Friday, 12 August 2022

Napoleon Bonaparte - Adakah beliau memeluk Islam?

SUMBER: RAGAM MANUSIA

“AGAMA-agama itu selalu didasarkan pada hal-hal yang ajaib, seperti halnya Trinitas (Thriniti) yang sulit difahami. Yesus (Jesus) didakwa dirinya sebagai Anak Tuhan, padahal baginda berasal daripada keturunan Daud. Maka saya lebih meyakini agama yang dibawa oleh Muhammad (Rasulullah) . Islam terhindar jauh daripada kelucuan-kelucuan ritual seperti yang terdapat di dalam agama kita (Kristian). Bangsa Turki juga menyebut kita sebagai orang penyembah berhala dan dewa."

“Dengan penuh kepastian saya harus memperjelaskan kepada anda dalam setiap ucapan saya bahawa saya adalah seorang muslim dan saya memuliakan Nabi Muhammad serta mencintai orang-orang Islam.”

Mungkin anda tertanya-tanya, siapakah yang begitu berani menuturkan kata-kata di atas? Atau mungkin anda lebih tidak percaya kerana yang berkata demikian ialah Napoleon Bonaparte!

Tokoh itu begitu terkenal dalam sejarah sehingga namanya berada dalam urutan ke-34 daripada Seratus Tokoh Yang Paling Berpengaruh Di Dunia (Buku tulisan Micheal H. Hart yang meletakkan Rasulullah s.a.w menduduki tempat teratas dalam senarai itu).

Sebagai Kaisar atau Raja Perancis, Napoleon mengukir sejarah yang begitu hebat sebagai jeneral tentera yang berjaya menundukkan dan menawan banyak negara Eropah sehingga ke Asia Barat, termasuk Mesir dan Palestin.

Istilahnya beliau menyapu bersih, sehingga menjadikan Napoleon sangat berkuasa dan berdaulat penuh terhadap negara Perancis. Malah sesetengah pihak menganggap dalam bidang ketenteraan dan strategik Napoleon ialah jeneral yang paling genius.

Napoleon dilahirkan di Ajaccio (Aiacciu) atau disebut Ajax dalam bahasa Latin di Pulau Corsica yang terletak di bahagian tenggara Perancis pada 15 Ogos 1769 sebagai Napoleone Buonaparte. Pulau Corsica yang berada di bawah jajahan Perancis merupakan pulau keempat terbesar selepas Pulau Sicily, Sardinia dan Cyprus di Laut Mediterranean.

Kariernya sebagai anggota tentera yang paling digeruni bermula apabila beliau menyertai Tentera Revolusi Perancis pada lewat 1790-an. Sehingga tahun 1799, Napoleon memerangi hampir seluruh Eropah sehingga beliau kembali ke Perancis sebagai raja selepas kempennya selesai di Mesir.

Pada 1800, Napoleon kembali semula ke medan perang dengan mengalahkan Austria. Pada 1802, Napoleon memperkenalkan sistem Perundangan Perancis yang baru yang dikenali sebagai Napoleonic Code. Pada 1804 beliau ditabalkan sebagai Maharaja Perancis di Gereja Notre Dame Cathedral. Sehingga 1807, keluasan empayarnya bermula dari Sungai Elbe di bahagian utara Perancis menganjur sehingga ke Itali di bahagian selatannya atau dari Pyrenees sehinggalah perairan Dalmatian.

Kejatuhan

Tetapi selepas 1812, Napoleon mula mengalami kejatuhan apabila beliau menerima kekalahan pertama ketika cuba menakluk Rusia. Beliau juga terpaksa melepaskan Spain (Sepanyol) kepada Duke Of Wellington daripada tentera British dalam Peninsular War. Beliau mengalami kekalahan yang teruk pada 1814. Napoleon terpaksa melarikan diri ke Pulau Elba dan kembali semula ke Perancis pada 1815 untuk mengumpulkan kembali kekuatan tentera yang dikenali Grand Army. Tetapi beliau terpaksa mengaku kelemahan apabila mengalami kekalahan teruk dalam Perang Waterloo di tangan tentera Wellington.

Sebagai hukuman, Napoleon dinafikan haknya untuk menetap di Perancis. Malah beliau dibuang negeri ke Pulau Saint Helena yang terletak di bahagian timur Afrika. Enam tahun kemudian, iaitu pada 1821 beliau meninggal dunia di pulau itu dipercayai akibat kanser perut. Sehinggalah pada 1840, barulah mayatnya di bawa pulang semula ke Paris. Tetapi dalam satu ujian didapati rambut Napoleon mengandungi kandungan racun arsenik yang tinggi.

Ini menjadi teori kepada punca kematian beliau yang sebenar. Beliau dipercayai diracun oleh Count of Montholon bagi pihak British yang tidak mahu melihat Napoleon kembali berkuasa. Namun persoalan besarnya benarkah pemimpin tentera yang digambarkan sebagai seorang yang kejam dan rakus ini benar-benar memeluk Islam? Jika benar, adakah kerana ada muslihat di sebalik itu bagi membolehkan apa yang beliau hajati tercapai?

Pengislaman Napoleon didedahkan oleh penulis David M. Pidcock dalam sebuah bukunya yang memetik kembali keratan sebuah akhbar rasmi Perancis, Le Moniteur, yang menyebut mengenai pengislaman Napoleon pada 2 Julai 1798. Ia berlaku hampir 23 tahun sebelum beliau meninggal dunia pada 1821. Apabila tokoh ini memeluk Islam, beliau dikenali sebagai ‘Aly (Ali) Napoleon Bonaparte’.

Peristiwa ini dipercayai berlaku ketika Napoleon berada di Mesir. Napoleon tertarik kepada Islam ketika dijemput menghadiri suatu majlis memperingati ulang tahun kelahiran baginda Rasulullah s.a.w yang dihadiri oleh begitu ramai umat Islam.

Majlis itu menyedarkan Napoleon kepada kata-kata Voltaire yang mempercayai bahawa manusia memerlukan agama dalam hidup mereka. Manusia tidak boleh hidup tanpa agama atau tanpa mempercayai tuhan.

Pengalaman di Mesir itu dikatakan memberikan satu perjalanan rohani kepada Napoleon.

Tetapi apakah yang membuatkan tokoh perang ini dapat menerima Islam?

Napoleon berkata, Rasulullah s.a.w. berjaya memandu kehidupan kaum Arab yang jahil kepada jalan yang benar. Mengajar kepada mereka mengenai keesaan Allah. Allah yang satu. Tuhan yang tidak mempunyai bapa, tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai pendamping.

“Sedangkan menyembah pelbagai jenis tuhan merupakan satu budaya yang sangat kabur tetapi tidak lebih satu aspek pemujaan kepada berhala yang merupakan hanyalah patung-patung yang kosong,” katanya.

Napoleon juga sangat mengagumi kitab suci al-Quran setelah beliau membandingkan isi kandungannya dengan Alkitab (Injil).
“Saya menemukan kebenaran-kebenaran yang unggul di dalam al-Quran yang selama dikelirukan oleh kitab-kitab terdahulu yang manusia itu campur tangan di dalamnya melalui kata-kata mereka sendiri, bukannya kata-kata Tuhan,” katanya. Malah yang lebih menarik adalah ucapan Napoleon ketika beliau mula-mula sampai di Palestin pada tahun 1799 sebelum bertempur dengan tentera Othmaniah.

Sambil mengenakan serban di kepalanya, Napoleon mengaku mengenai pengislamannya dan berkata: “Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Saya Bonaparte, Amir dari tentera Perancis. Kepada semua pemimpin tempatan, para mufti dan penduduk Gaza, Ramla dan Jaffa, semoga Allah melindungi kita semua,” katanya.

Pengislaman Napoleon mungkin dapat diketahui lebih lanjut melalui sebuah lagi buku, iaitu Napoleon and Islam atau Bonapart et Islam oleh C. Cherfils. ISBN: 967-61-0898- 7

Dalam buku itu, Napoleon dipetik sebagai berkata: “Dalam masa terdekat ini, jika berpeluang, saya ingin menyatukan semua umat manusia melalui budaya yang baik (Islam) dan kerajaan yang memimpin rakyatnya melalui prinsip yang tertulis dalam al-Quran al Karim.”

Undang-undang

Menyebut mengenai undang-undang, Napoleon sendiri mengakui akan keagungan undang-undang Islam iaitu syariah. Lalu beliau mengguna pakai undang-undang itu semasa memerintah Perancis dan dipercayai hingga sekarang pengaruh dan elemen undang-undang syariah masih diguna pakai di negara itu.

Contoh yang paling ketara adalah apabila berlaku tragedi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Puteri Diana dan teman lelakinya, Dodi Al Fayed pada 1997. Mengikut undang-undang lama Perancis, jurugambar yang sempat mengambil detik-detik berlakunya kemalangan dan kematian Puteri Diana itu dijatuhkan hukuman. Mereka disabit kesalahan kerana tidak membantu mangsa dan lebih mengutamakan untuk mengambil gambar.

Bentuk undang-undang dan hukuman ini jelas diambil daripada perundangan syariah Imam Malik.

Bagaimanapun, pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Manusia, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Zuraini Nordin berkata, terdapat pelbagai pendapat mengenai status agama dan pengislaman Napoleon.

Beliau berkata, pada asalnya panglima dan maharaja Perancis itu seorang yang berpegang kepada ajaran Deism iaitu tidak percaya kepada ajaran-ajaran Kristian seperti Original Sins (Dosa Warisan), mukjizat dan sebagainya.

“Dia mengkritik ajaran Kristian itu sebagai hanya mementingkan aspek spiritual individu berbanding dengan Islam yang dia sendiri iktiraf sebagai agama yang rasional dan mementingkan ilmu - sains,” katanya.

Maka tidak hairan jika Napoleon sangat-sangat menghargai agama Islam, menghormati orang Islam dan mengagumi keperibadian Nabi Muhammad itu sendiri.

“Ini kerana beliau percaya Rasulullah bukan sahaja seorang pemimpin agung tetapi juga seorang ‘penjajah’ yang ulung,

“Jadi ia sangat sesuai dengan jiwanya sebagai seorang maharaja dan penjajah Perancis yang sangat bercita-cita tinggi,” katanya.

Kata Zuraini, Napoleon ialah seorang yang banyak membaca mengenai Islam, al-Quran dan hadis Nabi dan beliau memupuk hubungan baik dengan para mufti dan ulama-ulama Al-Azhar semasa ekspedisinya di Mesir. “Napoleon mengiktiraf Islam sebagai satu sistem kepercayaan yang unggul dan beliau banyak mengadaptasikan undang-undang syariah ke dalam kod sivilnya yang dikenali sebagai Code Napoleon." “Dengan kod atau undang-undang itu Napoleon rasakan beliau dapat memberi manfaat kepada empayarnya dan rakyat Perancis." “Sebagai seorang raja, tidak dinafikan Napoleon seorang yang agak berjiwa rakyat dan semasa pemerintahannya banyak reformasi dilakukan untuk kepentingan rakyatnya,” katanya.

Namun, menurut Zuraini, ada juga pihak yang menaruh rasa sangsi dan mempertikaikan mengenai pengislaman Napoleon itu. “Walaupun ada direkodkan mengenai pengislaman Napoleon, dipercayai tokoh ini hanya menaruh minat terhadap Islam." “Malah beliau mempergunakannya demi kepentingan diri dan meluaskan empayar,” katanya.

Dakwaan ini tidak menghairankan kerana pengislaman seseorang di Eropah sering kali tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang ada kepentingan masing-masing. Pertikaian ini sebenarnya membuka lembaran kepada kajian yang lebih mendalam bagi menentukan status agama anutan Napoleon.

Kepada Barat, mungkin terlalu sukar untuk mereka menerima hakikat ada tokoh sehebat Napoleon yang menerima kebenaran Islam. Sedikit sebanyak ia memberikan tamparan kepada pelbagai sikap negatif mereka terhadap Islam selama ini.

Copy and paste: 12 Ogos 2022 > 14 Muharam 1444H: 7.18 pm