FIRMAN Allah
bermaksud: “...dan hendaklah kamu bertakbir (membesarkan) Allah di atas hidayah
yang dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah:
185)
Padai penghujung ayat ini, ada perintah Allah berhubung pengisian amalan salih
sepanjang Ramadan dan pada Aidilfitri iaitu hari membesarkan Allah dan
bersyukur kepada-Nya atas segala kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhitung.
Pada Ramadan yang berkat ini, umat Islam disaran memperbanyakkan ibadat seperti
solat Tarawih, membaca al-Quran, bersedekah dan beriktikaf. Begitu juga
Aidilfitri, umat Islam digalakkan bertakbir dan bertahmid sebagai tanda
kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadat puasa sebulan Ramadan.
Aidilfitri secara harfiahnya membawa pengertian kembali kepada fitrah dan
kesucian semula jadi. Kesucian mewarnai perhiasan lahiriah dan batiniah
kehidupan Muslim mengungkapkan dua makna cukup mendalam dalam hidup seseorang
Muslim iaitu makna spiritual dan sosial.
Secara spiritual, seseorang Muslim kembali kepada fitrah dan kesucian
melambangkan dia sudah bersih daripada segala dosa seumpama bayi baru lahir ke
alam dunia ini, terutama setelah selesai melaksanakan ibadat puasa sepanjang
Ramadan dengan penuh keimanan.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa berpuasa
Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah
akan mengampuni segala dosanya seumpama bayi baru lahir dari rahim ibunya.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Justeru, Muslim yang berpuasa sebenarnya dididik dan diasuh untuk tunduk serta
patuh terhadap segala perintah supaya ibadat puasanya diterima Allah. Pada masa
sama, dia juga dididik dan diasuh tidak melanggar batasan mengendalikan hawa
nafsu selaras kehendak-Nya.
Di samping itu, menjalani ibadat puasa selama sebulan mampu mencetuskan
pengalaman kerohanian yang berharga dan cukup berkesan kerana setiap Muslim
ternyata berupaya mengendalikan hawa nafsunya serta sudah terbiasa melakukan
ketaatan kepada Allah.
Paling penting sekali deria rasa keinsafan dan kesedaran yang berbekas dalam
jiwa sanubari akan kehadiran atau pengawasan Allah terhadap segala lintasan
hati, tutur kata juga perbuatannya. Pengalaman dan perolehan berharga seperti
inilah membawa seseorang itu kembali kepada kesucian dan fitrah sejati saat
tibanya hari lebaran Aidilfitri penuh keceriaan.
Kesucian dari sudut sosial, tersingkap ruang lingkup pengertian jauh lebih luas
dan mendalam menuntut satu tindakan mencerminkan satu cara hidup syumul dalam
setiap aspek kehidupan manusia sejagat.
Ditinjau dari segi makna sosial,
manusia kembali kepada fitrah dan darjat kesucian bermaksud, tidak ada lagi
perbezaan kelas sosial, keturunan, pangkat dan kedudukan. Setiap manusia sama
dari segi kedudukan dan asal usulnya.
Aidilfitri secara sosial berupaya menjulang nilai kemanusiaan hingga setiap
manusia memandang kelompok manusia lain sebagai makhluk yang sama taraf dan
kedudukan. Orang yang kembali kepada fitrah bersedia berbuat baik kepada
dirinya dan juga orang lain.
Ketika menyambut Aidilfitri, ada beberapa adab perlu diraikan berdasarkan
sunnah Rasulullah. Setiap Muslim disunatkan mandi dan makan dulu sebelum keluar
menunaikan solat Aidilfitri.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Rasulullah tidak
keluar pada pagi hari Aidilfitri, sehinggalah baginda makan terlebih dulu
beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Di samping itu, umat Islam dianjurkan bertakbir
pada hari raya kerana termasuk sunnah yang agung. Waktu bertakbir Aidilfitri
bermula pada malam raya sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari
raya.