30 JUN 2017
SUDAH beberapa hari umat Islam merayakan Aidilfitri setelah sebulan berpuasa. Hari kemenangan yang penuh bermakna ini disambut umat Islam tanpa mengira latar belakang, bangsa dan tempat.
Ibadah puasa Ramadan selama sebulan itu diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam. Bukan sahaja menahan lapar dahaga, tetapi mengekang hawa nafsu dari merajai jiwa. Malah disiplin madrasah ini amat tinggi sehinggakan bukan sahaja di hadapan orang umat Islam berpuasa tetapi apabila bersendirian juga amalan ini masih utuh. Inilah kejayaan Islam dalam mendidik peribadi yang mulia dan amanah.
Pengajaran selama sebulan ini tidak harus ditinggalkan dengan berakhirnya Ramadan. Ia sepatutnya menjadi pemangkin ibadah untuk 11 bulan seterusnya sehinggalah kita menemui Ramadan akan datang. Amat rugilah orang yang tidak memanfaatkan Ramadannya kali ini ataupun menganggap Ramadan bulan berlapar dan dahaga sahaja. Inti pati falsafah Ramadan sebenarnya mempunyai impak amat besar kepada peribadi dan jati diri umat Islam.
Dari segi bahasanya ‘aid al fitri’ bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah sendiri iaitu suci dan bebas daripada dosa. Madrasah Ramadan telah membersihkan segala dosa kita. Namun tidak kurang juga daripada kita yang kecundang dan gagal mendapat ‘ijazah’ dari madrasah Ramadan ini. Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada ‘fitrah’ mereka - kehidupan penuh dosa, memakan makanan tidak tentu halal-haramnya dan menindas golongan lemah. Mereka ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran ALLAH SWT.
Pada hari kemenangan ini jangan dilupai golongan tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan ikatan silaturahim sesama umat Islam.
Aidilfitri bukanlah suatu adat semata-mata, tetapi merupakan ibadat berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia suatu ibadat, amatlah molek sekiranya hari besar ini dipenuhi ibadat-ibadat yang dituntut ALLAH. Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada ALLAH, janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah-menziarahi tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.
Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini tetapi dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan miskin yang memerlukan dan sebagainya.
Syawal biasanya dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang. Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika kita kaji kesan produktiviti, betapa lama masa diluangkan menghadiri majlis-majlis berkenaan. Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan acara rumah terbuka ini diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan kita itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan. Pemborosan kan saudara syaitan.
Saya selaku Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘minal aidi wal faizin kullu aamin waantum bi khair’ kepada semua ahli PPMM, Peguam-Peguam Muslim Sivil dan Syariah, penyokong-penyokong perjuangan PPMM dan seluruh Muslimin dan Muslimat sekalian. Bagi pihak PPMM juga saya menyusun sepuluh jari mohon keampunan di sisi-Nya dan kemaafan zahir dan batin terhadap segala tindak-tanduk PPMM yang mungkin menggores perasaan semua ataupun kesilapan yang dilakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun sebaliknya.
Bagi pembaca ruangan ini juga saya memohon maaf sekiranya nukilan-nukilan saya ini pernah menyinggung perasaan anda, tersilap cara terkasar bicara atau pun yang tidak disenangi anda. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca-pembaca yang tidak putus-putus memberi komentar terhadap tulisan saya saban minggu serta yang mengesyorkan tajuk-tajuk tertentu bagi saya menulis. Insya-ALLAH semua teguran dan pandangan itu akan saya ambil perhatian dan laksanakan.
Sekali lagi Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada saya sekeluarga Datin Norliza (isteri) Danial Farhan, Farah Aleah, Farah Nur Zulaikha, Danish Aqil, Farah Zakiah Husna dan Muhammad Zamakhshary (anak-anak). Moga kita dipanjangkan umur dimurahkan rezeki bertemu pada Ramadan akan datang lagi.
Copy and paste:
14.6.2018 : 12.02 am
No comments:
Post a Comment