Thursday, 21 August 2025

ANTARA ILMU HUTAN YANG PERLU DIKETAHUI

Oleh Shukri Ishak
Family Camping Malaysia

1. Lumut taik kera. Kalau kita jalan diwaktu malam, terutama di hutan padat dekat dengan air terjun atau sungai (macam kes saya kat Janda Baik), bila kita jalan dalam gelap, kita akan nampak ada benda bercahaya warna hijau ala² benda yang pendarcahaya. Benda yang bercahaya tu ialah lumut taik kera, bila siang tak nampak apa², bila malam dia akan keluarkan cahaya walaupun dengan sedikit bantuan cahaya dari bulan bintang. Yang bestnya, lumut ni hanya tumbuh didenai (laluan binatang atau orang), so kalau sesat, ikut je laluan ni diwaktu malam, insyaAllah tak langgar pokok.
2. Ular tedung. Kalau terserempak dengan ular masa dalam hutan, jangan buat gerakan mengejut stay still dan undur balik. Ular tedung tak mematuk bila kepala dia tengah kembang penuh, sebaliknya akan mematuk bila kepala dia kembang separuh je. Oleh tu, kita acah² bagi ular tu kembang penuh dengan ranting kayu dan berundur perlahan-lahan. - belajar dari orang asli.
3. Kera / lutong dan spesis yg sama. Spesis kera takkan lari bila kita libas dengan sebatang ranting kayu, in fact dia lebih lincah dari gerakan ranting kita. Untuk halau kera, patahkan pokok renek dgn daun dan ranting yg mengembang dan hayunkan kat kera tu baru dia lari (rasionalnya, ranting + daun yang kembang tu nampak lagi besar dari sebatang ranting) - belajar dari askar.
4. Harimau. kalau memancing dalam hutan, sedangkan dalam hutan tu bunyi penuh dengan unggas serangga, tiba² hutan tu jadi sunyi sepi, biasanya ada haiwan sedang mengendap terutamanya harimau, harimau akar dan beruang. Selepas hutan jadi 'diam', kemudian disusuli dengan bau hamis..confirm harimau..hehehe..apa lagi, bagi letup satu mercun bola la.. - belajar dari orang asli.
5. Beruang madu. Hutan paya kat Malaysia banyak beruang madu (yang kecil tu, sekerat pinggang dengan dada warna jingga), kalau terserempak, kita yang perlu menjerit dan buat seperti nak kejar, automatik beruang tu akan lari. -belajar dari orang asli.
6. Kepala air. Kalau berkhemah di tepi sungai, jangan buat khemah kat tepi air, buat dibahagian / kawasan yang pokoknya besar. Tandakan satu batu yang besar, kalau tengah malam batu tu hilang, maknanya air tengah naik la tu. - belajar dengan kaki pancing.
7. Tanda-tanda kepala air. Kalau hujan kat hulu, biasanya akan ada kepala air (air naik dari dalam perbezaan paras 5 kaki tak sampai 10 minit). Tanda² lain yang kita perlu tengok ialah kehadiran buih² putih kat tempat tak berbuih (kalau kat tempat air jatuh for sure ada buih) maksud saya kat tempat air mengalir biasa, tetiba ada buih2 halus timbul. Tu tandanya arus bawah lagi laju dari arus atas. Lepas itu, akan ada daun hanyut, barulah ada perubahan warna air, dari jernih ke warna keruh. Biasanya perubahan ni sekejap saja, dalam 5-6 minit sebelum arus besar datang (kepala air) sama kes kat Dam Chamang, Bentong. Saya dah kena. Tambahan lagi, kalau kepala air datang, bunyi air lebih kuat daripada biasa, dari kejauhan dah dengar.
8. Nak masak air. Jangan ambil air kat tepi sungai, ambil kat tengah sungai atau tempat yang mengalir deras. Rationalnya, tikus, rusa, kancil, babi kencing kat tepi sungai, arus akan tolak air kencing tu ke tebing. So, ambil yang tengah². - belajar dengan askar.
9. Binatang besar. Kera atau monyet akan lari dan buat bising bila ada bahaya i.e harimau, gajah, badak, seladang dll. Kalau dari jauh dengar bunyi kera buat bising tentu ada binatang besar tengah lalu. - belajar dengan orang asli.
10. Makan makanan yang dimasak i.e ikan bakar dll. Semasa kat hutan, kami mesti makan sampai habis dan hanyutkan / tanam lebihan makanan sebab bau makanan ni akan menarik perhatian beruang, kera, gajah untuk datang bertandang. - ni belajar dengan kaki pancing lain.
11. Buat semua perkara sebelum jam 5.00 petang. Biasanya, bila kami kat hutan, kami akan selesaikan semua urusan (masak, mandi, basuh dll) sebelum jam 5.00 petang. Sebab, dalam pukul 5 lebih, hutan dah gelap disebabkan oleh kanopi pokok dan kecondongan matahari. - belajar dari pengalaman.
12. Hutan yang bising dengan bunyi unggas lebih baik di waktu malam daripada hutan yang sunyi sepi. Bila hutan sepi, mesti ada sesuatu yang tak kena. - orang asli.
Ok, masuk bab amalan buka khemah (Rule dan sistemnya la, bukan amalan yang spritual).
1. Cari kanopi yang masih hijau. Bila dah tentukan nak pacak khemah, dongak ke atas cari pokok muda dan kanopi (rimbunan daun) yang masih hijau jadi, risiko kena hempap ranting dahan bila angin kuat rendah.
2. Ketinggian dari paras air. Bila dah tentukan mana bahagian yang lapang nak dipasang khemah, tentukan ketinggian khemah sekurang-kurangnya 4 kaki dari aras air sungai, kalau landai jangan buat khemah disitu, biasanya kawasan landai, akan ada banyak pokok² rendah dan renek maca. pokok senduduk dll..tu tandanya air selalu naik kat kawasan tu. Cari kat kawasan yang pokoknya besar².
3. Tentukan laluan / denai didalam radius kawasan 20 meter dari khemah. Jangan buat khemah didalam laluan denai, sebab laluan denai bukan untuk manusia sahaja, ianya adalah laluan binatang lain juga. Kang seladang tumpang tidur.
4. Bersihkan lantai tapak perkhemahan daripada daun dan pokok² renek (potong je pokok² kecik ni, nanti dia tumbuh balik). Pakai je ranting² pokok, sapu sampai nampak tanah dan tiada daun, so, risiko terkena sengat lipan, kala jengking dll tu kurang sikit.
5. Dah ready, baru tabur karbaid warna kuning tu.
6. Kalau pakai khemah jenis igloo atau T-shape, pasang khemah secara menghadap / berhadapan dan unggun api kat tengah.
7. Dalam nyalaan unggun api tu, standby beberapa batang kayu panjang. Sebolehnya, sesuai dengan jumlah orang yang pergi camping tu. Bila ada bahaya, perimeter diceroboh, apa lagi capai la kayu yang ada api ni sebagai senjata, parang dan pisau binatang tak takut. Api? confirm depa lari.
8. Kalau ikut pengalaman saya, kami memang buat perimeter, risau juga kot² ada binatang datang (beruang terutamanya) datang ke khemah sebab bau masakan kami. Kami suka buat pagar dengan tali tangsi disambung dengan loceng, terlanggar je tali tu, loceng akan bunyi.
Kredit: Segamat Outdoor World

Copy and paste:
21 Ogos 2025: 12.29 a.m

Wednesday, 20 August 2025

Kapal Mendam Berahi Yang Menjadi Lambang Kebanggaan Kesultanan Melayu Melaka


SUMBER: THE PATRIOTS
By Moustapha Abbas
19 July 2022

Sebaik melihat replika Flor de la Mar yang menjadi sebahagian daripada Muzium Samudera di Melaka, perkara pertama yang muncul dalam kepala ialah orang dulu tak boleh guna kapal lain ke sebagai replika? Macam seolah-olah kapal orang Eropah jauh lebih baik daripada kapal orang Melayu. Karutlah!

Sama ada pentadbiran ketua menteri tahun 1990 dulu pendek akal atau terikut-ikut kehendak bosnya dalam parti yang diwakili ketika itu. Yalah, kepala parti masa tu memang suka rendahkan Melayu dan perangai tuan punya badan tak berubah sampai hari ini. Agak dengan pilih Flor de la Mar, kononnya nak orang Melayu tahu ada bangsa lain lagi maju dan patut belajar dengan mereka. Hakikatnya, Melayu lagi maju bab perkapalan dari dulu lagi dengan contoh terbaik ialah kapal ghali Kesultanan Melayu Melaka (KMM), Mendam Berahi.

Tapi sebelum bercerita pasal Mendam Berahi, elok kita bercerita lebih dahulu kelebihan orang Melayu sebagai pelaut dan pembina kapal yang handal. Sebelum Conquistador mencetuskan huru-hara di Dunia Baru sekitar abad ke-16, orang Melayu pada abad ke-10 sudah berupaya membina kapal yang berukuran 25 hingga 35 meter panjang dan 12 meter lebar. Yang kata bukan calang-calang orang ya iaitu pengkaji arkeologi Nusantara yang berasal dari Jerman, Dr Horst H. Liebner.

Ini berdasarkan pengamatannya terhadap beberapa bangkai kapal karam yang ditemui sekitar perairan Indonesia. Kajian Dr Liebner mendapati kapal-kapal ini karam sekitar 930 hingga 990 Masihi akibat ribut. Tetapi itu tidak menafikan hakikat keupayaan kapal-kapal Melayu – jauh mengatasi orang China dan kuasa-kuasa Eropah. Ini kerana pada tempoh sama, China tidak mempunyai kapal bersaiz sedemikian di laut. Sementara kerajaan-kerajaan Eropah mempunyai kapal-kapal yang lebih kecil untuk tempoh sama.

Ini belum sebut kapal-kapal era Srivijaya lagi yang menjadi bualan orang China sejak abad pertama Masihi lagi. Dalam catatan mereka, kapal-kapal ini yang dikenali sebagai Kunlun bo (kapal-kapal Asia Tenggara) berukuran 50 meter panjang, menampung kargo seberat 600 tan dan berupaya membawa antara 600 hingga 700 orang.

Selain itu, Kunlun bo dibina tanpa menggunakan satu paku pun atas alasan ia mampu mencetuskan kebakaran atas kapal. Ia turut dilengkapi dengan kain-kain layar yang dipasang pada beberapa tiang dan beberapa lapis papan bersesuaian dengan saiznya di lautan. Mungkin orang gelar semua ini sebagai kuno tetapi ini menjadikan orang China merasa kagum dengan keupayaan orang Melayu sebagai pembina kapal.

Belum sebut lagi keupayaan orang Melayu sebagai pelayar samudera yang hebat. Menurut Profesor Lynda Shaffer dalam bukunya Maritime Southeast Asia to 1500, orang Melayu mampu merentas laut sejauh ribuan batu tanpa bergantung kepada carta pelayaran bertulis dan kompas. Ini dicapai dengan cara membaca pergerakan angin, bintang, warna air laut dan bentuk gelombang laut bagi mengetahui lokasi sesebuah kawasan. Ada ketikanya, mereka turut memerhatikan tingkah laku haiwan dan tumbuhan laut tertentu bagi mengetahui lokasi sebenar mereka dengan tepat.

Sekarang, tentang kapal pula. Agaknya orang tua yang suruh bina Flor de la Mar itu buta sejarah. Dia jahil tentang hakikat jong Nusantara (Melayu dan Jawa) mampu membawa ramai orang dengan kapasiti 1,000 tan. Jong yang terbesar ialah jong kepunyaan Kesultanan Demak yang diutus untuk membantu ekspedisi ketenteraan Sultan Mahmud Shah ke atas Melaka yang dikawal Portugal pada 1513. Ini berdasarkan rekod ramai orientalis Eropah termasuk cendekiawan Itali yang menjadi sebahagian daripada krew Ferdinand Magellan, Antonio Pigafetta.

Ini belum sebut kapal ghali dengan Mendam Berahi dikelaskan di bawah kategori ini. Kapal ghali ini sudah lama wujud sejak era Phoenicia, Rom dan Yunani serta digunakan sekitar abad kelima hingga ke-16 Masihi. Dalam taktik peperangan laut, kapal ini akan digunakan untuk melanggar kapal pihak lawan sehingga ia mengalami kerosakan atau karam. Selain itu, ia juga membantu mereka mendekati kapal-kapal musuh dan membenarkan tentera untuk mendarat dan menawan kapal-kapal berkenaan.

Akhirnya, yang ditunggu-tunggu: Mendam Berahi. Mendam Berahi merupakan sebuah kapal khas yang dibina untuk Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mansur Shah dengan tujuan meminang seorang puteri Majapahit bernama Raden Galuh Cendera Kirana. Mengikut catatan Hikayat Hang Tuah, kapal ini mengambil masa sekitar 30 hingga 40 hari untuk disiapkan. Bagi mempercepatkan proses pembinaan Mendam Berahi, figura-figura seperti Laksamana Hang Tuah dan Bendahara Tun Perak turut menghulurkan tenaga.

Sebaik saja ia siap dibina, ia menjadi sebahagian daripada tujuh buah kapal besar yang dibina untuk KMM. Tujuh kapal tersebut ialah Sairul Amin, Mi’ratus Safa, Mendam Berahi, Sekepar, Batil Tuasa, Rancung Mengkuang dan sebuah kapal yang tak bernama tetapi dibina oleh Hang Tuah. Menariknya, nama Mendam Berahi turut diberi oleh pahlawan Melayu terkenal itu.

Mendam Berahi bukan saja digunakan dalam banyak ekspedisi penaklukan KMM tetapi turut digunakan untuk misi-misi diplomatik. Salah satu daripadanya ialah misi diplomatik KMM ke Ryukyu sekitar pertengahan abad ke-15 yang diketuai oleh Hang Tuah.

Hubungan kedua-dua kerajaan dikatakan telah terjalin semasa era Sultan Muzaffar Shah tetapi menjadi lebih erat semasa era Sultan Mansur. Catatan hubungan diplomatik ini turut direkodkan dalam Rekidai Hoan (Dokumen-Dokumen Berharga Untuk Generasi Seterusnya), sebuah manuskrip dokumen kerajaan Ryukyu.

Selain Ryukyu, Mendam Berahi juga dikatakan pernah sampai ke Jeddah, Mesir dan Istanbul bagi membawa rombongan Hang Tuah mendapatkan meriam dan ubat bedil untuk KMM. Persinggahan di Jeddah dibuat bagi membolehkan ahli-ahli rombongan berpeluang mengerjakan haji di Baitullah. Sementara di Mesir pula, Hang Tuah singgah di situ bagi mendapatkan ubat bedil dan meriam-meriam daripada kerajaan Mamluk.

Dari situ, mereka singgah pula di Istanbul untuk menghadap pemerintah Turki Uthmaniyah ketika itu, Sultan Selim I dan menyatakan apa yang berlaku di Melaka termasuk kehadiran Portugal di rantau Nusantara. Ada yang berpandangan mustahil rombongan KMM dapat sampai ke Istanbul dalam tempoh 17 hari mengikut catatan Hikayat Hang Tuah atas alasan terusan seperti Terusan Suez belum wujud.

Tetapi yang membangkang terlupa orang Melayu amat mahir dengan ilmu lautan dan tahu cara untuk mempercepat pelayaran mereka seperti yang dinyatakan oleh Prof Shaffer dalam Maritime Southeast Asia to 1500. Disebabkan kelebihan ini juga, rombongan KMM dapat pulang ke Melaka selepas empat bulan berlayar. Sebelum berlayar pulang, rombongan KMM juga dikatakan berpeluang menunaikan solat dalam Hagia Sophia.

Namun begitu, Hikayat Hang Tuah tidak menyatakan apa nasib Mendam Berahi selepas pelayaran terakhirnya. Tidak mustahil semasa kempen penaklukan Melaka berlaku pada 1511, Mendam Berahi digunakan dalam pertempuran laut Melaka-Portugal sebelum ia mengalami kerosakan teruk dan karam.

Bagi orang Portugis, mereka mempunyai sebab untuk gerun dengan kapal berkenaan. Mengikut Hikayat Hang Tuah, kedua-dua kerajaan sudah mula berseteru sejak 1509 lagi dan ini diterjemah dalam bentuk pertempuran laut membabitkan Mendam Berahi dengan beberapa kapal Portugal. Dikatakan kapal tersebut berjaya menenggelamkan dua buah kapal musuh dengan kapten kapal Portugis terjatuh ke dalam air.

Insiden ini mendorong armada Melaka berundur ke Melaka. Logiknya, pihak Portugal boleh saja mengejar tetapi disebabkan kecederaan yang dialami panglima mereka, mahu tak mahu terpaksa berundur kembali ke Goa, India.

Impak Mendam Berahi pastinya diketahui Alfonso de Albuquerque terutama semasa berlayar di Mediterranean tidak lama selepas pertembungan mereka pada 1509. Kehadiran Mendam Berahi di Laut Mediterranean dan cubaan KMM mendapatkan bantuan Selim I pastinya mendorong Portugal mensasarkan kapal itu terlebih dahulu semasa menakluk Melaka pada 1511.

Kini, khabarnya replika Mendam Berahi akan dibina sebagai tatapan generasi mendatang. Projek penyelidikan dan pembinaan kapal ini akan diketuai oleh Institut Penyelidikan Matematik (Inspem) Universiti Putra Malaysia (UPM). Pelan pembinaan kapal akan dipengaruhi oleh maklumat-maklumat daripada pelbagai manuskrip termasuk Hikayat Hang Tuah dan dijangka siap pada tahun hadapan. Sekiranya hasrat ini menjadi realiti, ia dijangka menelan belanja sekitar RM10 juta.

Melaka tidak tumbang kerana pejuangnya berkeris dan tombak semata-mata. Melaka tidak tumbang kerana mundur dimamah penjajah. Dan Melaka tidak tumbang kerana tidak mampu bersaing. Tumbangnya Melaka adalah suatu tragedi sangat besar buat umat Melayu. Namun menghidupkan balik empayar silam melalui kenangan sejarah adalah suatu kewajipan pada semua. Buku ini membuka jendela untuk laluan masa kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka. 


RUJUKAN

  • Musa, H. (2019). TEKNOLOGI PERKAPALAN MELAYU TRADISIONAL: JONG DAN GHALI MEREDAH TUJUH LAUTAN. Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019, Kuala Lumpur.
  • Abdul Malik, M. (2022, 24 Mac). Kapal Mendam Berahi dibina semula. Harian Metro.
  • Srikandi. (2013, 19 Mei). Flor de la Mar.
Copy and paste:
20 August 2025: 11.02 a.m

TANAH MELAYU IALAH CIPTAAN BRITISH SEMATA-MATA?

Oleh:Helmi Effendy

Saya rasa pelik kenapa tanggungjawab membuktikan bahawa nama Tanah Melayu benar-benar sahih, seolah-olah bukti kewujudan “tamadun Melayu” mesti ditanggung sepenuhnya oleh pribumi Melayu, diletakkan begitu berat sebelah.

Di tempat lain, nama bangsa dan negara sepanjang sejarah sentiasa berubah. China menyebut dirinya Zhōngguó tetapi dunia juga lama mengenal “Cathay” dan “China”, dan mereka memanggil diri mereka sebagai Han. Perubahan nama ini tidak pernah menafikan Cina moden dengan tamadun mereka yang berusia 5000 tahun dari zaman Xia itu. Korea ada Goryeo, Joseon, Hanguk dan Chosŏn, pernah berdiri dengan pelbagai kerajaan seperti Silla, Joseon, Baekhae, tetapi dunia tidak pernah menafikan terputusnya setiap tamadun ini sebagai ketamadunan bangsa Korea.
Jepun memakai endonim Nihon/Nippon sementara dunia mengekalkan “Japan” dan mereka memanggil diri mereka sebagai orang Yamato. India mengekalkan dua nama rasmi, Bharat dan “India”, dan tamadun-tamadun di negara mereka memiliki pelbagai nama daripada Maurya, Chola, Mughal, Maratha dan pelbagai lagi. Namun, hari ini, kenapa kita tidak pernah memberatkan kepada orang India supaya dapat buktikan bahawa tamadun mereka ialah milik orang India moden, atau tanah mereka pernah digelar Bharata atau India suatu masa dulu?
Masalah utama esei “debunking” itu ialah ia menukar kerumitan sejarah menjadi garis lurus. Betul, rekod China awal tidak menyebut frasa “Tanah Melayu” kepada Semenanjung. Yang disebut ialah politi yang pernah dipangggil sebagai Malayu/Malaiu di Sumatra dalam jaringan Srivijaya. Tetapi itu bukan lesen untuk memutuskan Semenanjung daripada dunia Melayu seluruhnya. Dunia Nusantara silam ialah jaringan maritim yang tak terikat dengan pelabiuhan moden. Pelabuhan, selat, pelaut, pedagang dan ulama yang berulang-alik di kedua-dua kawasan. Membaca nama pada teks China seolah-olah peta negara moden, kemudian menuduh orang lain “romantis”, sebenarnya ialah anakronisme terbalik.
Bukti yang paling hampir dengan makna istilah itu datang daripada wacana Melayu sendiri. Dalam Hikayat Hang Tuah, “tanah Melayu” hadir sebagai ruang kuasa, adat dan pelayaran, toponim berasaskan etnonym, bukan nama perlembagaan moden. Watak-watak di dalamnya berulang kali menyebutnya sebagai destinasi dan lingkungan kedaulatan raja: “…berlayar ke tanah Melayu…”; ada juga ungkapan etos kuasa yang masyhur: “tiada adat hamba Melayu derhaka.”
Dua frasa ringkas ini sudah memadai menunjukkan bahawa sebelum British pun, “tanah Melayu” hidup dalam kosa kata politik-budaya istana, sebagai wilayah makna, bukan sempadan peta. Ini jauh sebelum kedatangan kuasa British yang membuat negeri-negeri Melayu Bersatu atau tidak bersatu dahulu!
Jika kita lihat ke pinggir dunia Melayu, jejaknya turut kelihatan. Prasasti Ligor/Chaiya (abad ke-8) di pantai timur Semenanjung menandakan jangkauan dan kekuasaan Srivijaya merentas selat, yang dimana penulis cuba menafikan Srivijaya yang dikenali sebagai Melayu dalam pandangan Khmer dan pewarisnya dipanggil Melayu oleh China pernah mencapah kekuasannya di Tanah Melayu. Sekali lagi, penulis mengekalkan pandangannya ke atas sempadan moden semata-mata apabila berbicara tentang sebuah politi, empayar dan kerajaan yang wujud di zaman silam.
Bahkan kita sendiri dapat melihat pada awal abad ke-16, penulis Portugis menggambarkan kawasan yang ditandai oleh “Melayu” di Sumatra timur dan sekitar Melaka.
Selepas 1511, apabila Sultan Mahmud mengundurkan diri dan menubuhkan pemerintahan buangan di Sumatra, Tomé Pires (1512–1515) menggunakan istilah Terra de Tana Malaio secara longgar, “Tanah Melayu”, untuk rantau Sumatra tenggara yang berhubung langsung dengan rumpun kuasa Melaka-Johor awal. Ini bukan nama “negara” moden, tetapi satu sebutan toponim-etnik yang orang luar pun pakai untuk menanda ruang dan kuasa Melayu.
Tiada satu pun bukti ini menyatakan wujudnya “negara bangsa” dalam erti moden, tetapi semuanya mengesahkan kesaling-terhubungan politik, agama dan dagang Sumatra-Semenanjung yang masuk akal jika orang zaman itu menamakan ruang itu menurut orangnya. Seorang sultan yang memerintah kuasa di semenanjung, pergi ke Sumatera pun dipanggil sebagai Tanah Melayu. Kesinambungan ini yang gagal dilihat oleh orang seperti pengumpul keris yang keras sangat memandang Sumatera dan Sememanjung sebagai dua entiti dan kawasan yang berbeza dek kerana sempadan moden hari ini.
Bahagian yang betul yang ditulis tentang kolonialisme ialah ya, British memang memformalkan istilah yang sudah beredar. Mereka meletakkan nama seperti “Negeri-Negeri Melayu” sebagai kategori pentadbiran, dan selepas episod Malayan Union, lahirlah Persekutuan Tanah Melayu (1948) hingga ke kemerdekaan (1957). Ini bukan bukti bahawa “tanah Melayu” dicipta dari kosong oleh kolonial, ini bukti bahawa istilah tradisi telah dipindah ke lapangan undang-undang moden, persis yang berlaku di banyak tempat lain di dunia apabila empayar bertukar menjadi negara bangsa.
Esei “debunking” menuduh orang lain bermain emosi dan kontinuiti palsu. Tetapi dia sendiri bergantung pada falasi “hujah daripada senyap”, kerana teks China tidak menyebut frasa tepat “Tanah Melayu”, maka istilah itu mesti moden dan palsu. Itu bukan cara adil membaca sumber. Nama tempat dalam sejarah jarang seragam, ia bergantung bahasa perantara, genre teks, dan tujuan penulis. Menuntut istilah seratus peratus sama dalam semua sumber lintas budaya untuk “mengesahkan” sesuatu nama ialah standard yang tidak dipakai pun untuk China, Korea, Jepun, India, Iran atau England. Mengapa tiba-tiba standard itu diwajibkan ke atas Melayu?
Jadi, mari letak perkara pada tempatnya. Ya, ada mitos romantik yang menyapu rata sejarah dan menobatkan “tamadun Melayu” sebagai segala-galanya, itu memang patut ditapis. Tetapi tidak, jawapannya bukan menafikan segala-galanya lalu menuduh “tanah Melayu” sebagai ciptaan kolonial semata-mata. Kebenaran yang seimbang, “tanah Melayu” ialah istilah wacana Melayu awal-moden yang menamakan ruang kuasa dan adat, jaringan maritim Sumatra–Semenanjung memberikan asas hubungan yang menerangkan mengapa istilah itu munasabah, dan era kolonial-nasionalis kemudian mengeraskan istilah itu menjadi nama politik moden. Itulah cara nama bangsa berfungsi di mana-mana. ia bergerak, bukan beku. Tidak ada nama bangsa moden di dunia ialah satu nama yang kekal keras, satu, tidak mengalami perubahan.
Hatta bangsa Arab yang purba itu pun memiliki panggilan seperti Arab memiliki istilah yang berbeza ikut evolusi sejarah mereka. Mereka asalnya ada Arab Baidah untuk suku-suku Arab yang pupus dalam sejarah, seperti kaum Tsamud dan Kaum Hud, kemudian mereka ada panggilan seperti Arab Ariba merujuk kepada orang Arab tulen, sebelum mereka muncul dengan istilah baru seperti Mustarabah untuk merujuk kepada orang Arab yang diArabisasikan seperti Nabi Ismail dan keturunannya! Ini menunjukkan betapa panggilan, nama setiap bangsa adalah berubah dan berevolusi pada setiap zaman. Memutuskan sebuah peradaban yang dibina oleh leluhur kami, hanya kerana istilah Melayu tidak berevolusi cukup seperti mana yang difahami sebagai konteks negara moden adalah juga, sejenis falasi Anakronism seperti pengumpul keris tersebut lakukan!
Akhirnya, kalau kita adil, kita tidak menuntut orang China membuktikan “Cathay” atau “China” mana yang paling asli, tidak memaksa Jepun menolak “Japan” kerana endonimnya Nihon, tidak menyoal India kerana mempunyai “Bharat” dan “India”, tidak menafikan Iran hanya kerana Barat lama menyebut “Persia”, dan tidak menuduh England palsu kerana ia pernah ditulis Engla land/Anglia/Engelond.
Dengan piawaian yang sama, “Tanah Melayu” berhak dibaca sebagai kesinambungan istilah tempatan yang dimodenkan, bukan sebagai mitos kosong atau rekaan kolonial. Kita tidak perlu romantik, kita cuma perlu konsisten. Ia tidak muncul dari ex-nihilio, ia adalah pengaruh kebudayaan-kebudayaan, kewujudan nama-nama Melayu dalam sejarah, yang berasal dari nama dinasti, kerajaan, budaya, dan kesinambungannya tidak boleh dicantas begitu sahaja!

Copy and paste:
20 Ogos 2025: 10.11 a.m


Monday, 18 August 2025

60 komando vs. 400 komunis (komando menang).


SUMBER: JHEV ATM

Operasi Gubir 2 (20 April - 3 Mei 1976)
Susulan kepada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil keputusan untuk melancarkan serangan balas terhadap musuh di sebuah kawasan yang disyaki kubu kuat mereka.
Dianggarkan 400 anggota pengganas berkubu di situ berserta dengan 3,600 jerangkap samar yang telah dipasang sekitarnya.
Operasi dirancang berdasarkan maklumat SEP (Surrendered Enemy Personnel) yang dikenali sebagai Abdullah. Dia mengatakan yang dia telah dilatih di sebuah kem di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Thailand.
Kem tersebut mampu menempatkan beberapa ratus pengganas komunis dan dilengkapi dengan generator elektrik dan juga mesin cetak. Bagaimanapun dia tidak dapat memastikan lokasi kem tersebut dengan tepat.
Seorang pegawai tentera mengatakan dia pernah nampak kawasan kebun sayur seperti yang dikatakan oleh Abdullah dan mahu beliau mengikutnya untuk mengecam kawasan tersebut.
Bagaimanapun Abdullah enggan kerana khuatir akan keselamatan dirinya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk melakukan tinjauan dari udara.

Formasi yang terlibat adalah seperti berikut :
  1. Markas 2 Divisyen Infantri - Mej. Jen Dato' Mahmood Sulaiman
  2. Markas 6 Briged Infantri - Brig. Jen. Dato' Arul Pragasam
  3. Rejimen Gerak Khas Malaysia (1 RGKM) - Lt. Kol Hasbullah Bon
  4. Markas Jurutera 2 Divisyen - Lt. Kol Mei York Chee
  5. No. 3 Skuadron Jurutera - Mej. Akhbar Khan
  6. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
Kekuatan Pasukan Penggempur - X Skuadron, 1 RGKM (60 sukarela)
  1. Ketua Skuadron - Kapt. Sudirman Haji Ahmad
  2. Ketua Terup - Lt. Aziz Rashid & Lt. Azizan
  3. Anggota Lain - Lain Pangkat (LLP) - 57 orang
Kekuatan Detasmen Jurutera - Gabungan 1 & 2 Terup, 3 Skuadron Jurutera. 
A. Ketua - Lt. M Basri (23 April hingga 25 April 1976) diambilalih Lt. M Mior Safian
b. LLP - 18 anggota

Tugasan Utama Jurutera - membantu pasukan komando RGK
a. membina tempat mendarat helikopter
b. membersihkan jerangkap samar

Serangan Udara
Pada 16 April 1976, jet-jet CL-41G Tebuan dari No.6 Skuadron dan F5E Tiger II dari No.12 Skuadron TUDM telah terlibat dalam melakukan serangan udara.
Beberapa jet Tebuan dilengkapi dengan minigun dan roket manakala sebahagian lagi membawa bom-bom 500 lbs.
Helikopter Allouette bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk menandakan sasaran.
Serangan pertama tidak memberi banyak kesan kerana kawasan hutan tebal cukup memberi perlindungan kepada sasaran.
Bagaimanapun serangan bertubi-tubi itu akhirnya berjaya membuatkan sebahagian besar pengganas komunis berundur ke sempadan Thailand melalui terowong khas yang telah mereka bina.
Laporan yang diterima keesokkannya menunjukkan terdapat kesan-kesan darah dikawasan sasaran.

Pendaratan Pasukan Penggempur.
Percubaan pertama gagal kerana mereka diserang terlebih dahulu oleh penganas komunis. Percubaan kali ke-2 diiringi oleh helikopter gunship Allouette.
Anggota-anggota komando Gerakhas (RGK) menggunakan 3 buah helikopter Nuri untuk masuk ke kawasan sasaran. Ini adalah satu-satunya cara 'insertion' kerana kawasan sekitar telah dipasang banyak jerangkap samar.
Helikopter ke-2 mula-mula menurunkan anggota, bagaimanapun teknik rapelling tidak dapat dilakukan kerana tali tersangkut dipokok.
Kaedah winching (menggunakan kabel yang dijana mesin) kemudian digunakan.
Bagaimanapun, kedatangan mereka disedari oleh pasukan musuh. Pengganas komunis menembak helikopter dengan pelancar grened M79 tetapi tersasar mengenai pokok.
Pertempuran berlangsung selama kira-kira setengan jam. Kedudukan tersebut akhirnya berjaya ditawan oleh RGK tetapi memakan korban dengan 11 anggota RGK terbunuh, manakala 22 pengganas komunis dapat dibunuh.
Mereka meneruskan pembersihan jerangkap samar di kawasan laluan dan menyediakan Landing Point (LP) untuk pendaratan anggota jurutera yang akan meneruskan kerja-kerja memusnahkan jerangkap samar serta membuat penyiasatan dan kajian lanjut keatas terowong yang ditemui.

Dalam proses pengeledahan dan pembersihan 3 anggota cedera RGK telah tercedera terkena jerangkap samar, mereka ialah:
  1. Sarjan Ahmad Jantan - cedera parah di kaki
  2. Truper Yaacob Hassan - cedera parah di kaki
  3. Truper Hussin Mahbeb - cedera parah di tangan
Pembersihan Dalam Terowong
Pembersihan di dalam terowong diteruskan pada 25 April 1976. Laluan dalam terowong yang telah dibersihkan dari jerangkap samar akan diletupkan.
Tugas ini dilaksanakan oleh Terup 1 dan Terup 2 dari 3 Skuadron Jurutera.
Ketika di dalam terowong, team yang diketuai oleh Lt. Meor telah berada jauh dihadapan. Lt. M Basri dengan ditemani L/Kpl. Abdullah pula menuruni 31 anak tangga didalam terowong tersebut. Mereka menggunakan lampu suluh kerana suasana di dalam terowong itu agak gelap.
Ketika itu Lt. M Basri terlihat satu guni beras yang diletakkan di sebelah kiri laluan dan mengesyaki terdapat jerangkap samar di situ. Beliau mengarahkan anggota-anggota lain mengikuti rapat di sebelah kanan.
Sebaik saja Lt. Muda Basri melangkah kakinya ke kanan, tiba-tiba berlaku satu letupan kuat. Dia rebah dan senjata yang dibawanya terpelanting. Dia telah mengalami kecederaan di punggung. Ketika itu juga L/Kpl. Abdullah menjerit memberitahu bahawa dia tercedera di bahagian dada.
Sememangnya jerangkap samar itu dipasang pada ketinggian yang menjadikan jantung sebagai sasaran. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah dan setibanya di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.

Tragedi Nuri Ditembak Jatuh - 26 April 1976
Sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan (untuk memusnahkan terowong) dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh pengganas komunis. Berikut adalah senarai mangsa yang terkorban didalam tragedi itu:
  1. Lt. (U) Chung Ming Teck PTU, No.10 Skuadron, Kapten helikopter
  2. Lt. (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, No.10 Skuadron, Co-pilot
  3. Sjn. Leong Yee Heng PTU, No.10 Skuadron, AQM
  4. Kapt. (U) Choo Yeok Boo PGB, No.7 Skuadron (Kapten)
  5. Kapt. (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, No.7 Skuadron (Co-pilot)
  6. Mej. Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
  7. Kapt Sulaiman bin Abdullah, 6 Briged Infantri
  8. Lt. Ibrahim bin Zakaria, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
  9. Sjn Kamis bin Dolmat, Batalion ke-3 RAMD
  10. L/Kpl. Kamarulzaman bin Zakaria, X Skuadron Rejimen Gerakhas (RGK)
  11. L/Kpl. Suandi bin Saim, X Skuadron RGK
Pada 27 April 1976, elemen jurutera dan sebahagian anggota komando dikeluarkan dari kubu pengganas tersebut setelah berjaya memusnahkan terowong dan bunker. Mereka bergerak menuju ke "extraction point".
Helikopter melakukan beberapa penerbangan ulang-alik sehinggalah ia disedari oleh sepasukan pengganas komunis. Penerbangan terpaksa dihentikan, baki 18 anggota komando RGK terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) disatu kawasan berhampiran LP (landing point) di mana sepasukan komando akan menanti ketibaan mereka untuk dibawa keluar.

The Great Escape
1 Mei 1976
Kumpulan 18 anggota komando itu diketuai oleh Lt. M Aziz Rashid (bersara Lt. Kol). Dianggarkan terdapat seramai 60 pengganas komunis mengepung lokasi mereka. Kawasan ini ditanam dengan anak pokok getah.
Pengganas komunis datang dengan menaiki lori. Lt. M Aziz memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan. Mereka diingatkan tidak menembak musuh kecuali kehadiran mereka sangat jelas kerana hendak menjimatkan peluru. Anehnya mereka tidak diserang pada malam itu.
Beliau sempat menghubungi Z Skuadron dan dia dimaklumkan helikopter Nuri tidak dapat mengambil mereka kerana lokasi didapati tidak selamat.
Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV dengan sepasukan komando yang telah ditugaskan untuk menyelamatkan mereka.

2 Mei 1976
Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 x helikopter Allouette (gunship) ke lokasi yang dilaporkan oleh Lt. M Aziz. Beliau telah mengarahkan Alouette tersebut menembak ke kawasan tertentu yang dipercayai ada pengganas komunis.
Setiap helikopter menghamburkan 200 butir peluru meriam 20 mm HE (High Explosive). Lt. M Aziz dan anggotanya bergerak keluar tetapi tidak mengikut "track" yang sedia ada dikhuatiri ianya telah dipasang jerangkap samar.
Dalam perjalanan mereka menemui sebuah kem pengganas komunis yang telah ditinggalkan secara tergesa-gesa mungkin untuk menyelamatkan diri dari serangan helikopter Allouette tadi.
Menyedari yang musuh akan terus memburu mereka menjelang malam, Lt. M Aziz mengarahkan anggotanya membuat "rumah batu" (hammock juga digelar Jungle Hotel - Jungtel).
Ini bukan kebiasaan bagi anggota komando kerana mereka biasanya tidur berhamparkan ponco diatas tanah. Rupanya ini adalah umpan untuk mengelirukan pasukan musuh.
Mereka bergerak meninggalkan lokasi itu dan menuju ke kawasan tinggi untuk membuat serang hendap.Seperti malam sebelumnya, arahan jangan menembak kecuali kehadiran musuh jelas.
Selain itu anggota diingatkan kemungkinan pengganas komunis akan memasang lampu suluh pada hujung kayu panjang dan menyuluh ke arah atas untuk mengelirukan penembak.
Sebagaimana yang dijangkakan, memang benar musuh menghampiri kawasan khemah (Jungtel) mereka kerana kelihatan cahaya lampu suluh menghala keatas.

3 Mei 1976
Menjelang pagi mereka turun semula ke Jungtel dan mendapati banyak kesan tapak kaki disitu, dianggarkan kira-kira 40 pengganas komunis telah menggeledah kawasan itu.
Mereka meneruskan perjalanan ke RV dan apabila tiba dikawasan sempadan Malaysia - Thailand terdapat tanda lakaran jerangkap samar yang dilekatkan pada 2-3 batang pokok.
Memang pengganas komunis akan meninggalkan tanda jika sesuatu kawasan itu telah dipasang jerangkap samar supaya kawan-kawan mereka akan menghindari kawasan tersebut.
Bagi mengelak dari terkena jerangkap samar, mereka mengikat 3 beg galas (haversack) dengan tali dan melontar ke arah laluan di hadapan.
Kemudian tali akan ditarik perlahan-lahan sekiranya ada jerangkap samar yang meletup, itu tidak akan memudaratkan mereka kerana mereka berada dalam jarak yang selamat.
Proses ini diulang sehinggalah mereka selamat tiba di kawasan RV. Sepasukan komando RGK dari Y Skuadron yang diketuai oleh Lt. M Rajasegaran telah menanti mereka. Inilah kali pertama dalam beberapa hari mereka berpeluang mendapatkan makanan.
Seterusnya mereka bergerak menuju ke LP dan diterbangkan oleh helikopter Nuri ke Kem Gubir. Ketika disana, Lt. M Aziz telah dimaklumkan pihak atasan telah menyediakan 18 keranda seandainya mereka tidak dapat kembali dengan selamat.
AL-FATIHAH BUAT PEJUANG TANAH AIR YANG GUGUR......
HAPUSKAN ANCAMAN PENGGANAS YANG MENGANCAM KESELAMATAN AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR

Copy and paste:
18 Ogos 2025: 8.36 p.m

Al-Biruni: Ilmuwan Islam Yang Mengukur Bumi Dengan Tepat Seribu Tahun Sebelum Satelit!

SUMBER: THE PATRIOTS

Oleh: Mazlan Syafie
Pada abad ke-11, lahirlah seorang sarjana besar di Khwarezm yang kini terletak di Uzbekistan. Namanya Abu Rayhan al-Biruni, tokoh hebat yang menggabungkan astronomi, fizik, matematik dan antropologi dalam satu sosok. Beliau sering disebut sebagai antara ilmuwan paling serba boleh dalam sejarah dunia Islam.
Antara pencapaian yang paling menakjubkan ialah kejayaan al-Biruni mengukur jejari bumi dengan ketepatan luar biasa. Berbekalkan ilmu trigonometri dan pengamatan dari puncak gunung, beliau mengira saiz bumi dengan hanya tersilap sekitar 1 peratus berbanding ukuran moden. Hakikat ini amat mengagumkan kerana ia dilakukan seribu tahun sebelum satelit dan teknologi GPS wujud.
Kaedah yang digunakan al-Biruni sangat bijaksana. Beliau mula-mula mengukur ketinggian sebuah gunung dengan bayang matahari, kemudian memerhati ufuk dari puncaknya. Dengan pengiraan segitiga, jarak ufuk itu diterjemahkan kepada jejari bumi. Proses ini menunjukkan betapa hebat penguasaan matematiknya serta keupayaan menggunakannya secara praktikal.
Kehebatan al-Biruni tidak berhenti pada pengiraan bumi semata-mata. Beliau menghasilkan karya astronomi lengkap dengan jadual kedudukan bintang dan planet. Hasil tulisannya membantu menjelaskan fenomena gerhana serta pergerakan planet yang hanya boleh dicapai dengan gabungan pengiraan matematik dan pemerhatian terperinci.
Dalam karya besarnya al-Qanun al-Mas’udi, al-Biruni menulis dengan ketelitian yang mengagumkan. Beliau membincangkan orbit planet, saiz bulan dan jaraknya daripada bumi. Walaupun sebahagian topik masih diperdebat, tahap ketepatannya membuatkan karya ini terus dirujuk selama berabad-abad.
Al-Biruni juga sudah mengulas tentang tarikan bumi terhadap objek yang jatuh. Walaupun beliau tidak merumuskannya dalam bentuk hukum formal seperti Newton, catatannya menunjukkan beliau sedar tentang konsep graviti. Ini membuktikan bahawa asas fizik telah muncul jauh lebih awal dalam dunia Islam.
Selain itu, beliau menyedari perbezaan kelajuan cahaya dan bunyi. Tanpa alat moden, beliau mampu memahami bahawa cahaya bergerak jauh lebih pantas daripada bunyi. Pemikiran sebegini mendahului penjelasan saintifik yang hanya muncul beratus tahun kemudian.
Al-Biruni juga meninggalkan sumbangan besar dalam ilmu bumi. Beliau menulis tentang asal-usul gunung, lapisan batuan dan kewujudan fosil. Pandangannya bahawa bumi sentiasa mengalami perubahan selari dengan konsep stratigrafi yang kemudian menjadi asas kepada geologi moden.
Keistimewaan al-Biruni terletak pada cara kerjanya. Beliau menekankan kepentingan pemerhatian yang sistematik, eksperimen berulang dan pengiraan matematik yang teliti. Pendekatan sebegini menjadi asas kepada apa yang hari ini kita kenali sebagai kaedah saintifik moden.
Dalam bidang antropologi pula, al-Biruni menguasai bahasa Sanskrit lalu menulis buku Tahqiq ma li al-Hind. Dalam karya ini, beliau membicarakan falsafah, agama, astronomi dan matematik India dengan penuh hormat. Ia dianggap antara karya awal dalam sejarah kajian perbandingan budaya.
Dalam buku itu, al-Biruni menilai adat dan kepercayaan masyarakat India secara objektif. Beliau menulis berdasarkan fakta tanpa menghina atau merendahkan budaya lain. Sikap terbuka ini jarang ditemui pada zamannya dan membuktikan keluasan pandangan dunia Islam terhadap ilmu.
Selain India, beliau juga mengkaji dan membandingkan kalendar pelbagai tamadun. Al-Biruni meneliti kalendar Mesir, Parsi, Yahudi dan Kristian untuk memahami cara manusia menyusun masa. Kajian ini bukan sahaja bersifat astronomi tetapi juga menghubungkan ilmu dengan budaya.
Beliau turut mereka bentuk dan memperkemas alat astronomi. Jam matahari, astrolab dan pelbagai instrumen lain dibangunkan dengan ketepatan tinggi. Dengan alat ini, beliau dapat membuat pengiraan yang membantu umat Islam menentukan waktu solat dan arah kiblat dengan lebih tepat.
Keberanian al-Biruni untuk menyoal juga mengangkatnya sebagai tokoh luar biasa. Beliau pernah membincangkan kemungkinan bumi berputar pada paksinya. Walaupun beliau akhirnya tidak menerima teori itu sepenuhnya, kesediaannya mempertimbangkan idea sebegini menunjukkan sifat kritis yang tajam.
Sepanjang hidupnya, al-Biruni menghasilkan lebih daripada 140 buku dan risalah. Sebahagian besar hilang ditelan masa, namun karya yang masih ada sudah cukup membuktikan kedalaman ilmunya. Beliau menulis dalam bidang farmasi, mineralogi, perubatan dan sejarah selain astronomi dan matematik.
Ketajaman fikiran beliau membuatkan ramai sarjana moden menggelarnya “Leonardo da Vinci dari Timur”. Malah ada yang meletakkannya sebaris dengan Newton kerana keluasan pemikirannya. Al-Biruni adalah bukti jelas bahawa dunia Islam pernah melahirkan tokoh sarjana yang benar-benar serba boleh.
Karya beliau memberi kesan besar kepada Eropah. Banyak tulisannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan menjadi rujukan di universiti-universiti Eropah. Dari situlah ilmu Islam mengalir masuk ke zaman Renaissance dan memberi tenaga baharu kepada dunia Barat.
Kehebatan beliau dalam menghormati budaya lain juga memberi pelajaran penting. Dalam dunia moden yang sering dibayangi prejudis, pendekatan al-Biruni membuktikan bahawa ilmu berkembang apabila manusia saling menghormati. Bagi beliau, ilmu adalah milik bersama yang melintasi sempadan bangsa dan agama.
Dalam konteks hari ini, cara al-Biruni mengukur bumi kekal luar biasa. Kita bergantung kepada satelit dan komputer, sedangkan beliau hanya menggunakan gunung, matahari dan ilmu matematik. Hasil pengiraannya hampir sama tepat dengan teknologi moden.
Inilah yang menjadikan al-Biruni tokoh yang benar-benar menakjubkan. Apa yang dicapainya lebih seribu tahun lalu masih dihargai ahli sains pada zaman moden. Ia adalah bukti bahawa tamadun Islam pernah berdiri di puncak keilmuan dunia.
Pelajaran yang kita boleh ambil daripada al-Biruni amat jelas. Kehebatan tamadun lahir apabila ada keberanian mencabar batas ilmu, menghormati kepelbagaian budaya dan berfikir secara saintifik. Warisan ini tetap relevan dalam dunia moden yang sedang mencari arah di tengah arus teknologi.
Legasi al-Biruni membuktikan bahawa ilmu mampu mengubah dunia dan menentukan arah tamadun. Dari gunung yang dipanjatnya hingga karya yang tersebar ke Eropah, beliau menunjukkan bahawa kejayaan lahir daripada keberanian berfikir dan menguasai ilmu. Kita juga mesti belajar daripada teladan ini, bergerak menjadi negara pengeluar ilmu dan teknologi supaya kita berdiri megah di pentas dunia.
___
Jika anda mahu menyelami bagaimana sarjana Islam membina asas ilmu yang hari ini menjadi nadi dunia moden, buku Zaman Keemasan Tamadun Islam adalah jawapannya. Ia menghimpunkan strategi, tokoh, dan kisah yang menjadikan dunia Islam pernah berdiri di puncak ilmu. Dapatkan naskhah anda di sini: https://s.shopee.com.my/8UuiebthJY

Copy and paste:
18 Ogos 2025: 3.29 p.m



Thursday, 14 August 2025

JEJAK AUSTROASIATIC

Oleh Sharifah Faizurah Albukhari
PUSAKA NUSANTARA OFFICIAL ORI (PNOO)
14 Ogos 2025

Bangsa Purba yang masih hidup diantara kita.
5,000 tahun lalu.
Belum ada Melayu. Belum ada Siam. Belum ada Vietnam moden. Yang ada hanyalah masyarakat petani awal, tinggal di tebing-tebing sungai, memahat gendang gangsa, mengukir tembikar corak siput, dan menenun kisah naga ke dalam mitos mereka.
Merekalah bangsa Austroasiatic, bangsa yang sunyi namanya, tapi jejak mereka melekat pada bahasa, darah, dan budaya kita sehingga hari ini

1) Asal-usul & Penyebaran
Kemungkinan di Lembah Mekong atau Asia Tenggara Daratan, ± 4,000–6,000 tahun lalu lalu menyeba dari Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Semenanjung Tanah Melayu, India Timur Laut hingga Pulau Nicobar.
Mereka lah perintis awal teknologi pertanian padi sawah ke Asia Tenggara.
Bukti arkeologi boleh dikesan seperti Ban Chiang (Thailand), An Sơn (Vietnam), Gua Cha (Kelantan).

2) Budaya
Dari tembikar bercorak spiral, zig-zag, titik halus contoh nya dram gangsa (budaya Dong Son).
Motif naga dan makhluk air dalam seni dan mitos sehinggalah kepada pengetahuan botani yang luas seperti herba ubatan, sayur liar dan tanaman hutan. Jangan lupa teknik fermentasi makanan seperti prahok (Kemboja), pla ra (Thailand), pekasam (Melayu).

3) Era Sebelum Austronesia: Kerajaan dan masyarakat setempat.
Sebelum Austronesia tiba ke kepulauan dan daratan, Austroasiatic belum membina kerajaan maritim besar tapi di daratan SEA, mereka sudah wujud dalam bentuk komuniti teratur yang menjadi asas kerajaan seperti Budaya Neolitik dan Logam Awal, Ban Chiang, An Sơn, Hòa Bình.
Proto-Funan di delta Mekong (akar kepada Kerajaan Funan). Dong Son di Vietnam Utara (± 1,000 SM) dimana bawa pengaruh teknologi meluas ke Nusantara. Juga Mon awal di Myanmar selatan.

4) Ciri Khas
Pertanian padi sawah dan sistem irigasi awal.
Kalendar musim berdasarkan tanda alam. Anyaman rotan dan buluh seperti bakul, bubu, tikar. Perhiasan manik dan batu berharga. Penempatan berpusat di sungai dan sawah.
Sistem totem dan klan berdasarkan haiwan atau unsur alam adalah antara ciri khas yang dapat dikenal pasti oleh penyelidik selain jejak bahasa, muzik dan ritual.

5) Bahasa
Rumpun Austroasiatic dapat dikenalpasti sehingga 13 cabang utama (Monic, Khmeric, Vietic, Pearic, Aslian, Khasic, Khmuic, Palaungic, Katuic, Bahnaric, Munda, Nicobaric, Shompen).
Penutur moden termasuk bahasa Khmer, Vietnam, Mon, Khasi, Munda, Orang Asli (Malaysia) pada waktu sekarang.

6) Kata Austroasiatic dalam Bahasa Melayu yang masih diguna sehingga hari ini.
Antara kata yang dikenal pasti oleh Waruno Mahdi dan pengkaji linguistik lain adalah seperti helang, semut, ketam, kerbau, bendang, lalang, dusun, sekam, ketiak, perut, geraham, ketuat, kembar, emas, panah, helai, sembah.
Hubungan dengan Alam Melayu dan Asia Tenggara.
Austroasiatic menetap di rantau ini ribuan tahun sebelum gelombang Austronesia tiba.
DNA Austroasiatic masih ada pada sebahagian orang Melayu (terutama di Kelantan, Kedah, Terengganu). Jejak Austroasiatic paling ketara pada hari ini adalah;
Kemboja, Khmer (Mon-Khmer) sebagai majoriti.
Malaysia Orang Asli Aslian (Temiar, Semai, Jah Hut, Mah Meri, Batek, Che Wong).
Laos dan Thailand Timur Laut, Orang Kuy, Khmer Surin.
Vietnam ,Vietnam dan etnik Vietic minoriti.
Myanmar Selatan, Orang Mon.
India Timur Laut, Orang Khasi, Munda.
Pulau Nicobar, Nicobarese.

Kesimpulannya, mereka bukan sekadar penghuni awal Asia Tenggara, mereka adalah "tanah" ini. Asas atau founder kepada penduduk asal rantau Asia Tenggara. Setiap kali kita menyebut “bendang”, “emas”, atau “kerbau”, kita sebenarnya sedang menyebut kata yang lahir dan wujud ribuan tahun sebelum gelombang Austronesia tiba di daratan dan kepulauan Asia Tenggara.
Austroasiatic bukan hanya sejarah , mereka masih hidup dalam bahasa, budaya, dan darah kita.

Sumber:
  1. Sidwell, P. & Blench, R. (2011). Austroasiatic Phylogeny and the Austroasiatic Homeland. Pacific Linguistics.
  2. Bellwood, P. (2017). First Islanders.
  3. Lipson, M. et al. (2018). Ancient genomes document multiple waves of migration in Southeast Asian prehistory. Science, 361(6397).
  4. Mahdi, W. (2005). Austroasiatic Loanwords in Austronesian.


Copy and paste:
14 Ogos 2025: 9.26 p.m

Tuesday, 12 August 2025

EVOLUSI MELAYU: DARI KAPAK BATU KE DNA GLOBAL

Oleh Sharifah Faizurah Albukhari
PUSAKA NUSANTARA OFFICIAL ORI (PNOO)
12 Ogos 2025 
Bila kita sebut “Melayu tulen”, yang mana satu? Proto? Deutro? Jati? Atau Moden? Siapa Melayu asli? Dari mana mereka datang? Bukan sekadar cerita lama, ini sejarah ribuan tahun yang terus mempengaruhi identiti kita pada hari ini dan seterusnya.
1️⃣
MELAYU PROTO (2500 SM – 1500 SM)
Siapa: Penduduk awal Nusantara, pemburu-pengumpul, perintis pertanian primitif.
Masyarakat pemburu-pengumpul dan perintis pertanian primitif di pesisir Semenanjung Malaysia, Sumatera, dan Borneo.
Lokasi: Pesisir barat, utara Dan timur Semenanjung Malaysia (Kedah Tua/Sungai Mas), Utara & barat Sumatera (Bukit Kerang), Pesisir barat Borneo (Kalimantan) Pesisir selatan Thailand (Patani).
SEA : Budaya megalitik mula berkembang di Jawa dan Sumatera. Migrasi awal manusia moden dan perkembangan teknologi batu dan tembikar kasar.
Dunia: Zaman Gangsa Awal di China (budaya Yangshao dan Longshan). Zaman Neolitik dan awal Zaman Gangsa di Eropah.
2️⃣
MELAYU DEUTRO (1500 SM – 500 M)
Siapa: Gelombang migrasi kedua dari Yunnan/Taiwan, membawa bahasa Austronesia, teknologi pertanian maju dan besi.
Pertanian semakin maju, perdagangan maritim berkembang di kepulauan Melayu, budaya Proto mulai berasimilasi
Lokasi:Semenanjung Malaysia (pantai barat , utara & timur), Sumatera (pantai timur & utara), Kalimantan (Borneo) pesisir, Kepulauan Riau, Pulau Bangka & Belitung
SEA: Empayar Funan di Lembah Mekong muncul sebagai pusat perdagangan dan budaya.
Budaya Dongson bermula (sekitar 1000 SM – 100 M) dengan teknologi gangsa dan muzik gangsa.
Dunia: Dinasti Han di China (206 SM – 220 M), pengembangan teknologi dan perdagangan Jalur Sutera. Empayar Maurya dan Gupta di India, kemajuan dalam agama dan seni.
Kerajaan Rom dan Greek di Eropah berkembang.
Awal zaman Kristen dan agama-agama lain mula tersebar.
3️⃣
MELAYU JATI/KLASIK (500 M – 1500 M)
Siapa: Keturunan Melayu Deutro yang mengekalkan adat, bahasa Melayu klasik, dan mula terima Islam sebagai agama dan asas budaya . Zaman penyebaran Islam, pembentukan kerajaan maritim Melayu klasik, penulisan sejarah Melayu klasik.
Lokasi: Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor (Semenanjung Malaysia), Palembang, Jambi (Sumatera), Kepulauan Riau, Pesisir Kalimantan
Patani (Selatan Thailand).
SEA: Kemunculan Empayar Srivijaya (abad ke-7 – 13 M) di Sumatera, kuasa maritim utama.
Kerajaan Melayu Melaka (abad ke-15) berkembang pesat sebagai pusat perdagangan Islam dan budaya. Penyebaran agama Islam dan pengukuhan adat serta bahasa Melayu.
Kerajaan Khmer di Kemboja mencapai puncak kemasyhuran (Angkor Wat).
Dunia: Zaman Pertengahan di Eropah, perkembangan feudal dan gereja.
Dinasti Tang dan Song di China, kemajuan dalam sains dan teknologi.
Kerajaan Islam berkembang di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Dinasti Tang/Song China
Penjelajahan awal dan perdagangan global mula muncul.
4️⃣
MELAYU MODEN / HIBRID (1500 M – Kini)
Siapa: Melayu yang terbuka kepada budaya asing (Cina, India, Arab Barat) melalui perdagangan dan penjajahan.
Lokasi: Bandar besar Nusantara, Komuniti Melayu di Singapura, Filipina Selatan, kawasan urban lain.
SEA: Penjajahan Portugis, Belanda, British dan Sepanyol bermula (abad ke-16).
Pengaruh budaya asing (Cina, India, Eropah) masuk melalui perdagangan dan penjajahan.
Perubahan sosial dan politik, kemunculan negara bangsa moden.
Globalisasi, urbanisasi, dan perkembangan ekonomi moden di rantau ini.
Dunia: Era Penjelajahan dan Revolusi Industri di Eropah.
Perang Dunia, kemerdekaan negara-negara dan pembentukan organisasi antarabangsa.
Era teknologi maklumat, digitalisasi, dan globalisasi.
Perubahan iklim dan cabaran dunia moden.
DNA MELAYU: KOMUNITI GENETIK YANG DINAMIK - Melayu Jati dan Moden adalah hasil campuran genetik Melayu Proto, Deutro, dan campuran India, Cina, Arab, Barat dan sebagainya dari zaman dahulu hingga kini.
Ini membuktikan Melayu bukan satu bangsa “tunggal tanpa campuran”. Mereka adalah hasil gabungan ribuan tahun migrasi, interaksi budaya, dan sejarah yang berlapis-lapis. Identiti Melayu adalah cerita hidup yang akan terus berkembang.
Sumber:
  1. Bellwood, Peter. The Austronesian Dispersal and the Origin of Languages (2005)
  2. Andaya, Barbara Watson & Leonard Y. Andaya. A History of Malaysia (2001)
  3. Wang Gungwu. The Nanhai Trade (1968)
  4. Zakaria, Kamal. The Archaeology of Southeast Asia (2011)
  5. Pawestri, K. & Kusuma, P. Mitochondrial DNA Analysis of Indonesian and Malaysian Populations (2009)
  6. Abdul Rahman Zakaria. Srivijaya: History, Religion & Language of an Early Malay Polity (2012)
  7. Reid, A. (2015). A History of Southeast Asia
  8. Hudjashov, G. et al. (2017). Genetic landscape of Austronesian expansions
  9. Oppenheimer, S. (2011). Eden in the East

Copy and paste:
12 Ogos 2025: 11.22 p.m