Saturday, 17 October 2020

PANDUAN MEMILIH SAHABAT

Hidup manusia di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak kira dimasa senang atau susah, lebih-lebih lagi pada saat kita amat memerlukan seorang insan bernama SAHABAT. 

Agama Islam telah menggariskan panduan untuk memilih didalam menjalinkan persahabatan. 

Imam al-Ghazali di dalam kitab Hidayatul Salikin :

"Jika seseorang itu ingin memilih seseorang yang lain untuk dijadikan sahabatnya maka pilihlah dengan 5 syarat iaitu : -

  1. Orang yang berakal- apabila kita berkawan dengan orang yang jahil ianya akan sentiasa menimbulkan persengketaan, perselisihan dan kurang senang di antara kedua-dua pihak. 
  2. Cantik peribadi dan akhlaknya - Kita hendaklah menghindarkan diri dari bersahabat dengan orang yang tidak elok peribadi dan akhlaknya kerana ianya akan mempengaruhi kita ke arah perilaku yang tidak baik. 
  3. Orang yang soleh  - Janganlah sesekali kita berkawan dengan orang yang fasik (fajir) kerana mereka sentiasa melazimi dan mengekalkan dosa yang besar dan kecil. 
  4. Jangan berkawan dengan orang yang terlalu cinta kepada dunia - iaitu melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah sehingga meletakkan cinta kepada dunia lebih tinggi daripada cinta Allah. 
  5. Orang yang benar percakapannya - Jauhilah diri kita daripada berkawan dengan orang yang gemar berdusta. Ini kerana orang yang sentiasa berdusta tu tidak lain hanyalah menipu dirinya sendiri sedangkan dia tidak menyedarinya. 
Al-Qamah pernah berpesan kepada anaknya:
"Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendak engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:-

Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan. 

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuan mu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau dia melihat kebaikan yang ada dalam dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberi jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika dia mengetahui mengenai keburukan dirimu dia suka menutupinya. 

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti dia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dahulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu. 

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, dia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saha. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu. 

Justeru dalam memilih sahabat, hendaklah bersikap memilih yang baik. Tidak salam untuk memilih asal jangan terlalu cerewet sehingga menyusahkan diri kita sendiri.

Rasulullah s.a.w bersabda, 
"Dikurniakan sahabat yang soleh dan sahabat yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan kamu, sama ada kamu membeli minyak wangi tersebut atau hanya mencium bau harumannya sahaja. Manakala tukang besi pula boleh menyebabkan rumah kamu atau baju kamu terbakar, atau kamu mendapat bau busuk darinya. "
(Hadis riwayat al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari)

17/10/2020 @ 29 Safar 1442H : 8.05 am

No comments: