Memilih
Pemimpin
Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah
berfirman:
“Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya.
Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami
teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang,
menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang
mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.
Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat
pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan
mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum
fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu
al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang
diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai
‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang
kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan
dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.
Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah?
Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya
yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara
tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat,
menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.
Pemimpin Dan Solat
Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan
dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang
terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati
Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.
Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat
tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan
mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu.
Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan
kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata,
‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap
menegakkan solat’.”
Hadis ini menunjukkan apabila seseorang
pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan
kepimpinannya.
Pemimpin Dan Zakat
Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli
dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang
pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di
rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan
termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan
dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.
Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan
khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang
bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu
kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan.
Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz
mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan
kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun
golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah
menjadikan kami manusia yang kaya raya”.
Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah
al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek
duniawi tidak boleh dipandang ringan.
Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar
Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak
melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak
kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat.
Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan
perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan
mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.
Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang
mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik
mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang
berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan
serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa
kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki
dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)
Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam
sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan
jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit
meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak
menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi
Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran
bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas
bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini
dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah;
juz. 12, 1924).
Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada
makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan
mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan
kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad
memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran,
perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan
kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau
hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam
Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).
Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah
kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru
seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama.
Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata
ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang
seumpamanya. Ia lebih dari itu.
Di samping itu beliau juga merupakan peribadi
yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan
golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.
Berhati-hati Memilih Pemimpin
Ketika dalam perjalanan kita disuruh
berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati
ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin
ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan
kesannya lebih meluas.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah
berfirman:
“Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan
kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari
keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka
yang zalim’.”
Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh
dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik
li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil
bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang
adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi
pemimpin”.
17.10.2012
No comments:
Post a Comment