Wednesday, 20 June 2018

Fahami konsep Hari Raya

ARKIB : 14/10/2007
Mukadimah

SUDAH menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, masing-masing sibuk menyediakan segala kelengkapan. Jika boleh semuanya perlu baru – daripada baju, langsir, perabot dan sebagainya.

Alasan yang sering diberikan ialah Hari Raya hanya disambut setahun sekali. Maka, ia perlu diraikan dengan meriah walaupun terpaksa berhutang.
Hakikatnya menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Hashim Yahya, apa yang dituntut dalam Islam bukanlah begitu caranya.
Itu satu kesilapan besar. Islam tidak suruh membebankan umatnya. Hukumnya boleh jatuh haram,katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar FAIZAL ABU HASSAN ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, Khamis lalu.
Apa yang perlu difahami oleh umat Islam ialah Hari Raya Aidilfitri selain Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan satu ibadat dan bukannya satu adat.
Kita mesti ingat bahawa Hari Raya itu ibadat. Tetapi kalau sampai hendak menukar langsir, sofa tiap-tiap tahun, berbalik kepada tahap kemampuan seseorang. Itu tidak menjadi kesalahan besar tetapi mesti juga dengan niat yang betul. Adakah kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada jiran atau tetamu, katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Syariah di Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut memberi pandangannya tentang sikap umat Islam yang sukar berubah walaupun telah melalui ujian sebulan berpuasa.
Jelas Md. Hashim, sikap begitu wujud kerana mereka tidak menghayati sebenar-benarnya ibadat puasa itu sendiri. Barangkali ramai di antara kita berpuasa sebagai adat, katanya.
Beliau juga menyentuh serba sedikit bagaimana pengisian Hari Raya yang dilakukan umat Islam ketika ini yang bermula sejak malam Hari Raya lagi.
MINGGUAN: Apa kefahaman yang perlu ada pada setiap umat Islam apabila memperkatakan tentang Hari Raya idulfitri atau Aidilfitri?
MD. HASHIM: Sebenarnya Hari Raya idulfitri ialah hari kebesaran yang sangat dimuliakan dalam Islam. Ia bukan sebagaimana perayaan-perayaan lain seperti menyambut Hari Kemerdekaan, Hari Gawai atau sebagainya. Menyambut Hari Raya Aidilfitri selain Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan satu ibadat dan bukannya dilihat sebagai satu adat.
Maksud ibadat dan bukannya satu adat ini?
MD. HASHIM: Ertinya kalau kita menyambut mengikut cara dan tuntutan syarak, kita akan mendapat pahala. Mengikut sunah atau hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah menjelaskan bagaimana cara sepatutnya kita menyambut hari raya ini khususnya Aidilfitri. Kerana apa ia merupakan ibadat? Kerana menyambut Aidilfitri ertinya kita balik kepada fitrah manusia. Eid itu maknanya fitrah. Kita menyambutnya kerana kejayaan, kemenangan kita kembali kepada fitrah. Fitrah manusia ini asalnya bersih. Ia umpama kain putih, seperti bayi yang baru dilahirkan. Sebab itu apabila kita berpuasa sebulan, kita dapat mengawal nafsu, menjaga pemakanan, berupaya menjalankan tugas dan tanggungjawab kita terhadap perintah Allah, maknanya kita sudah berjaya. Dan apabila kita berpuasa dengan betul, segala dosa kita akan diampunkan Allah – kita balik kepada fitrah – bersih daripada segala dosa. Kita tidak mahu sesudah membersihkan diri selama sebulan, kita menyambutnya dengan acara-acara tidak betul.
Umat Islam diajar tentang konsep bersabar dan berjimat cermat pada bulan Ramadan. Namun menjelang hari raya ada di antara kita yang melakukan persiapan secara berlebih-lebihan. Sikap begini jelas bertentangan. Komen Datuk?
MD. HASHIM: Itu satu cara sambutan yang ditegah. Memang benar pada bulan Ramadan kita disuruh berjimat. Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, bulan Ramadan ini menambahkan rezeki mukmin. Apa maknanya? Pertama, menambahkan rezeki seseorang mukmin kerana dalam bulan Ramadan kita disunatkan supaya unjuk-mengunjuk iaitu bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga. Kedua, dalam kita menjayakan bulan Ramadan ini, kita disuruh berjimat, makan ala kadar. Ertinya, bajet bulan Ramadan berkurangan, berat badan kita juga akan menurun. Tetapi ada di kalangan kita menanggung bajet Ramadan lebih berat lagi (berlebihan) dan badan pun semakin membesar. Ini kesilapan kita sebenarnya. Sama juga apabila kita menyambut hari raya. Walaupun kita disuruh berpakaian cantik, menjamah makanan yang berkhasiat dan lazat sebagai tanda kesyukuran berjaya menahan diri selama sebulan, kita tidak disuruh membazir.
Alasan yang sering diberikan mereka ialah hari raya datang setahun sekali, jadi apalah salah berbelanja lebih untuk merayakannya?
MD. HASHIM: Itu satu fahaman yang tidak betul. Bukan disebabkan setahun sekali maka kita perlu menyediakan makanan sampai kepada had membazir. Sepatutnya atas dasar setahun sekali itu menyebabkan kita perlu banyak bersyukur. Ramadan datang setahun sekali dan kita mengambil peluang memperbanyakkan ibadat. Begitu juga hari raya. Kita mesti ingat bahawa hari raya itu ibadat. Tetapi kalau sampai hendak menukar langsir, sofa tiap-tiap tahun, berbalik kepada tahap kemampuan seseorang. Itu tidak menjadi kesalahan besar tetapi mesti juga dengan niat yang betul. Adakah kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada jiran atau tetamu? Itu riak. Jika niat demi hendak menceriakan hari raya setahun sekali, mahu menunjukkan nikmat Tuhan kepada kita, itu tidak menjadi kesalahan. Kalau niat itu betul, insya-Allah akan diberi pahala.
Ada juga yang sanggup berhutang untuk memastikan mereka dapat beraya dengan langsir dan perabot baru. Apa hukumnya dalam Islam?
MD. HASHIM: Itu satu kesilapan besar. Islam tidak suruh membebankan umatnya. Apabila berhutang, dibimbangi mereka tidak mampu membayar balik dan sebagainya. Hukumnya boleh jatuh haram, berdosa. Tiada kemampuan tetapi kerana hendak menunjuk-nunjuk, berhutang.
Datuk sendiri bagaimana membuat persiapan?
MD. HASHIM: Tidak menjadi kebiasaan untuk saya menukar yang baru selagi ia boleh dipakai. Kalau tengok, langsir dan sofa ini, sudah berusia lima tahun. Kalau kotor saya basuh, itu cukup.
Berpuasa mendidik kita bersabar dan bertakwa. Peliknya segala kebaikan ini seolah-olah hilang apabila kita berada di atas jalan raya. Tambahan pula yang dalam perjalanan balik kampung. Apakah hukumnya mereka yang bersikap begini?
MD. HASHIM: Rasulullah ada menyebut maknanya, jangan kamu lakukan apa-apa perkara yang boleh memudaratkan kamu dan memudaratkan orang lain. Apa sahaja termasuklah cara kita membawa kenderaan. Kalau ditanya saya dalam hukum Islam, saya kata membawa kenderaan dengan cara tidak selamat haram kerana bercanggah dengan syarak.
Mengapa ini berlaku?
MD. HASHIM: Barangkali ramai di antara kita yang berpuasa sebagai adat. Kita berpuasa kerana sejak kecil kita disuruh berpuasa. Tetapi kita tidak pernah merasakan itu sebagai satu ibadat yang sangat besar faedahnya. Kita tidak pernah cuba mempraktik atau menghayati hikmah yang terdapat di dalam ibadah puasa. Kalau faham, sudah tentu kita akan menghayati ajaran untuk menjadi orang yang sabar, menghormati orang lain, tidak suka mengumpat dan sebagainya. Orang yang mengambil faedah daripada hikmat puasa, sudah tentu mereka terdidik. Sebab itu ada ulama mengatakan, puasa ini ibarat “sekolah intensif yang melatih manusia menjadi manusia yang beriman, bertakwa dan mempunyai ciri-ciri yang baik. Kebanyakan orang tidak sedar, sebab itu apabila membawa kenderaan mereka lebih mengutamakan kepentingan diri masing-masing.
Walaupun dari segi hukum fikah, apabila cukup syarat, puasanya sah, tetapi dari segi hikmah dan pengajarannya mereka tidak dapat. Kalau Tuhan hendak memberi pahala pun terlalu sedikit. Allah sebut dalam sebuah hadis Kursi, semua amalan anak Adam baginya kecuali puasa, Aku yang menentukan. Hadis ini menunjukkan kedudukan pahala puasa itu sangat besar di sisi Allah. Sebab itu di syurga ada satu pintu rayan dikhususkan untuk melaluinya adalah orang yang banyak berpuasa. Orang yang macam mana Tuhan kata pahalanya Aku yang akan menentukannya itu ialah orang yang berpuasa dengan menghayati pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalam ibadat puasa itu sendiri.
Secara umum adakah kita sekarang telah terpesong daripada landasan sebenar dalam erti menyambut hari raya?
MD. HASHIM: Walaupun masih ramai yang menyambut Hari Raya mengikut syarak, tetapi ada segelintir umat Islam yang terlupa tentang falsafahnya. Maknanya mereka telah balik kepada fitrah, kemudian mencemarkan diri semula. Ini termasuk kaedah menyambut hari raya dengan mengadakan acara hiburan melampau dan memakai pakaian menjolok mata. Apa yang saya lihat, banyak rancangan televisyen sekarang dibuat atas nama Aidilfitri tetapi memaparkan program hiburan yang melampau. Kita jangan menyalahgunakan nama Aidilfitri padahal sambutan bercanggah dengan hukum syarak.
Nasihat Datuk kepada umat Islam di luar sana?
MD. HASHIM: Saya menyeru umat Islam supaya memahami konsep hari raya yang sebenarnya. Kita kena ingat, menyambut hari raya bukan sebagai satu adat tradisi biasa seperti perayaan-perayaan lain, tetapi ia merupakan satu ibadat. Oleh kerana itu, kita kena penuhi segala aktiviti daripada malam menyambut hari raya lagi dengan mengisinya menerusi perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan tuntutan syarak. Perbanyakkan takbir, bertahmid, bermaaf-maafan sesama kita, jangan membazir dan melakukan perkara-perkara yang hanya merugikan kita. Mudah-mudahan dengan berpuasa, menyambut hari raya mengikut syarak, kita akan kembali kepada fitrah iaitu bersih daripada segala dosa.

Copy and paste:


© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 comments:

#JMBELOG said...

terima kasih atas perkongsian...

salam 6 ramadhan

zulheimymaamor.blogspot said...

Sama sama