Thursday, 26 July 2018

MURTAD - Apakah faktor yang menyebabkan seseorang itu murtad?

Definasi "murtad" itu ialah keluarnya seseorang dari Islam kepada kekufuran (pengingkaran terhadap ALlah ﷻ).
Jika seorang Muslim (yang beragama Islam murtad maka tercabutlah gelaran Islam daripadanya dan imannya terlucut dari dadanya serta merta dan tersirnalah segala pahala amalannya seperti debu yang berterbangan.
Islam menggariskan 3 faktor dan sebab seseorang Muslim itu jatuh jadi kafir (murtad) iaitu;
A. I'tiqadi atau pegangan hati,
B. Qawli atau percakapan dan,
C. Fi'li atau perbuatan.

A. I'tiqadi atau Pegangan Hati
Ini adalah penyebab yang paling bahaya dan kritikal kerana tiada siapa yang boleh membetulkan melainkan kita sendiri yang membetulkannya dengan ilmu kerana hanya kita seorang sahaja yang tahu apa yang ada di dalam hati kita.

Diantara contohnya:
A1. Hati berpegang dan beriktikad bahawa tiada tuhan yang menjadikan alam semesta ini bahkan berpegang yang alam semesta ini terjadi dengan sendirinya.
A2. Hati yang syak dan ragu akan kewujudan Tuhan yang sebenar iaitu ALlah.
A3. Hati menolak sifat ketuhanan yang telah disepakati jumhur ulama seperti yang dinyatakan dalam Aqidah Asyai'rah dan Maturidi yang masyhur dengan ilmu 'Sifat 20', sama ada seorang itu menolak atau mempertikaikan salah satu daripada sifat-sifat itu.
A4. Hati menolak dan menafikan Kenabian Para Nabi yang telah disepakati jumhur ulama yang berjumlah 25 orang.
A5. Hati yang menafikan akan adanya hari kiamat, syurga, neraka dan lain-lain perkara yg disepakati jumhur ulama' Ahlussunnah wal-Jama'ah seperti mahsyar, mizan dan sirat.
A6. Hati yang dengan sengaja menafikan dan menolak kewajiban ibadah yang secara umumnya semua orang tahu tentang hukumnya seperti solat 5 waktu, puasa bulan Ramadhan, zakat dan haji.
A7. Hati yang menafikan keharaman perbuatan yang menyebabkan kita berdosa dan akan diazab di hari kiamat seperti meninggalkan solat, zina, meminum arak, rasuah dan judi.
A8. Hati yang berpegang bahawa Al-Quran dan Al-Hadith atau salah satunya itu terdapat kebohongan.
B. Qawli atau Percakapan
Ramai yang tidak cermat dengan pertuturan yang diucapkan dari mulutnya sehingga terkadang tidak sedar percakapannya boleh membuatkannya terkeluar dari Islam.

Contoh percakapan yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad ialah;
B1. Memanggil seorang Muslim yang lain dengan panggilan "Wahai kafir!", "Wahai Yahudi!", Wahai Nasrani/Kristian!", "Wahai Hindu!" atau lain-lain panggilan yang seumpama tersebut,
B2. Seorang yang berkata, "Aku berlepas diri daripada ALlah atau Nabi atau Al-Qur'an atau Islam",
B3. Seorang yang mengatakan dirinya sudah kafir atau seperti, "Aku sudah kafir",
B4. Seorang yang mempersendakan mana-mana ayat dari Al-Qur'an
dan
B5. Membaca Al-Qur'an dengan nada memperolok-olokkannya atau niat untuk menghinakannya.
C. Fi'li atau Perbuatan.
Mulai dari seorang itu bangkit dari tidurnya sehinggalah ia masuk tidur semula, beratus pergerakan dan perbuatan yang ia lakukan. Maka perbuatan seorang Muslim itu harus dijaga daripada perkara yang boleh merosakkan Islam dalam diri.

Antara contohnya;
C1. Sujud kepada selain ALlah kerana membesarkan dan memuliakan,
C2. Melakukan sesuatu dengan niat untuk menghinakan mushaf Al-Qur'an dan kitab-kitab ilmu Islam seperti kitab tafsir, hadith, tauhid, feqah dan tasawuf.
Apabila seorang Muslim melakukan salah satu dari 3 faktor ini maka hendaklah ia segera bersyahadah agar imannya terselamat dan ia dapat menghindari dirinya dari azab yang pedih api neraka di akhirat nanti.
Rujukan: Kitab Faridatul Fara'id oleh Sheikh Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zain Al-Fathani.
Ringkasan oleh : Dzulfikri Al-Jawi
Untuk Rijal'ul Dakwah
Copy and paste: FB Kebangkita Bani Jawi(Nusantara)

26 Julai 2018 : 09.32 pm

No comments: