Thursday 18 October 2012

BERBANGGALAH MENJADI MUSLIM


Nikmat Iman dan Islam merupakan suatu anugerah yang tiada galang gantinya dalam kehidupan insan. Maka, amatlah rugi sekiranya Islam dan ajarannya tidak dipraktikkan semaksima mungkin oleh kita. Islam, menerusi dustur utamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah, telah 'menghidangkan' pakej lengkap untuk menjadi asas panduan hidup. Hidup dengan kebahagiaan yang hakiki.
Sebagaimana Firman Allah dalam Surah As-Saff, ayat 10-11 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"

Berbangga memegang status sebagai Muslim seharusnya sentiasa terpatri di dalam jiwa kita. Sebagaimana bangganya kita menjadi warga sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Malahan lebih daripada itu. Kecintaan dan taat setia kepada tanahair menjadikan kita taksub dan rela berkorban apa sahaja untuk kepentingannya. Itu tidak salah kerana ada pepatah menyatakan;
"hubbul waton minal iman" yang bermaksud "cintakan tanahair itu sebahagian dari iman".
Tatkala kita renungkan seketika, kita dapat lihat rakyat di negara bergolak seperti Syria, Palestin dan Myanmar pada waktu ini bermati-matian memperjuangkan agama dan tanah kelahiran mereka. Selain cintakan agama, rasa mahabbah pada tempat tumpah darah menjadikan mereka gagah sebagai pejuang sejati. Tanpa latihan perang dan senjata yang sistematik, lawan dicabar dengan tiada rasa gentar. Lantaran itu, syahid adalah matlamat terakhir mereka ketika kesemua kudrat telah dicurahkan demi memperjuangkan nusa yang tercinta.
Alhamdulillah, bertapa bertuahnya kita di bumi Malaysia. Allah berikan kemudahan dan kelapangan untuk kita melaksanakan 'ketaatan' kepada Allah SWT. Rasa amat bahagia taktala dapat melaksanakan ibadah dengan penuh kesyukuran. Berdoalah semoga istiqamah atau konsisten di dalam melaksanakannnya. Moga tiada istilah hanya 'hangat-hangat tahi ayam' dalam pengamalannya. Nauzubillah Min Dzalik. Minta dijauhkan oleh Allah sejauh-jauhnya. Amiin.
Jenama Barat 'Dibanggakan'
Namun, di sebalik peluang dan kebaikan yang Allah berikan, segelintirnya mudah lupa dengan nikmat Iman dan Islam yang dianutinya. Sebahagiannya merasa malu apabila Islam menjadi identiti dirinya. Sejak dijajah oleh kolonial barat hingga hari ini, label atau budaya penjajah lebih suka dijadikan identiti. Apabila bergaya dengan sesuatu yang diimpot daripada Eropah misalannya, empunya diri terasa begitu bangga. Dilema Muslim yang kurang bangga mempromosikan cap mohor Islam semakin menebal di dalam diri anak-anak muda. Mereka merasakan, Trend bersifat 'islamik' itu tidak menepati kemodenan yang ada. Bersifat konservatif dan kurang memenuhi citarasa antarabangsa.
Dalam keghairahan mempromosikan budaya lain, ada yang tidak perasan sedang mempromosikan jenama produk yang tidak halal seperti rokok, kelab malam dan minuman keras. Amat menyedihkan apabila lambang produk tersebut terletak betul-betul di dada baju si pemakainya.
Hakikatnya, Islam bukanlah agama yang jumud atau kuno. Islam merentasi sempadan zaman dan tempat. Agama yang tiada tarikh luputnya. Untuk pemakaian, Islam menggariskan panduan pemakaian yang berciri menutup aurat, bersih dan tidak keterlaluan. Apa yang paling penting pastilah yang menutupi aurat, baik lelaki lebih-lebih lagi wanita.
Ketika Tawakul Karman seorang wartawan dan ahli politik dari Yaman juga Penerima Anugerah Nobel untuk kategori Keamanan pada tahun 2011 ditanya mengapa beliau berpakaian kolot dengan Hijab dan sebagainya, yang dilihat tidak selari dengan keintelektualannya. Lalu jawabnya,
"Manusia di zaman lampau hampir tidak berpakaian langsung. Apabila semakin maju, manusia mula berpakaian. Apa yang saya pakai hari ini melambangkan perkembangan pemikiran dan peradaban yang terbaik manusia telah capai. Sebaliknya, tidak berpakaian sebenarnya yang kolot dan kembali ke zaman purba."
Fesyen Barat Yang Di 'sunnah'kan
Segelintir Muslim merasakan pakaian seperti Sunnah Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam agak ketinggalan atau pakaian khusus untuk pak lebai dan ustaz sahaja. Ada pula yang beranggapan berjubah dan berkopiah hanya sesuai dipakai untuk majlis-majlis agama sahaja. Mereke terlupa, hanya dengan berpakaian menutup aurat, dengan diniatkan mengikut sunnah baginda mendapat kemuliaan daripada Allah SWT sedangkan berpakaian mengikut arus kebaratan, akan mendapat sanjungan daripada manusia yang memandang. 
Pendeknya pemikiran mereka, hanya bijak di 'sini', tetapi tidak bijak di 'sana'. Mereka meraih kebaikan yang umpama fatamorgana, namun melepaskan kebaikan yang lebih bersifat 'memelihara'. Andai mereka memilih berpakaian sebagai seorang muslim, dengan menjaga adab-adab berpakaian, menutup aurat dan menjaga peribadi sebagai 'pakaian taqwa', bukankah itu lebih memelihara diri dari kemurkaanNya?
Analoginya, apabila seseorang itu memakai pakaian yang disyariatkan Allah, akan lebih menjaga dirinya daripada melakukan kemungkaran dan dosa. Umpama seorang muslimah yang menutup auratnya dengan sempurna dan akhlaknya sebagai pakaian taqwanya, amat jarang dan sukar untuk kita lihat berfoya dan berpegang tangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya.  Demikianlah pakaian sunnah itu -menutup aurat itu lebih memelihara diri dan memberi kebaikan yang banyak kepada si pemakainya. 
Sebaliknya kadangkala apabila seseorang itu mengenakan pakaian barat yang menjolok mata, yang berjenama malah harganya 'mencekik darah' lebih menonjolkan diri seseorang itu kepada rasa 'hebat' dan 'bangga'. Dan adakalanya timbul rasa 'riak' dengan penampilan yang berbeza dari orang lain. 
Marilah kita tarbiyahkan diri agar mencintai Nabi. Mengikuti sunnahnya setiap hari. Perbanyakkan mempelajari dan mendalami hadith serta huraiannya. Sesungguhnya dengan berpakaian mengikut Sunnah Nabi bukan sahaja diberi ganjaran pahala malah bersifat 'menjaga'  berrbanding pakaian kasual yang diterapkan dari pelbagai budaya yang sering kita banggakan, kesemua ini tidak diberikan keistimewaan itu.
Bahasa Inggeris 'Dituturkan'
Muslim juga tidak merasa gah jikalau bertutur selain Bahasa Inggeris. Sekiranya tidak fasih berbahasa itu, ibaratnya terkebelakang sekali. Walhal, kita lupa, bahasa terpenting buat Muslim ialah Bahasa Arab atau lughatul Jannah yang membawa makna tersirat iaitu bahasa yang akan dipertuturkan di Jannah kelak. Itulah juga bahasa untuk kitab suci, Al-Quranul Karim.
Jika dinilai dari nilai estetika bahasa, Bahasa Arab sememangnya unik. Nahu dan qawaidnya penuh dengan seni yang pasti dicintai oleh orang yang mempelajari serta mempraktikkannya. Sebuah Hadith ada menyebut:
"Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada Al-Quran di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir runtuh"
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Justeru, memperlengkapkan anak-anak Muslim dengan kepandaian berbahasa Arab mestilah menjadi agenda utama buat semua ibu bapa. Kondisi berbeza hari ini, ibu bapa lebih risau sekiranya anak-anak tidak pandai berbahasa Inggeris. Mereka berpusu-pusu menghantar anak-anak ke pusat tuisyen dan membayar guru bertauliah yang agak mahal. Perihal ini tidak bertentangan dengan Syariat, namun berapa ramai yang kita lihat memperlakukan perkara sedemikian sekiranya anak tidak pandai mengaji Al-Quran atau bertutur bahasa Arab. Wajarlah kita berbangga ketika mendengar anak-anak memperdengarkan bacaan Al-Quran apatah lagi menghafalnya.
Sesungguhnya Allah amat merahmati hambanya yang menghidupkan kediaman dan suasana dengan bacaan ayat-ayat suciNya. Membaca Al-Quran dengan fasih adalah amalan yang dicintai Allah dan disediakan sesuatu yang terbaik dalam kehidupan dunia mahupun Akhirat. Allah berfirman dalam Surah Faathir, ayat 29-30 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya)"
Perlancongan Metropolitan 'Diutamakan'
Sebagai Muslim, kita digalakkan melaksanakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan Haji ke Baitullah. Bagi yang berkemampuan, ayuh, bersegeralah menunaikannya. Menunaikan haji kecil atau umrah juga membolehkan kita merasai kehebatan tempat yang dimuliakan Allah di muka bumi ini. Baitul 'Atiq atau Makkah dan Madinah Al Munawwarah adalah kota kudus milik umat Islam.
Berkesempatan ke sana adalah suatu pengalaman yang tolok bandingnya dengan apa sahaja. Beribadah di depan Kaabah merupakan nikmat terindah daripada Allah. Berbanggalah kerana terpilih untuk menjadi tetamuNya yang Maha Agung. Sesetengah kita lebih suka berkunjung ke kota-kota keriangan atau romantis di seluruh dunia yang mungkin lebih canggih fasilitinya.
Seperti yang ditegaskan, ianya tidak salah kerana Islam menggalakkan kita mempelajari budaya dan tradisi bangsa lain yang wujud di muka bumi ini. Allah berfirman dalam Surah Al-Hujurat,ayat 13 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)"
Kelebihan Muslim memiliki kota suci ini seterusnya menyemarakkan tali silaturrahim di antara mereka taktala sedang beribadah di sana. Ukhuwwah Islamiah terjalin sebegitu erat seolah-olah mereka pernah mengenali antara satu sama lain. Ikatan persaudaraan Islam terbina di atas dasar iman kepada Yang Satu. Subhanallah, Tabarakallah!
Namun, segelintir daripada kita sanggup berabis wang demi melancong di kota-kota metropolitan. Di hatinya lebih mengutamakan kepuasan diri dan nafsu semata-mata. Waktu usia muda, dinikmati dengan membeli belah dan bersuka ria. Bila umur semakin senja, barulah ingat untuk ke baitullah. 
Berbanggalah Menjadi Muslim
Menganuti Islam memberikan kita kesempatan untuk kita mendekati Allah, Al-Khaliq yang mencipta segala yang ada di dunia ini. Menerusi Al-Quran, seluruh perkara berkaitan kehidupan dibahaskan di dalamnya. Muslim yang memahami Al-Quran pada dasarnya mengenali pencipta dan dirinya sendiri. Ini kerana beliau memahami apa yang perlu dilakukan sebagai musafir di muka bumi. Kehidupan yang abadi adalah di Akhirat kelak. Segala apa yang wujud di sekelilingnya menjadi wasilah untuk hampir atau dekat dengan Allah.
Justeru, kita sering mendengar individu bukan Islam tertarik kembali kepada fitrahnya apabila 'melihat' kekuasaan Allah menerusi eksperimen yang dijalankan. Sebagai contoh, Dr Maurice Bucaille yang melihat sains dari perspektif Al-Quran dan Bible. Penelitian beliau telah membuktikan kebenaran Al-Quran sebagai kalamullah yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Buku Dr Maurice atau Yahya Bucaille yang terkenal, The Bible, The Quran and Science, menjelaskan apa yang beliau alami menerusi eksprimen saintifiknya terhadap mumia Firaun atau Ramses II pada tahun 1975. Ini juga diterangkan menerusi kenyataan beliau:
"Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam Al-Quran. Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden".
Subhanallah! Betapa hebat keagungan Allah. Tiada suatupun kejadian yang terlepas dari ikatanNya sebagai pencipta yang tiada tandingannya atau sekutu baginya.
Tersentuh jiwa saya apabila melihat dan mendengar cerita tentang hidayah yang dikurniakan Allah kepada sesiapa yang Dia mahu. Bertambah sebak apabila kita yang dilahirkan sebagai Muslim tidak benar-benar menjiwai Islam secara seratus peratus. Sungguh mengharukan juga apabila Muslim agak malu-malu untuk menampilkan jatidiri Islam dek takut dilabel sebagai golongan 'old fashion' atau 'out of date'.
Islam bermula dari kita melihat dunia sehingga nafas yang terakhir. Islam bermula setelah mata terbuka di awal pagi sehingga kita melelapkan mata di malamnya. Janganlah terpedaya dengan dakyah sekularima barat yang mengajar pengasingan agama dari kehidupan seharian.
Marilah kita memperbanyakkan kajian terhadap Al-Quran dan mentelaah Sirah Nabawiyyah dan Khulafa' serta hasil-hasil kajian ulama' yang bermatian-matian memperjuangkan ilmu seperti Imam madzahib yang empat, Al-Ghazali, Ibn Khaldun dan seumpamanya. Yakinlah bahawa dengan Islam kita lebih beruntung samada di dunia tambah-tambah lagi di Akhirat sana.
Wallahu Ta'ala  A'lam
Hafiza Harun merupakan pengamal kewangan Islam profesional dan penyumbang artikel bulanan bagi sebuah majalah tempatan. Fokus utama penulisan ialah dalam muamalah ekonomi dan sosial. Kini bertugas sebagai Penolong Pengurus Pematuhan Syariah, Jabatan Syariah di sebuah syarikat pengendali Takaful. 

18.10.2012

No comments: