Tuesday, 10 July 2018

RUFAIDAH AL-ASLAMIA - JURURAWAT PERTAMA DALAM ISLAM

Apabila ditanya siapa ikon kejururawatan dunia yang terunggul, tentu kita akan terpanggil untuk mengingati nama Florence Nightingale yang hidup dari tahun 1794 hingga 1875. Tetapi tahukah kalian sebenarnya dunia kejururawatan tercicir satu nama yang lebih awal menempa kecemerlangan? 

Srikandi yang dimaksudkan adalah Rufaidah binti Sa'ad al-Aslami. Rufaidah binti Sa'ad diiktiraf sebagai jururawat muslimah yang pertama dalam Islam, berasal daripada suku Bani Aslam dan merupakan sebahagian daripada konfederasi suku Khazraj di Madinah. Wanita itu dilahirkan di Madinah sebelum hijrah Rasulullah s.a.w dan merupakan antara wanita Ansar yang mengalu-alukan kedatangan baginda ke kota tersebut. Beliau juga turut termasuk dalam golongan pertama daripada kaum Ansar yang memeluk Islam. 

~ Berkemahiran Tinggi ~ Ayahnya merupakan seorang tabib (doktor) dan Rufaidah mempelajari ilmu kejururawatan ketika bekerja membantu ayahnya. Tidak hairanlah sekiranya Rufaidah dalam beberapa sumber sejarah, dinyatakan sebagai wanita yang mempunyai sifat dan ciri-ciri yang baik sebagai seorang jururawat. Punya sifat kepimpinan dan pengurusan yang baik, beliau berkemampuan mengendalikan tugas walaupun dalam keadaan dan masa yang tidak menentu atau kecemasan. Rufaidah mempunyai kemahiran klinikal tinggi dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu mengajar jururawat lain yang bekerja bersama-samanya. Beliau tidak menghadkan tugasnya dalam situasi klinikal sahaja, malah turut turun ke padang melihat sendiri keadaan masyarakat untuk menyelesaikan masalah sesuatu penyakit dari akar umbi. Sumbangan wanita ini tidak terhad kepada merawat orang sakit sahaja. Sifat cakna yang dimilikinya membuatkan Rufaidah bukan sekadar jururawat biasa. Beliau juga bertindak sebagai seorang pekerja sosial yang gemar mengambil tahu dan menyelesaikan masalah masyarakat. Tenaganya banyak disalurkan kepada kerja-kerja kebajikan dan tanggungjawab sosial dalam komuniti. Pelbagai golongan muslim telah didekati Rufaidah sama ada yatim piatu mahupun orang kurang upaya. Mengajar anak-anak yang buta huruf juga menjadi sebahagian daripada rutin dalam jadual hidup wanita istimewa ini. 

~ Merawat Sa'ad bin Mu'adz ~ Rufaidah telah mewakafkan dirinya untuk membantu para mujahidin. Ketika Kota Madinah dalam proses perkembangan kemajuan, Rufaidah mengabdikan diri merawat kaum muslimin yang sakit. Sebuah khemah dibina di luar Masjid Nabawi ketika suasana damai. Dan ketika Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar, Rufaidah sentiasa bersedia di barisan belakang sebagai sukarelawan dan merawat tentera Islam yang tercedera. Nabi Muhammad s.a.w sendiri memerintahkan perajurit yang cedera dirawat oleh Rufaidah. Contohnya sewaktu Perang Khandaq, Sa'ad bin Mu'adz yang cedera telah dihantar kek khemah perubatan yang telah dibina. Pahlawan berani itu telah dirawat oleh Rufaidah. Dengan kepakaran yang dimiliki, Rufaidah telah berjaya mencabut anak panah yang terpacak di lengan Sa'ad. Rasulullah s.a.w pernah melawat Sa'ad beberapa kali ketika sedang menjalani rawatan di khemah pesakit itu. Namun hayat Sa'ad tidak lama. beliau meninggal dunia ketika Perang Bani Quraizah berlaku. Rufaidah telah melatih sekumpulan sahabiah sebagai jururawat yang sentiasa bersedia untuk menghadapi peperangan. Apabila Rasulullah s.a.w sedang sedia menuju ke lokasi Perang Khaibar, Rufaidah dan rakan-rakannya pergi bertemu Rasulullah s.a.w. Mereka meminta kebenaran untuk turut serta menyertai rombongan para mujahidin itu ke medan perang. Lalu Rasulullah s.a.w pun memperkenankan permintaan mereka. Dengan penuh semangat dan keazaman yang tinggi, kumpulan jururawat tersebut telah menjalankan tugas dengan baik sehinggakan Rasulullah s.a.w mengurniakan sebahagian harta rampasan kepada mereka. Bahagian yang diterima oleh Rufaidah sama banyak jumlahnya dengan seorang mujahid yang turun berjihad ke medan perang. 

~ Personaliti Empati ~ Personalitinya yang terpuji dan empati mampu mengurangkan penderitaan pesakit selain ubat-ubatan yang diberi. Tidak dinafikan, sentuhan tangan insan juga memainkan peranan penting dalam kejururawatan, tetapi malangnya aspek itu semakin dilupakan dek kemajuan material tamadun. Semangatnya menjadi inspirasi kepada kerjaya kejururawatan buat dunia Islam. Sejarah Islam juga mencatat beberapa nama yang berkerja bersama Rufaidah seperti Ummu Ammara, Aminah, Ummu Aiman, Ummu Sulaim dan Hindun. Selain itu, antara jururawat Islam lain yang terkenal adalah Ku'ayibah, Aminah binti Abi Qays al-Ghifariyah, Umm 'Atiyyah al-Ansariyah, Nusaibah binti Ka'ab al-Maziniyyah dan Rubayyi' binti Muawwiz.

10 Julai 2018 : 11.04 pm

1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah... 🤲🤲🤲