Showing posts with label ULAMA NUSANTARA. Show all posts
Showing posts with label ULAMA NUSANTARA. Show all posts

Friday, 27 December 2024

Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani: Ulama Dan Saintis Agung Orang Melayu

Posted on FB by: Rozza Zainal
10 August 2022

06/05/2017, By : Helmi Effendy
Orang Melayu sesungguhnya sejak daripada dahulu kala lagi sehinggalah ke hari ini , tidak pernah lokek dengan kelahiran banyak tokoh yang hebat mengukir dan menempa nama dalam helaian sejarah. Salah seorang daripadanya ialah Sheikh Wan Ahmad Al-Fattani yang secara peribadi, saya menobatkan beliau sebagai bapa intelektual tamadun Melayu. Untuk pengetahuan kalian, selain daripada saintis dan ilmuwan Melayu yang hebat, beliau juga merupakan seorang ulama yang sangat disegani oleh kawan mahupun lawan.
Nama penuh beliau ialah Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani bin Wan Muhammad Zayn al-Abidin. Menurut keterangan daripada beliau sendiri dalam kitab tulisannya yang berjudul Hadiqatul Azhar wa al- Rayahin, Syeikh Wan Ahmad al Fattani dilahirkan pada malam Jumaat tarikh 5 Syaaban 1272 Hijri bersamaan tanggal 10 April 1856 Masihi. Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama Kampung Jambu di sebuah negeri kecil di dalam wilayah Pattani ketika itu iatu Negeri Jerim. Ayahanda beliau juga merupakan seorang ulama bernama Syeikh Wan Muhammad Zayn al Abidin (disingkatkan menjadi Wan Muhammad Zain) yang sangat dihormati oleh masyarakat setempat ketika itu. Siapa sangka seorang bayi lelaki Syeikh Wan Muhammad Zain yang lahir ke dunia pada malam Jumaat di negeri Pattani itu akhirnya akan menjadi seorang tokoh ilmuwan Melayu yang paling terkenal dalam sejarah kerana ketokohannya dalam pelbagai bidang.
Pada usia 6 tahun lagi iatu kira kira pada tahun 1860 Masihi, Sheikh Ahmad Al-Fatani dikatakan telah berhijrah ke Makkah al Mukarammah bersama ayahandanya ketika itu, dan di sana beliau telah berjaya menghafaz Al-Quran dan mempelajari cabang-cabang ilmu yang lain seperti bahasa arab, usuluddin, tafsir hadis, fiqh, maani, bayan, arud dan banyak lagi aspek dalam agama Islam daripada banyak alim ulama yang menyebarkan ilmu mereka di sana. Kegeniusan dan ketokohan beliau dalam bidang ilmu terserlah apabila dikatakan beliau dapat mengajar ilmu tatabahasa Arab (nahu dan saraf) kepada orang yang lebih berusia daripada beliau sejak beliau berusia 12 tahun lagi.
Beliau belajar dengan banyak ulama muktabar yang terkenal pada masa itu samada dari Timur Tengah ataupun dari Alam Melayu itu sendiri. Antara ulama’ terkenal yang menjadi guru kepada beliau ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, Sayyid al Husaini al Habsyi, Sayyid Muhammad Amin ar Ridhwan, Syeikh Mustafa al Afifi, Sayyid Umar al Shami al Baqa’i, Syeikh Muhammad bin Ismail al Fatani, Syeikh Abdul Kadir bin Abdul Rahman al Fatani, Syeikh Muhammad Said al Kalantani dan ramai lagi.
Beliau berhijrah ke Baitul Maqdis dan mempelajari ilmu perubatan daripada seorang ulama bernama Syeikh Abdul Rahim al Kabuli selama dua tahun. Beliau kemudiannya mendalami ilmu agama di Universiti al Azhar, Kaherah, Mesir, di mana Syeikh Wan Ahmad al Fatani merupakan anak Melayu terawal yang menjadi pelajar di universiti paling berprestij di seluruh dunia Islam ketika itu.
Dikatakan bahawa disebabkan beliau merupakan satu-satunya pelajar Melayu (Jawi) di dalam universiti tersebut pada masa itu, beliau berusaha untuk memperkenalkan alam Melayu kepada tokoh-tokoh penting universiti tersebut bagi memudahkan pelajar-pelajar Melayu terkemudian untuk memasuki universiti tersebut. Hingga ke hari ini, ramai pelajar Melayu dari seluruh Nusantara terutama sekali dari Malaysia datang menuntut di universiti berprestij tersebut dan ada di kalangan mereka menjadi tokoh penting bangsa Melayu mengikuti jejak langkah Syeikh Wan Ahmad al Fattani. Beliau menuntut ilmu agama di sana selama tujuh tahun sebelum akhirnya pulang semula ke Makkah.
Meskipun beliau seorang yang berbangsa Melayu, namun Sheikh Ahmad Al-Fatani mempunyai pengetahuan yang sangat tinggi dalam bidang sastera Arab. Untuk pengetahuan semua, bahasa Arab merupakan antara bahasa yang paling sukar dipelajari di dunia tetapi kejayaan Sheikh Ahmad-Al-Fattani menguasai Bahasa Arab dalam usia yang muda sangatlah dikagumi. Kepakaran beliau dalam Bahasa Arab walaupun beliau seorang ‘ajam (bukan berbangsa Arab) membolehkan beliau mendapat gelaran al-adib serta ahli sastera yang sempurna pengetahuannya. Beliau juga dikatakan telah mendapat gelaran “Sibawaih Shaghir” (maksudnya Sibawaih Kecil) kerana ketokohan beliau dalam ilmu nahu bahasa Arab seperti Sibawaih (760 – 796 Masihi), seorang tokoh ilmu tatabahasa Arab yang sangat terkenal dalam sejarah Islam.
Bahkan kehebatan Sheikh Ahmad Al-Fattani terserlah apabila dikatakan dalam lebih kurang 60 cabang ilmu agama yang wujud, Sheikh Al-Fatani telah menguasai lebih kurang 47 buah cabang ilmu daripadanya. Ini ditulis sendiri oleh salah seorang anak murid beliau yang terkenal iatu Tok Kenali dalam majalah Pengasuh, bertarikh 2 Zulkaedah 1352 H/ 15 Februari 1934 M, hari khamis, jilid ke 17, muka ke 13 dan 14.
“…al-Allamah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang terkaya daripada ujian umpama kita ini. Betapakah tiada berkata demikian itu? Kerana ilmu yang mengandungi pelajaran agama itu masih ada lagi sekarang 60 perkara ilmu. Maka al-Allamah itu dapat empat puluh tujuh ilmunya seperti mengkhabarkan kepada penulis satu orang alim yang dipercayai khabarannya kerana dia berkebetulan pada satu masa itu ada peluang. Maka al-Allamah itu mentakrifkan 47 ilmu itu satu persatunya.
“Dan setengah-setengah ia karang ilmu itu. Maka sekarang ini, ada juga setengahnya seperti syaikhuna al-Kanali, dapat dua puluh empat. Kalau pembaca-pembaca hendak tahu insya-Allah saya akan sebut. Sebab almarhum itu (Maksudnya Tok Kenali) dapat setengah ilmu al-Allamah pada bilangan itu ialah kerana banyak mukhalathah dan mengaji daripadanya. Katakanlah seperti Abu Hurairah dengan Nabi kerana banyak bercampurnya dapat riwayat hadis tujuh ribu lebih. Dan al-Allamah yang tersebut itu almarhum sentiasa puji dan sebut; menunjukkan kasihnya demikianlah al-Allamah itu telah dapat khabar bahawa murid-murid yang lebih disayang ialah almarhum…”
Berikut kami lampirkan pencapaian dan sumbangan Syeikh Wan Ahmad al Fattani dalam pelbagai bidang ilmu seperti perubatan,filiologi,sastera,sejarah,politik dan lain lain lagi.
1. Sheikh Ahmad Al-Fatani Sebagai Pakar Perubatan
Sheikh Ahmad Fattani dikatakan berguru ilmu perubatan di Baitul Maqdis daripada seorang tabib yang berasal dari Kabul, Afghanistan yang bernama Abdul Rahman al-Kabuli dan daripada hasil pembelajarannya dengan doktor itu, Sheikh Ahmad Al-Fatani dicatatkan telah menghasilkan beberapa buah karya perubatan dan antaranya ialah Taiyyib al-Ihsan fi al-Tibb al-Insan yang kini telah diterjemahkan ke tulisan rumi memakai tajuk Kitab Perubatan Melayu.
Kitab Perubatan Tamadun Melayu yang ditulis oleh beliau membincangkan tentang gabungan ilmu perubatan Yunani, Melayu dan Islam. Buku beliau dimulakan dengan perbincangan tentang perubatan di kalangan masyarakat Melayu, dan kemudian mengulas mengenai amalan pseudo-sains yang berlaku dalam masyarakat Melayu, lalu kemudian beliau mengulas mengenai tabib dan doktor Melayu yang kedekut ilmu ketika itu sehingga tidak mahu mewarisi pengetahuannya pengubatan mereka sebelum membincangkan mengenai keutamaan dan kepentingan untuk bangsa Melayu menguasasi ilmu perubatan.
Buku ini juga membincangkan definisi perubatan dari sudut pandang Ibnu Sina selain daripada kebanyakan isi kandungannya banyak membincangkan tentang kaedah Galen iaitu Teori Humoral dan huraiannya tentang punca-punca penyakit. Beliau memperkenalkan beberapa konsep dalam mendiagnosis sebuah penyakit.
Perbahasan dalam buku ini turut membawa kita membincangkan tentang penjenisan penyakit mengikut bahagian tubuh, sedikit perbahasan tentang kesan sampingan ubat dan perkara-perkara asas dalam ilmu perubatan. Secara ringkas, buku Kitab Perubatan Melayu yang dikarang oleh beliau mempamerkan dengan jelas pengaruh perubatan Yunani, Arab dan juga Parsi.
2. Sheikh Ahmad Al-Fatani, Pakar Ilmu Filologi Melayu
Tidak keterlaluan kalau kita melabelkan beliau merupakan pakar filologi pertama bangsa Melayu. Untuk pengetahuan kalian, ilmu filologi ialah sejenis ilmu yang melibatkan pengkajian ke atas manuksrip-manuskrip lama demi menetapkan keasliannya, dan dalam soal manuskrip Melayu, sejarah menceritakan kepada kita bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani ialah antara orang Melayu yang diketahui mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Sebagai contoh, Sheikh Ahmad Al-Fatani dicatatkan telah mengkaji sebuah manuskrip lama Melayu bertajuk Syarah Hikam Melayu. Selepas mengkaji sumber-sumber dan keaslian manuskrip itu, dicatatkan bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani menulis seperti berikut:
“Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustatab, iaitu syarah Hikam Ibnu ‘Athaullah, dengan bahasa Melayu. Dan ditashhihkan dan muqabalahkan daripada mulzamah yang keempat hingga kepada ke 17 dengan naskhah yang dibaiki oleh Sheikh Abdul Muthallib ibnu al-Faqih al-Kalantani. Dan adalah selesai mencapkan dia pada pertengahan bulan Syawal 1309 daripada hijrah Nabi kita…”
Ianya turut dapat dilihat dalam sebuah lagi manuskrip Melayu iaitu kitab Furu’ al-Masail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di mana Sheikh Ahmad Al-Fatani dikatakan menulis seperti berikut:
“Ketahui olehmu, bahawasanya khutbah kitab ini bersalah-salahan nusukh (jamak perkataan naskhah) padanya, dan berfaraq-faraq sebagai faraq yang jauh antara segala naskhah khat dengan naskhah cap yang dicapkan pada Sungai Pura. Maka yang diitsbatkan dengan naskhah thaba’ ini seperti khutbah cap Sungai Pura kerana ia terlebih manis kalamnya dan terlebih betul kaedah nahunya…”
Selain itu, kalau tentang karya-karya terjemahan daripada Bahasa Parsi atau Arab atau dari bahasa lain, maka Sheikh Ahmad Al-Fatani akan membanding-bandingkan dua buah karya sebelum mengambil keputusan sendiri. Begitulah antara sumbangan dan pencapaian Sheikh Ahmad Al-Fatani dalam bidang filologi.
3. Bidang Sains Dan Teknologi
Bercakap tentang penglibatan Sheikh Ahmad Al-Fatani dalam bidang sains dan teknologi, yang paling dikagumi ialah tentang bagaimana kononnya bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani menemui cara pembuatan emas. Pembuatan emas yang dimaksukan ialah bukannya daripada bahan baku emas itu sendiri, atau bahan-bahan galian lainnya, tetapi dengan jalan pembancuhan pelbagai zat lain. Dalam erti kata lain Sheikh Ahmad Al-Fatani merupakan seorang pakar ahli alkimia juga. Beliau boleh mencipta emas murni 24 karat atau jenis-jenis emas yang lain dengan menggunakan pelbagai bahan yang berbeza.
Namun sayangnya dikatakan bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani telah membakar naskah tersebut kerana dikhuatiri naskah itu akan menjadi punca kepada pergaduhan anak-anak muridnya dan memecah-belahkan ummah. Tetapi ada pula yang yang mengatakan bahawa naskah tersebut masih ada tetapi disimpan oleh beberapa guru pondok dan pernah dilihat ketika era Perang Dunia Kedua dahulu.
Tidak cukup dengan itu, apa yang menakjubkan tentang beliau juga adalah tentang ulasan dan pandangan beliau tentang teknologi ketika itu yang saya kira beliau merupakan seorang ulama yang sangat berpandangan jauh. Antaranya ialah bagaimana ramalan beliau tentang akan wujudnya sebuah teknologi pengkomputeran yang moden padahal zaman itu, komputer masih belum ditemui. Saya petik kalam beliau untuk tatapan para pembaca semua:
“Dan mengindah-indah mereka itu akan sekalian pekerjaan dengan lekas dan banyak.”
Tambah beliau lagi bahawa teknologi akan semakin berkembang mengikut peredaran zaman pada masa hadapan dengan petikan:
“Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa”, daripada petikan tersebut bermaksud bahawa beliau menganggap teknologi akan berkembang terus dan akan ada penemuan-penemuan baru pada masa hadapan nanti.
Pemikiran hebat beliau tentang sains dan teknologi yang dicapai oleh bangsa asing dapat dirujuk dalam sebuah kitab bertajuk Hadiqah Al-Azhar.
“Maka demikian amat-amati ahli negeri orang dengan syaan (urusan) ilmu pada negeri mereka itu, hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekalian bangsa dengan: kepandaian, dan bijaksana, dan kepetahan dan banyak ilmu. Maka dengan demikian itulah dapat mereka itu meringkah (mencipta) buatkan beberapa alat yang manfaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri, di dalam masa yang sedikit.
Dan datang kepada mereka itu sekalian khabar-khabar dari sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzhah (sekelip mata, waktu yang singkat).
Dan mengindah-indah mereka itu akan sekelian perkerjaan serta dengan lekas dan banyak. Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa.
Dan dengan sebab baik percaraan dan muafakat antara mereka itu: serta besar hemah, dan halus tipu daya, dan jauhilah, dan dalam tilik mereka itu, yang jadi sekelian itu daripada banyak pelajaran mereka itu.
“Maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru. Dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil akan negeri orang. Dan meliputi mereka itu dengan ahwal dunia, laut, dan darat.”
Dalam manuskrip yang lain pula seperti yang dicatat dalam Mir-atul A’ajib:
“Berkata hamba, “Bagi menghampirkan segala akal. Adakah tiada engkau ketahui atau lihat bahawasanya dikurniakan kepada orang kuffar sekarang ini beberapa banyak ringkahan (ciptaan) yang ‘ajib-‘ajib (pelik-pelik). Hingga mereka itu sampai kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa (udara) yang telah maklum pada mereka itu dengan belon, atau thaiyarah, atau minthad. Kapal api yang menyelam di dalam laut serta berjalan di bawah air seperti ikan. Telegraf yang tiada berdawai (radio). Alat yang dilihatkan dengannya segala bintang amat halus yang di langit (teleskop).
Alat yang memegangkan suara, bahkan Amerika sekarang ini telah sampai mereka itu dengan ikhtira’ (pencipta) mereka itu kepada menghadirkan roh orang yang tidur.
Maka ia mengkhabarkan dengan barang yang ghaib daripada ahwal orang yang telah mati. Bahkan mereka itu sampai kepada menghadirkan roh orang yang mati hingga boleh dilihatkan dia dengan mata kepala, dan bertutur (bercakap-cakap) dengan dia. Padahal ia atas rupa orang mati.
Berkata hamba, “Bahawasa yang demikian itu syaitan, ia berupa dengan rupa orang mati itu kepada mereka itu. Tetapi hasil dengan demikian itu rujuk setengah daripada Falasifah Amerika kepada membenarkan barang yang sabit di dalam agama Islam, bahawasa ada bagi roh itu hakikat. Ada bangkit di akhirat, dan lainnya daripada barang yang mengingkarkan oleh kebanyakan mereka itu agama Islam.
“Maka apabila mungkin serta telah diberi kepada kuffar umpama yang tersebut itu, adakah tiada patut dikurniakan kepada setengah-setengah ahlillah barang yang tersebut …”
Bahkan Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani pernah dicatatkan meramalkan ketinggian pencapaian industri percetakan pada masa hadapan seperti mana yang dirakamkan dalam karya agung beliau bertajuk Hadiqatul Azhar:
“Ketahuilah olehmu, bahawasanya ahli negeri yang besar-besar, yang lain daripada ahli pihak kita, sangat mengamat-amati mereka itu dengan syaan tawarikh. Dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan kanak-kanak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekali pun. Dan berusaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala orang yang gemar padanya dengan sekalian jalan dan tipu. Hingga bersungguh-sungguh mereka itu pada mengecapkan (mencetak) segala kitab yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah di dalam masa yang sedikit. Sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu niscaya belum lagi sudah satu naskhah jua.”
4. Penglibatan Beliau Dalam Bidang Politik
Sesunggunya, selain daripada seorang ulama hebat, pakar perubatan, pakar teknologi, pakar filologi beliau juga seorang ahli politik yang sangat hebat. Antara sumbangan beliau yang paling diingati ialah hubungan yang beliau jalinkan bersama dengan sultan Turki Uthmaniyah sehinggakan 1889 Masihi, Sheikh Ahmad al-Fathani dilantik pula sebagai penasihat Syarif/Raja Mekah ketika itu, sekali gus diberi kerakyatan Turki Uthmaniah pada 1889 M, demi memudahkan urusan-urusan pentadbiran dan politik.
Hubungan rapat beliau dengan sultan Uthmaniyah ketika itu membolehkan beliau berulang alik dari Tanah Melayu ke Turki pada waktu itu dalam pelbagai urusan dan antaranya yang paling dikenang ialah usaha beliau melobi kerajaan Turki Uthmaniyah menaja perjuangan umat Islam di Alam Melayu membebaskan diri daripada belenggu penjajah.
Ketika berada di Mekah, beliau sendiri menubuhkan sebuah organisasi yang bernama al-Jami’yah al-Fathaniyyah yang bertujuan mengumpulkan semua cendekiawan dan ahli fikir Melayu di Mekah ketika itu di bawah satu bumbung dan beliau sendiri merupakan ketua organisasi tersebut.
Tujuan organisasi itu adalah menyeru setiap anak Melayu bukan dari Tanah Melayu sahaja, tetapi dari seluruh Kepulauan Melayu termasuk Sumatera, Singapura, Kepulauan Riau Lingga dan Borneo untuk bersama-sama membebaskan Kepulauan Melayu dari belenggu penjajah.
Jamiyah Al-Fathaniyah merupakan organisasi politik pertama yang ditubuhkan oleh orang Melayu dalam sejarah jauh lebih awal daripada mana-mana organisasi politik Melayu terkenal yang pernah berdiri dalam sejarah.
Kehebatan Sheikh Ahmad Al-Fatani dalam bidang politik bukan sahaja diakui oleh anak Melayu sendiri bahkan ulama-ulama Arab yang hebat-hebat di tanah suci Mekah. Beliau dikatakan pernah dipilih oleh para ulama Mekah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian khilafiyah antara Syeikh Muhamad Abduh dengan Syeikh Yusuf al-Nabhani di Beirut.
Syeikh Wan Ahmad al Fatani meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 Hijri bersamaan tarikh 14 Januari 1908 Masihi di Mina. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sedang menunaikan ibadah haji dan jenazah beliau dikebumikan di Perkuburan Maala,Makkah al Mukarammah dan kuburnya dikatakan berdekatan dengan makam Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwalid r.a.
Sebelum mengakhiri perbahasan dan penceritaan mengenai tokoh agung bangsa Melayu ini, mari kita sama-sama menghayati dan mengaminkan doa yang ditulis dan dimuatkan oleh Syeikh Wan Ahmad al Fattani untuk bangsa Melayu dalam kitab Hadiqatul Azhar wa al-Rayahin ini ;
[Ya Allah ta’ala] Menaruh mereka itu akan cemburu pada segala hati mereka itu dan membesarkan segala himmah mereka itu, dan menghadapkan inayah mereka itu, dan menyungguh-menyungguhkan usaha mereka itu pada[nya] bahawa dijadikan segala negeri mereka itu bendahara ilmu, dan perladungan [pusat pembibitan] kepandaian, dan membukakan segala mata anak jenis mereka itu kepada memandang cemerlang, kebijakan dan handalan.
Supaya ada kelihatan kemegahan bangsa Melayu antara segala alam. Dan tertinggi nama mereka itu antara Bani Adam. Dan bertambah-tambah kelebihan ulama mereka itu atas segala ulama. Dan bertambah nyata agama mereka itu atas segala agama. … hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekalian bangsa dengan kepandaian, dan bijaksana, dan kepetihan [?], dan banyak ilmu…
Maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan [wilayah] mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru [musuh-musuh dari luar] …
[Ya Allah] Serta dilanjutkan zaman duli-duli tuanku serta zuriat tuanku raja-raja Melayu di dalam hening kerajaan yang tiada mencampuri akan dia qadr dan menyakiti oleh ajanib [bangsa asing].
Dan dilimpahi dengan ni’mat dan rahmat, dan kekayaan yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi Agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib [keunggulan atas bangsa asing]. Dan tertamadun dengan dia oleh siyasah mereka itu sebagai tamadun yang muwafakat dengan Syarak..”
Amin ya rabbal alamin
Sumber Rujukan:
1. Kitab Perubatan Melayu tulisan Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani yang diperkenalkan oleh Mohd Affendi bin Mohd Shafri. Khazanah Fathaniyah dan Klasika Media. (2015)
2. Koleksi Artikel Utusan Online tentang Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani.

Copy and paste:
27/12/2024: 8.48 p.m

Monday, 18 December 2023

Ensiklopedia Nusantara: Tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin Pedoman Ilmu Falak Melayu

Oleh AllahyarhamWan Mohd Shaghir Abdullah

SYEIKH Muhammad Tahir bin Muhammad bin Jalaluddin Ahmad bin 'Abdullah al-Minankabawi atau Syeikh Tahir Jalaluddin, ulama berasal dari Minangkabau banyak menulis mengenai ilmu falak.

Sebenarnya, sebelum kemunculan Syeikh Tahir Jalaluddin, ada beberapa ulama dunia Melayu yang ahli dalam bidang ilmu falak. Ulama falak sezaman dengannya, termasuk Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (di Makkah), Syeikh Jamil Jambek (Minangkabau, Sumatera Barat), Syeikh Abdullah Fahim (Pulau Pinang) dan Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan (Muar, Johor).

Dalam ruangan kali ini hanya memperkatakan tulisannya mengenai falak.

Di antara tulisannya adalah:

Natijatul ‘Umur

Tulisan ini selesai ditulis pada 1355 hijrah/1936. Ia dicetak oleh Penang Printer Press, Pulau Pinang pada 1355/1936.

Kandungannya bagi mendapatkan perkiraan/perhitungan pada takwim tarikh hijri dan miladi; arah kiblat dan waktu sembahyang yang boleh digunakan selama-lama hidup.

Data diperoleh daripada naskhah yang pernah dimiliki M Zain Abdullah. Pada Sabtu, 16 Jamadilawal 1420/28 Ogos 1999 ia diserahkan pula kepada saya oleh Fauziyah M Zain Abdullah di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau, Indonesia.

Jadawil Pati Kiraan Pada Menyatakan Waktu Yang Lima Dan Hala Qiblat Dengan Logharitma.

Ia selesai ditulis pada 15 Syaaban 1356. Cetakan pertama oleh Al-Ahmadiah Press Singapura, 1357/1938. Dicetak dalam bentuk kombinasi tulisan Melayu/Jawi dan Latin/Rumi.

Kandungannya membicarakan perhitungan falakiyah. Pada halaman 13, dicatat bahawa guru beliau bernama al-'Allamah Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khaiyath, ulama al-Haram al-Makki mengajar pelbagai ilmu di Masjidil Haram, khususnya ilmu hisab (matematik) dan ilmu falak.

Ulama itu kemudian dilantik menjadi Syeikh al-Islam Kedah. Ulama itu meninggal dunia di Batu Uban, Pulau Pinang pada Rabu, 17 Rejab 1333.

Nukhbah at-Taqrirat fi Hisab al-Auqat wa Sammath al-Qiblat bi al-Lugharitmat

Naskhah ini tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Cetakan pertama oleh Royal Press, 745 North Bird Road, Singapura, 1356/1937.

Kandungannya membicarakan kaedah ilmu falak. Huraiannya ditulis dalam bahasa Arab, sedangkan jadual yang menggunakan angka ditulis dalam angka Rumi/Latin.

Risalah yang ada pada saya, asalnya milik Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Kadi Muar, Johor. Beliau memperolehnya sebagai hadiah daripada pengarangnya, Syeikh Tahir Jalaluddin sendiri, tertulis,Hadiyah wa tazkir li hadhrat al-Fadhil Tuan Haji Abu Bakar ibnu Hasan, bekas Kadhi Muar, minal muallif al-haqir Muhammad Thahir Jalaluddin’.

Daripada kitab hadiah itu dapat diambil kesimpulan bahawa hubungan silaturahim antara Haji Abu Bakar dengan Syeikh Tahir Jalaluddin tetap kukuh walaupun berlaku polemik dalam pegangan dan pemikiran mengenai Islam kedua-duanya. Masing-masing mengarang kitab membantah pihak lawannya.

Haji Abu Bakar daripada golongan ulama ‘kaum tua’ dan Syeikh Tahir Jalaluddin pula golongan ulama ‘kaum muda’.

Al-Qiblah fi Nushush 'Ulama' asy-Syafi'iyah fi ma Yata'allaqu bi Istiqbal al-Qiblah asy-Syar'iyah Manqulah min Ummuhat Kutub al-Mazhab.

Ia ditulis dalam dwi bahasa, Arab dan Melayu, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping 1951, atas kebenaran mengecap (mencetak) oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, No. (18) dlm. Pk. Red. Dept 110/50, bertarikh 21 September 1950. Dicap dan dikeluarkan oleh Yahya 'Arif Kuala Kangsar.

Kandungannya membicarakan falak dalam menentukan arah kiblat.

Risalah ini mendapat pujian ulama seperti Haji Zubeir bin Ahmad Ismail Bukit Candan, Kuala Kangsar, Guru Besar Madrasah Idrisiyah, tarikh 23 Mac 1950.

Ada lapan ulama yang mengesahkan yang hampir semuanya ‘kaum tua’. Hal ini menggambarkan walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin, tokoh ulama kaum muda, namun daripada beberapa segi pemikirannya masih diterima oleh kaum tua.

- dipetik daripada Berita Harian, Selasa, 25, Okt. 2005

Copy and paste:
18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 2.38 pm

Sunday, 17 December 2023

PENULISAN HADIS TOKOH ULAMA NUSANTARA

Koleksi tulisan Allahyarham Ustaz WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERBICARAAN ini adalah lanjutan dari ruangan yang lepas yang menyentuh mengenai perkembangan penulisan hadis ulama Asia Tenggara. Pada ruangan lepas telah disentuh dua perkara, iaitu: catatan mengenai Isnad ulama Asia Tenggara dan kitab-kitab hadis Melayu peringkat awal. Rentetan dari itu, perbicaraan ini diteruskan dengan penulisan hadis ulama-ulama yang berkaitan.

Kesemua sejarah biografi ulama-ulama yang terlibat dalam penulisan hadis ini pernah dibicarakan sebelumnya. Penumpuan perbicaraan untuk kali ini pula hanya kepada penulisan-penulisan hadis ulama Asia Tenggara tersebut. Berikut adalah sebahagian ulama-ulama yang berkait berdasarkan kajian penulis, iaitu:

Penulisan hadis Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin Al-Fathani

Ulama Fathani Darus Salam yang sezaman dengan Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri ialah Sheikh Abdul Mubin bin Muhammad Jailani Pauh Bok al-Fathani. Beliau menghasilkan karya-karya Sufi, tetapi belum ditemui karyanya mengenai hadis.

Dua orang anak beliau yang menjadi ulama, iaitu Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani (dikenali dengan nama Tok Lubuk oleh masyarakat Brunei Darussalam), manakala seorang lagi bernama Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani.

Sheikh Abdullah menghasilkan sebuah kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin, yang diselesaikan penulisannya tahun 1184 H/1770 M. Kitab tersebut juga masih beredar di pasaran kitab.

Karyanya yang pertama ialah terjemahan Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi. Terdapat tiga versi terjemahan beliau, ada yang lengkap merupakan terjemahan keseluruhan kandungan kitab asalnya. Namun, yang beredar di pasaran hanyalah merupakan terjemahan petikan-petikan kandungannya saja.

Versi yang sebuah lagi lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Dua versi yang agak lengkap tidak pernah dicetak. Beberapa manuskrip daripada ketiga-tiga versi tersebut telah dijumpai penulis, sekali gus menjadikannya koleksi sebagai bahan-bahan rujukan.

Penulisan hadis Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani

Di kalangan masyarakat pengajian Islam tradisional Asia Tenggara, nama Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tidak asing lagi bagi mereka. Namun bagi sesetengah orang hanya mengetahui bahawa keterlibatan penulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanyalah dalam ilmu-ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf saja.

Memang diakui ketiga-tiga ilmu itulah yang paling banyak ditulisnya, tetapi bukan bererti ilmu-ilmu lain tidak beliau tulis. Beberapa buah kitab mengenai hadis karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga dapat dikesan. Disenaraikan kitab-kitab itu berserta dengan keterangan ringkas mengenainya:

1. Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, disingkat kepada Hadis Imam Mahdi, diselesaikan malam Sabtu, Zulkaedah 1215 H/1800 M. Kitab tersebut merupakan terjemahan dari karya Sheikh Mirghani bin Yusuf. Lafaz hadis tetap dikekalkan dalam teks, sesudah itu diterjemahkan secara langsung ke dalam bahasa Melayu. Kebanyakan yang terkandung di dalamnya ialah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi.

Dalam penelitian penulis, ia merupakan karya yang pertama sekali dalam bahasa Melayu yang membicarakan hadis mengenai Imam Mahdi secara lengkap.

2. Kasyful Ghummah, diselesaikan tahun 1236 H/1822 M. Kitab ini merupakan terjemahan dari Kasyful Ghummah karya Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya'rani. Cetakan pertama kitab ini (1303 H/1885 M) diusahakan dan ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.

3. Hikayat Imam, belum dijumpai. Penulis difahamkan oleh beberapa orang tua-tua di Patani bahawa kitab ini merupakan ilmu rijalil hadis. Dengan demikian dipercayai bahawa Hikayat Imam ini adalah merupakan kitab yang pertama sekali dan merupakan satu-satunya dalam bahasa Melayu yang membicarakan ilmu rijalil hadis.

Jika kita kaji penulisan mengenai rijal hadis dari zaman dulu hingga sekarang, dilihat ilmu rijal hadis memang agak ketinggalan. Bahkan hingga ke zaman kita belum dijumpai karya Melayu yang khusus tentang itu dalam tulisan Rumi/Latin.

4. Dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasawuf juga banyak membicarakan hadis. Di antaranya pada mukadimah Bughyatut Thullab banyak diperkenalkan hadis, demikian juga dalam Jam'ul Fawaid, dan lain-lain.

Penulisan hadis Sheikh Nawawi Al-Bantani

Nama lengkap ulama yang berasal dari Banten, yang terkenal ini, ialah Sheikh Muhammad Nawawi bin 'Umar ibnu 'Arabi bin 'Ali al-Bantani al-Jawi (lahir 1230 H/1814 M) adalah cucu murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Karya yang dihasilkan demikian banyak semuanya berupa syarah yang ditulis dalam bahasa Arab, yang khas membahas mengenai hadis terdapat dua buah, iaitu: Tanqihul Qaulil Hatsits bi Syarhi Lubabil Hadits, yang disingkat kepada Tanqihul Qaul sahaja dan Nashaihul 'Ibad Syarhul Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad.

Keterangan ringkas mengenai Tanqihul Qaul adalah sebagai yang berikut: Kitab ini adalah merupakan syarah daripada Lubabul Hadits karya Imam Suyuthi. Terdapat dua versi syarah dan dua edisi cetakan yang dilakukan oleh Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut, kedua-duanya tanpa menyebut tahun selesai mengerjakan syarah.

Edisi cetakan yang pertama dalam bentuk ukuran kitab tradisional, semua hadis tanpa harakat atau baris. Edisi cetakan yang satu lagi dalam bentuk buku moden, yang semua hadis diberi tanda baris.

Kitab Lubabul Hadits disyarah Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab, ada sebuah syarah lagi yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Al-Jauharul Mauhub. Kedua-dua ulama itu hidup sezaman di Mekah.

Apabila kita banding kedua-dua syarah yang ditulis ulama yang berasal dari Asia Tenggara itu, kandungannya sangat jauh berbeza. Di antaranya yang sangat ketara ialah pada syarah Sheikh Nawawi al-Bantani, beliau mulai mukadimah lebih menekankan pentingnya "isnad", oleh itu setiap hadis yang termaktub dalam Lubabul Hadits diberi penilaian menurut kaedah "Musthalah Hadits". Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan lebih mementingkan syarah menuju kepada perbaikan akhlak dan dihubungkaitkan dengan amalan yang dikerjakan sehari-hari.

Ditinjau dari sudut pengajian akademik moden, syarah Sheikh Nawawi Banten lebih dapat diterima, tetapi untuk kepada masyarakat luas tidak sampai pada sasarannya.

Dalam syarah beliau disebut nama-nama perawi hadis, isnadnya ada yang disebut sanad sahih atau sanad daif dan sebagainya. Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kelantan semuanya itu tidak dibicarakan, jika ada hanya sedikit sekali, namun bukannya beliau tidak mengetahui perkara itu, tetapi sasaran pendidikan dan dakwah tentunya telah dipertimbangkan supaya tepat pada sasarannya.

Oleh itu syarah Sheikh Wan Ali Kutan sangat meluas penyebarannya kerana karya tersebut lebih menyuburkan bagi tarbiyah rohaniah, yang menyentuh ke lubuk hati yang memang digemari oleh setiap insan baik yang khusus mahupun yang umum.

Mengenai Nashaihul 'Ibad, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M, merupakan syarah Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad, disingkat Munabbihat 'alal Isti'dad saja, karya Sheikh Syihabuddin Ahmad ibnu Ali bin Muhammad bin Ahmad asy-Syafie atau lebih popular dengan sebut Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani.

Lebih 250 hadis yang dibahas di dalamnya. Pada mukadimah Sheikh Nawawi al-Bantani menyebut bahawa beliau mengambil tabarruk daripada dua buah hadis yang beliau terima daripada dua orang gurunya.

Hadis yang pertama diijazahkan oleh al-Allamah Sheikh Muhammad al-Khatib asy-Syami (al-Madani) al-Hanbali ibnu Uthman bin Abbas, daripada sheikh-sheikh yang berhubung terus hingga sampai kepada Abi Zar al-Ghifari r.a, daripada Nabi SAW.

Hadis yang kedua diijazahkan oleh al-Allamah Saiyid Ahmad al-Marsafi al-Masri, sesudah diijazahkan oleh Saiyid Abdul Wahhab ibnu Ahmad Farahat asy-Syafie, daripada sheikh-sheikh yang musalsal hingga kepada Abdullah ibnu Amru bin al-As, daripada Nabi SAW.

Jika dibandingkan kedua-dua kitab hadis karya Sheikh Nawawi al-Bantani, Tanqihul Qaul dengan Nashaihul 'Ibad, maka Nashaihul 'Ibad lebih banyak dikenal oleh masyarakat seluruh Asia Tenggara kerana banyak diajarkan di pelbagai pondok.

Penulisan Hadis Sheikh Wan Ali Kutan

Sebagaimana di atas telah dibandingkan agak ringkas antara syarah Sheikh Nawawi al-Bantani dengan syarah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani atas sebuah matan hadis Lubab al-Hadits karya Imam as-Suyuthi. Maka sebagai maklumat tambahan, dirasakan perlu karya beliau disenaraikan juga. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, disingkat Al-Jauharul Mauhub saja, diselesaikan di Mekah, pada malam Selasa, 2 Jumadil Awwal 1306 H/1888 M.

Cetakan awal kitab ini ditashhih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, terdapat 27 bait puisi beliau dalam bahasa Arab pada cetakan-cetakan mutawal. Selain terdapat cetakan yang tersendiri kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan ini juga dicetak pada semua cetakan Siyarus Salikin yang diletakkan di bahagian tepinya.

Penulisan hadis Sheikh Ahmad Al-Fathani

Umum telah diketahui dalam apa jenis ilmu keislaman yang berkembang di Asia Tenggara, Sheikh Ahmad al-Fathani terlibat selaku penulisnya termasuk juga mengenai hadis. Mengenai hadis terdapat tulisan beliau dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah: Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, disingkat Bisyaratul 'Amilin, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi Dengannya, Hadits-hadits Pilihan, Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.

Mengenai Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, kitab hadis ini diselesaikan di Mekah, pada malam Ahad, 14 Rabiul Akhir 1304 H/1887 M. Memperhatikan tahun selesai penulisan kitab hadis ini (1304 H/1887 M) bererti lebih dulu daripada karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani, iaitu Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) dan karya Sheikh Nawawi al-Bantani, iaitu Nashaihul 'Ibad (1311 H/1893 M). Namun begitu kedua-dua ulama tersebut adalah sebaya dengan Sheikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah Sheikh Ahmad al-Fathani. Bahkan kedua-dua ulama tersebut termasuk dalam senarai guru Sheikh Ahmad al-Fathani juga.

Cetakan pertama kitab ini oleh Matba'ah al- Miriyah Mekah,1304 H/1887 M, kemudian terdapat beberapa edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang. Pada mukadimah Bisyaratul 'Amilin, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa beliau tinggalkan sanad hadis kerana untuk keringkasan, lagi pula sudah cukup berpegang kepada pengambilan kitab-kitab yang muktamad lagi masyhur.

Kitab-kitab rujukannya disebut pada halaman akhir kitab tersebut, ialah Riyadhus Shalihin karya Imam Nawawi, Al-Jami'us Shaghir dan Lubabul Hadits karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi , Tanbihul Ghafilin dan Qur-ratul 'Uyun karya Al-Faqih Abi Laits as-Samarqandi , Mukhtasar Tazkirah al- Qurthubi, disingkat Tazkirah al- Qurthubi saja karya Imam Abdul Wahhab asy-Sya'rani dan lain-lain.

Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al- Fathani seorang pakar/ahli ilmu-ilmu hadis, terbukti pada jawapan beliau atas pertanyaan hadis yang tersebut dalam Ihya' 'Ulumid Din karya Imam al-Ghazali mengenai menggunakan garam dahulu daripada makan dan disudahi dengannya, apakah hadis itu sahih atau tiada sahih.

Sheikh Ahmad al-Fathani menjawabnya dengan huraian yang agak panjang berdasarkan ilmu Mushthalah Hadis dan menyentuh Rijal Hadis. Beberapa nama ulama dan pendapat mereka, serta kitab-kitab mereka beliau sebut.

Nama kitab dan ulama penyusunnya yang beliau sebut di antaranya ialah: Syarah Ihya Ulumid Din karya Saiyid Muhammad al-Huseini az-Zabidi, Kitab al-Maudhu'at karya Ibnu Jauzi, Kitab as-Sya'bi karya Imam Baihaqi, Kitab Taqribit Tahzib karya Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-La-ali al-Mashnu'ah karya Imam al-Hafiz as-Suyuthi, Kitab Akhbar Isbahan karya Abu Abdullah bin Mandah, Kitab Al-La-ali al-Marsu' karya Saiyid Muhammad Abil Mahasin al-Qawaqaji, Asnal Mathalib fi Ahadits, disingkat Asnal Mathalib karya Sheikh Muhammad bin Saiyid Darwisy al-Bairuti, dan lain-lain.

Bahasan hadis oleh Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai ini ditulis dalam bahasa Arab kemudian diterjemahkan oleh anak saudaranya Tuan Guru Haji Daud bin Ahmad al-Fathani, Pondok Bukit Rahmah, Tanah Merah, Kelantan. Sebahagian daripada terjemahannya dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada pandangan penulis bahawa karya hadis yang tersebut cukup tinggi nilai ilmiahnya.

Mengenai Hadis-Hadis Pilihan masih berupa manuskrip, belum pernah diterbitkan. Kandungannya merupakan sekumpulan hadis yang penting untuk dihafal sebagai asas. Ada pun mengenai Rijal Hadits juga masih dalam bentuk manuskrip yang tidak lengkap. Karya ini merupakan catatan Sheikh Ahmad al-Fathani tentang nama seseorang ulama hadis dan ulama-ulama lainnya, dengan catatan nama yang panjang seberapa yang boleh diketahui mulai nama diri hingga ke atasnya.

Dicatatkan juga nama guru mereka seberapa yang boleh diketahui serta lengkap dengan sanad dan tahun lahir serta wafatnya. Sungguhpun catatan beliau ini banyak yang hilang (tidak lengkap), bagi penulis sangat penting sebagai asas dan pedoman, kerana mungkin satu ketika nanti pekerjaan tersebut akan diteruskan.

Copy and paste:
17 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 10.57 pm

Thursday, 30 December 2021

Jejak Ulama Nusantara - Syeikh Syamsuddin al-Sumatra-i


SUMBER: 
Posted by Cahaya Sufi > FB Kisah Sejarah Melayu

Wali Allah Syeikh Syamsuddin al-Sumatra-i ( Meninggal dunia pada tahun 1630 )
Nama penuhnya ialah Syeikh Syamsuddin Bin Abdullah al-Sumatra-i. Beliau dilahirkan di Pasai (Acheh)
Awal pendidikannya secara terperinci tidak dapat diketahui, hanya diperkatakan bahawa beliau adalah murid kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri. Ada juga pendapat menyebut bahawa beliau pernah belajar daripada Sunan Bonang, iaitu seorang Wali Allah di tanah Jawa. Sejak kecil Syaikh Syamsuddin sudah menguasai berbagai studi ilmu baik ilmu fikih Aqidah, tauhid, tasawu, tafsir dan lainnya.terutama di bidang tasawuf Syaikh Syamsuddin telah banyak mempelajari dan menguasai kitab tasawuf lama diantaranya kitab Al-Futuhat Al-Makkiyah dan Fusush Al-Hikam karya Ibnu Arabi, Al-Insan Al-Kamil karya Syaikh Abdul Karim Al-Jili, Nafahat Al-Ilahiyyah karya Shadruddin Al-Qunawi, Risalah Al-Qusyairiyah karya İmam Al-Qusyairiy, Ihya Ulumuddin karya İmam Al-Ghazali, Qutul Al-Qulub karya İmam Abu Thalib Al-Makki san lain sebagainya.
Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i adalah seorang ulama yang menguasai bahasa Parsi dan pernah menjadi Qadi al-Malikul Adil atau Mufti Besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636)
Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri berpengaruh kepada Sultan Iskandar Muda demikian juga halnya dengan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Sebarang urusan istana, Sultan Iskandar Muda sentiasa menyuruh orang memanggil Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu.
Demikian besar pengaruh Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i terlukis dalam Hikayat Aceh, “Hatta maka tatkala sampailah umur Sultan Husein Syah itu kepada 10 tahun, maka sabda Raja Iskandar Muda kepada Mahkota Dailamcai, “Panggil olehmu akan daku Syeikh Syamsuddin, dan kadi, dan Malikul Adil, dan Perdana Menteri, dan segala hulubalang!”.
Syeikh Syamsuddin Asy-Syumatrani sebagaimana gurunya Syaikh Hamzah Al-Fanshuri merupakan seorang ulama Tasawuf Falsafi dan Tauhid Wujudi penerus pemikiran Syaikhul Al-Akbar Muhiyidin Ibnu Arabi. Bila Syaikh Hamzah Al-Fanshuri dijuluki Ibnu Arabi dunia Melayu maka Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani dijuluki Syaikh Abdul Karim Al-Jili nya Melayu.
Berbeza tarekat dengan gurunya, Syaikh Hamzah Al-Fanshuri pengaruh Tarekat Qadiriyah yang bercorak Persia, Iraq dan Suriah lebih dominan dalam penyampaian dakwanya. Sementara Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani ber tarekat Syattariyah yang lebih bercorak nuansa India lebih kental dalam menyampaikan dakwahnya.
Dalam uraian martabat tujuh, terlihat perbedaan dengan gurunya. Bila Syaikh Hamzah Al-Fanshuri mengutamakan pengalaman Dzuq (bathin). Maka syaik Syamsuddin lebih cenderung pada cara pemikiran filsafat. Sebab, pengalaman bathin akan lebih muda difahami dengan menggunakan pendekatan filsafat. Sebagaimana Ibnu Arabi

Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani di dalam kitab2 banyak membicarakan ilmu hakikat dengna cara simbolis seperti ibarat mata manusia dengan alam-alam Uluhiyah yaitu:
1. Putih mata dengan alam Nasut
2. Lingkungan hitam disekelilingnya selaput pelangi' dengan alam Malakut.
3. Selaput pelangi itu sendiri adalah alam Jabarut.
3. Mata hitam yg disebut basr (anak mata) diumpamakan alam Lahut.
Syaikh Syamsuddin Asy-Syumatrani banyak menulis berbagai Syair-syair sufi diantaranya syair martabat tujuh, ;
Hening lah laut semata-mata
Hapuslah sekalian rupa yang nyata
Pendeklah sini sekalian kata
Isyarat pun habis daripada cita
Mayoritas kitab-kitab membicarakan Maslaah ilmu hakikat dan ilmu-ilmu Asrar. Diantara karya penulisan beliau ialah :
1. Tanbihut Thullab fi Ma'rifati Mulkil Wahhab
2. Jawahirul Haqaiq
3. Risalatul Baiyin Mulahazatil Muwahhidin ‘alal Muhtadi fi Zikrillah
4. Kitabul Khirqah
5. Nurud Daqaiq
6. Mir-atul Iman
7. Mir-atul Mu’minin
8. Syarah Mir-atil Qulub
9. Mir-atul Haqiqah
10. Mir-atul Muhqqiqin
11. Risalah Jawami’il ‘Amal
12. Anwarud Daqaiq fi Kasyfi Asrarir Raqaiq
13. Da-iratul Wujud
14. Risalah Kasyfi Asraril Wujud
15. Bayanul Qulub
16. Risalah Pada Menyatakan A‘yan Tsabitah
17. Risalah Mitsalil Wujud
18. Risalah Pada Menyatakan Kelebihan Insan Daripada Sekalian Alam Yang Lain.
19. Kasyfu Sirrir Rububiyah fi Kamalil ‘Ubudiyah
20. Risalah Masa-il ‘llmil Haqiqah
21. Haqiqah as-Shufi
22. Haqqul Yaqin fi ‘Aqidatil Muhaqqiqin fi Zikri As-raris Shufiyinal Muhaqqiqin
23. Syarah Ruba’i Syeikh Hamzah al-Fansuri
24. Taukidul ‘Uqud
Beliau meninggal dunia, gugur syahid pada ketika membebaskan Melaka dari tangan Portugis tahun 1630 dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Ketek, Melaka.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amiin.
*Sumber - Syeikh Wan Mohd Shaghir.

Copy and paste:
30 Disember 2021 > 25 Jamadilawal 1443H: 1.14 pm


Sunday, 16 May 2021

SYEIKH IDRIS AL MARBAWI.


OLEH : KHAIRI KAMIL > MALAYSIAKU DULU DULU OFFICIAL

Kampung asal saya Kampung Lubok Merbau ,Kuala Kangsar Perak ,walaupun tidak berapa dikenali ramai ,namun disinilah berasalnya seorang ulama terkenal Nusantara bernama Sheikh Idris Al Marbawi yang juga merupakan tokoh Maal Hijrah yang pertama .
Syeikh Idris al-Marbawi merupakan seorang ilmuan yang masyhur di Nusantara, Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang bahasa Arab, tafsir, hadith dan fiqh. Ketokohan beliau dalam peradaban dan ketamadunan Islam Nusantara terserlah melalui sumbangan beliau sebagai tokoh penyusun kamus Arab-Melayu di Asia Tenggara. Beliau berperanan penting dalam membentuk pemikiran umat Islam di Nusantara melalui penghasilan sebuah kamus dwibahasa Arab-Melayu iaitu Kamus al-Marbawi yang menjadi sumber rujukan penting untuk memahami bahasa Arab yang merupakan bahasa sumber bagi al-Qur’an, al-hadith dan ilmu-ilmu Islam lainnya .
Kamus al-Marbawi diperakui mempunyai kesan menyeluruh kepada perkembangan Islam di Nusantara melalui penyediaan kosakata yang berperanan penting dalam perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Buktinya, ia telah digunakan secara meluas di pondok-pondok, madrasah, pesantren, sekolah agama malahan sebagai sumber rujukan di perpustakaan-perpustakaan institusi pengajian tinggi dulu sehingga kini.
Sheikh Idris Al Marbawi atau nama penuhnya Muhammad Idris bin Haji Abdul Rauf bin Jaafar bin Idris dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 / 1892 disebuah perkampungan Al Masfalah , Makkah Al Mukarramah . Nama al-Marbawi adalah gelaran yang diambil sempena nama kampung beliau iaitu Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Beliau merupakan seorang tokoh ulama terkenal dalam kalangan ulama Melayu-Malaysia. Beliau berperanan penting dalam membentuk minda umat Islam di Nusantara melalui penghasilan karya-karya beliau .
Pada waktu kelahirannya, kedua-dua ibu bapa beliau berada di Makkah untuk mengerjakan ibadah haji serta menuntut ilmu di sana . Bapa beliau Haji Abd al-Rauf bin Ja’far, berasal dari Minangkabau. Ibu beliau pula ialah Asma’ bt Haji Abdul Karim, berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak .
Sheikh Idris Al Marbawi tinggal dan besar di Makkah sampai tahun 1902 sehinggalah beliau berumur sepuluh tahun .
Syaikh Al Marbawi memperoleh pelajaran dan pendidikan agama sejak awal daripada keluarganya yang senantiasa memberi perhatian terhadap pelajarannya dan memberikan perhatian yang cukup bagi memastikan kejayaannya dalam bidang pendidikan. Jika diselusuri , proses pendidikan dan perkembangan ilmu Syaikh Idris Marbawi melalui tiga peringkat iaitu peringkat pengajian di Makkah, pengajian di Tanah Melayu dan pengajian di Mesir.
Pendidikan awal Syaikh al-Marbawi bermula di Makkah yang merupakan pusat perkembangan dan penataran ilmu pada waktu itu. Dalam usia empat tahun beliau sudah mampu menghafal al-Qur’an. Dua tahun kemudian, beliau di hantar ke sekolah Masfalah di kota Makkah yang terletak berhampiran dengan rumahnya. Di sekolah tersebut beliau memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam menghafal al-Qur’an.
Potensi beliau sebagai seorang bakal ulama terserlah dan terpancar melalui kekuatan ingatan beliau sehingga berjaya menghafal enam belas (16) Juz al-Qur’an ketika umurnya sepuluh tahun .
Keilmuan beliau banyak dicorakkan oleh suasana kehidupan beliau yang mementingkan ilmu semenjak kecil. Usia muda beliau telah digunakan sepenuhnya dalam suasana keilmuan khususnya bagi mendalami pembelajaran al-Qur’an, mempelajari ilmu berkaitan bahasa Arab yang dikenali sebagai ilmu alat seperti nahw, sarf dan balaghahserta ilmu tradisi Islam yang lain seperti usuluddin, fiqh, hadith, tafsirdan tasawuf.
Beliau dipercayai memperoleh pendidikan asas dari bapanya sendiri dan berkemungkinan besar menerima pendidikan dari beberapa ulama besar yang menetap di Makkah seperti Haji Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan (1837- 1912), Syeikh Nik Mat Kecik Fatani (1844- 1915), Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani (1856- 1908) dan Syeikh Wan Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi (1860-1916) .
Bagaimanapun semasa Sheikh Idris berumur sepuluh tahun pada tahun 1902 ,kedua ibu bapanya telah kembali ke Malaysia bersama sama dengan Sheikh Idris Al Marbawi dan menetap dikampung asalnya Kg .Lubuk Merbau Kuala Kangsar, Perak .
Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Kesungguhan Sheikh Idris Al Marbawi didalam menuntut ilmu telah digambarkan olehnya didalam satu catitan perjalanannya untuk menuntut ilmu dengan Tok Kenali diKelantan .
Sheikh Idris Al Marbawi ada mencatitkan pengalamannya sewaktu pulang dari menuntut ilmu . Katanya :
"...berjalan kaki dari Kelantan kekampungku selama dua puluh tiga hari dengan bertiga orang ..dengan menempuh hutan dan rimba siang dan malam lamanya ..telah dua hari mendapat kelaparan kerana putus bekalan beras .Dan jalan yang ditempuh itu adalah lorong gajah liar dan lorong perjalanan orang Patani ke Hulu Sungai Perak ditempat bernama Kandang dan ke Baling , Kedah ".
Kesungguhan yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Sheikh telah menyebabkan ayahandanya menyarankan kepada beliau agar kembali menyambung pengajian di Tanah Arab.
Bagaimanapun pada tahun 1920, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya iaitu Khadijah Mohd Idham.
Pada tahun 1924, Sheikh Idris kembali menjejakkan kaki ke Tanah Arab tetapi kali ini di Mesir. Di Mesir, ia menyambung pengajian di Universiti al Azhar dan berpeluang menimba ilmu kepada ulama-ulama
hebat
disana seperti Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi yang merupakan Shaykhul Azhar pada ketika itu dan Shaykh Abu al-Fadl al-Gizawi.
Beliau merupakan anak Melayu pertama kelahiran Perak yang melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir. Semasa di Universiti al-Azhar, beliau memberi penumpuan penuh dalam mendalami ilmu tawhid, hadith dan tafsir .
Antara guru beliau yang terkenal dalam bidang hadith ialah Syeikh Muhammad Ibrahim yang merupakan seorang sarjana di Universiti al-Azhar serta tenaga pengajar penting di Jami‘ al-Husayn, Kaherah .Setelah beberapa tahun di sana, beliau berjaya mendapatkan ijazah ‘aliyah (tertinggi) yang setaraf dengan ijazah sarjana muda sekarang di dalam bidang Shari‘ah Islamiyyah .
Dapatlah disimpulkan bahawa kegigihan dan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu merupakan elemen penting dalam pembangunan keintelektualan beliau.
Setelah tamat pengajian di Mesir, beliau tidak terus pulang ke tanah air, tetapi terus menetap di Mesir. Suasana keilmuan di Mesir berjaya mencorakkan beliau sebagai seorang ilmuwan. Beliau meneruskan aktiviti penulisan ilmiah di Mesir kira-kira 55 tahun.
Ketika berada di Mesir, Sheikh Idris mendapati ramai pelajar Melayu lemah dalam Bahasa Arab. Bermula dari sinilah timbul idea untuk beliau menyusun sebuah kamus Arab-Melayu bersama lima orang sahabatnya, antaranya ialah seperti Sheikh Junid Thala dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Bagaimanapun, Sheikh Idris akhirnya melakukan kerja menyusun kamus itu bersendirian apabila sahabat-sahabatnya tidak dapat turut serta sehingga akhir tugasan.
Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal dengan nama 'Kamus al-Marbawi' itu berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan khususnya di kalangan pelajar Asia Tenggara. Menariknya, kamus tersebut menjadi pemangkin kemunculan berpuluh-puluh kamus yang menggunakan samada bahasa pengantar Arab-Indonesia ataupun Arab-Melayu.
Kamus yang disusun oleh Sheikh itu mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak buat kali pertama oleh Matba'ah Mustafa al-Babiy al-Halaby Wa Awladihi di Mesir. Sehingga ke hari ini, ia masih lagi dicetak kerana wujud permintaan dari kalangan pembaca. Di Malaysia, kamus ini diterbitkan oleh Darul Nu’man dan Darulfikir. Walaupun memberi perhatian kepada penghasilan kamus sepenuh masa, Sheikh Idris tetap berjaya menyelesaikan pengajiannya dan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti berkenaan.
Selain dari Kamus al-Marbawi yang merupakan karya terbesar beliau ,Sheikh Idris juga telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang tafsir dan hadith. Dalam bidang tafsir, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna. Manakala dalam bidang hadith, Sheikh telah menghasilkan dua buah kitab iaitu Bahr al-Mazi dan terjemahan Bulugh al-Maram. Kitab Bahr al-Mazi adalah merupakan ringkasan dan ulasan kepada kitab hadith Sunan al-Tirmizi. Walaupun ia merupakan ringkasan kepada Sunan al-Tirmizi namun karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya yang terdiri dari 22 jilid ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fiqh, aqidah, tasawwuf dan muamalat .
Ketika berada di Mesir, beliau berkahwin untuk kali kedua dengan seorang wanita Arab iaitu Munirah bt Abd Wahhab. Beliau mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Manakala, beliau tidak dikurniakan zuriat hasil perkahwinan beliau dengan isteri keduanya, Munirah .
Sheikh Idris Al-Marbawi merupakan seorang tokoh yang mempunyai keazaman yang tinggi dalam kehidupannya. Berkat kesungguhan dan tekadnya, beliau mampu menguasai ilmu yang dipelajari sekaligus memanfaatkannya untuk kepentingan ummah melalui hasil penulisan dalam pelbagai bidang.
Antara sumbangan beliau yang utama ialah dalam bidang perkamusan di Nusantara iaitu Kamus al-Marbawi yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan beliau dan para penuntut ilmu di Timur Tengah dalam usaha memahami kuliah dan pengajian, bahan rujukan serta komunikasi yang berasaskan bahasa Arab. Penyusunan kamus ini membuktikan kecekalan dan kegigihan beliau dalam memajukan pendidikan ummah sejagat .
Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan serta diatas ketinggian intelektual beliau , Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980.
Manakala pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.
Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.
Sheikh Idris Al-Marbawi adalah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.
Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.
Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.
Sheikh Idris Al Marbawi mempunyai lapan orang adik-beradik dan beliau merupakan anak sulung. Adik-beradik lelaki beliau dari ibu yang sama ialah Haji Abdullah, Haji Tahir, Haji Harun, Haji Abdul Kadir dan Haji Hasan. Manakala dua orang adik beradik perempuan beliau berlainan ibu ialah Hajah Khadijah dan Hajah Hafsah .
Manakala ibunya Asma' bt Hj Abd.Karim mempunyai empat lagi saudaranya yang terdiri dari dua lelaki dan dua lagi perempuan .Antara adik beradik Asma' bt Hj Abd Karim adalah Hj Othman (Datok saya ) dan Hj.Mohd Daie .
Pada tahun 1985 ,beliau telah datang mengunjungi Al Marhum ayahnda saya dikediaman kami di Kampung Lubuk Merbau , Kuala Kangsar .Hendak dijadikan rezeki , pada masa kunjungannya itu saya secara kebetulan sedang bercuti dikampung dan saya telah mengambil peluang untuk bertanya khabar dengan ulamak terhebat di Nusantara
Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak.
Jenazah Al Marhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir .
Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali dengan nama Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga turut diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dan juga telah diabadikan kepada sebuah Masjid di Kampung asal kelahirannya .

C&P: 16/5/2021 @ 5 SYAWAL 1442H: 11.04 PM