Showing posts with label ARTIKEL SRIKANDI. Show all posts
Showing posts with label ARTIKEL SRIKANDI. Show all posts

Thursday, 17 July 2025

Perihal Kerajaan-kerajaan & Tempat Di Sekitar Semenanjung Sebelum Masehi

Oleh Srikandi

Dalam buku "Perdagangan Dunia Melayu-China Hingga Kurun ke-16 Masehi: Satu Tinjauan Sejarah & Arkeologi" yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia ada menyebut tentang dua kerajaan di semenanjung bernama ‘Fu-Kan-Tu-Lu’ dan ‘Shen-Li’ (dalam sebutan China) yang membuat hubungan dengan Maharaja Wu-Ti daripada Dinasti Han pada tahun 141 hingga 87 Sebelum Masehi berdasarkan rekod Chi’en Han Shu.
Ini maklumat yang menarik kerana pada abad-abad Sebelum Masehi lagi ternyata ada pihak dari penduduk di Semenanjung Tanah Melayu yang membuat hubungan diplomatik dengan negara asing dan ini menunjukkan ciri-ciri sebuah kerajaan.
Dalam makalah "Hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan China Sejak Awal Abad Masihi" pula ada menyatakan tentang sumber-sumber bertulis dari China yang mana ada menyebut mengenai negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu ataupun pernah melalui Semenanjung Tanah Melayu ini sejak 2000 tahun yang lalu. Rujukan awal mengenai Semenanjung Tanah Melayu terdapat dalam bab 28 dalam manuskrip Ch’ien han shu yang telah disiapkan pada tahun 80 Masihi. Lokasi seperti Shen-li, Fu kan-tu-lu, P’i-Tsung dan Huang-Chih mungkin merujuk kepada tempat-tempat yang letaknya di Semenanjung Tanah Melayu ataupun Sumatera.
H.B Sarkar dalam "A Geographical Introduction to South-East Asia: The Indian Perspective" ada menyatakan tentang nama-nama tempat seperti Takkola, Java dan Suvannabhümi yang muncul dalam teks-teks purba India boleh dipastikan terletak di Asia Tenggara. Ini berdasarkan analisisnya terhadap usia Niddesa, sebuah teks Buddha dalam bentuknya sekarang, berusia tidak lewat daripada 247 Sebelum Masehi, yang mana boleh dianggap bahawa nama-nama tempat yang terdapat dalam Mahäniddesa (bahagian dalam Niddesa) pastinya telah pun wujud di pertengahan abad ketiga Sebelum Masehi.
Dalam erti kata lain, tempat-tempat ini dikenali pada pertengahan abad ketiga Sebelum Masehi. Ini adalah selaras dengan kesimpulan beliau bahawa pengetahuan geografi orang India tentang Asia Tenggara pada awal abad keempat Sebelum Masehu tidak melampaui Burma Hilir, manakala, pada abad ketiga Sebelum Masehi semasa pemerintahan Asoka, ia juga merangkumi beberapa bahagian di sekitar Malaysia-Indonesia pada hari ini. Namun ini tidaklah bermakna bahawa tidak ada kawasan-kawasan lain di Asia Tenggara selain itu yang diketahui oleh orang India pada abad Sebelum Masehi.
Seterusnya beliau ada mencatatkan tentang teks Cina bertajuk Ch'ien Hun-Shu yang membawa bukti-bukti yang serupa bahawa terdapat beberapa negeri sedemikian sekurang-kurangnya pada abad kedua Sebelum Masehi. Ia berbunyi: "Dari sempadan Jih-nan, Hsu-wen dan Ho-p'u, kira-kira lima bulan pelayaran ke negara Tu-yuan. Ia adalah kira-kira empat bulan lagi pelayaran ke negara I-lu-mo, dan dua puluh hari lagi pelayaran ke negara Shen-li. Ia lebih daripada sepuluh hari perjalanan berjalan kaki ke negara Fu-kan-tu-lu, dari mana ia adalah kira-kira lebih dua bulan pelayaran ke negara Huang-chi."
Teks Ch'ien Hun-Shu, atau Annals of the Former Han (206 SM ke 8 M), telah disusun oleh Pan Ku kira-kira 80 M. Bab 28 daripada teks ini merujuk kepada pelayaran dari China ke pantai timur India semasa pemerintahan Maharaja Wu-ti, yang memerintah antara 141 dan 87 SM. Shen-li dan Fu-kan tu-lu terletak di Semenanjung Tanah Melayu di mana Shen-li di sebelah pantai timur dan yang Fu-kan-tu-lu di sebelah pantai barat.
~Srikandi
The History of Thy Beloved
Saktimuna x Baju Pendekar: https://shp.ee/jtgwwh

Copy and paste:
17 Julai 2025: 8.55 p.m

Tuesday, 15 July 2025

Catatan Tentang Melayu Yang Meriah Di Luar Negara

Oleh Srikandi

Perkara ini tidaklah pelik pun sebab orang Melayu bukanlah duduk di Antartika atau di Mongolia yang 'landlocked' contohnya.
Orang Melayu tinggal di selat yang tersibuk di dunia!
Ada pihak yang menulis janganlah meromantiskan sejarah Melayu bla...bla...
Masalahnya, orang luar negara yang meromantiskan orang Melayu dan sejarahnya.
Perkongsian yang menarik.



Oleh: Helmi Effendy

Bagi bangsa lain, deme akan terkejut bila kita cerita pasal sejarah Melayu, kita akan petik sumber-sumber dari luar negara. Contohnya macam saudara Ram dalam gambar ni, bagi dia, dia pelik betul kenapa kita suka sangat petik sumber luar negara?
Pertama saudara Ram, saudara kena faham bahawa bangsa Melayu ni satu bangsa yang sangat-sangat international sejak dulu. Bangsa Melayu ni bukan macam bangsa lain, kami bina tamadun kami di antara laluan-laluan perdagangan antarabangsa dunia, antara India dan China, antara Eropah dan China. Semua orang yang nak pergi ke China kena singgah dulu kat pelabuhan kami, semua orang dari seluruh dunia akan bertemu dengan orang Melayu dulu sebelum jumpa maharaja China. Gila ke apa kalau deme tak catat pasal kami?
Contohnya kalau saudara Ram baca tentang Pelabuhan Melaka, saudara Ram akan dapati yang Melaka ada 88 bahasa, ada ribuan kapal yang berlabuh di pelabuhan Melaka, saudara akan baca tentang catatan-catatan orang Portugis, orang Cina, orang Eropah lain tentang kekaguman mereka mereka pada Melaka.
Contohnya macam Duarte Barbosa ada mencatatkan Pelabuhan Melaka adalah pelabuhan tersibuk di dunia dan bertaraf pelabuhan antarabangsa semasa pentadbiran Kesultanan Melaka. Dalam satu masa biasanya terdapat 2,000 buah kapal akan berlabuh di Melaka untuk berdagang dan membeli barang dagangan baru. Bagi mengendalikan kesesakan kapal pedagang ini, pelabuhan Jugra di Selangor, pelabuhan Bentan di Indonesia dan pelabuhan Tanjung Bidara menjadi tempat lokasi kapalkapal dagang dari timur dan barat berlabuh sementara untuk menunggu giliran masuk ke pelabuhan Melaka.
Tom Pires pulak berbicara bahawa Pelabuhan Melaka lazimnya dilawati 60 pedagang dari kerajaan berbeza dalam satu masa. Pelabuhan ini dikunjungi oleh pedagang dari barat, timur dan Asia Tenggara. Pada abad ke-15 hingga 16, antara pedagang yang biasa berdagang di Melaka ialah Mesir, Mekah, Aden, Habsyah, Kilwa, Malindi, Hormuz, Parsi, Rom, Turki, Turkmen, Armenia, Gujerat, Chaul, Dabhol, Goa, Dekkan, Malabar, Kalinga, Orissa, Sri Lanka, Bengal, Arakan, Pegu, Siam, Kedah, Pahang, Pattani, Kemboja, Champa, Cochincina, China, Taiwan, Brunei, Lucoes, Tanjung Pura, Laue, Bangka, Lingga, Maluku, Banda, Bima, Timor, Madura, Jawa, Sunda, Palembang, Jambi, Tongkal, Inderagiri, Kappata, Minangkabau, Siak, Arkat, Aru, Batak, Negeri Tamiang, Pasai, Pedir dan Maladewa (Maldives).
Terdapat 84 bahasa yang dituturkan di Melaka. Ia berpunca dari kepelbagaian latar belakang pedagang dan penduduk Melaka itu sendiri. Walau bagaimanapun, mereka akan menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan pedagang dan juga pentadbir Melaka. Kesemua bahasa tersebut sebahagiannya dipelajari oleh pembesar dan Syahbandar Melaka untuk memudahkan urusan perdagangan yang dijalankan. Setiap syahbandar biasanya berkebolehan untuk bertutur lebih dari satu bahasa untuk memudahkannya berinteraksi dengan para pedagang. Disebabkan terdapat kepelbagaian bahasa pertuturan di Melaka, ia akhirnya telah mempengaruhi kosa kata bahasa Melayu itu sendiri.
Dan benda ni bukan baru tau saudara Ram, bahkan kita dapat menyaksikan leluhur kepada Melaka, iaitu Empayar Melayu Srivijaya sendiri dah diceritakan oleh pelbagai catatan dunia. Dari catatan pengembara-pengembara Arab/ Parsi yang pernah sampai ke Alam Melayu (Nusantara) antara abad ke- 8 hingga abad ke-10, maka kita akan mendapati mereka kagum dengan kekayaan-kekayaan dan ketamadunan yang dimiliki oleh kerajaan Srivijaya.

Ibn al-Faqih mencatatkan dalam Kitab al-Buldan bahawa antara benua India ke benua China (Alam Melayu) terdapat sebanyak 30 buah kerajaan. Raja yang paling kecil (paling miskin atau paling sengkek) memiliki apa yang dimiliki oleh Raja Arab. Kemudian Ibn al-Faqih mencatatkan bahawa kerajaan yang paling besar di wilayah itu adalah kerajaan Srivijaya (Arab menyebutnya dengan nama Al-Zabaj). Rajanya memakai nama ‘Maharaja’ yang bermaksud raja bagi sekalian raja.
Catatan ini sezaman kerajaan Abbasiyah. Adakah Ibn al-Faqih memaksudkan bahawa raja di Alam Melayu yang paling sengkek, kekayaannya setanding kekayaan khalifah Abbasiyah? Saudara Ram, tak gila ke orang Arab bila dia mai Empayar Melayu, dia jumpa raja Melayu yang lagi kaya dari raja-raja deme, lepas tu deme tak nak catat langsung pasal raja ni.
Abu al-Qasim Ubaidillah bin Abdullah yang juga dikenali dengan nama Ibn Khordhabeh mencatatkan bahawa pendapatan cukai sahaja bagi Maharaja Srivijaya adalah sebanyak 200 jongkong emas sehari. Satu jongkong seberat hampir 1kg. Maknanya pendapatan Maharaja Srivijaya sehari hampir 200 kg emas.
Abu Zaid as-Sirafi pula menulis bahawa istana Maharaja Srivijaya terletak di atas kolam (istana terapung). Jika air kolam itu surut, maka kelihatan jongkong-jongkong emas yang berkilau-kilau disinari cahaya matahari. Agaknya dari mana datang kekayaan tu? Dari pelabuhan-pelabuhan antarabangsanya lah saudara Ram!
Orang ramai yang nak singgah ke China, akan singgah ke dulu ke pelabuhan tamadun dan nenek moyang kami. Jadi, secara tak langsung, mereka akan berdagang, bayar cukai, duduk dekat sini sementara tunggu angin monsun bertukar, jadi secara tak langsung, tuan akan dapati...
Bahawa seluruh bangsa di dunia akan berdendang, bersyair, bercerita, berlipur lara tentang satu bangsa yang mereka temui di Selat Melaka, di Semenanjung Melayu atau Sumatera, di Pulau Jawa atau Borneo, bercerita tentang kekaguman, ketakjuban mereka, melihat bangsa ini membina tamadun-tamadun agung yang mereka bandingkan dengan segala keindahan dan kehebatan. Sekali lagi saya tanya, gila ke deme tak bercerita pasal kami selepas melihat keagungan kami?

Copy and paste:
15 Julai 2025: 9.45 p.m

Saturday, 12 July 2025

Asal-usul Rendang Terpaling Asal

Sumber: Srikandi

Asal-usul rendang adalah daripada masyarakat Melayu dahulukala di mana rekod bertulis paling terawal yang mencatatkan kewujudannya terdapat di dalam sebuah manuskrip Melayu, Hikayat Amir Hamzah. Di sana tercatat:
“... Khoja Buzurjumhur Hakim pun pergi pula ke kedai orang merendang daging kambing, lalu ia berkata ‘beri apalah daging kambing rendang ini barang segumpal”
Di situ jelas menyebutkan perkataan 'merendang' dan 'rendang' sebagai sejenis cara menyediakan makanan dan juga produk makanan. Ini bermakna rendang dan merendang sudah ada dalam kosakata masyarakat Melayu ketika itu malah cenderung ianya sudah pun ada lama sebelum itu. Hikayat Amir Hamzah merupakan salah satu dari kisah hikayat yang disebut dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), semasa serangan Portugis pada tahun 1511 Masehi. Maka manuskrip Hikayat Amir Hamzah ini dipercayai telah pun ada sejak abad ke-15 lagi di Kesultanan Melaka dan dunia kesusasteraan Melayu.
Lebih 100 tahun kemudian dari kejatuhan Kota Melaka itu yakni ketika abad ke-17 Masehi, Syeikh Burhanuddin dari Ulakan (Pariaman) dikatakan telah memperkenalkan rendang ke masyarakat Minangkabau. Tokoh yang sama juga dipercayai oleh masyarakat Minangkabau telah membawakan teknik penyediaan lemang, sejenis makanan lain. Kedua-dua makanan itu dibawa oleh tokoh pendakwah terbabit dalam siri penyebaran agama Islam di Tanah Minangkabau.
Adakah terdapat maklumat lain selain dari rekod tertua dalam manuskrip Melayu tersebut?
Malangnya, pada abad ke-16, tidak banyak maklumat bertulis tentang rendang selain yang terdapat dalam teks Hikayat Amir Hamzah. Jika ini sudah mengesahkan sekurang-kurangnya Kesultanan Melaka dan masyarakat Melayu khasnya sudah terbukti telah pun tahu teknik penyediaan masakan rendang bagaimana pula dengan masyarakat di Sumatera Barat misalnya ketika itu?
Jika pada masa kini, masakan Minangkabau dikenali dengan menu berdaging, sebaliknya menurut catatan sejarah awal abad ke-16 atau sekitar seangkatan dengan ketika Hikayat Amir Hamzah ditulis, pengambilan makanan penduduk asli Sumatera Barat secara umumnya begitu mudah. Ini dicatatkan dalam rekod perjalanan penyair Perancis, Pierre Crignon, yang mana pada tahun 1529 telah menyertai ekspedisi dua beradik, Jean dan Raoul Parmentier, melawat wilayah Tiku di utara Padang. Cignon melaporkan pemerhatiannya mengenai menu makan tengah hari orang Tiku:
“... au repas ils ont pour tous mets un petit de ris à demi cuit à l'eau sans sel, et aucune fois un petit de poisson menu comme le doigt séché au soleil qu'ils mangent avec : et c'est un bien grand banquet quand il y a quelque coq haché par morceaux, roty sur le charbon, ou bouïlly en un peu d'eau et meslé avec le ris”
(...apabila mereka makan mereka hanya mempunyai nasi separuh masak yang dimasak dengan air tanpa garam, dan ikan-ikan kecil sebesar jari dijemur di bawah sinar matahari dan mereka makan bersamanya: adapun hidangan ini, ia dianggap sangat istimewa apabila di hidangannya ada beberapa ketul ayam bakar yang dibakar di atas arang, atau direbus menggunakan sedikit air dicampur nasi).
Rendang sebagai masakan yang mewah dengan rempah-ratusnya dan agak rumit penyediaannya sesuailah berasal dari istana Kesultanan Melaka, sebuah empayar maritim yang amat berpengaruh di seluruh Selat Melaka ketika itu - seperti ungkapan: rasa yang enak dan asli seperti Sajian Istana Di Zaman Silam. Manakala rakyat biasa lebih mudah cara penyediaannya makanan mereka sehari-hari.
Jika kita hanya 'wiki' sahaja atau 'google' sahaja tentang asal-usul rendang, mungkin kita hanya terhenti di 'Minangkabau'. Namun sebenarnya sejarah makanan itu lebih lama daripada itu.
Pakar masakan Indonesia, Allahyarham Bondan Winarno, pernah berkata bahawa rendang perlu difahami sebagai "warisan bersama" (shared heritage) antara Indonesia dan Malaysia.
Peace

~Srikandi
Selamat Berpuasa & Selamat Hari Raya

Copy and paste:
12 Julai 2025: 12.09 p.m

Thursday, 22 May 2025

Teori Konspirasi Dalam Membaca Jawi?

Oleh Srikandi

Ini mungkin salah satu perbincangan yang menarik tentang polemik ini. Walaupun majoriti profesor dan cendekiawan sejarah kita menolak pandangan Prof. Emiritus Dr. Ahmat Adam dalam isu polemik Hang Tuah, namun kritikan dan percubaan beliau perlu untuk kita menilai apakah metodologi beliau ini benar-benar lasak atau relevan untuk menyanggah sejarah, memori dan warisan Hang Tuah yang tersebar di merata Nusantara.
Atau hanya salah tanggapan, atau perbezaan cara melihat sesuatu atau bersifat 'teori konspirasi'?

Ahmat Adam: Masalahnya yg saya dapt ungkapkan berdasarkan penyelidikan saya terhadap Sulalatus Salatin & Hik. Hang Tuah ialah perkelanaan orang yg bergelar Hang Tuah (sic) mahu pun Hang Tuha adalah dongeng sahaja lantaran tiada bukti sahihnya. Bacalah tulisan2 saya sebelum ini. Kesan dpd salah baca ejaan ta/waw/ha/ telah menjadikan Laksamana Melaka berwatak mitos. Dengan budaya feudal yg tebal dlm pemikiran & tindak tanduk sosio politik orang Melayu mitos yg dicipta oleh perwatakan Hang Tuah (sic) (bukan laksamana yg sebenar).telah menimbulkan pembohongan dalam sejarah hidup berpolitik & upaya menjadikan kebenaran sbg aspek penting menulis sejarah. Pernahkah anda membaca Sej. Mel. & Hik. Hang Tuha secara teliti?. Salah baca ejaan nama gelar & kejahilan mengkaji budaya "name taboo" & sindrom percaya membuta tuli tulisan2 orang Barat tanpa semakan sendiri telah berabad2 merugikan orang Melayu dari segi pemahaman sejarahnya. Bahkan ramai yg mengaku sbg keturunan sanak keluarga Hang Tuah (bukan Laksamana)! Masalah inteligentsia Melayu ialah mereka kurang membaca & yg bergelar sarjana pun malas membuat penyelidikan. Justru yg demikian ramai yg dengan lahapnya percaya teks Sejarah Melayu itu adalah teks authentic sejarah dan bukan khusus teks sastra. Lebih parah lagi ialah ramai dpd kalangan yg kurang membaca ini percaya benar2 HHT itu adala 100 persen karya tulen sejarah! Pengalaman saya peribadi dlm perbahasan dgn kaum 'sarjana' yg jahil memahami prinsip & kaedah sejarah ialah mendengar klaim mereka bahawa "Jika Hang tidak wujud maka jati diri orang Melayu tidak wujud." Tidakkah ini menunjukkan betapa faktor salah baca ejaan /t/waw/ha/ itu telah menimbulkan keadaan simpang siur pemikiran mereka yg tak mengerti sejarah & malas menyelidiki bila mula munculnya kata 'tuah' & 'tua' ? Telah berkali2 saya nyatakan sumber lisan adalah sumber lemah dlm kaedah menulis sejarah orang Melayu. Banyak dpd mitos & dongeng orang Melayu adalah hasil dpd sumber lisan/tahyul/ & dongeng. Bahkan sumber sastra pun boleh mendatangkan penyelewengan dlm sejarah. Contohnya, nama2 Jebat, Kesturi, Lekir (Leker) & Lukewa (pastinya juga termasuk Tuah (sic)) pun adalah nama bagi watak mitos dlm sastra yg dijadikan "historical figures".
Saya fikir ini bukan masalah jika Hang Tuah tidak wujud maka jatidiri Melayu tidak wujud, sebab Kesultanan Melaka itu sendiri memang boleh dibuktikan wujud, terima kasih kepada rekod-rekod luar. Jadi klaim dari pihak itu seperti yang ceritakan oleh beliau bagi saya tidak relevan. Apa yang paling penting ialah, jika Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dicop dongeng maka adakah semua watak di dalamnya juga fiksyen dan dongeng? Raja-raja Melaka bagaimana? Atau hanya Hang Tuah saja? Jadi apakah kriteria yang dijadikan asas untuk memilih watak mana yang dongeng atau tidak?
Jadi ini merebak sampai persoalan adakah raja-raja Melaka dan kerajaannya juga dongeng? Jika tidak mengapa hanya laksamananya dilabelkan dongeng? Bendaharanya bagaimana, temenggungnya? Tun Perak sebagai contoh, juga negarawan dan tokoh besar dalam Sulalatus Salatin. Adakah watak ini juga mesti dilabelkan dongeng. Jika tidak perlu, mengapa?
Jadi perkara-perkara begini perlu diperjelaskan sebab Sulalatus Salatin itu berfungsi sebagai 'chronicle' kepada Kesultanan Melaka sebagaimana Negarakretagama kepada Majapahit atau Shahnameh kepada Parsi Sasanid. Negarakretagama dan Shahnameh sendiri berbentuk puisi dan bukannya majoriti naratif seperti Sulalatus Salatin malah bukan pun ikut standard historiografi moden maka apakah benchmark yang dipakai untuk melabel ini dongeng dan itu tidak?
Saya perhatikan ini ada dijawab oleh Dapunta Jawadvipa II.
Dapunta Jawadvipa II: "Kesan daripada salah baca" (sic) itu hanya falasi tuan. Nama Hang Tuah sudah dikenali berabad-abad lamanya dari generasi ke generasi manakala 'Hang Tuha' (sic) tiada satu pun bukti bertulis mahupun lisan yang mampu ditampilkan. Dakwaan perlukan pembuktian konkrit dan saksi nyata dari sudut sosial dan budaya. Kita tidak boleh mendakwa semudah bahawa kononnya masyarakat satu dunia tersilap baca, ini seolah-olah teori konspirasi. Jika watak Hang Tuah dongeng, maka watak Ken Arok dongeng, maka watak Guan Yu dongeng dan maka bab 'Kewibawaan Jawa' dalam buku tuan Batu Bersurat Terengganu juga satu absurd yang maha berat kerana merujuk kepada mitos Ken Arok malah sumber Pararaton/Negarakertagama yang juga bukan pun mengikut standard historiografi moden yang saintifik. Jadi adakah ada sikap double standard di sini?
Benar, ini hakikat yang sukar ditolak malah kelebihan bagi para profesor dan cendekiawan yang menyokong kewujudan Hang Tuah. Nama Hang Tuah sudah dikenali berabad-abad lamanya dari generasi ke generasi dan ia tidak perlu bergantung pun semata-mata bukti bertulis dalam Hikayat Hang Tuah atau Sulalatus Salatin.
Jadi jika Sulalatus Salatin itu dongeng maka majoriti historiografi tradisional yang lain akan tergelincir ke gaung mitos dan dongeng sebab 'ahistorical'. Jadi apa yang membuatkan yang ini dongeng yang itu tidak?
Sebab itu mendiang Dr. Liaw Yock Fang yang mengkaji manuskrip Undang-undang Melaka telah nampak hakikat sebenarnya isu ini dengan menyatakan:
"If we were to asses the Sejarah Melayu in terms of definition given by British historian, R. G. Collingwood, that history should be scientific, rational and self-relevatory, then the Sejarah Melayu is definetely is not an historical works. But how many historical works produced by the other nations of the world can fulfill this criteria? The answer is very few, if at all. Each nation has its own tradition of writing history (historiography)."
(Sejarah Melayu as an Historical Work)
~Srikandi
The History of Thy Beloved

Copy and paste:
22 May 2025: 12.01 a.m


Wednesday, 12 February 2025

Seribu Alter Terahsia Buat Sebuah Kemelayuan

Oleh Srikandi
24 January 2023

Jika meneliti topik Alam Melayu/Dunia Melayu (Malay World) atau Kemelayuan (Malayness) kita akan menemui banyak fakta menarik. Betapa sebenarnya kebudayaan dan identiti Melayu disebarkan oleh Orang Laut sebagai salah satu suku Melayu Asli dan para pedagang Melayu di seluruh Asia Tenggara suatu ketika dahulu.
Ada satu tulisan yang menyatakan jika orang Melayu tidak berpuashati dengan rajanya, mereka akan bungkus barang-barang dan naik ke perahu; berlayar ke kerajaan lain. Raja Melayu pula jika ada bencana, wabak atau kalah perang, akan berundur ke tempat lain bina kerajaan lain. Tetap BERKERAJAAN.
Kerajaan demi kerajaan sehingga mencapai ALAM MELAYU.
Perahu-perahu Melayu berlayar dan berhenti di mana-mana pesisir dan bina pelabuhan. Setiap pelabuhan mereka di sekitar Selat Melaka pula selalu menjadi tumpuan. Antara puncanya ialah layanan baik pentadbir Melayu yang menyediakan persekitaran serta kemudahan yang selesa kepada para pedagang tempatan dan asing.
Di mana-mana pelabuhan seluruh kepulauan Melayu, orang Melayulah yang menguruskan pelabuhan sehingga maju. Campak saja di mana-mana, ibarat benih yang subur - dari Laut Banda sampailah ke pantai timur Benua India, orang Melayu telah membentuk koloni-koloni mereka keluar daripada tanahair mereka untuk mengurus dan menyelia pelabuhan-pelabuhan. Orang Melayu bukan sekadar 'seafarers' tetapi juga 'sea organizers'.
Jika berbahas tentang negarabangsa, maka orang Melayu di Malaysia adalah tonggak dan teras utama kepada Alam Melayu dan Kemelayuan ini. Tonggak dan teras ini dengan ertikata jika lenyap orang Melayu di Malaysia, maka tempanglah Kemelayuan dan Alam Melayu itu sendiri dengan bersangatan. Tidak dinafikan Brunei sebuah negara dan Kesultanan Melayu yang kaya-raya namun kurang mampan dari segi populasi, wilayah dan kuasa tentera. Malaysia lebih ideal dan seimbang. Orang Melayu di Indonesia, Singapura dan Thailand pula adalah minoriti - kekurangan dari segi kuasa politik dan membuat keputusan.
Namun dari segi BANGSA MELAYU, semua orang Melayu tidak kira di mana di seluruh dunia - yang makan-pakainya Melayu, gerak rasanya Melayu atau mimpinya Melayu itu... adalah penyambung warisan Kemelayuan di Alam Melayu ini.
Maka di tanahair bertuah ini, kita mesti bangkit dengan seribu alter terahsia, menyambung sebuah Kemelayuan sehingga sejuta dasawarsa sekalipun.
~Srikandi
Alter Terahsia Bangsa Melayu IV
*Alter terahsia esok hari terakhir-> http://bit.ly/3ksBKK0
Kredit: Melissa Suraya Ismail / TRP (Map of The Malay World/Textile/John Ang)

Copy and paste:
12/2/2025: 10.19 p.m

Friday, 3 January 2025

MISTERI MELAYU DI PANTAI TIMUR

Oleh Srikandi

The most conservative Malay heartlands. The purest malay genetics. Itu petunjuk dia.
Sejak sekian lama, bukan sahaja pegawai kolonial, malah orang Melayu di sebelah pantai barat sekalipun menyedari perbezaan orang-orang Melayu di pantai timur. Bukan sahaja dari segi dialek, tetapi cara pandang hidup dan sikap.
Melayunya orang Kelantan dan Terengganu serta di sekitarnya adalah sesuatu yang unik dan misteri.
Melayu yang seolah-olah dari zaman lampau yang berbeza dari Melayu Bukit Seguntang Mahameru.
Memang orang menyedarinya tetapi bagaimana dengan bahasa? Adakah bahasa Melayu orang-orang di Pantai Timur itu berasal dari bahasa yang disebarkan Srivijaya dan Kesultanan Melaka, secara mutlak?
Jiang Wu merumuskan dapatannya dari segi linguistik berkenaan bahasa-bahasa Malayik Pantai Timur Semenanjung:
To sum up, the perception of NEPMs as some of the most aberrant Malayic varieties, whether expressed by laypeople or earlier general studies on Malayic varieties, is not unfounded. This study has demonstrated that NEPMs exhibit many distinct features, both from Malayic and crosslinguistic perspectives. While many general characteristics are common to all three NEPM varieties, KM and CTM appear to be more closely related to each other, while ITM stands out as more distinctive.
(NEPM=Northeastern Peninsular Malayic, KM=Kelantan Malay, CTM=Coastal Terengganu Malay, ITM=Inland Terengganu Malay)
Beliau juga ada menyentuh tentang situasi politik dan ciri-ciri di Kelantan dan Terengganu:
The Kelantanese Malays practise Islam. Politically, the Islamic Party of Malaysia has been ruling Kelantan uninterruptedly for over three decades. The party has been pushing for the gradual enforcement of Shari’a laws in the state, leading to the state’s reputation as one of the most conservative Malay heartlands alongside Terengganu.
(Di perenggan lain) Along with Kelantan, Terengganu is one of the Malaysian states with the highest concentration of ethnic Malays who practise Islam. Currently, Terengganu is also ruled by the Islamic Party of Malaysia. The primary economic activities in Terengganu used to be agriculture and fishing. Apart from rice, rubber, oil palms and coconuts, other important crops grown in the state include corns, peanuts, peppers, cucumbers and watermelons. Thanks to the state’s extensive coastline, fishing and other related industry such as boatbuilding continue to play an important role in the economy and cultural heritage.
Betapa konservatifnya dan murninya kemelayuan orang-orang Pantai Timur ada kaitan dengan genetik mereka, terutamanya orang Kelantan. Menurut Pengarah Penyelidikan Biokimia Analisis Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin:
"Ujian DNA yang dilakukan ke atas 11 sub-etnik menunjukkan orang Kelantan memiliki gen sebenar orang Melayu.
Kajian terhadap 11 sub-etnik Melayu di Semenanjung Malaysia mendapati hanya Melayu Kelantan mempunyai kumpulan DNA mitokondria yang spesifik kepada kaum dan geografi yang sangat unik dan tersendiri. DNA mitokondria orang Kelantan sedikit berbeza selepas proses ‘sampling’ mendapati orang Kelantan senang untuk dapat tiga generasi yang tulen atau tidak bercampur atau kacukan."
Dengan dapatan terbaru dari segi linguistik ini, dapat menjelaskan misteri dari segi genetik dan pendirian orang-orang Melayu di Pantai Timur.
Malah, bila kita perhatikan senibina orang di Kelantan dan Terengganu, ada sesuatu yang menarik menunjukkan senibina mereka adalah maju dan tersendiri malah tetap dipertahankan sampai ke hari ini!
Jika kita merasakan orang di sana terutama orang Kelantan seperti 'unik', berpuak-puak dengan slogan popular "Sek Kito Jange Pecoh", ketahuilah sikap mereka ini membuatkan bahasa dan genetik mereka terpelihara sejak zaman pra-malayik lagi!
Maksudnya sebelum bahasa rumpun Malayik terbentuk di pantai barat Borneo, atau, sebelum penutur Malayik sampai di tenggara Sumatera dan tenggara Champa, nenek-moyang orang Pantai Timur telah pun tinggal di semenanjung dan bertembung dengan penutur bahasa Proto Mon-Khmer.
Maka, kalian, semua pewaris Melayu, kita pupuk rasa persaudaraan dengan orang-orang Melayu di Pantai Timur, seperti di Kelantan dan Terengganu. Ketepikan perbezaan politik. Memang ada orang yang benci dengan sikap 'degil' orang-orang di Pantai Timur mempertahankan 'kemelayuan' mereka terutama orang-orang asing yang dengki itu, tetapi dengan adanya orang Melayu yang seperti ini, peradaban dan identiti orang Melayu keseluruhannya dapat dipertahankan walau seribu tahun lagi.
Tidak Melayu hilang di dunia.
Srikandi

Copy and paste:
3/1/2025: 8.34 p.m

Monday, 25 November 2024

Mengapa Mereka Takut Kepada Mendam Berahi?

SUMBER: FB SRIKANDI

Apabila kerajaan negeri Melaka bercadang membina semula replika kapal Mendam Berahi yang pernah menjadi kebanggaan zaman Kesultanan Melayu Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 sekitar Jun tahun lalu, nampaknya berita ini sangatlah mencemaskan saka penjajah semua.
Maka mereka bangkit mendakwa bahawa kapal Kesultanan Melaka yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah itu adalah sejenis 'anakronisme' yakni kesilapan menempat­kan sesuatu peristiwa, tokoh, tempat dan lain-lain pada zaman yg sebenarnya.
Yakin ke Mendam Berahi itu fiksyen semata-mata disebabkan dakwaan ianya adalah 'anakronisme'?
Sebenarnya ia bukan isu anakronisme, tetapi isu kata pinjaman semata-mata dan 'trend' penulisan ketika itu.
Apakah 'ghali' dalam ayat "ghali kenaikan raja" itu (Hikayat Hang Tuah)? Ghali ini dikatakan adalah kata pinjaman dari kata 'galé' (Portugis) atau dalam bahasa Inggeris-nya, 'galley'. 'Galley/galé' pula ditakrifkan sebagai kapal yang bergantung terutamanya pada dayung, tetapi ada juga yang menggunakan layar apabila perlu dan kapal jenis ini biasanya dibina di sekitar Mediterranean.
Kononnya kapal jenis ini hanya diketahui oleh orang Melayu selepas kedatangan Portugis dan hanya muncul di perairan sini selepas tahun 1530-an. Adakah ini benar? Adakah orang Melayu hanya melihat jenis kapal yang didayung beramai-ramai hanya selepas kedatangan Portugis?
Realitinya tidak. Sebelum munculnya 'kapal yang didayung beramai-ramai versi Mediterranean', orang Melayu sudah ada versi sendiri bagi kapal jenis begitu... sebelum kedatangan orang Eropah. Sebelum itu, sebelum kedatangan Portugis, 'kapal yang didayung beramai-ramai versi Mediterranean' itu telah pun pernah dilihat di pelabuhan Melaka oleh orang-orang Melayu.
Ia dibawa oleh orang Arab, Parsi, Turki, Armenia dan sebagainya yang menggunakan kapal jenis itu. Tom Pires mencatatkan tentang para pedagang di pelabuhan Melaka:
"Moors from Cairo, Mecca, Aden, Abyssinians, men of Kilwa, Malindi, Ormuz, Parsees, Rumes, Turks, Turkomans, Christian Armenians, Gujaratees, men of Chaul, Dabhol, Goa, of the kingdom of Deccan, Malabars and Klings, merchants from Orissa, Ceylon, Bengal, Arakan, Pegu, Siamese, men of Kedah, Malays, men of Pahang, Patani, Cambodia, Champa, Cochin China, Chinese, Lequeos, men of Brunei, Lufoes, men of Tamjompura, Laue, Banka, Linga (they have a thousand other islands), Moluccas, Banda, Bima, Timor, Madura, Java, Sunda, Palembang, Jambi, Tongkal, Indragiri, Kappatta, Menangkabau, Siak, Arqua (Arcatl), Aru, Bata, country of the Tomjano, Pase, Pedir, Maldives."
Apakah ada 'kapal yang didayung beramai-ramai' versi Melayu, sebelum kedatangan Portugis? Ya ada, orang Melayu telah lama menggunakan kapal yang didayung beramai-ramai. Yang paling terkenal adalah Lancaran. Di sana ada juga namanya Penjajap dan Kelulus. Ada jenis kapal lebih lama dari itu, Lancang juga pada awalnya menggunakan dayung untuk bergerak sebelum penggunaan layar.
Ini bermaksud 'kapal yang didayung beramai-ramai' bukanlah sejenis teknologi perkapalan yang khas dari Portugis dan terlampau canggih kepada orang Melayu yang sememangnya bangsa pelaut dan pedagang maritim.
Ada pendapat yang mengatakan Lancang berasal dari 'Lancha', sejenis perahu Portugis. Ini salah kerana Lancang telah pun disebut dalam Prasasti Sembiran A I (922 M):
Contohnya: pangrama mā 1 di hadiri, me yanāda taban karang ditu, parahu, lañcang jukung talaka, anak banwa katahwan di ya, kajadyan wrddhi kinwaña
Maksud: pajak desa 1 masaka setiap orang. Dan bila ada tawan karang (pajak penawan) di sana terhadap perahu, lancang, jukung, bila diketahui oleh penduduk desa maka hasil tawanannya dijadikan wrddhi (untuk kemakmuran penduduk)
Ada juga pendapat yang mengatakan 'Lancaran' berasal dari 'lançar' (Portugis) tetapi istilah Portugis itu berkaitan tombak (lance, juga serumpun) dan melontarnya.
Manakala 'lancaran' berasal dari maksud cepat, bergerak pantas atau laju. Pierre-Yves Manguin mencatatkan pada notakaki (Lancaran, Ghurab and Ghali: Mediterranean Impact on War Vessels in Early Modern Southeast Asia): See also the long etymological footnote on lanca, lancang and lancaran by Louis-Charles Damais (1957: 647, n. 3), where it is demonstrated that the last two terms cannot be of Portuguese origin, as often claimed, but that the contrary holds true. Only Malay lanca — attested only once in the Sejarah Melayu to refer to a Portuguese boat — may have originated in Portuguese lancha. As the term lancang is not attested in Old Javanese, Damais suggested that, because it appears in inscriptions of coastal north Bali, in a maritime-oriented context, lancang may well have entered Balinese via the Malay lingua franca. The phonetic closeness of the originally unconnected terms built upon Portuguese “lançar” (to launch), which probably gave birth to “lancha”, and upon Malay/Javanese lancar (swift), which gave birth to (la)lancaran and possibly lancang, is probably responsible for the contamination of the two series and the ensuing confusion.
Jadi penulis Hikayat Hang Tuah menulis tentang 'ghali kenaikan raja' itu merujuk kepada kapal 'flagship' Sultan Melaka yang cenderung seperti jenis 'lancaran bertiang tiga' yang sering disebut dalam Sulalatus Salatin menggambarkan sejenis Lancaran yang besar. Penggunaan kata 'ghali' tidaklah pelik untuk menggantikan 'Lancang/Lancaran' kerana kata-kata pinjaman Portugis telah menyerap ke perbendaharaan bahasa Melayu ketika naskhah itu ditulis.
Ini adalah seperti 'minggu' (dari dominggo; Portugis) padahal kita ada istilah 'sepekan' untuk menggambarkan tempoh seminggu. Penggunaan kata 'ghali' ini juga boleh dijangka penggunaannya seiring dengan merosotnya pembuatan kapal tempatan sekelas 'galley' itu dan popularnya pembuatan kapal bergaya 'galley' Mediterranean itu di perairan Selat Melaka ketika abad ke-17 ketika naskhah Melayu ini ditulis.
Sebagai maklumat selingan, Kesultanan Melaka juga membina kapal-kapalnya sendiri selain membelinya seperti catatan Tom Pires:
This king Madafarxa (Sultan Muzaffar Syah) had many wives, the daughters of neighbouring kings. They say that he was a better king than all those who had gone before. He greatly strengthened his ties with Siam and with Java and with the Chinese and Lequjos. He was a great man of justice; he devoted much care to the improvement of Malacca; he bought and built junks and sent them out with merchants, for which even today the old merchants of the said king's time praise him greatly, especially as a very just man.
Kesimpulannya, tidak salah pun siapa yang berpendapat bahawa kapal Mendam Berahi pernah wujud. Pendapat yang mengatakan terdapat isu anakronisme adalah disebabkan kekeliruan tentang trend dan gaya penulisan ketika itu serta sejarah pelayaran di Selat Melaka.
Cumanya, Srikandi berminat untuk melihat replika Mendam Berahi itu dibina (saka penjajah pasti sakit jantung terus). Barulah jadi tanda ingatan kepada kekayaan dan kegemilangan Kesultanan Melaka. Srikandi percaya ini akan meningkatkan lagi pendapatan negeri Melaka melalui pelancongan. Pelancong luar terutamanya dari Barat tak terliur sangat tengok Flor de la Mar tu, bersepah kat tempat mereka. Tapi kapal kenaikan raja 'The Venice of the East' itu.
Foto: HMetro dan Utusan
~Srikandi
For Justice in History
*dapatkan alter terahsia di sini: https://shope.ee/5V7PUbI6fy

Saturday, 16 November 2024

Petunjuk Pada Batu Bersurat Terengganu & Dialek Hulu Terengganu


Sumber: Srikandi

Dialek Hulu Terengganu (Inland Terengganu Malay) dicadangkan oleh pengkaji bahasa, Jiang Wu sebagai jejak bahasa terawal di semenanjung, yang berasal dari penutur bahasa Malayik terawal ke semenanjung, lebih awal dari migrasi penutur Malayik ke Sumatera dari arah pantai barat Borneo.

Malah ada cadangan lanjut yang memungkinkan dialek ini berasal dari penurut pra-Malayik, yakni penutur Austronesia sebelum pembentukan bahasa-bahasa Malayik lagi.
Apa yang saya nak tumpukan ialah, Batu Bersurat Terengganu, yang merupakan rekod terawal kewujudan Bahasa Melayu Klasik. Kebetulan, ia ditemui di Hulu Terengganu!
Satu lagi maklumat yang menarik ialah tentang kerajaan besar di Terengganu, yang dicatatkan oleh sumber imperial China sebagai 'Fo-luo-an' atau 'Fo-lo-an' (Huluan?), yang dianggap terletak di Kuala Berang kini di pedalaman Terengganu. Jadi kita ada:
1) Dialek Hulu Terengganu, bahasa rumpun Malayik terawal semenanjung
2) Batu Bersurat Terengganu, ditemui di Hulu Terengganu, rekod terawal penggunaan Bahasa Melayu Klasik
3) Kerajaan purba di Hulu Terengganu
Sah, ada sesuatu yang berlaku di Pantai Timur, yang kita belum mengkaji sedalamnya lagi di sepanjang sejarah Melayu.
Memetik dari James A. Matisoff dalam Aslian: Mon-Khmer of the Malay Peninsula, Skeat and Blagden menyatakan:
The early Malay migrations seem to have originated, naturally enough, from the coastal districts of Central Sumatra, where the Strait is narrowest. Later, smaller population movements are traceable to the Menangkabau-speaking area of inland Sumatra.
Namun Geoffrey Benjamin (seorang penyelidik Orang Asli) mengkritik:
This ‘migrational’ approach of Skeat and Blagden is almost certainly wrong. The Malay culture and (standard) language most likely emerged simultaneously in Eastern Sumatra, Southern Malaya and Western Borneo — precisely where all the ‘para Malay’ groups are also to be found today. So the Malays had heterogeneous demographic origins, but all assimilated to essentially the same pattern, which was diffused over the sea routes.
Jadi sekiranya kita berpegang kepada pendapat yang menyatakan hanya satu aliran perkembangan bahasa dan budaya Melayu, itu adalah amat mengelirukan dan menghalang kita untuk melihat dapatan-dapatan terbaru untuk memetakan apa yang berlaku pada masa silam.
Srivijaya memang kerajaan besar tetapi budaya dan bahasa Melayu tidaklah semata-mata berasal darinya. Dek sebab pengaruh Srivijaya yang 'overrated' ini, ada di kalangan kita menuduh Langkasuka, Tanah Merah (Chih-tu) dan lain-lain kerajaan di utara sebagai kerajaan 'Mon-Khmer' padahal tidak.
Macam kes 'glottal stop' dalam sesetengah perkataan dalam pertuturan dialek Melayu (cth: pulak, ambik dll) ada sebilangan ahli bahasa menyatakan kononnya itu pengaruh bahasa Mon-Khmer padahal tidak, ia berasal dari bahasa Proto-Malayik (bandingkan dengan kitak, kamek dalam bahasa Melayu Sarawak).
Budaya dan bahasa Melayu telah bangkit secara beriringan di kawasan semenanjung, Sumatera dan barat Borneo dan kemudiannya pada hari ini ketiga-tiga kawasan ini menemui rumpun mereka sendiri melalui ikatan agama dan bahasa Melayu menjadi bangsa Melayu manakala yang lain tetap dianggap sebagai rumpun Melayu dipandangan mata orang Melayu walau berlainan agama namun terdapat perkaitan bahasa dan budaya.
Maha Suci Tuhan yang menciptakan segala manusia.
~Srikandi
My History is Immortal
Tabung Raja2 Melayu: http://bit.ly/3ksBKK0
Peta: Jiang Wu