Saturday, 17 October 2020

REALITINYA - SEORANG AYAH

Ayah mungkin tidak banyak bercakap, tetapi setiap patah yang dituturkan untuk kita adalah demi masa depan kita. 

Ayah mungkin banyak habiskan masa dengan meninggalkan kita dan keluar bekerja, tetapi dia bekerja seluruh masa hidupnya untuk menyempurnakan hidup kita. 

Ayah selalu korbankan citarasanya dengan belikan makanan mengikut kesukaan anak-anak, dan biasanya akan menghabiskan lebihan yang anak-anak tinggalkan. 

Ayah kurang masa berada disebelah kita dan memanjakan kita ketika sakit, tetapi sebenarnya tidak lena tidor semalaman, bimbang kalau berlaku kecemasan. 

Ayah sangat sedih ketika menghantar kita pertama kali ke asrama, kerana menyedari betapa telah bermula anak-anak tidk lagi memerlukannya setiap masa. 

Ayah biasanya akan berkata, "cuba tanya mak!" ketika dia tidak sampai hati untuk berkata "tidak!"

Ayah juga barangkali kadang-kadang garang, tetapi itulah cara fitrah seorang ayah menzahirkan kasih sayangnya .... dengan caranya. 

Ayah benar-benar gembira bila berjaya membantu anak-anak gembira, tetapi dia sangat sukar untuk meminta bantuan anak-anak. 

Ayah mungkin tidak tahu jawaban segala sesuatu, tetapi dia membantu mencarinya, demi untuk anak-anak. 

Ayah berasa sangat bermaruah dan terasa dihargai ketika dia melihat anak-anak melakukan sesuatu mengikut nasihat atau jejak langkah seperti caranya. 

Ayah akan lebih berbangga dengan kejayaan anak-anak, daripada kejayaannya sendiri.... malah ayah tidak pernah rasa malu dengan kegagalan silamnya, dengan syarat anak-anaknya berjaya. 

Ayah hanya akan bersalam dan barangkali membiarkan kita mencium tangannya ketika pertama kali kita meninggalkan rumah, kerana kalau sampai ia memeluk kita, mungkin dia tidak akan melepaskannya. 

Ayah akan melupakan apa yang dia inginkan, semata-mata jika ada untuk memenuhi apa yang kita inginkan. 

Ayah tidak cuba menjadi yang terbaik, tetapi dia hanya cuba melakukan yang terbaik untuk kita. 

Ayah juga bukanlah seorang yang kaya, tetapi dia tidak pernah berasa miskin kerana hidupnya sentiasa terisi dengan anak-anak. 

Ayah, barangkali tidak perlukan ubat ketika sakit, tetapi anak-anak yang mengelilinginya sangat bermakna untuk dirinya menjadi kuat melawan penyakitnya. 

Ayah tidak pernah menghalang kita untuk mencintai Allah, bahkan dia akan berusaha agar kita menjadi soleh dan mencintai Allah lebih daripada mencintai dirinya, kerana dia pun mencintai kita keranaNya. 

Sumber: Majalah I Bil.128/ Jun 2013

Hj Zulheimy Maamor

17 Oktober 2020 / 29 Safar 1442H : 7.38 am



 

No comments: