Sunday 14 August 2022

Israelites. Jews. Judaism.

09/06/2017By Ayman Rashdan Wong

Saya cipta infografik ini untuk menjimatkan masa menerang.

Orang Yahudi adalah sebahagian daripada Bani Israil (‘Israelites’). Bani Israil dan Bani Ismail (sebahagian besar Arab) adalah keturunan Nabi Ibrahim a.s. Mereka dikenali sebagai bangsa Semitik (keturunan daripada Sem, anak Nabi Nuh a.s.).

Bani Israil berasal dari 12 anak Nabi Yakub. 12 anak Nabi Yakub ini yang membentuk 12 suku Bani Israil: Reuben, Simeon, Levi, Judah, Issachar, Zebulun, Dan, Napthali, Gad, Asher, Joseph, Benjamin. Suku Joseph (keturunan Nabi Yusuf) terbahagi kepada 2 suku lagi iaitu Ephraim dan Manasseh.

Bani Israil pada asalnya hidup di Mesir. Sekitar abad ke-13 Sebelum Masihi (kira-kira 3300 tahun yang lalu), Nabi Musa memimpin Bani Israil keluar dari Mesir ke Kanaan. Di Kanaan Bani Israil mendirikan negara. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman adalah raja Bani Israil.

Selepas Nabi Sulaiman wafat (kira-kira tahun 931 SM), Negara Bani Israil berpecah: 10 suku di utara, 2 suku (Judah dan Benjamin) dan suku Levi di selatan.

Negara utara dihapuskan oleh Assyria pada tahun 722 SM. 10 suku jadi ‘Lost Tribes’. Negara selatan dihapuskan oleh Babylon pada tahun 587 SM dan penduduk Judah, Benjamin dan Levi dibawa ke Babylon. Pada tahun 539 SM, Parsi menawan Babylon dan membebaskan suku Judah, Benjamin dan Levi kembali ke tanah Kanaan.

Mereka yang kembali ke Kanaan membina semula kuil suci dan membina agama yang dikenali sebagai Agama Yahudi yang dipimpin oleh golongan Rabbi. Di situ mulanya penyelewengan ke atas kitab Taurat (‘Torah’).

Yang membawa kekeliruan ialah perkataan ‘Yahudi’ yang tidak membezakan konsep-konsep ‘Jews’, ‘Judaism’ dan ‘Judea’.

Jews’ adalah konsep etnik, merujuk kepada ‘Orang Yahudi’ (Bahasa Hebrew: Yehudi). Di zaman pemerintahan Rom, kawasan selatan Palestin dinamakan sebagai Judea (Bahasa Hebrew: Yehuda).

Nama ‘Judea’ diambil dari ‘Judah’ (Yehudah) sebab situ adalah kawasan suku Judah. Orang yang hidup di Judea dinamakan sebagai ‘Judean’. Kemudian istilah ‘Judean’ ini jadi ‘Jew’ dalam Bahasa Inggeris.

Judaism’ adalah konsep kepercayaan, merujuk kepada ‘Agama Yahudi’ (Bahasa Hebrew: Yahadut). Tak semua ‘Jews’ itu penganut ‘Judaism’. Ada juga ‘Jews’ sekular, ‘Jews’ ateis (seperti Albert Einstein dan Mark Zuckerberg) dan ‘Jews’ beriman seperti Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa.

Setiap kali Al-Quran menyebut tentang ‘Yahudi’, ia merujuk kepada ‘Agama Yahudi’ kerana ia disebut bersama-sama dengan Nasrani dan Islam.

Negara moden yang bernama ‘Israel’ tak sama dengan Bani Israil. Sebabnya kewarganegaraan Israel agak terbuka. Jadi penganut ‘Judaism’ yang bukan berasal dari etnik ‘Jews’ pun boleh jadi warganegara.

Jadi,

Jew = Yehudi = Orang Yahudi atau penduduk Judea;
Judaism = Yahadut = Agama Yahudi;
Judah = Yehudah = Yahudza (anak Nabi Yakub).

Nabi Zakaria, Yahya dan Isa bukan penganut agama Yahudi (Judaism) tapi mereka adalah ‘Jews’. Tapi kedua-dua istilah ‘Judaism’ dan ‘Jews’ dikenali sebagai ‘Yahudi’ dalam Bahasa Arab dan Melayu.

Tak faham lagi? Serabut? Pening? Tarik nafas. Hembus. Tarik nafas. Hembus. Istighfar. Sambung baca sampai faham.

(sambil buat grafik ni sambil terbayang lagu ‘When You Believe’. BTW, saya kaji benda ini [hubung kait Yahudi, Kristian, Islam] sejak umur 12 dan benda ini yang membawa saya kepada Islam)


Rujukan:

Bible (terjemahan King James Version) selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran
Imam Shahrastani, Kitab al-Milal wal Nihal (terjemahan Inggeris)
Dr. Ahmad Syalabi, Muqaranah al-Adyan: al-Yahudiyyah (terjemahan Bahasa Indonesia)


Copy and paste:

14 Ogos 2022 > 17 Muharam 1444H: 7.28 pm