Friday, 1 February 2019

Melayu sudah lama ada senjata api?


SENJATA yang dikenali sebagai keris memang cukup terkenal dan sinonim dengan bangsa Melayu bahkan kita selama ini hanya disajikan dengan gambaran serta filem-filem yang menggambarkan bahawasanya orang Melayu dahulu hanya menggunakan keris sebagai alat mempertahankan diri.Senjata-senjata yang di keluarkan oleh Kerajaan-Kerajaan Melayu lama mempunyai kualiti yang berbeza-beza. Selalunya yang terbaik dan yang paling kuat akan dibuat oleh Sultan-Sultan dan Raja-Raja yang paling kaya. Meriam-meriam Melayu yang terbaik tidak mempunyai sebarang masalah menghancurkan kapal-kapal Eropah.
Melalui filem-filem serta drama Melayu lama dan juga kini, rata-rata menampilkan watakwatak panglima Melayu hanya menggunakan keris dan senjatasenjata lain seperti tombak, badik dan lembing, kalaupun paling canggih yang ditonjolkan hanyalah panah dengan busurnya yang berapi.

Pendekar-pendekar Melayu purba digambarkan hanya memakai serta menggunakan keris. Pengawal-pengawal diraja juga hanya menggunakan tombak ketika mengawal istana. Ada juga gambaran ketika era pemerintahan British di Tanah Melayu, orang Melayu masih lagi mempertahankan diri dengan hanya menggunakan senjata-senjata tersebut.
Namun hakikatnya yang dilalui oleh orang Melayu dahulu kala cukup berbeza, daripada catatan serta kajian yang terdahulu bahawa sebenarnya orang Melayu sudah menggunakan senjata api.
Percaya atau tidak, itulah kesahihan yang perlu diketahui oleh golongan moden hari ini betapa hebatnya orang Melayu sejak dahulu lagi.
Seperti yang digambarkan, orang Melayu sudah menggunakan senjata api sekitar tahun 1700-an. Kegunaan senjata api ini hanya terhad digunakan di istana-istana dan di rumah pembesar-pembesar sahaja.
Mengikut kajian para sarjana lagi, penggunaan meriam adalah salah satu daripada ciri-ciri tempur orang Melayu pada zaman dahulu, lebih awal daripada kedatangan bangsa Eropah ke Asia Tenggara.
Setelah pelaut Portugis, Vasco da Gama membina Kota Calicut (Calcutta) di pesisir Malabar, India pada 1489, orang Portugis mula mengalih pandangan ke arah Asia Tenggara untuk meluaskan empayar mereka.
Sasaran utama pada waktu itu ialah sebuah kota perlabuhan yang begitu pesat sehinggakan Duerte Barbosa, seorang penulis dan pegawai Portugis pada masa itu mencatatkan bahawa siapa yang menguasai kota ini, Venice, Itali akan tunduk kepadanya. Kota yang dimaksudkan ialah Melaka.

Dirampas Portugis
Ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi sebenarnya orang Melayu sudah menggunakan senjata api. Hal ini diperkukuhkan dengan kenyataan sejarah yang mungkin masih ramai yang tidak mengetahuinya bahawa ketika serangan Portugis pada 1511, mereka sudah berperang dengan tentera Melaka yang ketika itu sudah menggunakan senjata api sendiri.

Mengikut catatan Alfonso de Albuquerque yang menyerang Melaka pada 1511, orang Melayu Melaka telah menggunakan meriam-meriam untuk mempertahankan Pelabuhan Melaka dan dikatakan bahawa terdapat lebih kurang 3,000 senjata api berjaya dirampas oleh Portugis selepas orang Melayu berundur. Ada pula yang mengatakan angka yang tepat ialah 8,000.

Namun bukan isu angka yang menjadi keutamaan tetapi fakta yang mengatakan orang Melayu telah pun menggunakan senjata api seawal kurun ke-15 lagi di Melaka.
Selain beribu-ribu meriam dan senapang yang dijumpai di Melaka selepas ditawan oleh Portugis, Albuquerque juga menjumpai satu meriam yang mempunyai saiz yang jauh lebih besar daripada meriam-meriam Portugis pada masa itu yang mana meriam ini telah dihantar oleh Albuquerque ke Kota Calicut sebagai hadiah kepada seteru Portugis di India.
Fakta ini telah direkodkan oleh De Burros seperti mana yang dipetik oleh John Crawfurd di dalam kamusnya A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries.
Setelah menawan Melaka, Alfonso de Albuquerque telah meneliti gudang-gudang senjata yang ditinggalkan di Melaka dan mengatakan bahawa senapangsenapang di Melaka mempunyai kualiti yang sama hebat dengan senapang-senapang buatan Jerman pada masa itu, malah tidak mampu ditandingi oleh Portugis. Namun senapang yang paling berkualiti pada masa itu adalah hasil buatan Kerajaan Turki Uthmaniah.
Albuquerque di dalam penulisannya, Comentários do Grande Afonso de Albuquerque yang diterbitkan pada 1557 menyatakan bahawa, senjata api yang dirampas sebanyak 3,000 laras, 2,000 daripadanya mempunyai kualiti yang cukup tinggi dengan hasil buatan besi yang cukup mengkagumkan.
Bukan itu sahaja, jenis meriam yang digunakan orang Melayu tidaklah diketahui namun para sarjana Barat berpendapat bahawa tidak lama selepas teknologi senjata api diperkenalkan oleh bangsa Arab terutamanya kerajaan Turki kepada dunia, orang Melayu sudah mula membuat senjata api sendiri.
Bukti aktiviti pembuatan senjata api ini direkodkan oleh W. Linehan dalam kertas kerjanya yang berjudul Some Discoveries on the Tembeling. Sebenarnya di tebing-tebing Sungai Tembeling, Pahang, Linehan telah menjumpai acuan-acuan purba yang digunakan untuk membuat meriam yang dianggarkan seawal kurun ke 13 atau 14.
Difahamkan juga, Ulu Tembeling merupakan salah satu lokasi yang dipercayai dijadikan sebagai pusat pembuatan senjata dan peluru ketika eranya kerana kajian yang telah dilakukan oleh beberapa pengkaji menyatakan terdapat sebuah pusat pembuatan atau kilang senjata Melayu di sana.

Kekuatan meriam Melayu
Senjata-senjata yang di keluarkan oleh Kerajaan-Kerajaan Melayu lama mempunyai kualiti yang berbeza-beza. Selalunya yang terbaik dan yang paling kuat akan dibuat oleh Sultan-Sultan dan Raja-Raja yang paling kaya. Meriam-meriam Melayu yang terbaik tidak mempunyai sebarang masalah menghancurkan kapal-kapal Eropah.
Sebagai contoh, Syarikat Hindia Timur Belanda (Vereenigde Oost-Indische Compagnie/ Dutch East India Company) telah kehilangan sebuah kapal perang semasa mereka menyerang Makassar pada 1667 dan sebuah lagi ssemasa mereka menyerang kubu kuat orang-orang Bugis di Bentan pada kurun ke 18. Malah orang-orang Belanda sendiri membeli senapang-senapang buatan Makassar.
Antara meriam-meriam yang paling terkenal di kepulauan Melayu sudah pastinya Meriam-Meriam Pattani yang di buat dan dikeluarkan pada kurun ke 15, yang dikenali sebagai Seri Patani, Seri Negeri dan Mahalela. Meriam-meriam ini mempunyai saiz yang sangat besar dan memainkan peranan yang penting didalam menangkis serangan-serangan Siam sepanjang 200 tahun sehingga tahun 1786 dimana Patani akhirnya dapat dikalahkan oleh Siam.
Siam seterusnya merampas meriam -meriam ini dan dibawa ke Bangkok. Malangnya Seri Negeri telah terjatuh kedalam laut manakala Seri Patani masih lagi ada sehingga ke hari ini dimana ia dipamerkan di Kementerian Pertahanan Thailand. Meriam Mahalela yang bersaiz sedikit kecil dari Sri Patani dan Seri Negeri tidak dapat dikesan.
Kerajaan Melayu Singgora juga didapati telah mula menghasilkan meriam pada sekitar kurun ke 16. Meriam-meriam ini digunakan didalam perang menentang Siam pada sekitar abad yang sama. Apabila Siam berjaya menakluk Singgora pada 1987, meriam-meriam Singgora ini pula digunakan oleh Siam untuk menangkis serangan-serangan Annam dan Burma. Pada tahun 1766, Burma berjaya melanggar Ayuthiya, dan membawa meriam-meriam Singgora ini ke Burma dan digunakan untuk melawan British. Pada 1887, British akhirnya berjaya menewaskan Burma dan membawa meriam Singgora ini ke London.
Menurut pengkaji bedil tempatan yang juga tenaga pengajar Universiti Malaya (UM), Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, orang Melayu sememangnya telah memiliki senjata api sebelum kedatangan Portugis ke Melaka lagi. Kepakaran senjata api Melayu berkait rapat dengan teknologi dari kerajaan Turki terutamanya dengan pembuatan meriam.
Dikhabarkan Laksamana Hang Tuah juga telah diutuskan oleh Sultan Mansyur Shah ke Istanbul, Turki untuk membeli serta mempelajari ilmu senjata api. Kebanyakan senjata api serta meriam Melayu Melaka telah dirampas Portugis dan dibawa ke kapal perang mereka yang dikenali sebagai Flor de La Mar.
Namun, difahamkan kapal tersebut yang dipenuhi dengan pelbagai barangan berharga dan harta yang melimpah ruah termasuk berdozen-dozen emas, senjata api, tembikar, khazanah manuskrip yang dianggarkan bernilai berbillion-billion pound untuk Raja Portugis karam selepas kejayaan Portugis menakluki Melaka.

Copy and paste
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1/2/2019: 10.13 pm




No comments: