cowdery

Oleh itu beliau menubuhkan sebuah gereja pada tahun 1830 yang dikenali sebagai Church of Jesus Christ of Latter Day (lepas ini disebut Gereja LDS) yang merupakan gereja diasaskan oleh beliau sendiri di New York, Amerika Syarikat. Penubuhan gereja tersebut adalah untuk merealisasikan suruhan Tuhan kepada Smith. Bermula pada tahun itu, beliau mula menarik pengikut-pengikutnya agar menganut ajaran Mormon yang dianggap sebagai agama Jesus yang sebenar.

Tindakan Smith mendapat tentangan daripada pihak gereja Kristian dan pengikut-pengikut Smith ditindas oleh penganut Kristian. Smith dikatakan telah sesat dan menyebar fahaman yang salah. Disebabkan tekanan itu, Smith memindahkan gereja Mormon ke Missouri untuk mewujudkan Jerusalem Baru atau City of Zion di bandar Jackson, Missouri. Walau bagaimanapun, mereka telah diusir keluar dari bandar Jackson pada tahun 1833 dan terpaksa melarikan diri Kirtland pada awal tahun 1838.

Di Missouri, konflik penganut Mormon agak tegang dengan masyarakat Missouri yang lain menyebabkan Gabenor Missouri mengeluarkan ‘perintah penghapusan,’ untuk membanteras dan membuang Latter Day Saints dari Missouri. Penganut Mormon mula melarikan diri ke Illinois di kota Nauvoo, di mana mereka dapat hidup dengan aman dan sejahtera buat beberapa tahun.

Walau bagaimanapun, ketegangan antara penganut Mormon dan bukan Mormon meningkat dan menimbulkan perbalahan. Joseph Smith telah ditangkap beberapa kali dan pada tahun 1844 beliau dipenjara bersama dengan adiknya. Ketika di dalam tahanan beliau telah diserang oleh gerombolan kumpulan bersenjata dan kedua-dua mereka telah ditembak dan mati dibunuh.

Setelah kematian beliau, penganut agama Mormon masih lagi membawa agamanya bersama dengan kitab Mormon mereka. Akhirnya ajaran ini dikembangkan oleh Brigham Young sebagai sebuah gerakan gereja baru. Malah gereja mereka mula mengamalkan amalan perkahwinan secara poligami. Dikatakan Smith telah mulakan perkahwinan secara poligami di kota Nauvoo sebelum ini.

Asas-Asas Kepercayaan Mormonisme

Konsep kepercayaan Mormon agak berbeza dengan denominasi Kristian yang lain. Ini kerana Mormonisme adalah non-trinitarian (bukan triniti) dalam memperkenalkan sifat Tuhan. Gereja LDS mengajar bahawa Bapa, Anak, dan Roh Kudus adalah tiga identiti yang berasingan dan mereka merupakan jasad yang berbeza-beza. Gereja LDS juga percaya bahawa Ibu Surgawi wujud.

Di samping itu, Mormonisme percaya bahawa semua manusia adalah anak-anak Tuhan yang mulia.Mormonisme juga menggambarkan diri mereka sebagai golongan yang termasuk dalam dunia Kristian. Akan tetapi dalam bentuk kelahiran semula dengan menyifatkan diri mereka sebagai bentuk satu-satunya agama Kristian yang sebenar.

Mormonisme percaya bahawa penubuhan semula gereja LDS ini merupakan suatu bentuk ajaran seperti yang terdapat di dalam Perjanjian Baru yang sebenar. Mereka juga percaya bahawa dewa paderi besar seperti Petrus, Yakobus, Yohanes (Yohanes Perjanjian Baru), dan Yohanes Pembaptis (Yahya Pembaptis) menjelma kepada Joseph Smith dan kawannya dan dikurniakan pelbagai kekuasaan serta hukum Yahudi yang asal.

Di samping itu juga, Mormonisme juga percaya bahawa Smith adalah nabi moden yang menerima wahyu dari Tuhan untuk membimbing gereja. Dari segi ibadat pula masih sama dengan Kristian lain dan mereka juga memiliki upacara pembaptisan. Malah mereka juga memiliki ritual untuk membaptis orang yang telah meninggal dunia yang tidak sempat mendengar ajaran Mormon.

Mereka juga percaya bahawa Jesus berkahwin dan memiliki anak. Mereka juga berpandangan Jesus berpoligami. Vern Swanson di dalam bukunya Dynasty of the Holy Grail, mengatakan ayah Joseph Smith (junior) juga bernama Joseph Smith (senior) merupakan keturunan Jesus. Isteri kepada Joseph Smith (senior) atau ibu kepada Joseph Smith (junior) Lucy Mack Smith adalah berketurunan Maria Magdalene.

Mereka juga percaya bahawa Adam adalah Tuhan Bapa di syurga. Hal ini dilihat bercanggah dengan ajaran Kristian yang lain. Doktrin ini dikembangkan oleh Brigham Young, presiden kedua The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (LDS Church) dari 1847 M hingga beliau meninggal 1877 M.

Kitab Suci Mormonisme

Penganut Mormon percaya kepada Bible dan beriman kepada Perjanjian Lama dan Baru, malah di Gereja LDS menggunakan Bible King James sebagai teks Bible rasmi mereka. Walaupun Mormon beriman kepada Bible, mereka juga percaya bahawa Bible tersebut tidak lengkap dan memiliki banyak kesilapan. Dalam teologi Mormonisme, terdapat banyak kebenaran yang dibawa oleh Jesus yang telah hilang akan tetapi ia dikembalikan ke dalam Kitab Mormon.

Kitab Mormon adalah bersempena nama seorang nabi kuno yang diimani mereka. Menurut Joseph Smith, ketika dia berusia 17 tahun dia dikunjungi oleh malaikat bernama Moroni. Moroni mengatakan padanya bahawa di bukit di dekat Wayne County, New York, ditanam di situ sebuah catatan kuno yang diukir di atas kepingan emas oleh nabi-nabi kuno yang berada di sana. Catatan-catatan ini dikatakan menjelaskan sekumpulan manusia yang, 600 tahun sebelum kelahiran Jesus, dipimpin oleh Tuhan dari Jerusalem ke belahan dunia barat. Akhirnya Smith menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggris. Kitab ini telah diterbitkan pada tahun 1830.

Kitab Mormon adalah khabar yang mendakwa memberi kebenaran yang telah diselewengkan di dalam Bible. Menurut Mormonisme, kitab Mormon juga termasuk di dalam kumpulan wahyu dan tulisan-tulisan yang terkandung dalam ajaran dan Perjanjian yang mengandungi ajaran nabi.

Di dalam kitab Mormon ini mengandungi 15 buah buku yang tidak terdapat di dalam Bible lain iaitu buku Nefi Pertama, Nefi Kedua, Yakub, Enos, Yarom, Omni, Mormon, Mosia, Alma, Helaman, Nefi Ketiga, Nefi Keempat, Mormon, Eter, Moroni.

Kesimpulan

Mormonisme mendakwa diri mereka adalah penganut Kristian yang sebenar. Walau demikian, majlis Gereja-Gereja lain menghukum aliran ini sebagai sesat dan bukan lagi Kristian. Malah ia dikira sebagai sebuah agama baru.

Kronologi kepada kebangkitan Gereja ini menarik bagi orang yang berfikir. Ini kerana salah satu punca yang menyebabkan Joseph Smith mendakwa membawa ajaran Jesus yang asli kerana beliau tertekan dengan situasi denominasi dan aliran gereja yang memiliki versi yang pelbagai. Sehingga pada usia remajanya menyebabkan dirinya tertanya-tanya untuk memilih gereja versi yang macam mana.

Ini adalah realiti yang jelas menunjukkan bahawa Kristian sudah banyak menerima pengaruh luar sehingga menyebabkan mereka memiliki banyak aliran gereja. Smith bertindak untuk melahirkan sebuah agama Kristian yang murni sehingga mendakwa dirinya berjumpa secara sedar dengan Jesus sepertimana Saint Paul mendakwa dirinya juga bertemu dengan Jesus (Kisah Para Rasul 9: 3-6). Malah Smith juga mendakwa berjumpa dengan Yohanes Pembaptis yang membaptis Jesus di sungai Jordan berserta dengan wali-wali Kristian besar turut mendatangi beliau. Situasi yang Smith mahu gambarkan adalah seakan beliau lebih hebat daripada Saint Paul.

Dalam kancah gereja yang memiliki denominasi dan aliran yang pelbagai, Smith juga turut tampil dalam menyumbang penambahan jumlah aliran gereja yang dinamakan sebagai Gereja LDS. Bagi penganut Mormon, mereka merasa sudah tergolong dari golongan yang benar. Tetapi bagaimana dengan seorang anak muda Kristian pada hari ini yang memiliki pemikiran seperti Smith? Adakah dengan penambahan aliran Gereja LDS di dalam senarai gereja-gereja Kristian itu menambah kekeliruan kepada mereka untuk memilih aliran gereja yang mahu dianut? Sekiranya mereka merasa tidak puas hati dengan gereja yang ada pada hari ini mungkin sahaja mereka akan menubuhkan aliran gereja yang lain lalu mendakwa diri mereka adalah golongan yang benar, lalu situasi ini berterusan dari generasi ke generasi.

Sepertimana ramai paderi dari pelbagai aliran yang mendakwa bermimpin berjumpa dengan Jesus. Ada juga yang mendakwa Jesus hadir di dalam dirinya lalu dia membawa aliran gereja yang lain.

Malah, di atas faktor ini juga, menyebabkan ramai remaja di Barat yang sudah meninggalkan gereja dan memilih untuk menjadi ateis dan free thinker.

Apa yang ditimbulkan oleh Smith terhadap kepelbagaian aliran Gereja menyukarnya untuk memilih, begitulah juga situasi bagi sesetengah penganut Kristian yang lain. Perkara ini maklum di dalam agama Kristian kerana di dalam Kristian mereka memiliki lebih daripada 33 000 denominasi gereja.[6]

Smith juga merupakan seorang yang kritis terhadap Bible. Oleh itu, tidak dinafikan sekiranya beliau menemui banyak kesalahan dan percanggahan yang terdapat di dalam Bible. Hal itu mempengaruhi beliau untuk menambah sebuah lagi kitab yang disandarkan kepada Jesus yang seakan mahu menampung kelemahan Bible. Lalu beliau mula mencipta dakwaan yang mengatakan bertemu dengan Tuhan, Jesus, Saint, dan juga mendapat wahyu dari malaikat Moroni untuk menulis kitab Mormon.

Maka, apakah Joseph Smith menipu dengan mendakwa dirinya berjumpa dengan Jesus dan Tuhan Bapa sebagaimana dilakukan oleh sebahagian denominasi Kristian yang lain? Dan adakah Mormonisme ini sebahagian dari Kristian sebagaimana yang didakwa oleh mereka sendiri ataupun Mormonisme adalah sesat dan bukan sebahagian dari Kristian sebagaimana yang didakwa oleh denominasi yang lain?

Ataupun Mormonisme adalah Kristian yang sejati dan denominasi yang lain bukannya Kristian yang sejati dan telah menyeleweng dari ajaran Jesus yang sebenar sebagaimana yang didakwa oleh Joseph Smith?

Nota kaki
___________
[2] Lihat Douglas J. Davies, (2004). Encyclopedia of New Religions, (bahagian The Church of Jesus of Latter Day Saints (Mormonism), A lion Book, England, hlm 33
[3] ibid 33-34
[5] Lihat- (2013). The Religions Book, DK, Delhi, hlm 307
[6] Lihat Barrett, Kurian, Johnson, (2001). World Christian Encyclopedia, Oxford Univ Press, 2nd edition.

* Banyak laman sesawang berautoriti dari pihak Kristian yang menjadi rujukan kami untuk isu ini, akan tetapi kami tidak sertakan di sini. Jika ada yang mahu mengkaji atau mahu perbincangan lanjut atau ingin mengetahui rujukannya boleh hubungi kami.

R&D TEAM MRM

Copy and paste: 13 Ogos 2022 > 16 Muharam 1444H: 8.23 pm


No comments: