Islam Jadikan
Manusia Lebih Bertamadun
Ghafani bin Awang Teh; Pengarah Pembangunan
Keluarga, Sosial dan Masjid, JAKIM
Berita Harian, 22 Mac 2008
KETUA paderi yang juga pemimpin tertinggi Gereja
Anglickan Britain, Dr Rowan Williams dalam satu syarahan kepada pemimpin gereja
di Royal Court of Justice, London pada 7 Februari lalu menyatakan sebahagian
undang-undang syariah boleh disesuaikan dalam sistem undang-undang Britain pada
masa akan datang tidak dapat dielakkan. Walaupun pandangan pemimpin gereja itu
dikritik hebat, ketua paderi itu dengan tegas mempertahankan pendapatnya.
Kenyataan beliau mendapat liputan media meluas di seluruh dunia.
Persoalan besar timbul ialah mengapa ketua paderi
itu berani membuat kenyataan terbuka walaupun menyedari risiko besar mengenai
kedudukan jawatannya. Kita percaya ketua paderi itu membuat kenyataan berani
kerana beliau sudah membuat kajian teliti kelebihan undang-undang syariah yang
mampu menjadikan kehidupan manusia lebih bertamadun.
Ahli sejarah British, Thomas Arnold, dalam buku The Call to Islam menyatakan kehadiran Islam di tengah masyarakat Arab pada suasana jahiliah bukan sekadar menggantikan budaya tradisi masyarakat Arab yang liar, tetapi membawa revolusi yang utuh dan sempurna bagi mewujudkan kehidupan kemanusiaan sempurna.
Pandangan tokoh cendekiawan Barat mengesahkan
penjelasan al-Quran bahawa sesungguhnya Islam adalah agama yang sahih dan
sempurna dan pada diri Muhammad itu teladan yang baik untuk diikuti manusia.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya agama
(yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Sirah ali-Imran, ayat 19)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Penghayatan akhlak Rasulullah SAW adalah
berlandaskan al-Quran dan menjadi sumber untuk menjadikan ummah lebih
bertamadun. Tamadun amnya bermaksud mencapai kemajuan dalam kehidupan dengan
menghayati sifat mulia serta bertanggungjawab kepada Allah di dunia dan
akhirat.
Rasulullah SAW menterjemahkan pengajaran al-Quran
melalui sunnahnya. Sunnah atau hadis itu menjadi sumber rujukan kedua umat
Islam selepas al-Quran. Sunnah itu merangkumi perbuatan, ucapan dan pengakuan
Rasulullah SAW ketika menjelaskan dasar dan pelaksanaan meliputi pelbagai isu
berkaitan kehidupan manusia.
Allah menegaskan bahawa Rasulullah SAW menjelaskan
ajaran Islam bukanlah dengan mengikut hawa nafsu atau pendapatnya sendiri,
tetapi berlandaskan panduan wahyu.
Kekuatan sunnah Rasulullah SAW terletak pada dakwah
bilhal (dakwah melalui keindahan peribadi dan tingkah laku) yang menjadi
penggerak utama dan paling berkesan ketika berdakwah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” (Riwayat
Ahmad dan Baihaqi)
Gerakan dakwah bilhal inilah menghasilkan revolusi
aqidah, sosial dan politik dalam masyarakat Arab jahiliah. Bagaimanapun,
revolusi akidah menjadi unsur penting menjadikan ummah lebih bertamadun kerana
mengikat umatnya bertanggungjawab kepada Allah di dunia dan akhirat.
Kejayaan Rasulullah SAW mengubah keseluruhan reka
bentuk akidah jahiliah kepada akidah yang sahih dalam masyarakat Quraisy tanpa
menggunakan kekuatan senjata dalam masa 13 tahun adalah satu keajaiban.
Berdasarkan analisis, teknik yang digunakan
Rasulullah SAW ialah menggunakan pendekatan membina insan, pemikiran dan
disertai dengan akhlak yang hebat. Ketika ini ada persaingan sengit antara
Islam dengan pemikiran orientalis dalam percaturan mengubah reka bentuk tamadun
dunia.
Tamadun Barat lebih menekankan pencapaian kemajuan
kebendaan dengan bebas tanpa ada hukum halal dan haram. Peranan Tuhan dalam
kehidupan mereka semakin dipinggirkan. Sebaliknya, lebih mempercayai kepada ahli
falsafah atau orientalis berbanding pegangan kitab suci mereka.
Berdasarkan pemerhatian, walaupun Rasulullah SAW
wafat pada 1429 Hijrah, tetapi pengaruh Baginda digeruni dan menghantui banyak
pihak. Musuh Islam terus mengadakan kempen memburuk-burukkan Rasulullah SAW
tanpa henti yang kelihatan mereka hilang kewarasan.
Bagi umat Islam kesegaran amalan sunnah dalam
kehidupan memberi gambaran seolah-olah Rasulullah SAW masih hidup segar, terus
memberi inspirasi kepada penegak Islam memperhebatkan tamadun manusia sejagat.
Ketika ini Barat memperkenalkan pelbagai konsep
ideologi global seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, sekularisme,
modenisme, liberalisme, pluralisme dan Islam Liberal yang semuanya cenderung ke
arah menyeru manusia supaya menyisihkan Tuhan.
Sebahagian ideologi sesat ini yang muncul silih
berganti sudah usang dan pupus ditelan zaman. Bagaimanapun, prinsip tamadun
Islam terus kekal segar dalam keasliannya. Inilah kehebatan agama dan aqidah
yang sahih.
Pada dasarnya pertembungan tamadun Islam dalam
pelbagai aspek kehidupan dengan tamadun lain memang tidak dapat dielakkan.
Pertembungan itu adalah kesinambungan pertembungan Nabi Adam AS dengan iblis.
Nabi Adam AS mewakili kumpulan penganut agama
sahih. Manakala Iblis pula mewakili puak yang menentang syariat Allah dan puak
yang menyisihkan Tuhan.
Hakikatnya, proses mentamadunkan ummah lebih cepat
dan menjadi realiti apabila wujud persefahaman antara ketua organisasi dengan
orang bawahan. Jika tindak tanduk pemimpin sendiri tidak bertamadun, dan gagal
menghayati nilai peradaban yang murni, maka matlamat melahirkan umat bertamadun
kurang berjaya.
Dengan demikian. setiap pemimpin, ketua masyarakat,
ketua keluarga, dan ibu bapa hendaklah mempamerkan gaya hidup bertamadun untuk
dijadikan ikutan orang bawahan atau orang yang dipimpinnya.
Sempena Maulidur Rasul dan sebagai usaha
memperkukuhkan ajaran Rasulullah SAW, maka marilah kita menghayati sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak
akan sesat selama-lamanya ( selagi kamu berpegang teguh kedua-duanya) iaitu
kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Muslim).
Penulis adalah Pengarah Bahagian Pembangunan
Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Tarikh : April 23, 2008 - 4:14pm
Editor : projakim
Editor : projakim
·
Hits : 1214
No comments:
Post a Comment