Sunday, 27 February 2022

Konsep Alam Melayu

SUMBER: HARAKAH DAILY

DUNIA Melayu atau Alam Melayu adalah sebuah rantau politik dan ekonomi yang sangat strategik sejak zaman pra-sejarah lagi. Kedudukan geografi Alam Melayu yang disebut juga sebagai Nusantara yang berada di tengah-tengah kawasan tamadun awal manusia telah menjadikan rantau ini sangat penting. 

Di sebelah Timur, berdirinya Tamadun Hwang Ho (kini China) yang mencipta pelbagai kemajuan, sedangkan di sebelah Barat muncul Mohenjadoro dan Harappa (India), Mesopotamia dan Babylon (Iraq), Nil (Mesir) dan Athens (Greek), sehingga menjadikan Alam Melayu penghubung utama kedua-dua belah tamadun.

Kedudukan Alam Melayu yang berada di laluan ekonomi yang utama iaitu Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan telah memboleh komunikasi perdagangan antarabangsa yang lebih cekap berlaku, berbanding Laluan Sutera yang merentasi Siberia yang sangat mencabar. 

Disebabkan kedudukan strategik ini, muncul bandar-bandar pelabuhan sepanjang pesisirnya, yang kemudian membentuk Kerajaan-kerajaan Kota, sebelum menjadi Empayar-empayar yang besar. Kemunculan Kerajaan Melayu Funan (68-628M), Sriwijaya (600-1100M), Majapahit (1293-1498M) dan Melaka (1400-1511M), adalah gambaran bagaimana Bangsa Melayu menjadi sebuah bangsa dan tamadun yang mempunya empayar besar yang menguasai laluan ekonomi Timur-Barat sehingga abad ke-16M.

Seorang Orientalis, Snouck Hurgronje mengemukakan teori The Greater India untuk menggambarkan keseluruhan pemikiran, kebudayaan dan Tamadun Melayu adalah sebahagian daripada proses ketamadunan India yang beragama Hindu-Buddha. 

Namun begitu, Bangsa Melayu yang merupakan Bangsa Maritim yang menguasai ekonomi dan politik laut, telah menjadi sebahagian dari kawasan Tamadun Islam mulai abad kesembilan Masehi. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa besar yang dicatatkan pencapaian tamadun mereka dalam catatan China, India, Arab dan Greek, selain turut dikunjungi oleh pengembara terkenal seperti Marco Polo (m. 1324M) dan Ibnu Batutah (m. 1377M). Alam Melayu telah bertukar menjadi kawasan Islam sejak berdirinya daulah Islam yang pertama di sebelah Nusantara di Perlak pada 840M (225H).

Konsep Melayu

Perkataan “Melayu” menjadi perbahasan para sarjana tentang asal-usulnya. Secara akademik, pertama kali perkataan Melayu dicatatkan oleh Sejarawan China pada 644M yang menyebutnya sebagai “Mo-lo-yue.” Ada sarjana yang mendakwa ia berasal dari kata “Himalaya” iaitu tempat bersalji, tetapi lebih ramai yang bersetuju ia berasal dari perkataan Jawa, “Mlayu” yang bermaksud berlari atau mengembara, merujuk kepada pergerakan manusia dari Yunan ke Nusantara ribuan tahun dahulu. 

Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan ia berasal dari dua perkataan “Mela” (mula) dan “Yu” (negeri) iaitu Mula Negeri. Andaian lain ialah perkataan “Melayur” yang bermaksud bukit atau tanah tinggi dan “Malaya” dalam Bahasa Tamil yang bermaksud hujan.

Istilah Melayu diertikan sebagai Bangsa Austranesia yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu dan seluruh Kepulauan Melayu. Ia merujuk kepada orang Melayu di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina hingga ke Madagaskar. Lebih umum boleh dikatakan merujuk kepada bangsa yang bertutur dengan Bahasa Melayu, berbudaya Melayu dan tinggal di Semenanjung dan Kepulauan Melayu. Dalam konteks Malaysia secara yang sempit, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mentakrif orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam. Dalam pengertian ras, Melayu adalah seluruh penduduk asal Nusantara.

Daerah Alam Melayu

Ketika membahaskan konsep Melayu Raya, Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan seluruh Gugusan Kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina adalah Daerah Melayu. Daerah-daerah ini terpisah hari ini kerana dipecahkan oleh penjajah Barat. 

Takrif ini selari dengan definisi Encyclopedia Britainica Vol. 14 yang menyebutkan “The Malay Archipelago, also known as Malaysian and East Indies contain in the largest group of island in the world consisting of more 3,000 islands of Indonesia dan 7,000 islands and unnamed rocks of Philippines group. The New Guinea island is arbitrary included in the Malay Archipelago.”

Kawasan rumpun Melayu adalah meliputi seluruh Negara Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan Malaysia. Sedang di Thailand, Wilayah Melayu adalah seluruh Semenanjung hingga Ratchaburi, 100km di Selatan Bangkok. Tenasserim (Tanah Seri) di Myanmar juga termasuk kawasan Melayu. Di sebelah Utara ia bermula di Kepulauan Nicobar di Lautan Hindi dan Farmosa di Laut China, termasuk Indo-China hingga ke Kepulauan Solomon di Selatan. Dari Barat, ia bermula di Madagaskar hingga ke Fiji. Kawasan kepulauan terbesar di dunia di Tenggara Asia inilah yang dipanggil rumpun Melayu dan menjadi daerah kehidupan bagi orang Melayu.

Agama Bangsa Melayu

Oleh kerana agama adalah teras kebudayaan, bangsa Melayu telah mempunyai pegangan dengan pelbagai agama, sebelum mereka menerima Islam. Dua agama utama yang dianut oleh orang Melayu ialah Hindu dan Budhha, iaitu agama yang dianut hasil daripada perhubungan politik, budaya dan ekonomi dengan India. Selain itu, orang Melayu juga dicatatkan pernah menganut Anamisme dan agama Majusi. 

Pada peringkat awal, orang Melayu secara umumnya beragama Hindu sehingga Raja Asoka (304-232SM) yang beragama Buddha menguasai India, yang menyebabkan orang Melayu mula menganut agama Buddha. Kebangkitan Hindu pada zaman Empayar Chola (300SM-1279M) yang menyerang Tanah Melayu dan Sumatera pada 1025M, telah menyebabkan orang Melayu kembali menerima agama Hindu. Atas sebab kuatnya pengaruh India terhadap agama orang Melayu, maka sering disebut orang Melayu beragama Hindu-Buddha.

Sheikh Safiyuddin dalam Tarikh Fathani menyebutkan bahawa orang Melayu pernah menerima pengaruh Parsi dan menganut agama Majusi. Namun begitu, sejak 640M, mula wujud pengaruh Arab-Islam di Sumatera, sebelum berdirinya Kesultanan Perlak sebagai kerajaan Islam yang pertama pada 840M. Sejak itu, Islam mulai berkembang dan diterima secara damai sehingga menjelang abad ke-16M, Alam Melayu telah bertukar menjadi Wilayah Islam, terutama dengan munculnya Kerajaan-kerajaan Islam di pelbagai tempat di Nusantara. 

Antara Kerajaan Islam yang terpenting di Nusantara ialah Melaka (1400-1511M), Johor-Riau-Lingga (1511-1857M), Demak (1475-1554M), Mataram (1587-1755M) dan Aceh (1496-1903M). Kerana tumbuhnya Kerajaan-kerajaan Melayu Islam inilah, Kerajaan Melayu dipanggil “Daulah Islamiyah Melayuwiyah” seperti yang tercatat dalam Itqanul Muluk bi Takdil as-Suluk.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
2 Syawal 1439 / 16 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 16/6/2018

Copy and paste: 27/2/2022 > 26 Rejab 1443H: 8.48 pm


Saturday, 26 February 2022

Ada Beza Ke? Ini Perbezaan Tahajjud Dan Qiamullail. Ketahuilah Dan Amalkanlah

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

 

“Eh bukan ke qiamullail dan tahajjud ni perkara sama? Ada beza ke?”

Apa beza qiamullail dengan tahajjud ni, bukan sama je ke? 

Pastinya ada di kalangan kita semua tidak mengetahui atau kurang faham apa perbezaan qiamullail dan tahajjud. Penting untuk kita semua tahu apa itu qiamullail dan apa itu tahajjud.

Bagi yang tidak tahu atau kurang faham perbezaan dua perkara ini, ikuti kupasannya di bawah.

Apa Itu Tahajjud

Tahajjud merupakan ibadah solat sunat yang dilakukan selepas solat isyak, tetapi dengan syarat diri kita harus tidur seketika meskipun hanya tidur sekejap sahaja.

Dalam firman Allah S.W.T ada menyatakan:

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu atau lebih daripada seperdua itu dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan” – surah al-Muzzammil ayat 1-4

Waktu menunaikan solat tahajjud

  • 9 malam – 12 tengah malam (1/3 awal malam)
  • 12 tengah malam – 3 pagi (1/3 pertengahan malam)
  • 3 pagi – 6 pagi (1/3 akhir malam)

Lafaz Niat Solat Tahajjud

Apabila terjaga daripada tidur, bangun dan ambillah wuduk. Kemudian berdiri di atas sejadah menghadap kiblat dan ucapkan lafaz niat solat tahajjud seperti di bawah.

“Usolli Sunnatal Tahajjud Rak’ataini Lillaahi Ta’ala, Allahu Akbar.”

“Sahaja aku solat sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala”

Bilangan solat sunat tahajjud tidak terbatas, paling kurang dua rakaat dengan satu salam. Oleh itu, solat sunat tahajjud boleh dikerjakan sebanyak dua, empat, enam, lapan dan dua belas rakaat dengan satu salam bagi setiap rakaat.

Panduan Melakukan Solat Sunat Tahajjud

  • Selepas solat isyak, tidur seketika.
  • Terjaga dari tidur, baca doa bangun tidur dan ambil wuduk
  • Bersedia untuk solat (berdiri lurus di atas sejadah menghadap kiblat)
  • Lafazkan niat solat sunat tahajjud
  • Rakaat pertama baca surah (Al-Fatihah dan Al-Kafirun)
  • Rakaat kedua baca surah (Al-Fatihah dan Al-Ikhlas)
  • Bagi salam

Hikmah Solat Tahajjud

  • Menguatkan jiwa dan ketakwaan kepada Allah S.W.T
  • Mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat
  • Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah S.W.T
  • Dipermudahkan ilmu yang dipelajari
  • Dikurniakan rezeki yang berpanjangan
  • Mempermudahkan melintas titian Siratal Mustaqim

Apa Itu Qiamullail

Maksud qiamullail adalah apa jua ibaah solat sunat yang didirikan selepas solat isyak. Seperti contoh selepas menunaikan solat isyak, kita teruskan dengan mendidikan solat tarawih, solat sunat hajat atau solat sunat taubat, maka perbuatan ini di namakan sebagai qiamullail.

Waktu Qiamullail

Qiamullail boleh dilakukan terus selepas menunaikan solat isyak, tetapi ramai yang melakukan qiamullail dilakukan pada 1/3 akhir malam iaitu pada 3 pagi hingga 6 pagi.

Tambahan lagi dalam bulan Ramadhan amalan melakukan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadhan sangat diutamakan dengan harapan InsyaAllah bertemu dengan Malam Lailatul Qadar.

Panduan Melakukan Qiamullail

  • Boleh terus melakukan qiamullail selepas isyak atau pada 1/3 akhir malam
  • Apabila bangun dari tidur, baca doa bangun dari tidur (jika melakukan qiamullail pada akhir malam 3 pagi – 6 pagi)
  • Sucikan diri (mandi dan berwuduk)
  • Tertib solat yang biasa dilakukan dalam Qiamullail adalah (Solat Tahajjud, Solat Taubat, Solat Hajat, Solat Tasbih dan diakhiri dengan Solat Witir)

Hikmah Qiamullail

  • Meningkatkan keimanan individu
  • Meninggikan darjat di sisi Allah SWT
  • Dapat beribadah dengan lebih khusyuk
  • Mendidik jiwa bersyukur dengan nikmat kesihatan dan nikmat waktu malam yang tenang
  • Melatih diri menjadi insan bertakwa
  • Melatih diri memperbanyakkan amalan sunat
  • Mendidik jiwa melawan hawa nafsu dan syaitan

Melakukan qiamullail dan solat sunat tahajjud merupakan sunnah Nabi SAW, amalan para shiddiqin dan orang-orang soleh. Banyak manfaat dan kebaikan diberikan kepada kita apabila kita melakukannya.

Kini kamu dah tahu apa beza qiamullail dan tahajjud bukan, jom hari ni kita lakukan amal ibadah pada bulan mulia ini.

Selamat beramal♥

COPY AND PASTE: 26/2/2022 > 24 RAJAB 1443H: 12.32 PM

 

Fadhilat Mengamalkan Ayat Kursi Dalam Kehidupan Seharian Kita. Insya’Allah, Sama-Samalah Kita Amalkan

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

 

Pada artikel kali ini, Kami akan menerangkan kepentingan dan kebaikan membaca Ayat Kursi.

Ayat 255 dari Surah Al-Baqarah yang lebih dikenali sebagai ‘Ayat Kursi’ ini digelar sebagai ‘Penghulu Segala Ayat Al-Quran’.

Ayat ini diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW, dengan diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga telah menjadi gempar kerana adanya satu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangan mereka. Maka Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit (penulis Al-Quran) agar menulis serta menyebarkannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca empat ayat pertama dari Surah Al-Baqarah, Ayat Kursi dan ayat terakhir Surah Al-Baqarah maka tidak akan ditimbulkan segala kesulitan dalam kekayaan atau diri sendiri, syaitan tidak akan mendekatinya dan dia sama sekali tidak akan melupakan Quran.”

Lafaz Bacaan Ayat Kursi


Manfaat Dari Bacaan Ayat Kursi

  1. Orang yang selalu membaca Ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad SAW.
  2. Sesiapa berwudhuk lalu membaca Ayat Kursi sekali, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan Allah akan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk sipembaca sehinggalah ke hari Qiamat.
  3. Sesiapa membaca Kursi sebelum keluar rumah, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan untuknya.
  4. Sesiapa sentiasa membaca Ayat Kursi, nescaya Allah akan kurniakan kepada ahli rumahnya kebaikkan yang tidak terhitung banyaknya.
  5. Membacanya dapat menghilangkan rasa marah, dijauhi bala bencana dan gangguan syaitan.
  6. Sesiapa membacanya ketika dalam kesempitan nescaya Allah azza wa jalla akan memberikan pertolongan kepadanya dan jika seseorang itu miskin akan menjadi kaya.
  7. Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca Ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.
  8. Sesiapa dikalangan umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan solat sunat dua rakaat, Allah memelihara daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.
  9. Sesiapa membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis kebaikannya dan menghapuskan keburukannya dari detik itu sampai esok hari,
  10. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, InsyaAllah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
Sebaiknya carilah keredaan Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan di samping berikhtiar dengan sesungguh hati.
Selamat Beramal!

COPY AND PASTE:  26/2/2022 > 2424 REJAB 1443H: 12.26 PM

Solat Sunat Yang Dibolehkan Pada Waktu Yang Diharamkan Solat? Apakah Ia?

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah solat sunat yang boleh dilakukan pada waktu yang diharamkan untuk solat? Apakah yang dimaksudkan dengan sebab yang mendahului dan sebab terkemudian bagi solat-solat sunat yang diharuskan tersebut?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Solat sunat yang diharuskan untuk dilaksanakan pada waktu yang diharamkan ialah solat yang sebabnya mendahului solat tersebut. Contohnya solat sunat wuduk, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur dan seumpamanya. Hal ini kerana, sebab yang menjadikan solat tersebut disunatkan wujud terlebih dahulu berbanding solat tersebut seperti wuduk sebelum solat sunat wuduk.

Adapun solat yang mempunyai sebab yang terkemudian seperti solat sunat istikharah dan ihram tidak diharuskan kerana kedua-dua sebab itu dilakukan selepas solat dilaksanakan.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat lima waktu yang dilarang solat seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiah:

 وَوقت الاصفرار حَتَّى تغرب وَبعد صَلَاة الصُّبْح حَتَّى تطلع وَبعد صَلَاة الْعَصْر حَتَّى تغرب

Maksudnya: Diharamkan solat selain di Masjidil Haram di Mekah i) pada waktu terbit matahari sehinggalah ia naik pada kadar segalah. ii) Juga pada waktu istiwa’ (matahari rembang) kecuali pada hari Jumaat sehingga gelincir matahari. iii) Waktu senja sehingga terbenam matahari. iv) Waktu selepas solat Subuh sehingga terbit matahari. v) Waktu selepas solat Asar sehingga terbenam matahari.

[1] (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadhramiah, 58)

Walau bagaimanapun, bagi solat-solat sunat yang mempunyai sebab yang mendahului solat tersebut, maka ia diharuskan. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَمَذْهَبُنَا أَنَّ النَّهْيَ عَنْ الصَّلَاةِ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ إنَّمَا هُوَ عَنْ صَلَاةٍ لَا سَبَبَ لَهَا. فَأَمَّا مَا لَهَا سَبَبٌ فَلَا كَرَاهَةَ فِيهَا وَالْمُرَادُ بِذَاتِ السَّبَبِ الَّتِي لَهَا سَبَبٌ مُتَقَدِّمٌ عَلَيْهَا فَمِنْ ذَوَاتِ الْأَسْبَابِ الْفَائِتَةُ فَرِيضَةً كَانَتْ أَوْ نَافِلَةً إذَا قُلْنَا بِالْأَصَحِّ أَنَّهُ يُسَنُّ قَضَاءُ النَّوَافِلِ فَلَهُ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ قَضَاءُ الْفَرَائِضِ وَالنَّوَافِلِ الرَّاتِبَةِ وَغَيْرِهَا وَقَضَاءُ نَافِلَةٍ اتَّخَذَهَا وِرْدًا وَلَهُ فِعْلُ الْمَنْذُورَةِ وَصَلَاةُ الْجِنَازَةِ وَسُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ وَصَلَاةُ الطَّوَافِ وَلَوْ تَوَضَّأَ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ فَلَهُ أَنْ يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْ الْوُضُوءِ

Maksudnya: Adapun hukum dalam perbahasan ini bagi mazhab kami (mazhab al-Syafi’i) bahawa larangan solat pada waktu-waktu ini ialah bagi solat yang tiada sebab. Manakala bagi solat yang mempunyai sebab maka tidak dimakruhkan. Maksud solat yang mempunyai sebab ialah sebab (yang disunatkan untuk solat) itu mendahului solat tersebut. Antara sebab yang mendahului solat tersebut ialah solat yang ditinggalkan sama ada solat fardu ataupun sunat. Hal ini jika kita menyatakan dengan pandangan yang paling sahih (di sisi mazhab al-Syafi’i) bahawa disunatkan untuk mengqadakan solat sunat, maka pada waktu tersebut dibolehkan mengqadakan solat fardu, sunat rawatib dan selainnya. Begitu juga, harus mengqadakan solat sunat yang dijadikan kebiasaan baginya, solat yang dinazarkan, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, solat tawaf, serta jika dia berwuduk pada waktu-waktu ini maka dia boleh melaksanakan solat sunat dua rakaat.

[2] (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 4:170)

Manakala, solat yang sebabnya terkemudian daripada solat maka diharamkan dan tidak sah jika dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang. Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini bahawa:

أما مَا لَهُ سَبَب مُتَأَخّر كركعتي الاستخارة وَالْإِحْرَام فَإِنَّهَا لَا تَنْعَقِد كَالصَّلَاةِ الَّتِي لَا سَبَب لَهَا

Maksudnya: Adapun solat sunat yang sebabnya terkemudian seperti solat sunat Istikharah dan Ihram maka ia tidak sah (dilaksanakan pada waktu yang dimakruhkan) kerana (hukumnya) sama seperti solat yang tiada sebab baginya.

[3] (Rujuk al-Iqna’, 1:128)

Oleh yang demikian, dapat difahami daripada perbahasan di atas bahawa apa yang dimaksudkan dengan sebab yang mendahului itu adalah berdasarkan kepada solat. Jika sebab itu berlaku sebelum solat sunat dilaksanakan, maka ia diharuskan.

WaAllahu a’lam.

RUJUKAN

[1] Al-Hadramiy, Abdullah Ibn Abd al-Rahman, 1413h, al-Muqaddimah al-Hadramiah, Dar al-Muttahidah, Damsyik, jld. 1, hlmn. 58.

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 4, hlmn. 170.

[3] Al-Syirbini, al-Khatib, t.t, al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’ Dar al-Fikr, Beirut jld. 1, hlmn. 161.

 Sumber

Copy and paste : 26/2/2022 > 24 Rejab 1443H: 12.19 pm

Friday, 25 February 2022

SURAH AL-INSYIRAH

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Siapa-Siapa Membaca Surah Ini 7 Kali Pada Tiap-Tiap Lepas Sembahyang, Nescaya Terlepas Daripadanya Kesusahan Dan Dimudahkan Oleh Allah S.W.T. Akan Rezekinya.


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bukankah kami telah melapangkan bagimu, Dadamu (wahai Muhammad dengan mengisi petunjuk dan hidayah) dan Kami telah meringankan daripadamu : Bebanmu (menyiarkan Islam) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan pelbagai kemudahan dalam melaksanakannya) dan Kami telah meninggikan bagimu : sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh) maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain) dan kepada Tuhanmu saja tempat engkau memohon. (apa yang engkau gemar dan ingini)

Keterangan Surah al Insyirah

Erti terbuka dada Muhammad ialah senang hatinya, dan tenteram jiwanya, kerana telah memperoleh ilmu pengetahuan (wahyu) yang dianugerahkan Allah kepadanya. Sebetulnya nama nabi Muhammad itu telah ditinggikan Allah, iaitu namanya mahsyur di mana-mana. Tiap-tiap azan terdengar nama Muhammad. Di mana-mana pun di seluruh dunia mengenali Nabi Muhammad.

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari yang kemudian, jika ditimpa musibah, ia teringat akan firman Allah ini, iaitu, “Di samping kesusahan ada kesenangan, di samping kesempitan ada kelapangan. Sesudah bala menggoda, di belakangnya nikmat berlipat ganda."

Sebab itu ia tidak berduka cita atau berkeluh kesah atas cubaan dari Allah itu. Kerana ia mempunyai kepercayaan, bahawa Allah akan mengganti kesusahan itu dengan kesenangan, jika tidak hari ini mungkin esok hari. Inilah orang yang berhati sabar, yang tidak berputus asa kerana ditimpa satu cubaan melainkan ia terus berusaha untuk mencapai hajatnya.

Adapun orang yang tidak beriman kepada Allah, maka ia sangat berkeluh kesah dan berduka cita kerana ditimpa sesuatu bala, kadang-kadabg ia membinasakan dirinya sendiri. Inilah bahayanya jika tidak beriman kepada Allah.

Kelebihan Surah Al Insyirah

[:]1. Nabi Muhammad S.A.W bersabda : “Barangsiapa membaca Surah Al-Insyiraah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku”.

[:]2. Barangsiapa membiasakan membaca Surah Al-Insyiraah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.

[:]3. Sesiapa yang membaca Surah Al-Insyiraah nescaya Allah turut melapangkan dadanya serta dijauhkan daripada segala kesukaran dalam segala urusannya. Dihilangkan segala sifat kesal dan jemu, serta mendatangkan rajin dalam mengerjakan ibadat.

[:]4. Barangsiapa membaca Surah Al-Insyiraah sembilan kali sesudah solat fardhu nescaya Allah akan menjauhkan daripada kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dalam segala urusan.

[:]5. Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah jadi wirid pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu, nescaya hilang dukacita nya dan mengurniailah oleh Allah s.w.t. akan rezekinya dengan beberapa banyak.

[:]6. Siapa-siapa sentiasa banyak membaca Surah Al-Insyiraah nescaya mudah mendapat rezekinya dan luas fikirannya, senang membuat sesuatu pekerjaan dan hilang daripadanya sifat malas.

[:]7. Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah 7 (tujuh) kali pada tiap-tiap lepas sembahyang, nescaya terlepas daripadanya kesusahan dan mudah oleh Allah s.w.t. akan rezekinya.

[:]8. Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah 40 (empat puluh) kali pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu selama tujuh hari berturut-turut, nescaya mengurnia Allah s.w.t. kepadanya kekayaan.

Kelebihan membaca surah al Insyirah ketika susah:

Siapa-siapa susah pada suatu pekerjaan, hendaklah sembahyang dengan cara yang tersebut di bawah ini, nescaya sampai maksudnya, iaitu:

[:]1. Sembahyang sunat dua rakaat.

[:]2. Pada tiap-tiap rakaat baca Surah Al-Fatihah dan surah (mana-mana surah)

[:]3. Lepas sembahyang, duduk menghadap kiblat dengan tetap bersungguh-sungguh ingatlah akan Allah s.w.t., dan baca Surah Al-Insyiraah sebanyak bilangan hurufnya.

[:]4. Sesudah membaca Surah Al-Insyiraah, pohonkanlah apa-apa yang di hajati daripada Allah s.w.t.

**a) Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah 200 (dua ratus) kali pada tiap-tiap hari ketika matahari naik (waktu dhuha), nescaya memperlihat oleh Allah s.w.t. kepadanya perkara-perkara yang ajaib.

**b) Siapa-siapa berhajat sesuatu perkara, bacalah Surah Al-Insyiraah 700 (tujuh ratus) kali atau 1000 (seribu) kali pada tiap-tiap hari selama ia mengusahakannya, nescaya beroleh apa-apa yang di hajati.

**c) Siapa-siapa menulis Surah Al-Insyiraah pada suatu bekas dan menghapuskannya dengan air mawar kemudian minum, nescaya hilang dukacitanya dan terpelihara daripada terkejut.

–Insya Allah, semoga perkongsian ilmu yang sedikit di atas dapat memberikan 1001 manfaat dan kebaikan kepada kita semua.

Wallahualam

Copy and paste: 25/2/2022 > 23 Rejab 1443H: 7.09 pm

Thursday, 24 February 2022

Kenapa Martabat Tahajud Lebih Tinggi Daripada Solat Sunat Yang Lain? Ini Sebabnya

   


Wednesday, 23 February 2022

Mengapa Selepas Mati Jasad Kita Ditanam

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Kita semua sangat sebati dengan kisah Habil dan Qabil, iaitu anak Nabi Adam a.s yang telah bergaduh untuk merebut seorang perempuan yang sangat cantik bagi dijadikan isteri. Disebabkan peristiwa itulah, terciptanya sejarah kematian dan pembunuhan yang pertama dalam kalangan manusia di muka bumi.

Kisah pembunuhan ini berlaku disebabkan oleh Qabil yang sangat cemburu dan marah kerana korban yang diberikannya telah ditolak yang mengakibatkan beliau gagal untuk mengahwini kembarnya sendiri. Walau bagaimanapun, beliau berasa amat bersalah dengan tindakannya dan ralat untuk menyelesaikan jenazah Habil.

Beliau telah meminta petunjuk dan daripada Allah agar jenazah Habil dapat diselesaikan dengan secepat mungkin. Kemudian, Allah telah menurunkan petunjuk melalui pergaduhan dua ekor burung yang telah berlaku di depan matanya sendiri.

Seekor daripada burung tersebut akhirnya telah tewas dan pergaduhan itu berakhir dengan kematiannya. Oleh itu, burung yang masih hidup itu telah mengambus bangkai tersebut dengan tanah.

Qabil kemudiannya telah menanam jenazah Habil seperti yang dilakukan oleh burung tersebut. Melalui peristiwa ini, kita dapat lihat satu hikmah terbesar yang boleh dijadikan pengajaran, iaitu setiap kehidupan di sekeliling kita sebenarnya boleh memberi banyak pengajaran dan ilham untuk kita.

Oleh disebabkan itulah, Allah menyuruh kita untuk belajar daripada sekeliling, daripada alam juga. Sebagai manusia, kita tidak boleh bongkak dengan menolak setiap hikmah yang Allah telah sediakan untuk kita.

أَلَمْ تَرَ أَنَّ الْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِنِعْمَتِ اللَّـهِ لِيُرِيَكُم مِّنْ آيَاتِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.
(Surah Luqman, 31:31)

Bagaimana manusia mendapat ilham untuk memakmurkan bumi? Salah satunya adalah dengan belajar daripada alam sendiri. Sebagai contoh, Abbas Ibn Firnas yang telah mendapat ilham untuk mencipta kapal terbang setelah melihat kemampuan burung yang boleh terbang dengan bebas di udara.

Beliau merupakan tokoh Islam pertama yang telah membuat kajian mengenai kapal terbang dan mesinnya kemudian diikuti oleh beberapa tokoh Islam dan Barat yang lain. Beliau juga telah mendapat ilham melalui ayat Al-Quran yang telah dinyatakan Allah, iaitu:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ

Mafhum: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? (Surah Al-Mulk, 67:19)

Contoh lain yang boleh dibawa ialah dengan menjadikan bintang-bintang sebagai panduan untuk perjalanan terutamanya mereka yang bekerja sebagai pelayar, dengan melihat bagaimana lebah menghasilkan madu dan berbagai lagi.

Banyak yang dapat dipelajari oleh alam ini yang telah diceritakan melalui Al-Quran dan As-Sunnah untuk panduan kita. Suruhan untuk kita menuntut ilmu dan belajar daripada alam sekitar sebenarnya telah banyak juga dinyatakan melalui kisah dan sejarah silam.

Oleh itu, sebagai manusia, kita tidak boleh bongkak dan angkuh dengan alasan kita adalah manusia yang merupakan ciptaan Allah melalui ‘tanganNya’ sendiri. Hal ini kerana, tujuan utama Allah menjadikan manusia di muka bumi ini adalah sebagai khalifah yang bererti ketua untuk memakmurkan muka bumi ini dengan agamaNya.

Hikmah Kembali Kepada Tanah

Walau bagaimanapun, untuk entri kali ini, penulis bukan ingin membahaskan lebih lanjut mengenai hikmah dan kejadian penciptaan alam yang lain, namun ingin berbalik kepada hikmah jenazah Habil yang telah ditanam.

Mengapa jasad kita akhirnya dikembalikan kepada bumi? 

Mengapa Allah menghantar dua ekor burung sebagai petunjuk kepada Qabil untuk menanam jenazah saudaranya? 

Sedangkan, boleh sahaja Allah memberi ilham untuk membakar atau menghanyutkan mayatnya ke dalam laut.

Pernahkah persoalan ini bermain di minda kita? Bahkan, ada sesetengah manusia yang takut apabila disebut perkataan kubur. Apabila diceritakan sahaja mengenai kisah kubur yang sangat gelap dan sempit serta akan ditemani oleh binatang sahaja seperti ular, kala jenking, semut dan sebagainya yang akan memakan jasad kita, pasti akan meremang bulu roma, bukan?

Malah, kisah mengenai alam kubur yang akan bertukar menjadi salah satu lubang neraka atau lubang syurga bergantung kepada amalan kita di dunia juga tidak sanggup dibayangkan dan tidak dapat digambarkan dengan mata kasar sendiri. Ia merupakan alam ghaib dan rahsia Allah yang hanya akan dirasai oleh mereka yang telah meninggal sahaja.

Namun, Allah memberi petunjuk kepada insan-insan yang terpilih untuk dijadikan pengajaran kepada semua orang yang masih hidup seperti dapat bermimpi kehidupan mereka yang sedang berada di alam barzakh.

Disebabkan itulah, kadang-kadang kita ada mendengar cerita pelik manusia yang ingin kembali ke dunia disebabkan ingin melebihkan ibadah kepadaNya dan sebagainya. Ataupun, ada juga yang meminta doa daripada anak-anak mereka untuk bantuan di alam sana, tidak kurang juga ada yang sedang bergembira dengan keadaan dan suasana di sana seolah-olah berada di syurga.

Walaupun kisah-kisah yang diceritakan ini kelihatan seperti tidak logik dan susah untuk percaya kerana ia berkait dengan alam akhirat, namun tidak salah untuk kita ambil pengajaran daripada apa yang diujarkan.

Lalu, ada yang bertanya mengapa meletakkan kita ke dalam lubang yang gelap lagi menyeramkan itu? Mengapa tidak dibakar atau dihanyutkan sahaja?

Menurut sebuah ceramah yang telah disampaikan oleh Dr Zakir Naik berkenaan soalan ini, jika manusia dibakar, ia akan mengambil masa yang lama untuk betul-betul terbakar dan ia pasti akan membuatkan alam sekitar tercemar disebabkan asap dan bahan bakar tersebut.

Malah, menurut kajian dan statistik yang telah dijalankan terhadap amalan orang India yang membakar mayat disebabkan kepercayaan mereka bahawa mayat tidak akan diseksa lagi di alam akhirat kerana telah diseksa dengan api, namun ia sebenarnya telah membuatkan kerugian ribuan ringgit kerana telah membakar kayu-kayu yang boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik.

Jika mayat ditanam, ia bukan sahaja boleh menjimatkan duit dari segi bahan yang digunakan dan juga upah menggali kubur, namun sebenarnya wujud hikmah yang lagi besar di sebalik itu.

Tubuh kita yang dicipta daripada tanah perlu kembali kepada tanah. Mungkin kita pernah berfikir logik tersebut. Bahkan, syaitan yang dicipta daripada api juga boleh diseksa oleh Allah melalui panahan kilat dan petir. Ini bermaksud, kita akan kembali kepada asal penciptaan kita.

Menurut kajian saintifik juga, jasad kita sebenarnya masih berguna kepada bumi walaupun selepas mati. Ini kerana, badan kita mempunyai berjuta-juta sel yang berkumpul untuk membentuk lapisan dan akhirnya akan membentuk tisu dan organ seperti jantung, kulit, hati dan perut.

Kita sedia maklum, manusia akan mengalami proses pereputan secara berperingkat di dalam kubur yang akhirnya akan tinggallah tengkorak dan tulang sahaja. Disebabkan inilah, manusia perlu ditanam untuk mengelakkan bau busuk yang keluar lantaran proses itu.

Malah, jika dibiarkan sahaja, mayat akan mengeluarkan bakeria dan boleh menyebabkan penyakit kepada manusia yang masih hidup. Disebabkan itulah, kita melihat mayat Firaun yang telah diawet dan dijaga di makamnya, iaitu Piramid Mesir. Malah, menurut pengalaman mereka yang pernah melawat makam tersebut, ia sebenarnya mempunyai bau yang kurang menyenangkan dan memerlukan tugas yang rumit untuk dijaga.

Jika ditanam, ia bukan sahaja memudahkan urusan selepas kematian kepada mereka yang hidup, malah badan kita akan memberi manfaat lain kepada bumi. Berikut merupakan proses pereputan yang telah dilakukan kajian oleh beberapa kajian saintifik dan dikatakan boleh menyuburkan lagi bumi:

#1 – Pemecahan Sendiri

Peringkat pertama, iaitu pemecahan sendiri atau self-destruction akan terjadi dengan jasad yang akan dihadamkan oleh badan sendiri. Melalui proses ini, enzim akan diuraikan dan sel membran seperti jantung, buah pinggang dan juga hati akan mula rosak.

#2 – Peringkat Pembusukan

Peringkat ini akan terjadi akibat bakteria anaerobik, iaitu apabila tiada oksigen dalam mayat. Ia kemudiannya akan menggalakkan pertumbuhan bakteria untuk menguraikan zat makanan seperti karbohidrat, protein dan lipid pada mayat yang akan menghasilkan asid dan gas terutamanya pada bahagian perut.

Gas ini akan mengakibatkan kembung pada bahagian perut dan mengeluarkan buih-buih darah dari mulut dan hidung mayat akibat tekanan gas tersebut di sekitar diafragma, iaitu jantung dan paru-paru. Tekanan tersebut akan pecah dan mengeluarkan bau yang meloyakan.

#3 – Peringkat Pereputan

Proses ini akan berterusan sehingga mayat akan menjadi rangka. Ia bermula dengan daging yang akan jatuh satu-persatu dan kulit akan bercerai dari jasad serta tisu badan juga akan menjadi lembut dan juga kering.

#4 – Peringkat Terakhir

Mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan serangga akan mula masuk ke dalam tulang. Mikroorganisma yang telah merembeskan asid dan enzim metabolisma akan perlahan-lahan menghancurkan tulang. Maka, tulang akan musnah dan jasad kita akan hilang ditelan bumi. Malah, badan yang telah terurai juga akan digunakan semula oleh bumi dan tanah.

Menurut beberapa kajian lain, proses ini akan memakan masa sehingga enam bulan. Setelah itu, secara perlahan-lahan rangka tulang kita akan berubah menjadi biji yang sangat kecil atau disebut sebagai tulang yang bernama ‘ajbudz dzanab (tulang ekor).

Para ulama’ berdasarkan tafsir mereka mengatakan bahawa melalui tulang inilah kita akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat.

Maksud: “Tiada bahagian dari tubuh manusia kecuali akan hancur (dimakan tanah) kecuali satu tulang, iaitu tulang ekor. Dari itu, manusia akan dibangkitkan kembali pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulan

Walau sehebat mana dan setinggi mana kebanggaan kita terhadap kecantikan tubuh badan yang ada, ia akan hilang juga suatu hari nanti dan hanya akan menjadi tulang-belulang sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh berbesar diri kerana akhirnya kita akan berada lebih rendah di dalam tanah.

Sumber: Kematian Dari Sudut Sains

Copy and paste > 23/2/2022 > 21 Rejab 1443H: 1.57 pm