Showing posts with label SOLAT. Show all posts
Showing posts with label SOLAT. Show all posts

Friday, 21 July 2023

Tak Solat, Masuk Neraka. Solat Pun Kalau Cuai Dengan 3 Perkara Ini Pun Sama Je

SUMBER : ISLAM ITU INDAH

Hati-hati lah kita dalam mendirikan solat. Solat ini bukan setakat buat settle ja. Banyak benda yang kena ambil tahu tentang solat. Antaranya :

1. Wuduk
Perkara paling penting sebelum solat atau apa-apa ibadah yang kena ada wuduk. Tidak sah wuduk, maka tidak sahlah solat atau ibadah lainnya. Tidak sah solat, maka penat sahaja lah yang dapat.

2. Pergerakan solat
Setiap rukun fe’li harus dijalankan sempurna selagi mana mampu. Kalau tidak mampu, maka dimaafkan.

3. Thoma’ninah
Berhenti sebentar selepas rukun-rukun yang ada thoma’ninah padanya iaitu rukuk, iktidal dan sujud. Cukup sekadar menyebut ‘Subhaanallah’.

Salah satu hikmah kita mendirikan solat adalah untuk membentuk kita menjadi seorang yang tertib, berhati-hati dan sopan bila kita solat. Dan membawa sifat-sifat tu pada luar solat.

Orang yang benar-benar solat, sudah pasti di luar solatnya seorang yang tenang dan bersopan santun dengan makhluk lainnya. Semoga solat mampu membentuk keperibadian kita yang unggul dan baik.

Allah berfirman dalam surah al-Ma’uun ayat 4&5:

“NERAKA WIL LAH BAGI AHLI-AHLI SOLAT. MEREKA YANG DALAM KEADAAN LALAI KETIKA SOLAT MEREKA”

Dan posting Dai’ Luqman mendapat banyak pertanyaan tentang solat. Berikut adalah sebahagian kecil soalan daripada netizen:

Wuduk tidak kena telapak kaki
Soalan: Dai kalau kita berwuduk tapi tak kena telapak kaki sah kah solat kita?

Jawapan: Kalau telapak kaki tu tidak ada apa-apa yang jadi penghalang daripada dia berwuduk (sakit, bersimen etc.), maka tidak sah wuduk jika tak dibasuh. Wallahua’lam

Soalan: Macam mana lah solat sebelum ni dai? Tak sah kah? Kena qada balik?

Jawapan: Dimaafkan sebab kita tidak tahu. Tapi lepas ini jangan buat lagi sebab kita dah tahu sekarang. Wallahua’lam

Terpijak kain telekung
Soalan: Ustaz nak tanya satu soalan. Masa solat dan nak bangun dari sujud, saya terpijak kain telekung sampai tercabut. Nak berhenti solat atau teruskan sahaja?
Jawapan: Perbaiki secepat mungkin, teruskan solat.

Soalan: Tapi, tidak dikira banyak pergerakan kah tuan? Dalam masa nak betulkan telekung?

Jawapan: Itu adalah pergerakan yang dikira masyaqqah, bukan pergerakan tanpa keperluan yang mustahak. Wallahua’lam

Selepas dihisab, kita ke mana?
Soalan: Nak tanya, orang-orang ini akan dihisab dulu di neraka kemudian akan ke syurga atau akan kekal dalam neraka Wil?
Jawapan: Proses hisab di Padang Mahsyar, sebelum penentu syurga dan neraka. Proses hisab hanya untuk Muslim, yang tidak memeluk Islam terus ke neraka. Wallahua’lam

Contengan pada anggota tidak wajib wuduk
Soalan: Ustaz, Kalau pada bahagian badan yang tidak wajib wuduk (contohnya betis ke atas siku ke atas) ada contengan pen tetapi tidak di bersihkan, adakah sah solatnya?

Jawapan: Sah, tidak ada masalah. Kalau benda bukan najis. Kalau najis wajib dibersihkan sebab salah satu dari syarat sah solat adalah pakaian bersih dari najis. Wallahua’lam

Apa maksud lalai dalam solat?
Soalan: Apa maksud orang yang lalai? Terlupa rakaat pun boleh dikira lalai tak?

Jawapan: Lalai di sini adalah solat sekadar buat, bukan solat kerana Allah. Sedangkan terlupa bilangan solat itu tidak termasuk dalam lalai, itu adalah kerana gangguan syaitan yg menimbulkan was-was bagi orang yang bersolat. Wallahua’lam

Penjagaan makhraj dalam bacaan solat
Soalan: Penjagaan makhraj huruf dalam bacaan solat tidak kira bacaan yang wajib dan sunat. Adakah akan membawa kepada batal solat jika tidak dijaga dengan baik. Seperti huruf ﺡ, ﺹ dan seumpamanya

Jawapan: Tidak membawa kepada batal solat, tetapi membawa kepada kecacatan pada solat. Dan boleh ditampung dengan pergerakan sunat dalam solat. Wallahua’lam

Soalan: Maksud boleh ditampung dengan pergerakan sunat dalam solat itu apa ya ustaz?

Jawapan: Maksudnya, perkara-perkara sunat yang kita lakukan dalam solat, contoh, baca doa iftitah, baca doa qunut, itu semua akan menampung kesalahan atau kecacatan yang berlaku pada rukun-rukun yang wajib. Wallahua’lam

Bercakap semasa solat
Soalan: Ustaz boleh ke bercakap time solat? Contohnya macam kita sebut Astaghfirullahaladzim,Subhanallah atau Allahuakhbar?

Jawapan: Untuk dikira zikir, tidak dikira sebagai berkata-kata. Wallahua’lam

Pakai kanta mata semasa solat
Soalan : Ustaz saya nak tanya. Batal kah solat seseorang itu kalau pakai kanta lekap (contact lens) dan sah tak wuduk kalau pakai contact lens ?

Jawapan: Mata tidak termasuk anggota wuduk, jenuh kita nak basuh mata kita bila nak solat. Dan tiada masalah memakai contact lens sewaktu berwuduk, dan wuduk adalah sah. Wallahua’lam

Tak mahu solat sebab takut tak khusyuk
Soalan: Maaf bertanya, saya ada dengar kuliah yang makna ayat di atas bukan bermakna “lalai KETIKA solat” tetap ia bermakna في. Ayat ni menggunakan عن yang memberi makna “dari”.

Mohon penjelasan. Timbul isu hari itu seorang hamba Allah tidak mahu solat kerana tidak khusyuk kerana beralasan akan masuk neraka Wil kefahamannya bahawa apabila lalai KETIKA solat maka Allah akan humban dia ke dalam Neraka Wil..والله أعلم..

Jawapan: Ini adalah pandangan jumhur ‘ulama tafsir. Perkataan “lalai”, bukan bermakna kepada tidak khusyuk. Tetapi merujuk kepada perbuatan mengambil lewa dalam solat. Tidak bersungguh-sungguh mencari kekhusyukan dan sengaja meletakkan dunia dalam solat.

Kalau ambil pandangan Imam Al-Ghazali (sudut Tasawwuf), maka lebih berat pandangannya. Tidak khusyuk terus tidak diterima solat. Maka kita ambil pendekatan ‘Ulama Feqah yang mengatakan tidak khusyuk, tidak membatalkan solat dan diterima solat, namun perlu bersungguh-sungguh mencari kekhusyukan dalam solat.

Jangan sambil lewa. Kalau tidak khusyuk menyebabkan tidak mahu solat, maka itu adalah alasan yang tidak dapat diterima, kerana rata-rata dari kita termasuk saya, tidak tahu bagaimana rasanya khusyuknya solat tu. Wallahua’lam

Sah kah solat kalau solat laju-laju?
Soalan: Ustaz kalau solat laju-laju dikira macam mana ya? Sah tak? Kira macam baca al-Fatihah terus sahaja tidak ada tarik-tarik nafas.

Jawapan: Kalau terjaga thoma’ninah dan sebutan huruf dalam rukun-rukun qauli, tidak mengapa. Tapi biasanya orang solat laju ini, mesti tidak terjaga. Sebab itu ada riwayat menceritakan tentang sifat solat Nabi SAW. Satu-satu rakaat Baginda panjang dan lama.

Sumber

Copy and paste: 21 Julai 2023 > 3 Muharram 1445H: 10.01 am

Monday, 3 April 2023

AL-KAFI #751 : HUKUM PERCIKAN AIR KENCING

SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL

Soalan :

Adakah sah solat jika menggunakan seluar yang terkena percikan air kencing?

Jawapan :

Alhamdulillah. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Asalnya, kencing manusia, atau haiwan, adalah najis berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: "Tuangkanlah atas air kencingnya (Arab Badwi yang kencing di masjid) dengan setimba air"

Riwayat al-Bukhari (220)

Justeru, sekiranya air kencing kena pada pakaian, badan dan tempat solat, maka tidak sah solat kerana suci daripada najis adalah syarat sah solat. Namun, sah solatnya jika percikan itu sedikit, sukar dipelihara dan tidak dapat dikesan oleh mata. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji :

“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah. (Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Syafi’i: 1/43)

Kesimpulannya, Islam sememangnya memerintahkan agar setiap umatnya berada dalam keadaan suci pada tubuh badan dan pakaiannya sebelum mendirikan solat. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna seseorang itu perlu memeriksa atau memelihara dirinya daripada najis sehingga menyusahkan pelaksanaan sesuatu ibadah. Oleh itu, dalam keadaan sesuatu yang di luar kawalan atau kemampuan dirinya, maka ia diberikan kemaafan oleh syara’.

Copy and paste:  3.4.2023 > 13 Ramadan 1444H: 10.32 pm



Friday, 12 August 2022

Solat dari kajian sains

29 Julai 2009

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia..

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku ‘Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia , Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan
tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas – Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok – Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“ Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim – Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti
berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman.

Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Copy and paste: 12 Ogos 2022 > 15 Muharam 1444H: 9.28 pm


Tuesday, 2 August 2022

Tempoh Harus Jamak dan Qasar Solat di Suatu Tempat

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Soalan; Saya ada beberapa soalan:

1)Berapa harikah tempoh dikira mukim?

2) Jika saya mengambil pandangan tempoh dikira musafir ke suatu tempat yang melebihi 2 marhalah, adalah 5 hari termasuk hari pergi dan balik, dan dalam tempoh itu, saya mengerjakan solat jamak qasar. Adakah saya perlu bergegas keluar dari kawasan tersebut pada hari ke 6 ? (kerana ada pandangan mengatakan jika kita tidak keluar, maka batallah/ tidak sahlah solat2 yang kita lakukan dalam tempoh musafir tersebut kerana telah di kira bermukim.
Terima kasih.

Jawapan;

1. Mukim bermaksud menetap di sesuatu tempat. Orang yang dianggap bermukim tidak lagi diharuskan melakukan solat secara qasar dan jamak kerana keduanya itu hanya diharuskan untuk orang yang musafir sahaja.

2. Menurut mazhab Syafiie, apabila seseorang itu berniat untuk menetap di sesuatu tempat melebihi empat (4) hari, maka ia menjadi mukim dan tidak harus ia melakukan jamak dan qasar sebaik ia tiba di tempat tersebut sehinggalah ia keluar darinya nanti.

Sebagai contohnya, saudara bermastautin di Perlis, kemudian bermusafir ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur, harus saudara melakukan solat secara jamak dan qasar. Apabila tiba di Kuala Lumpur, sekiranya saudara berniat untuk menetap di Kuala Lumpur melebihi 4 hari (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar. Maksudnya, sepanjang tempoh saudara di Kuala Lumpur itu, saudara hendaklah mengerjakan solat fardhu secara sempurna dan mengikut waktunya. Hinggalah apabila saudara keluar dari Kuala Lumpur untuk pulang atau meneruskan perjalanan ke tempat lain, barulah boleh melakukan qasar dan jamak semula.

3. Sekiranya saudara berniat untuk menetap di Kuala Lumpur itu dalam tempoh kurang 4 hari, contohnya 2 hari atau 3 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar), harus saudara melakukan jamak dan qasar sepanjang 2 atau 3 hari tersebut.

4. Sekiranya saudara tidak mengetahui berapa lama akan tinggal di Kuala Lumpur itu, tetapi berniat akan segera pulang sebagai sebaik urusan selesai (yakni saudara menunggu-menunggu urusan selesai untuk segera pulang), menurut mazhab Syafiie; saudara harus melakukan jamak dan qasar hingga 18 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar). Ini jika saudara tidak mengetahui urusan itu akan mengambil masa lebih 4 hari. Sekiranya saudara sememangnya mengetahui urusan itu akan mengambil masa lebih 4 hari, maka ia kembali kepada yang pertama tadi iaitu tidak harus saudara melakukan qasar dan jamak kecuali hari tiba dan hari keluar sahaja.

5. Sekiranya saudara tiba di Kuala Lumpur dan saudara tinggal tanpa berniat berapa hari dan tidak pula menunggu-nunggu urusan selesai, saudara boleh melakukan jamak dan qasar, namun bila genap 4 hari saudara di situ, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar. Maksudnya, status saudara sebagai musafir tamat apabila genap 4 hari saudara tinggal di Kuala Lumpur itu.

5. Jika pada peringkat awal saudara berniat untuk tinggal kurang dari 4 hari, kemudian mengubah niat untuk tinggal lebih 4 hari, dengan berubah sahaja niat itu tidak harus lagi saudara melakukan jamak dan qasar. Begitu juga, jika setelah beberapa hari tinggal di Kuala Lumpur itu saudara teragak-agak antara terus tinggal atau pulang, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar.

Maksud niat dalam kupasan di atas ialah apa yang ada dalam hati kita sebaik kita tiba di suatu tempat. Bagi program yang berjadual sebagai contohnya, apabila saudara memutuskan dalam hati untuk mengikuti jadual itu, itu menunjukkan niat saudara untuk tinggal di situ dengan mengikut jadual yang diatur. Sebagai contohnya, saudara menghadiri suatu kursus di Kuala Lumpur dan saudara mengetahui kursus itu akan memakan masa hingga 1 minggu, maka dengan memutuskan untuk mengikuti jadual kursus tersebut saudara telah berniat untuk bermukim di Kuala Lumpur selama seminggu. Dengan niat itu, saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar sepanjang kursus tersebut kecuali pada hari saudara tiba dan hari pulang nanti.

Merujuk kepada soalan kedua di atas, apakah perlu bergegas keluar apabila tamat tempoh keharusan melakukan jamak dan qasar? Dan benarkah jika tidak keluar semua solat yang dilakukan tidak sah?. Jawapannya; Berdasarkan penelitian saya, tidaklah begitu. Saudara hanya perlu menyedari/mengetahui berapa hari yang diharuskan saudara melakukan jamak dan qasar berdasarkan kaedah yang dijelaskan tadi. Selepas hari tersebut jika saudara terus tinggal di tempat tersebut, saudara tidak boleh lagi melakukan qasar dan jamak. Saudara tidaklah dituntut keluar dari tempat itu, hanya jangan lagi melakukan jamak dan qasar kerana tempohnya telah habis bagi saudara. Adapun jamak dan qasar yang lalu ia tetap sah kerana dilakukan ketika saudara masih dianggap musafir.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Mugni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 361-363.
2. Al-Majmu’, jilid 4, hlm. 361-362.

Copy and paste: 2 Ogos 2022 : 4 Muharam 1444H: 7.18 pm

   


Antara FALSAFAH dan HIKMAH SUJUD.

SUMBER: FB USTAZAH ASMA' HARUN
Kredit : Yusniza Yaziz

Seorang ulamak muktabar menyebutkan bahawa,
SUJUD PERTAMA = kita MENGINSAFKAN bahawa kita DICIPTAKAN DARI TANAH.
Apabila kita bangun DUDUK di ANTARA DUA SUJUD = membawa maksud KEHIDUPAN kita ini AMATLAH SEMENTARA.
Bila kita SUJUD kali KEDUA = MENGINSAFKAN kita bahawa kita akan KEMBALI MENJADI TANAH. Kita akan KEMBALI KE TANAH.
~~~~~~~~~~~~~
Ketika kita sujud kali pertama, kita merendah diri dan merasai serta menyedarkan diri kita bahawa kita ini diciptakan dari tanah. Asal kita daripada tanah.
Dan bila kita duduk sekejap, bayangkan apabila kita bangkit daripada sujud yang pertama, kita diminta oleh ALLAH untuk duduk sekejap (duduk antara dua sujud ) kita bawakan perasaan dan kefahaman bahawa hidup kita hanya sementara.
Kan duduk tu tak boleh lama?
Sebab kita kena sujud semula.
Daripada tanah, kita pun dibangkitkan, duduk antara dua sujud. Falsafahnya hidup ini sangat sementara.
Kemudian kita sujud balik. Falsafahnya ialah kita kembali semula ke tanah.
Sujud pertama, kita daripada tanah. Kita duduk, ibarat kita bangun iaitu hidup. Hidup yang sangat sementara. Kemudian kita sujud kembali. Falsafahnya ialah kita akan kembali ke tanah.
Betul atau tidak, bila kita mati kita akan ditanam di dalam tanah?
Maksudnya daripada tanah, kita hidup dengan sementara, kemudian kita kembali semula ke dalam tanah.
Allahu Akhbar.
Jadi lepas ni jika kita boleh bawa falsafah ini di dalam solat , itu sudah cukup bagus. Dah boleh bawa kekhusyukan.
Bila sujud, kita ingat kita daripada tanah. Kemudian kita duduk antara dua sujud, kita pun baca doa duduk antara dua sujud dan kita ingat sekadar itulah kehidupan kita sangat sekejap kerana kita akan kembali semula ke tanah.
Itu di antara falsafah sujud.
~~~~~~~~~~~~~~
Apa yang kita perlu buat ketika sujud?
Nabi SAW menuntut kita memperbanyakkan doa.
Persoalannya ,
Boleh tak kita baca doa dalam Bahasa Melayu ataupun dalam Bahasa Cina ataupun dalam Bahasa India?
Jawapannya BOLEH kita berdoa sebanyaknya tetapi BACAAN DOA ITU HANYA DI DALAM HATI. Hanya di dalam hati. TAK BOLEH DILAFAZKAN.
Tak boleh masa sujud tu,
"Ya ALLAH berikanlah rezeki yang banyak, rezeki yang luas. Ya ALLAH berikanlah kesembuhan. Aku sakit Ya ALLAH."
TAK BOLEH LAFAZ tapi BOLEH DOA DALAM HATI.
~~~~~~~~~~~~~~~
Ustazah cerita,
Masa dalam sujud tu, antara ayat-ayat perkataan yang Ustazah akan sebut di dalam hati, yang boleh buat menangis , Ustazah akan SEBUT DALAM HATI, mengadu merintih dalam hati masa tu,
"Ya ALLAH... Aku penat. Ya ALLAH... Aku tak larat. Ya ALLAH... Aku tak mampu."
Sebab apa?
Sebab kita kalau boleh tak nak merungut depan orang.
Ustazah tak nak merungut depan suami, Ustazah tak nak merungut depan staff yang Ustazah dah tak larat. Tak nak merintih ataupun mengadu. Tak nak mulut ni sikit-sikit mengungkit ataupun sikit-sikit mengadu dengan suami.
Jadi masa sujud tulah hati tu sebut,
"Ya ALLAH, aku penat Ya ALLAH. Ya ALLAH, aku tak larat. Ya ALLAH, aku takut. Ya ALLAH, aku bimbang. Ya ALLAH, aku tak mampu."
Kalau kita mengadu pada manusia, kita cakap kita tak mampu, tapi mereka cakap kita mampu. Padahal kita rasa macam tak mampu dah. Kita rasa macam berat sangat dah.
Tapi bila kita sujud, dalam hati tu kita mengadu dengan ALLAH, airmata tu akan menitis sebab kita rasa ALLAH lah yang paling faham kita. ALLAH lah yang paling mendengar isi hati kita dan hanya ALLAH yang boleh tolong kita. Yang sebenar-benarnya hanya ALLAH yang boleh tolong kita. Manusia hanya perantaraan. Kalau ALLAH tak izin, manusia tak boleh tolong kita. Kalau ALLAH izinkan, ALLAH akan bawakan manusia-manusia yang tepat. Yang boleh angkat kita saat kita jatuh. Yang boleh dengar luahan kita saat kita memerlukan. Yang boleh memberikan pertolongan yang sebenar-benarnya.
Masa sujud tu merintih dalam hati.
"Ya ALLAH, dosa aku banyak. Aku tak layak Syurga-MU Ya ALLAH tapi aku nak jugak Syurga-MU. Ya ALLAH, dosa aku terlalu banyak. Dosa pada suami. Dosa pada anak. Dosa pada ibu. Dosa pada ayah. Dosa pada kawan-kawan. Dosa aku banyak. Aku kotor Ya ALLAH. Aku buat maksiat sembunyi Ya ALLAH. Aku banyak dosa. Aku memang tak layak untuk Syurga-MU tapi aku nak jugak Syurga-MU Ya ALLAH."
Ayat-ayat macam ni kita nak sebut dekat lidah tapi TAK BOLEH SEBUT DALAM SOLAT kerana boleh BATAL SOLAT. Tapi DALAM HATI, kita BOLEH CAKAP DALAM HATI.
~~~~~~~~~~~~~
Ada orang kata,
"Ustazah, susahlah nak cakap dalam hati."
Tuan puan,
Kita kena latih bercakap dalam hati.
Contoh latihan itu boleh dibuat di luar solat.
Contohnya kita nampak orang susah. Dalam hati kita sebut, dalam hati lintaskan,
"Ya ALLAH, senangkanlah dia. Mudahkanlah rezeki dia."
Contoh kalau kita pergi ke shopping mall atau kita keluar ke mana-mana kita tengok ada orang perempuan pakai seksi, pakai ketat, pakai legging. Sungguh menyedihkan hari ini orang tua pun pakai seksi. Nak sebut kat mulut tak tersebut. Dalam hati kita sebut,
"Ya ALLAH, berilah dia hidayah. Berikan juga pada aku hidayah. Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim, kesian dia."
Dalam hati tu kesian kat dia. Bukan benci dia. Kita tak boleh benci orang. Kita boleh benci perbuatan dia sahaja lalu kita berdoa.
Bila kita dah terbiasa bercakap dalam hati, nanti bila sujud ia membantu kita untuk boleh bercakap-cakap dalam hati mengadu kepada ALLAH.
"Ya ALLAH, aku penat."
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Minggu lepas ada yang mesej ustazah.
"Ustazah, saya nak kahwin tapi tak ada orang suka saya. Tak ada orang nak saya. Tapi naluri saya meronta-ronta saya nak kahwin. Meronta-ronta saya nak ada suami. Meronta-ronta saya tengok anak orang, saya nak ada anak. Kenapa ALLAH tak beri saya jodoh? Kenapa tak ada orang suka saya? Adakah saya tidak layak untuk siapa-siapa pun?"
Ustazah kata kepada dia,
"Merintihlah dalam sujud. Ustazah faham perasaan kamu tapi yang paling faham perasaan kamu adalah ALLAH. Merintihlah kamu dalam solat. Merintihlah kamu dalam sujud. Kamu menangislah dalam sujud. Sekarang kamu menangis dengan ustazah. Tapi lepas ni menangis lah dalam sujud. ALLAH akan beri dengan cara-NYA. ALLAH akan aturkan. ALLAH akan mudahkan. Mungkin sebab kenapa ALLAH belum beri, sebab ALLAH sangat merindui rintihan daripada kamu. ALLAH sangat merindui kamu meminta dalam keadaan menangis dan penuh harap kepada-NYA."
Jadi sahabat-sahabat...
Apa sahaja yang kita berhajat,
Inginkan jodoh yang baik?
Inginkan zuriat?
Ingin pergi ke Tanah Suci mengerjakan umrah dan haji?
Atau apa sahaja permintaan....
Merintih dan mengadulah pada ALLAH di dalam sujud.
~~~~~~~~~~~~~~~~
Jadi persoalan fiqh tentang BOLEH TAK BERDOA DALAM BAHASA MELAYU?
Jawapannya BOLEH TAPI DALAM HATI.
Apa sahaja doa daripada ayat Al-Quran dan hadis Nabi, kita boleh baca dengan kuat.
~~~~~~~~~~~~~~
( Antara isi kuliah Kitab Riyadhus Solihin Siri 171 bersama Ustazah Asma' Harun pada pagi tadi. Jazakillahu Khair Ustazah

Wallahua'lam.
Semoga bermanfaat.
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
3 Muharram 1444H
1 Ogos 2022
Copy and paste:
2 Ogos 2022 > 4 Muharam 1444H: 7.29 am