ALANGKAH bahagianya jika kita ditakdirkan lahir
dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini
kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat
melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila
menghadapi sesuatu masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat
hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam
segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai
sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah
kemungkaran dan beriman dengan Allah.
Inilah generasi yang telah dicatat dalam
lembaran sejarah kerana membantu Baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa
itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun
kehebatan individu di kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka
akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.
Mereka mencipta nama dalam sejarah
tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar-luaskan ajaran Baginda
Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa
maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk
umat manusia sejagat.
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita
bersemangat sama seperti Para Sahabat?
Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi
Muhammad, di antara mereka ada yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita
sebahagiannya dengan menggunakan nama Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq,
Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan
sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam
sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.
Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari
ini yang sudah mula menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang
kadang-kadang tidak memberi makna langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama
seperti yang disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka.
Mengapa? Sama-samalah kita mencari kekurangannya.
Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja,
sedangkan cara dan gaya hidup tidak melambangkan mereka seperti orang Islam,
ini termasuk cara berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara
berkeluarga, cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu
satu macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim
yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.
Inilah yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad
lalu, seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa
menerima wahyu daripada Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya
kerana ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang
bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib RA berkata:
“Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di
mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal
daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam
indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat
makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca
fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”. (Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu
jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum
sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda sebutkan dalam
hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh
mana kebenaran kenyataan baginda itu.
1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam hanya tinggal namanya sahaja
Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama
Islam namun perbuatan sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang
baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan
tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.
Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada
sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali.
Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’
namun masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa.
Ramai yang bercakap tentang Islam padahal
mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar orang percaya dia seorang
Islam yang baik dan memperjuangkan Islam, sehingga ada yang mengubah halal
menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan
dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.
Sebenarnya orang yang sebegini tergolong
daripada golongan orang munafik sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu
Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab:
“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan
ajaran-ajarannya”. (Masnad
ar-Rabi’)
Al Quran hanya tinggal tulisannya
Dalam banyak hadis Rasulullah SAW, Baginda
menganjurkan kita umatnya agar membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan
sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga
bertindak sebagai penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit
dntakan dunia secara berlebihan.
Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi
pedoman dalam soal aqidah, iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya,
dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi
rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama
ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah yang ada di
dalamnya.
Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al
Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan
yang diturunkan Al Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak
diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang
melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia
ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya
untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.
Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah
Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah
SAW bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah,
tetapi pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya
menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada
pengunjungnya.
Terdapat masjid yang membiayai urusan
pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang
cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun
tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak
memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid
dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik dan
bersih.
Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada bercakap
tentang Islam
Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan
Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang
zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh
Baginda dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin
Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.
“Dan kalau Kami kehendaki nescaya
Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia
bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka
bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan
lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan
lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat
Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.
Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan
ramai mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki
dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan,
Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa
Bani Israel.
Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman
Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah
mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha
Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura mustajab]. Setelah peristiwa firaun dilemaskan
dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus mengembara
sehinggakan hampir sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja
negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang
telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan
penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan
Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk mengalahkan Nabi Musa
AS.
Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah
isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa
dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri
beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am
berkata “berdoalah
bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.
Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban
doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa AS, doa Bal’am itu termakbul,
menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang :
semenanjung Sinai) selama 40 tahun.
Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah
SWT, “Wahai Tuhan, apakah
dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh ini?”.
Jawab Allah SWT, “berpunca
dari doa Bal’am”
Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar
doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.
Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut
keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am
mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.
“Minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin
Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar
dijadikan pengajaran kepada kita).
Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat
dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa
yang diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya
tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip
agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili maka dialah yang merasa bahang
pedasnya.
Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat
Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular
yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim yang baik di sisi Allah.
Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat
paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah
kerana ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut
segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri
umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.
Sumber: http://www.tarbawi.my
27.10.2012
No comments:
Post a Comment