Sunday 21 January 2024

FILEM OLA BOLA & TEAM BOLASEPAK MALAYSIA 1980

Posted by:
Hj Zulheimy Maamor
15 December 2021


Filem "Ola Bola" arahan Chiu Keng Guan diterbitkan oleh Astro Shaw, diinspirasikan dari kisah benar perjalanan skuad Malaysia ke Sukan Olimpik 1980, dan pastinya cabaran menghasilkan filem ini bukan mudah. Ianya mula ditayangkan pada 2016.
Filem ini memang membangkitkan semangat satu Malaysia yang menampilkan 3 kaum utama di Malaysia, dan ianya ada suatu yang benar ketika era 70an dan 80an dimana sukan berjaya menyatukan semua bangsa di Malaysia tidak kira kaum.
Tarikh keramat 6 April 1980, saya adalah antara jutaan rakyat Malaysia yang menonton siaran lansung tersebut di Kaca TV di Pengkalan TLDM Lumut, Perak (ketika itu sama masih dalam latihan Tentera Laut).
Saya masih ingat bagaimana kami terlompat-lompat gembira apabila Malaysia berjaya mengalahkan musuh ketatnya ketika itu iaitu Pasukan Korea Selatan 2 - 1 hasil jaringan Bakri Ibni dan James Wong (cuma dalam filem Ola Bola Malaysia menang 3-2).
Tahukah anda, terutama bagi generasi - generasi muda hari ini bahawa pasukan Bolasepak Malaysia era 70an dan 80an punya prestasi yang membanggakan walaupun tidak pernah layak ke Piala Dunia, namun berdasarkan ranking Asia ketika itu hanya Iran, Kuwait, Iraq, Korea Selatan dan Korea Utara sahaja yang berada di atas kita.


Nama wira-wira kita ketika itu masih terpahat di ingatan saya seperti Arumugam,Soh Chin Aun, Santokh Singh, Jamal Nasir, Shukor Salleh, Dollah Ali, Hassan Sani,, Bakri Ibni, James Wong, Isa Bakar, Wong Hung Nung, Khan Hung Meng, Ong Yu Tiang...ramai lagi (Mokhtar Dahari rasanya tidak bersama dengan skuad 80 ini kalau tak silap saya). Jurulatih ketika itu ialah Karl HeinzWeigang.
Namun Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik di Moscow akhirnya menarik diri sebagai membantah pencerobohan tentera Soviet Union ke atas Afghanistan. Walaupun tidak beraksi di Sukan Olimpik di Moscow tahun 1980, demi untuk mengubat kekecewaan pasukan negara yang telah berhempas pulas untuk mempastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia, pasukan negara dibawa beraksi ke Amerika Syarikat untuk beberapa perlawanan persahabatan.....
Sebenarnya itu bukanlah kali pertama pasukan bolasepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik. Kali pertama skuad negara layak ke Sukan Olimpik ialah pada tahun 1972 di Sukan Olimpik Munich.
Begitulah hebatnya skuad bolasepak kita suatu ketika dahulu... pasukan yang pernah digeruni oleh Korea Selatan suatu ketika dulu.....
Barisan lagenda Malaysia: R. Arumugam, Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, Abdullah Ali, Abdah Alif, Hassan Sani, dan James Wong.
Para pemain Korea Selatan: Kim Hwang-ho, Choi Jong-duk, Cho Young-jeung, Lee Jang-soo, Kim Hong-joo, Park Sang-in, Kim Gang-nam, Cho Gwang-rae, Shin Hyun-ho, Chung Hae-won, Lee Young Moo, dan Huh Jung-moo.
Pengadil: Abdul Wahab Al-Banni (Kuwait).

Posted on Blog:
21 January 2024 > 9 Rejab 1445H: 12.15 pm


No comments: