Friday, 14 June 2019

KISAH CHONG CHOR, PENGGANAS KOMUNIS DARI TRONOH

Chong Chor adalah seorang komander Unit Penggempur Keenam Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah melibatkan diri dalam aktiviti pengganas komunis lebih 50 tahun. Sebenarnya, beliau dilahirkan di Canton yang mana hari ini dikenali dengan nama Guangzhou di China. Kemudian, Cong Chor dibawa oleh ibunya berhijrah ke Tanah Melayu yang bertempat di Tronoh, Perak pada tahun 1929.
Chong Chor mula bergiat aktif dalam komunisme seawal usia 13 tahun lagi. Penghujung penglibatannya, beliau ditangkap oleh polis Cawangan Khas (SB) di hadapan kedai tekstil yang cukup terkenal iaitu Globe Silk Store di Jalan Tunku Abdul Rahman bersama pengawal peribadinya, Yeong Nam pada 2 Mac 1988 yang mana pada ketika itu beliau berusia 66 tahun. 

Selepas ditangkap pada 1988, Chong Chor terus hidup selama 11 tahun dan meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 9 Mei 1997 kerana sakit jantung. Jika anda masih ingat pada hari kematiannya itu begitu ironi dengan hakikat dia memimpin pasukan pengganas yang membunuh sesama sendiri yang dianggap pengkhianat dan rakyat yang tidak berdosa, semata-mata mahu menegakkan fahaman komunisme di Tanah Melayu.

Menurut fail sulit pengakuan Chong Chor yang tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum tahun 2013, beliau ada mendedahkan kekejaman parti terhadap pengganas komunis menerusi program Kempen Penghapusan iaitu mengesan dan menghapuskan anggota yang disyaki ejen kerajaan atau pengkhianat.
Program Kempen Penghapusan itu mendedahkan tebalnya sikap curiga, syak wasangka dan paranoid sesama sendiri yang menghantui kepimpinan pengganas komunis sepanjang gerakan bersenjata dalam hutan belantara di Tanah Melayu, khususnya di selatan Thailand yang menjadi markas mereka.

Chong Chor pernah memberitahu polis Cawangan Khas (SB) semasa dalam tangkapannya bahawa beliau tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan kempen tersebut. Tetapi pada masa yang sama, beliau juga mengaku pernah menjatuhkan hukuman mati terhadap tujuh anggotanya sendiri atas tuduhan menjadi ejen kerajaan. Pergolakan dalaman Parti Komunis Malaya (PKM) itu sebenarnya telah menyebabkan perpecahan yang serius di mana parti itu berpecah kepada tiga penjuru iaitu satu sebagai pusat pemerintah, yang kedua Rejimen kelapan dan ketiga dan yang terakhir adalah Rejimen ke 12 yang mana maklumat ini tidak diketahui ramai. Laporan pengakuan Chong Chor ini juga memaparkan kemusnahan harta benda akibat perbuatan khianat pengganas komunis. 
Chong Chor, sebagai pemimpin veteran PKM dengan pangkat anggota rizab Jawatankuasa Pusat, pengetahuannya mengenai komunisme dianggap sangat teguh. Atas kegigihan, keyakinan dan dedikasinya memperjuangkan komunisme, dia dihormati kesemua anggota Unit Penggempur Keenam dan juga anggota-anggota komunis lain dalam parti. Menurut pengakuan Chong Chor, Unit Penggempur Keenam Parti Komunis Malaya (PKM) telah kehilangan seramai 168 anggota sejak penubuhannya pada 1 Oktober 1973 iaitu 83 orang ditembak mati pihak keselamatan, 27 lagi mati atas sebab-sebab lain, 38 ditangkap dan 20 lari meninggalkan unit itu.

Generasi muda rakyat Malaysia hari ini perlu lebih faham dan jelas tentang pengganas komunis dan perjuangannya serta tindakannya untuk menjahanamkan negara kita. Ingatlah betapa sengsara hidup datuk nenek moyang kita dahulu di Tanah Melayu. Kekejaman komunis ini sebenarnya melangkaui isu kaum dan anda harus ingat, komunis membunuh bukan sahaja kaum Melayu tetapi juga kaum Cina yang tidak menyokong mereka.
#Kredit Xpost Radikal
Copy and paste : FB Pecinta Dunia Ketenteraan Dan Pertahanan
14 Jun 2019 : 11.11 pm

No comments: