Wednesday, 13 January 2021

BAGAIMANA TERBENTUK SEMBILAN RAJA RAJA DI TANAH MELAYU

SUMBER: FB KINGDOM OF TANAH MELAYU
Oleh : Daeng Iskandar

Sejak pengasasan Kerajaan Kedah pada 630, dan diikuti kerajaan Melaka pada tahun 1262, Institusi Raja Melayu sudah berusia 1389 tahun bagi Kedah, dan Melaka berusia 757 tahun.
Sepanjang tempoh ini, institusi Raja Melayu mengalami berbagai pengalaman dan cabaran dari dalam dan luar. Namun yang jelas dan nyata, institusi ini masih kekal hingga hari ini, dan dirujuk sebagai Raja Berpelembagaan.

Sembilan Raja Melayu

Kesultanan atau Raja-raja Melayu adalah satu institusi yang telah ribuan tahun bertapak di Tanah Melayu. Walaupun kerajaan Kedah telah lama wujud, lebih awal daripada kerajaan Melaka, namun pengaruh mendalam dalam kesultanan di Tanah Melayu adalah daripada Kesultanan Melaka. Sebelum kedatangan dan penglibatan kuasa barat dalam negeri-negeri Melayu, Raja atau Sultan atauYang Dipertuan Negeri menjadi tonggak pemerintahan dalam masing-masing negeri di Tanah Melayu. Pada pandangan masyarakat Melayu yang selalu dirujuk sebagai rakyat, Raja atau Yang Dipertuan atau Sultan adalah pemerintah negeri mereka, dan mempunyai kedaulatan. Apabila daulat disentuh, peneliti akan terus mengaitkannya dengan perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba.
Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, sebutah naskah klasik Melayu mencatatkan perjanjian tersebut seperti berikut:
...segala anak cucu patik [Demang Lebar Daun] sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan [Sang Sapurba]; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista degan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh; itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.
Segala permohonan Demang Lebar Daun itu diperkenan Sang Sapurba. Dalam pada itu Sang Sapurba juga menyatakan permohonan, dan dicatatkan Sulalatus Salatin seperti berikut:
Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba[Demang Lebar Daun] jangan durhaka pada anak cucu kita [Sang Sapurba], jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalian.Kedua-duanya berteguh janji, dan Demang Lebar Daun menyambung lagi, “…jikalau anak buah Tuanku [Sang Sapurba] dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkan". Selain itu kedua-dua bersumpah tidak akan memungkiri janji tersebut.
Seterusnya Sulalatus Salatin menambah lagi, jika sekiranya mereka mungkir, bumbung rumah mereka akan dibalikkan ke atas dan tiangnya ke bawah. Dalam hal ini Sulalatus Salalatin mencatatkan:
...dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja raja Melayu, tidak pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memaling muka pada rajanya jikalau jahat pekerti sekalipun serta anianya.
Sejak pengasasan kerajaan Melaka pada tahun 1262, kerajaan Melaka oleh Raja Iskandar Shah (juga dirujuk sebagai Parameswara), kerajaan Melaka berkembang. Pengganti baginda, memeluk agama Islam bergelar Sultan Muhammad. Agama Islam muncul sebagai agama kerajaan Melaka ketika pemerintahan Sultan Muhammad. Seterusnya berkembangan ketika pemerintahan putera baginda, Sultan Muzaffar Shah; dan berikutnya ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah, dan awal pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

Keagungan kerajaan Melayu berpusat di Melaka berakhir, apabila pusat kerajaan Melaka ditawan dan diduduki Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque pada tahun 1511. Pusat kerajaan Melaka berpindah ke Kota Kara dan Kota Kopah, Pulau Bintan. Apabila Kota Kara dan Kota Kopak dikalahkan, Sultan Mahmud berpindah di Kampar. Baginda meneruskan kerajaan Melaka dari sini sehingga mangkat pada 1528. Sultan Mahmud dimakamkan di Kampar, dan dikenali sebagai Marhum Kampar.

Kemangkatan Sultan Mahmud berakhirlah kerajaan Melaka. Putera baginda dengan Tun Fatimah binti Bendahara Tun Mutahir, bernama Raja Ali mengasaskan kerajaan Johor pada tahun 1528. Raja Ali, bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah meneruskan keturunan Melaka di Johor.
Sementara itu kekanda Sultan Alauddin Riayat Shah, bernama Raja Muzaffar, putera Sultan Mahmud dengan Onang Kening, puteri Sultan Mansur Kelantan dibawa ke Perak oleh Tun Shaban pada tahun 1528, ditabalkan di Tanah Abang sebagai Sultan Perak, bergelar Sultan Muzaffaar Shah.

Ketika ini Sultan Pahang, keturunan Sultan Muhammad ibni Sultan Mansur Melaka meneruskan pemerintahan di atas takhta kerajaan Pahang. Begitu juga Kedah, raja yang bertakhta adalah keturunan Maharaja Derbar Raja yang berasal dari Parsi.
Portugis yang menduduki Melaka seringkali mengancam kerajaan Johor. Walaupun kerajaan Johor diserang, dan kadangkala pusat kerajaan dimusnah Portugis, tetapi instiusi raja terus kekal. Dalam pada itu kerajaan Johor juga mendapat cabaran daripada kerajaan Aceh yangmuncul di Utara Sumatera, khususnya ketika pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam ( baginda mangkat 1636). Ancaman Portugis terhadap kerajaan Johor berakhir apabila Johor menandatangani perjanjian dengan Belanda pada tahun 1603. Belanda menjadi pengimbang kuasa di antara Johor dengan Portugis. Namun begitu Aceh melancarkan serangan terhadap Johor pada tahun 1613, 1615 dan 1623. Dalam serangan 1613, Aceh menawan Sultan Alauddin Johor, Bendahara Tun Seri Lanang, Raja Seberang dan ramai rakyat Johor dibawa ke Aceh. Sultan Alauddin Riayat Shah, Tun Seri Lanang dan Raja Seberang dibenarkan pulang.

Namun begitu apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II berkerjasama dengan Portugis melantik putera baginda, Raja Bujang sebagai Sultan Pahang, menggantikan Sultan Abdul Ghafur Pahang pada 1615, Aceh sekali lagi menyerang Johor.
Sultan Alauddin Riayat Shah II, Tun Seri Lanang dan Raja Seberang sekali lagi ditawan dan dibawa ke Aceh. Dikisahkan Sultan Alauddin Riayat Shah II dibunuh di Aceh; Tun Seri Lanang tinggal di Aceh. Manakala Raja Seberang dibenarkan pulang memerintah Johor, bergelar Sultan Abdullah Mughayat Shah (1615-1623). Aceh juga melancarkan serangan terhadap Kedah dan Perak.

Pada 1618, Aceh yang tidak berpuas hati dengan Sultan Pahang yang dilantik dengan kerjasama Portugis melancarkan serangan terhadap Pahang. Raja Bujang berundur ke Pulau Lingga (Pulau Daik). Aceh menawan Raja Ahmad dan puteranya, Raja Mughal serta Puteri Kamaliah. Raja Mughal dikahwinkan dengan Tajul Alam, puteri Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Manakala Puteri Kamaliah berkahwin dengan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

Ketika Raja Bujang bersemayam di Pulau Lingga, Sultan Abdullah Mughayat Shah berundur ke Pulau Lingga. Sultan Abdullah Mughayat bertindak demikian kerana bimbang akan diserang Aceh kerana baginda menceraikan isteri, keluarga Sultan Iskandar Muda MahkotaAlam. Kebimbangan menjadi kenyataan, pada tahun 1623, Aceh menyerang Sultan Abdullah Mughayat Shah dan Raja Bujang di Pulau Lingga. Sultan Abdullah Mughayat Shah berundur ke Pulau Tembelan, dan mangkat di sini. Baginda dikenali sebagai Marhum Pulau Tembelan.

Dengan itu Raja Bujang, Sultan Pahang direstui Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sebagai Sultan Johor menggantikan Sultan Abdullah Mughayat Shah. Baginda memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Shah (1623-1677). Putera Sultan Abdullah Mughayat Shah bernama Raja Bajau dilantik sebagai Raja Muda. Perlantikan Raja Bujang sebagai Sultan Johor ini bermakna di Pahang tidak ada sultan lagi. Sultan Abdul Shah III ini adalah Sultan Johor dan juga Sultan bagi Pahang. Juga kini bermakna keturunan kesultanan Melaka yang menduduki takhta kerajaan, Perak dan Johor.

Pada tahun 1673, kerajaan Johor mendapat cabaran daripada Jambi. Jambi menyerang dan mengalahkan Johor. Sultan Abdul Shah III berundur dan bersemayam di Pahang. Pada ketika ini Raja Muda Bajau bersemayam di Pahang. Sebelum berundur ke Pahang, Sultan Abdul Jalil Shah menitahkan Laksamana Tun Abdul Jamil menebus kekalahan dengan Jambi itu.
Laksamana Tun Abdul Jamil membina penempatan di Sungai Charang, Riau.Ketika beliau mengumpul kekuatan Johor, Raja Bajau mangkat. Kemudiannya pada tahun 1677 Sultan Abdul Jalil Shah III pula mangkat. Dengan itu takhta kerajaan Johor digantikan oleh Raja Ibrahim, putera Raja Bajau, bergelar Sultan Ibrahim Shah (1677-1685).
Pada tahun 1679, ketika pemerintahan Sultan Ibrahim, Laksamana Tun Abdul Jamil melancarkan serangan dan berjaya mengalahkan Jambi. Kejayaan cemerlang dicapai angkatan Johor di bawah pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil telah memulihkan kembali maruah dan kedaultanan Johor. Berikutan kejayaan ini, Sultan Ibrahim menganugerahkan gelaran Paduka Raja kepada Laksamana Tun Abdul Jamil. Padahal dalam kesultanan Melayu gelaran Paduka Raja ini hanya dipakai oleh bendahara. Pada tahun 1685, Sultan Ibrahim mangkat, dan takhta kerajaan Johor digantikan putera baginda, Sultan Mahmud (1685-1699). Sultan Mahmud dibunuh oleh Megat Seri Rama (dikenali juga sebagai Laksamana Bintan). Dengan alasan baginda tidak mempunyak zuriat, Bendahara Tun Abdul Jalil ditabalkan sebagai Sultan Johor, bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (1699-1718), memulai dinasti bendahara di Johor.

Apa lebih penting dalam peristiwa pembunuhan ini ialah berakhirnya Sultan keturunan Melaka memerintah Johor. Dengan lain perkataan keturunan Melaka yang masih bertakhta hanyalah di Perak.
Kira-kira 19 tahun kemudian, pada tahun 1719, Raja Kechil, putera Sultan Mahmud Johor dengan Che Pong yang disokong Orang Laut dan jumlah tertentu penduduk Johor melancarkan serangan dan menawan Johor.Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV diturunkan kembali ke jawatan lama sebagai Bendahara Johor. Raja Kechil menduduki takhta kerajaan Johor, bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, meneruskan kembali sultan keturunan Melaka di Johor.

Namun begitu pada tahun 1722, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah diturunkan takhta oleh Raja Sulaiman, putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Raja Sulaiman yang ,mendapat bantuan Opu Bugis Lima Bersaudara, Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambung dan Daeng Kemasi berjaya mengalahkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dalam beberapa siri pertempuran di Riau dan Siak. Raja Sulaiman dilantik oleh Opu Bugis Lima Bersaudara sebagai Sultan Johor, bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, meneruskan kembali dinasti bendahara. Manakala Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah berpindah ke Siak, dan mendirikan kerajaan Siak di Buantan pada tahun 1722.

Kacau bilau sejak 1699, diikuti serangan dan penaklukan Raja Kechil, serta penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara menyebabkan kemerosotan kerajaan Johor. Kemerosotan kerajaan Johor ini menyebabkan beberapa buah negeri yang pada suatu ketika di bawah naungan dan kekuasan Johor membebaskan diri dan membentuk kerajaan Melayu baru.
Pada tahun 1708, Tun Zainal Abidin, saudara Sultan Abdul Riayat Shah IV, putera Bendahara Tun Habib Abdul Majid mengasaskan kerajaan Terengganu. Tun Zainal Abidin bergelar Sultan Zainal Abidin.

Begitu pada tahun 1766, Raja Lumu didaulatkan sebagai Sultan Selangor oleh Sultan Mahmud Perak. Nobat dan cap mohor diberikan kepadanya. Setelah Raja Lumu menjadi Sultan Selangor pada tahun 1766, Selangor bebas daripada kekuasaan Johor.
Begitu juga Kelantan, Long Yunus diangkat sebagai Raja Kelantan oleh Sultan Mansur I Terenggganu pada tahun 1776. Baginda meneruskan kerajaan Kelantan sebelum ini.
Pada tahun 1773 pula, Raja Malewar dilantik sebagai Yamtuan Negeri Sembilan, dan bersemayam di Seri Menanti.
Kewujudan kerajaan Melayu baru ini membawa kepada lahirnya tujuh buah kesultanan Melayu – Kesultan Johor, Perak, Kedah, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Sementara Pahang ditadbir oleh Bendahara Johor, tinggal di Pahang, Kedah diserang Siam pada tahun 1821. Kerajaan Siam menguasai Kedah, ditadbir oleh seorang gabenor sehinggalah Kedah dibebaskan pada tahun 1842. Sepanjang tempoh kira-kira 21 tahun, 1821 hingga 1842, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah tinggal dalam buangan di Melaka. Dengan bantuan British, Sultan Ahmad Tajuddin dibenarkan pulang, dan menduduki semula takhta kerajaan Kedah. Perlis pada asalnya sebahagian daripada negeri Kedah, muncul sebagai kerajaan Perlis pada tahun 1842 apabila Syed Husin Jamalullail diangkat sebagai Raja Perlis.
Raja Perlis Syed Husin ialah putera Syed Harun dengan Tunku Safiah (atau Tunku Tunjang) binti Tunku Dhiauddin, Raja Muda Kedah, pemerintah Perlis. Syed Harun keturunan Arab, peranakan Palembang. Beliau datang ke Alor Setar, kemudiannya menetap di Arau sebagai Penghulu.Namun begitu Perlis, salah sebuah jajahan Kedah dipisahkan, dan diletakkan di bawah seorang raja. Raja Perlis yang pertama ialah Syed Husin Jamalulail. Kemunculan kerajaan Perlis pada tahun 1842 ini bermakna kini terdapat lapan orang Raja di negeri Melayu.
Bendahara Pahang, Wan atau Tun Ali meninggal dunia pada tahun 1857. Anak lelaki tua beliau, Wan Mutahir dilantik sebagai Bendahara Pahang. Tidak lama selepas perlantikan tersebut berlaku perselisihan dengan adiknya Wan Ahmad. Perselisihan ini membawa kepada perang antara kedua pihak, berlanjutan hingga 1863. Pada tahun1863, Wan Ahmad yang berjaya mengalahkan abangnya, Bendahara Wan Mutahir dilantik sebagai Bendahara Pahang,bergelar Bendahara Seri Wak Raja. Kemudiannya pada tahun 1882 Bendahara Wan Ahmad menggunakan gelaran Sultan. Pada 12 Disember 1884, Bendahara Wan Ahmad ditabalkan sebagai Sultan Pahang dengan gelaran Sultan Ahmad al-Muazzam Syah.
Seterusnya diiktirafkan oleh kerajaan British pada tahun 1887. Dengan pertabalan Sultan Ahmad Muazzam Shah Pahang ini, genap sembilan orang Raja yang memerintah sembilan buah negeri Melayu – Sultan Kedah, Sultan Perak, Sultan Selangor, Sultan Johor, Sultan Terengganu, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Raja Perlis dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sumber Abdullah Zakaria
Felo persatuan sejarah Malaysia
Repos Daeng Iskander

Copy and paste:
13/1/2021: 1 Jamadilakhir 1442H: 9.15 pm

No comments: