Friday 12 January 2024

SIAPA MELAYU DAN SIAPA MELAYU SARAWAK?

SUMBER: BORNEO ORACLE 
14 June 2015

Asal-Usul Melayu Sarawak ; Menjejaki Titik Tak Pasti
Menyelusuri asal-usul etnik Melayu Sarawak bukanlah satu yang mudah dan setiap kali diutarakan akan pasti ada kontroversi. Hal ini terjadi kerana Melayu Sarawak sebenarnya mempunyai asal-usul yang tidak seragam malah ianya adalah terdiri daripada pelbagai kelompok, asal usul dan keturunan yang berbeza. Dan kerana itulah bagi pengkaji sejarah di Sarawak khususnya masih lagi berdepan dengan kesulitan di dalam menentukan bila dan dari manakah asal usul Melayu di Sarawak.
Sebagai satu perkongsian bijak di dalam kita cuba mengungkai asal-usul Melayu Sarawak, pada artikel kali ini Borneo Oracle akan berkongsi satu kertas kerja yang dibuat oleh seorang ahli sejarah terkenal di Sarawak di dalam membicarakan tentang letak duduknya melalui asal usul Melayu Sarawak ini. Perkongsian ini adalah semata-mata untuk kita semua sebagai rakyat Malaysia amnya dan bangsa Sarawak khususnya dapat memahami apakah itu Melayu Sarawak melalui konteks pelbagai sumber sejarah.
SIAPA MELAYU DAN SIAPA MELAYU SARAWAK ?
Siapa yang selayaknya dapat dikategorikan sebagai Melayu Sarawak? Adakah orang Melayu Sarawak sama dengan Melayu lain di rantau ini dari segi keturunan dan asal usul? Adakah mereka berasal dari luar Sarawak atau mereka memang merupakan orang asal atau peribumi Sarawak? Asal usul penggunaan istilah atau kaum Melayu merupakan sesuatu yang menarik dan telah didebatkan dan diwacanakan untuk sekian lama meskipun belum ada kajian yang menyeluruh dan tuntas sehingga kini.
Melayu merupakan nama khas bagi satu kelompok suku bangsa di sekitar Kepulauan Melayu atau nama am bagi pelbagai kelompok Bahasa Melayu-Polinesia. Sebagai nama khas, kelompok suku bangsa ini mendiami wilayah Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, selatan Thailand, pesisir timur Pulau Sumatera, pesisir Pulau Borneo dan wilayah lain di Nusantara (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1998). Dalam pengertian yang lebih luas, Melayu merangkumi semua penutur bahasa Melayu dalam kelompok Bahasa Melayu-Polinesia, tetapi bagi tujuan makalah ini, Melayu hanya merujuk penutur teras bahasa Melayu.
Di Malaysia, Melayu mengikut takrifan autoriti ialah kelompok masyarakat yang berbahasa Melayu, mengamalkan adat Melayu dan beragama Islam. Masyarakat Melayu di Malaysia terdiri daripada semua kelompok penghuni Kepulauan Melayu yang telah berhijrah ke Tanah Melayu sejak ratusan tahun dahulu seperti Aceh, Minangkabau, Mandailing, Bengkulu, Rawa, Palembang, Lampung, Jawa, Sunda, Bugis, Banjar, Sulu, Bajau dan Melanau (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1998). Hakikatnya, Melayu dan Islam adalah identik sejak awal lagi. Sejarah kedatangan Islam di Kepulauan Melayu, termasuk di Sarawak merupakan hasil daripada gerakan dakwah suku bangsa Melayu yang lebih awal menerima agama Islam, maka identiti Islam itu juga bersamaan dengan nama Melayu (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1998).
Robert Pringle (1970) mendakwa bahawa James Brooke memperkenalkan istilah Melayu,yang merujuk “all coastal, sea-fearing Moslems in the archipelago”. Babcock (1974) pasti bahawa Melayu Sarawak tidak pernah memanggil diri mereka sebagai Melayu dan kemungkinan Brooke telah memperkenalkan atau membawa istilah itu dari tempat lain. Di Borneo dan Sarawak seseorang itu dianggap Melayu apabila individu itu menganggap dirinya Melayu dan dianggap demikian juga oleh orang yang sebangsa dengannya.
Dalam kes ini, terdapat orang lelaki Melanau yang berkahwin dengan wanita Melayu, dan disebabkan proses asimilasi dari segi budaya dan pergaulan yang meluas dengan masyarakat Melayu, mereka lebih selesa menganggap diri mereka sebagai Melayu. Malah, ada dalam kalangan anak mereka hasil daripada perkahwinan campur tersebut menganggap dirinya sebagai Melayu. Mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, seseorang dianggap sebagai Melayu apabila dia bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan mengamalkan budaya dan adat istiadat Melayu.
Berbeza daripada orang Dayak, orang Melayu biasanya tinggal di kawasan pesisiran dan pantai Sarawak, di kawasan sepanjang 400 batu. Pesisiran pantai Borneo telah lama dihuni oleh orang Islam yang mengamalkan budaya Melayu. Mereka berketurunan Melayu dan berasal daripada keturunan Arab. Sebahagian mereka berasal daripada keturunan peribumi, telah memeluk agama Islam, dan mengamalkan budaya Melayu sejak beberapa abad lalu. Hal ini selari dengan kenyataan Goatly (1959) bahawa “Sarawak Malays themselves will tell you that they are a very mixed people”. Apabila mereka sampai di barat laut Borneo, mereka telah bercampur dengan pelbagai kelompok orang asli (Irwin, 1986).
Penelusuran asal usul orang Melayu di Sarawak sukar ekoran kekurangan sumber. Cebisan sumber diperoleh daripada catatan pengembara, penjelajah dan penulis Barat seperti Spencer St.John, James Brooke, Graham Irwin dan John Goatly. Akibat kekurangan sumber berkenaan dengan keadaan masyarakat Sarawak pada zaman berkenaan, maka gambaran tentang asal usul dan latar belakang orang Melayu tidak dapat dijelaskan dengan tuntas. Tidak terdapat teori yang pasti tentang asal usul mereka sehingga kini. Dengan kekurangan dokumen dan bukti sejarah, usaha menyelusuri asal usul Melayu di Sarawak sudah pasti berdepan dengan pelbagai kesulitan.
ASAL USUL MELAYU SARAWAK: DARI DUA ALIRAN PEMIKIRAN
Sebelum zaman penjajahan James Brooke pada 1841, Sarawak merupakan sebahagian daripada wilayah pemerintahan Brunei, iaitu sekitar 400 tahun. Ketika itu Brunei merupakan kuasa terkuat dan terbesar di seluruh Pulau Kalimantan (Zainal, 1989). Sejarah Sarawak bukannya bermula selepas pemerintahan Brooke. Mengikut Sanib Said (2010), terdapat dua aliran pemikiran tentang asal usul Melayu di Sarawak.
Pertama, Melayu Sarawak terdiri daripada kaum imigran yang berasal dari Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Hujah ini berpaksikan persamaan budaya antara orang Melayu di Sarawak dengan orang Melayu di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Hakikat bahawa terdapat bukti orang Melayu berasal dari daerah berkenaan memang tidak dinafikan. Namun begitu, tiada bukti kukuh untuk menyatakan bahawa terdapat gelombang migrasi besar-besaran orang Melayu dari kawasan terbabit.
Hal ini disokong oleh Hikayat Sarawak yang mengakui bahawa orang Melayu Sarawak berasal daripada keturunan Minangkabau (Muhammad Rakawi, 2009). Hikayat Datuk Merpati mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang sama bahawa Melayu Sarawak berasal dari Minangkabau, Sumatera. Kedatangan mereka ke Sarawak berlaku pada zaman kemuncak pemerintahan Melayu di Sumatera dan Melaka. Dalam hubungan ini, Raja Jarum dikatakan berhijrah dan menetap di Sarawak. Sebenarnya hikayat ini turut menggunakan Hikayat Datuk Merpati sebagai sumber untuk menjejaki asal usul Melayu Sarawak.
Satu lagi sumber yang boleh digunakan untuk menjejaki asal usul Melayu Sarawak ialah Syair Saribas. Mengikut catatan sejarah dalam syair berkenaan, Kuala Saribas merupakan kawasan yang ditakluki dan dikuasai oleh Datuk Abang Gudam, pedagang yang berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau.

Kedua, asal usul orang Melayu ada kaitan dengan keturunan awal Dayak. Dengan kemasukan Islam sebagai agama baharu di wilayah pemerintahan Brunei, sebahagian orang Iban, Bidayuh, Melanau dan suku kaum minoriti lain memeluk agama Islam, justeru menganggap diri mereka sebagai Melayu. Proses ini dikenali sebagai “masuk Melayu”. Tom Harrisson, mantan Kurator Muzium Sarawak, bersetuju dengan pendapat kedua apabila beliau mengatakan:
…the Sarawak Malays do not to any significant degree represent any kind of evolutionary group or even relic of a distinct Malay people who came in from the west within memory, or before. Rather they reflect the movements of a few authoritative, aristocratic or able (gurum, trader, etc.) Moslems – not necessarily always from Malaya or elsewhere in Indonesia. These individuals or small groups converted or led local indigenous population, or part therefore, to embrace Islam, became Moslems, and thus in latter day terminology masuk Melayu, become Malay…
Pada awal 1820-an berdasarkan catatan Belanda, terdapat hanya sekitar seratus orang Melayu di Sarawak, kebanyakannya lanun (Irwin, 1986). Sir Spenser St. John dalam The Life of Sir James Brooke, Rajah of Sarawak: From His Personal Papers and Correspondence memaparkan gambaran beliau tentang Kuching dan Sarawak ketika James Brooke mula-mula menjejakkan kaki di Kuching pada 1839. Kuching, pada tahun 1839, mengikut catatan tersebut, merupakan tempat yang kecil yang mempunyai beberapa buah rumah atap dan papan, dikelilingi pondok
yang daif yang dihuni oleh orang miskin. Jumlah penduduk ketika itu sekitar 1500 orang dan kebanyakan mereka ialah pengikut Rajah Borneo.
Jumlah penduduk asal Sarawak lebih daripada 500 orang. Berdasarkan catatan Henry A. Keppel pula, Kuching dianggarkan mempunyai penduduk berjumlah 8000 orang pada 1839, kebanyakannya Dayak. Dikatakan sejumlah 1500 hingga 2000 orang terdiri daripada orang Melayu (Ismail, 1988). Jumlah orang Melayu meningkat menjadi 57 770 pada 1871 (Sarawak Gazette, 1871).
Sebelum kedatangan James Brooke pada 1839 di Sarawak, masyarakat bumiputera dibahagikan kepada dua golongan terbesar. Pertama, golongan bumiputera yang beragama Islam, kebanyakannya terdiri daripada Melayu, dan sebahagian kecil lagi Melanau. Kedua, golongan bumiputera yang menganut kepercayaan animisme. Pada ketika itu, orang Sarawak tidak mengklasifikasikan diri mereka sebagaimana yang difahami sekarang, iaitu kelompok Melayu, Dayak Laut (Iban), Dayak Darat (Bidayuh), Kenyah, Kayan dan lain-lain. Sebaliknya, pengkategorian berkenaan hanya timbul pada zaman pemerintahan Brooke hingga sekarang. Sebelum itu, bumiputera Sarawak mengenali diri mereka mengikut nama sungai atau tempat tinggal mereka atau kawasan geografi (Sabihah, 1972). Sistem pengenalan diri seperti Iban atau Melayu hanya bermula pada zaman Brooke (Pringle, 2010).
Sebelum itu, terdapat sistem pengenalan diri seperti “Kami dari Skrang” atau “Kami dari Saribas”. Pringle misalnya mendakwa bahawa sebelum kedatangan Brooke pengkategorian kaum, seperti Iban atau Melayu tidak wujud dalam pemikiran masyarakat yang kemudiannya telah dinamakan sedemikian oleh Brooke (Pringle, 2010). Beberapa kawasan penempatan yang kecil kepunyaan orang Melayu mulai didirikan di Batang Lupar dan di sekitar Kuching pada awal abad ke-19 ((Jackson, 1976). Di Kuching, kediaman utama orang Melayu adalah di sepanjang Sungai Sarawak sebelah Petrajaya, misalnya Kampung Boyan, Kampung Gersik, dan Kampung Surabaya. Kampung Melayu lain ialah Kampung Sungai Bedil dan Kampung Lintang, berdekatan Astana di Petrajaya yang telah wujud sebelum kedatangan Rajah James Brooke pada 1939. Mereka ini berasal dari Siniawan dan Somboh di Bau.
Kebanyakan orang Melayu tinggal di lembah Sungai Sarawak, iaitu di Kuching, Simanggang, Kalaka, Sibu dan bahagian pesisir seperti Mukah dan Oya. Jumlah Melayu juga agak ramai di Lundu, Saribas, Sadong, Batang Rejang dan LawasLimbang. Namun, terdapat juga orang Melayu yang mendiami kampung di pedalaman seperti di Lundu, Saribas, dan di sepanjang pantai di antara Tanjung Datu dengan Sirik (Sabihah, 1998).
MELAYU PERIBUMI ASAL SARAWAK
Satu daripada teori atau aliran percaya bahawa orang Melayu berasal dari Sarawak sendiri. Mereka bukannya berhijrah dari kawasan lain. Mereka ini merupakan peribumi asal yang mengamalkan cara hidup tradisional. Sanib Said (2012) menegaskan bahawa istilah Melayu telah lama digunakan dalam laporan China dan Barat sejak abad ketujuh lagi, sekali gus menolak kenyataan Graham Irwin (1983) bahawa orang Melayu terdiri daripada orang laut dan telah bertapak di Borneo semenjak pertengahan abad ke-18 lagi. Maksudnya, Melayu sudah ada di Borneo dan Sarawak sejak abad berkenaan malah sebelumnya, kecuali mereka bukannya beragama Islam.
Sebelum kedatangan Islam dan Hindu, mereka mengamalkan kepercayaan animisme. Sanib Said dalam Seminar Budaya Melayu anjuran Kerajaan Negeri Sarawak pada 1993 menjelaskan bahawa orang Melayu merupakan “penghuni negeri Sarawak yang terawal, jika tidak yang terawal sekali jika dibandingkan dengan orang lain”. Mengikut beliau, dengan bukti sejarah yang ada, orang Melayu ialah orang yang lebih bumiputera jika dibandingkan dengan kaum lain (Abang Yusuf, 1996). Bagi Abang Yusuf Puteh, orang Melayu ialah Melayu. Kata beliau, “A Malay is a Malay”. Orang Melayu Sarawak merupakan penghuni asal negeri Sarawak bersama-sama dengan kaum peribumi lain, sama seperti Melayu yang menetap di Brunei, Sabah, Malaya, Indonesia dan lain-lain. Oleh itu, orang Melayu merupakan orang asal dan peribumi Sarawak, dan bukannya berasal dari tempat lain atau daripada etnik lain di Borneo (Abang Yusuf, 1996).
Sebagaimana dinyatakan oleh Sabihah (1998), penduduk Sarawak sebelum kedatangan James Brooke terbahagi kepada dua, iaitu Melayu yang mengamalkan agama Islam dan bumiputera bukan Islam. Apabila agama Islam bertapak di barat laut Borneo pada pertengahan abad ke-15, kebanyakan penghuni yang mendiami dataran pantai secara beransur-ansur memeluk agama Islam, meskipun mereka berada di pedalaman dan belum terdedah kepada agama itu. Mereka inilah yang dikenali sebagai Melayu.
Kebanyakan orang “Melayu” di kawasan berkenaan merupakan orang asli yang memeluk agama Islam dan mengamalkan cara hidup yang sesuai dengan tuntutan agama Islam, dan secara beransur-ansur meninggalkan amalan dan budaya yang bercanggah dengan agama berkenaan. King (1994) percaya bahawa Melayu di Borneo berasal daripada pelbagai campuran, termasuk masyarakat Dayak di pedalaman yang memeluk agama Islam. Dari perspektif ini, dapat dikatakan bahawa terdapat Melayu asli yang sudah bertapak beratus-ratus tahun sejak sebelum kehadiran James Brooke dan kedatangan Islam lagi di Sarawak. Mereka ini merupakan generasi Melayu terawal di negeri ini.
DARI MANAKAH ASAL USUL MELAYU LAIN DI SARAWAK, SELAIN MELAYU ASAL?
Dipercayai tidak berlaku penghijrahan orang Melayu secara besar-besaran dari tempat lain (Lee, 1981) berbeza daripada kepercayaan bahawa terdapat gelombang migrasi yang dimulai dengan Melayu Proto dan Melayu Deutro ke Semenanjung. Harrison berpendapat bahawa “orang Melayu tidak mempunyai salasilah keturunan panjang dan tidak mempunyai rumpun bangsa yang tegas, sebaliknya mereka mempunyai berbagai-bagai asal keturunan daripada keturunan lain dan biasanya keadaan ini baru sahaja tercapai” (Harrison, 1964).
DARI MINANGKABAU, SUMATERA
Berbeza daripada pendapat yang menyatakan bahawa orang Melayu Sarawak memang berasal dari Sarawak, teori kedua menyatakan bahawa mereka berasal dari luar Sarawak. Misalnya, orang Melayu di Kuching menganggap bahawa mereka berasal daripada keturunan Datu Merpati Jepang (Harrison, 1964), manakala orang Melayu Saribas percaya bahawa mereka berasal daripada keturunan Abang Gudam dari Sumatera (Sandin, 1964). Orang Melayu dikatakan berasal daripada keturunan Datu Merpati Jepang daripada keturunan Jawa atau Minangkabau. Suku kaum Melayu di Sarawak dipercayai berasal dari Sumatera. Mereka mula datang ke Sarawak sejak kurun ke-15 Masihi lagi. Penempatan awal mereka adalah di Lidah Tanah, iaitu kawasan di sekitar Sungai Sarawak (kini terletak di Bahagian Kuching).
Pada masa itu, kaum terbabit diketuai oleh Datu Merpati Jepang, seorang putera raja. Namun, setelah mereka dijajah oleh Kesultanan Brunei pada kurun ke- 16, keturunan Datu Merpati Jepang terus dilantik sebagai pentadbir dengan memakai gelaran datu. Mengikut tradisi lisan masyarakat Melayu di Kuching, asal usul mereka, khasnya golongan perabangan sering dikaitkan dengan Datu Merpati dan anak lelakinya, Merpati Jepang. Datu Merpati dikatakan berasal daripada keturunan diraja di Minangkabau dan cucu Raja Jawa, yang berasal dari Sumatera dengan isterinya, Datu Permaisuri, Puteri Raja Jarom dari Johor, berhijrah ke Tanjung Datu dan menetap di Santubong. Kemudiannya, anak beliau menjadi ketua dari Sungai Sarawak ke Rejang.
Berdasarkan riwayat, anak lelaki sulung Merpati, Merpati Jepang mengahwini Dayang Murdiah, anak perempuan Abang Adi dari Santubong, yang kemudiannya berpindah ke Lidah Tanah. Jepang dan Murdiah mempunyai dua orang anak lelaki, Pateh Mengadai, yang menjadi patinggi yang pertama, dan Pateh Sangkona, yang menjadi temenggung yang pertama (Mohammed Yusuf, 1950).
Dari manakah asal mereka yang kini mendiami pelbagai kampung di tebing Sungai Sarawak seperti Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Surabaya, dan Kampung Panglima Seman? Bukankah semua kampung itu membayangkan mereka berasal dari Indonesia? Namun, semua kampung berkenaan yang namanya kedengaran berasal dari Indonesia, tidak bertapak di situ dalam tempoh yang lama kerana kehadirannya tidak diketahui sebelum kedatangan James Brooke pada 1839(Goatly, 1959).
Dikatakan bahawa orang Melayu di Kampung Boyan berasal dari Jawa, dan mereka telah dibawa ke Sarawak oleh Panglima Muda Hashim. Pada asalnya mereka menetap di Kampung Permutus, sebuah penempatan berdekatan Lebuh India, yang sudah hilang ditelan pembangunan dan sejarah (Pollard, 1972). Mereka yang tinggal di Kampung Gersik pula dipercayai berasal dari Minangkabau, dari sebuah kawasan di Sumatera bernama Kayong, diketuai oleh Che Abu Bakar sekitar pertengahan abad ke-19 (Goatly, 1964). Mereka berhierarki tinggi dalam masyarakat. Mereka mengekalkan status dari segi cara berpakaian dan bertutur yang dibawa dari Sumatera, dan menetap di Kampung Gersik (Ho, 2004).
Golongan perabangan, satu daripada golongan yang menggunakan gelaran abang untuk lelaki dan dayang untuk perempuan, dipercayai turut berasal dari Minangkabau meskipun ada juga pendapat yang menyatakan bahawa mereka berasal dari Sanggau, Kalimantan. Dipercayai lama dahulu Broneo bukanlah sebuah pulau, sebaliknya Borneo bersambung dengan Jawa dan Sumatera yang turut bersambung dengan Singapura dan Semenanjung Malaysia hari ini. Kebanyakan mereka yang tinggal di Borneo pada hari ini datang dari tempat lain di Asia Tenggara.
Dalam kalangan orang Melayu di Sarawak ada yang mendakwa berasal daripada Merpati Jepang, seorang putera raja yang datang ke Sarawak sekitar lima ratus atau enam ratus tahun dahulu. Merpati Jepang dipercayai berasal dari Jawa. Sebahagian daripada keluarga Melayu berasal dari Sumatera dan Tanah Melayu (Mullen, 1960). Legenda berkaitan dengan kedatangan Datu Merpati pada zaman proto sejarah terkenal di Borneo. Merpati Jepang dikenali di seluruh Borneo dengan pelbagai nama, termasuk hanya Merpati dan Menteri Diparti, sekali gus memperlihatkan pengaruh Majapahit.
Dalam cerita dongeng orang Melayu di Sarawak, dia ialah mentua Sultan Brunei yang pertama, dan dalam cerita orang Melayu Brunei pula, dia ialah kekanda Sultan Ismail yang pertama (Lee, 1981). Kisah lain mengenai kedatangannya ke Borneo menyatakan bahawa dia bersama-sama dengan isteri dan para pengikutnya telah mendarat di sebuah pulau dekat Pontianak, tempat mula-mula dia menggunakan gelaran Merpati Jepang.
Sesudah itu dia bertolak ke timur dan ke utara melalui sebuah Tanjung Datu. Dari situ dikatakan Merpati Jepang belayar ke timur menyeberangi teluk tersebut, lalu masuk ke muara sungai, iaitu Santubong. Versi cerita itu juga menyebut tentang Tanjung Datu dan Santubong yang mungkin merupakan dua tempat penting rahsia asal usul orang Melayu Sarawak (Lee, 1981). Orang Melayu yang tinggal di Santubong dipercayai tinggal di situ mulai abad ke-15 atau lebih awal, atau mungkin dalam zaman peralihan dari zaman Hindu ke zaman Islam. Namun, persoalannya, siapakah yang mula-mula tinggal di situ? Adakah orang Melayu atau orang Hindu yang terakhir atau orang bumiputera yang tidak beragama?
Namun, orang Melayu di kawasan itu dipercayai bukanlah semestinya orang Melayu purbakala. Mereka sendiri mengakui bahawa terdapat penghuni yang lebih awal daripada mereka seperti yang dibuktikan daripada bahan purbakala. Malah, orang Melayu Sarawak juga tidak mendakwa bahawa mereka mendarat di situ pada masa tertentu, secara beramai-ramai, dari tempat lain. Dipercayai bahawa orang Melayu atasan daripada keturunan datu telah masuk ke situ, lalu menguasai dan mempengaruhi golongan lain (Lee, 1981).
Ada juga yang percaya bahawa terdapat orang Melayu yang berasal dari Minangkabau, Pagar Ruyung Sumatera, termasuklah keturunan Abang Gudam, seorang peniaga yang mendarat di Saribas (Sandin, 1964). Lockard menjelaskan bahawa sebelum Kuching ditubuhkan, sudah terdapat dua buah perkampungan Melayu di sepanjang sungai, dengan ketua tempatan dan pengikut mereka tinggal di Ketupang, Seniawan dan Lidah Tanah. Mereka berada di bawah pimpinan pembesar bernama Datu Patinggi Ali. Pada peringkat awal, Kuching secara keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu. Sebelum 1857, jumlah orang Melayu adalah antara 80 peratus hingga 90 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, kebanyakan mereka dikatakan berasal dari daerah di sekitar Sadong dan Samarahan (Ismail,1988).
DARIPADA BANGSA ARAB
Tidak dinafikan, ada dalam kalangan Melayu di Sarawak berasal daripada keturunan Arab dan India Muslim. Arab dan India Muslim datang ke Sarawak sekitar 5 abad lalu. Sebahagian daripada mereka menetap di Sarawak dan mengahwini wanita tempatan. Mereka menggunakan bahasa Melayu dan menyebarkan agama Islam di pesisiran Borneo (Mullen, 1960). Isteri dan anak-anak mereka menganut agama Islam dan memanggil diri mereka Melayu. Kedatangan Islam sering dikaitkan dengan golongan ini yang menjadi pedagang dan pendakwah, dan banyak orang Arab yang memegang jawatan tinggi di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei (Hose & McDougall, 1993).
Dari segi jumlah, tidak banyak orang berketurunan Arab yang kemudiannya mengasimilasi dan menyebatikan diri mereka dalam masyarakat Melayu dari segi adat dan budaya. Disebabkan mobiliti dan pergaulan mereka dengan penduduk tempatan, ada yang mengahwini wanita tempatan dan terus menetap di kawasan berkenaan. Mereka sudah berada di Borneo Utara pada
zaman awal Kesultanan Brunei pada abad ke-16. Malah, sultan ketiga Brunei adalah daripada keturunan Arab bernama Ali.
Pada zaman Kesultanan Brunei, para pedagang terbabit mendapat penghormatan istimewa daripada penduduk tempatan disebabkan pengalaman luas dan pengetahuan mereka tentang agama Islam terutamanya dalam kalangan mereka yang baru menerima dan mempelajari Islam. Mereka dipandang tinggi dan mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat kerana kedudukan politik dan agama mereka yang kukuh dalam masyarakat. Tambahan pula, kecekapan mereka dalam pentadbiran membantu memperkukuh kedudukan dan imej mereka di mata masyarakat tempatan (Pringle, 1970).
Ketika pemerintahan Kesultanan Brunei, pembesar Brunei berketurunan Arab yang menduduki kawasan yang didiami ramai orang Dayak ini lebih berpengaruh daripada pembesar Melayu. Mereka ini termasuklah Syarif Usman dan Syarif Mullah yang memerintah Saribas dan Skrang (Sabihah, 1972). Beberapa orang syarif dan beberapa orang Melayu keturunan Arab mendapat tempat dalam pentadbiran jajahan Brunei. Di bahagian pertama Sarawak umpamanya, terdapat beberapa orang Syarif yang diberi amanah dan tanggungjawab mentadbirnya, iaitu Syarif Jaafar di Lingga, Syarif Maulana di Kalaka, Syarif Sabudin dan Syarif Sahib di Sadong. Mereka ini dipercayai telah berjaya mengislamkan sebahagian penduduk bumiputera termasuk kaum Dayak sebelum abad ke-19. (Brooke, 1866). Keturunan sayid dan Arab kini ada yang menggunakan gelaran Tuanku dan Wan. (Goatly, 1959).
MASUK ISLAM, MASUK MELAYU
Komuniti Melayu, mengikut Zainal Kling merupakan satu ruang sosial, justeru tindakan kaum bukan Melayu memeluk Islam dianggap sebagai memasuki ruang berkenaan. Proses ini sering dicatatkan oleh bangsa Eropah sepanjang abad ke-19. Ada dalam kalangan orang Melayu Sarawak pada hari ini sebenarnya berasal daripada kelompok kaum yang bukan beragama Islam. Ketika amalan kahwin campur dan memeluk Islam berlaku di Sarawak sejak berabad-abad lalu sehingga suku ketiga abad lepas, ada yang menyifatkan mereka sebagai “masuk Melayu”, dan bukannya masuk Islam.
Pada awal abad ke-15, Kesultanan Brunei yang diterajui oleh Sultan Bolkiah menjadi begitu kuat dan berpengaruh di Borneo. Pada masa pemerintahan beliau, banyak suku kaum lain seperti Melanau, Kedayan dan kaum Dayak turut menganut agama Islam. Mereka bukan sahaja menganut agama itu, tetapi mengamalkan akomodasi, asimilasi dan amalgamasi dari segi sosiobudaya. Ada daripada mereka mengakui diri sebagai Melayu apabila sudah menganut agama Islam. Islam telah menjadi daya penarik yang kuat dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan puak asli di kawasan pantai yang sebelumnya berpegang kepada kepercayaan tradisional (Lee, 1981).
Hujah atau pegangan sedemikian umpamanya dikemukakan oleh Harrisson (1970) yang menjelaskan bahawa “Melayu ialah orang Dayak yang masuk Islam”. Pringle (2010) mengakui bahawa “the Malays are essentially the Islamized component of the original Borneo population”. Kata beliau, misalnya Iban yang memeluk agama Islam secara automatik “menjadi Melayu” (masuk Melayu), dan tidak ada istilah Iban Islam.
Mengikut catatan pihak Belanda, lama sebelum pemerintahan Belanda, kebanyakan Iban di kawasan Kapuas telah masuk Melayu dengan memeluk agama Islam, atau telah banyak dipengaruhi oleh budaya Melayu (Pringle, 2010). Gelaran Dayak sebenarnya merupakan ciptaan pegawai dan pengembara Barat, iaitu Belanda dan Inggeris, di sekitar pulau Borneo pada abad ke-19.
Walker (2002) turut mengakui bahawa meskipun dari segi salasilah dan keturunan, keluarga bangsawan Melayu Sarawak berasal daripada Jawa atau Sumatera, namun bagi beliau:
..Sarawak’s Malay population derives primarily from tribal pagans converted to Islam and to Malay culture and identity. This process, masuk Melayu (or to become Malay), is well documented in northwest Borneo. Despite their Dyak origins, Sarawak Malays have a “coherent ethnic and cultural identity”, and becoming Malay entailed progressive entry into a hierarchical, patriarchal and literate society..
Lee Yong Leng (1981) menjelaskan, “biasa juga dianggap orang yang baru memeluk agama Islam sebagai orang Melayu”. Beliau menyatakan bahawa kumpulan yang terdiri daripada golongan yang berbeza bahasa dan budaya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri, dan agama Islam telah menjadi faktor penyatuan yang teguh di sepanjang pantai sejak berkurun-kurun lamanya. Bagi beliau, sifat yang menentukan bangsa Melayu ialah agama Islam. Hal ini demikian kerana kaum yang dominan mengamalkan Islam ialah kaum Melayu, dan masyarakat ketika itu tidak dapat membezakan antara agama Islam dengan budaya Melayu.
Interaksi pedagang Melayu yang beragama Islam, beberapa suku kaum di pedalaman Sarawak telah memeluk agama Islam, dan menggelarkan diri mereka sebagai Melayu. Kecenderungan kelompok bukan Melayu itu untuk menganut agama Islam ketika itu adalah disebabkan agama itu dan kebudayaannya yang tinggi, sehingga menjadi daya penarik yang kuat, dan juga meninggalkan kesan dan pengaruh yang kuat dalam kalangan puak asli atau kaum peribumi yang tidak beragama di kawasan pantai. Hal ini turut berlaku kepada orang Pegu, Seru, Kedayan, Melanau dan Bliun.
Kaum minoriti Seru yang terdapat di Saribas dipercayai merupakan kaum bukan Melayu awal yang memeluk agama Islam di Sarawak. Orang Seru merupakan kaum yang lemah dan sering menjadi mangsa kegiatan ngayau atau potong kepala oleh kaum Iban. Kedatangan orang Melayu memungkinkan mereka mendapat perlindungan. Ekoran itu, ramai wanita Seru mengahwini orang Melayu, dan akhirnya seluruh kaum itu menganut agama Islam, justeru masuk Melayu (Sandin, 1967).
Hal yang sama juga berlaku terhadap kaum Bliun di Rejang dan Miri di Baram. Kaum berkenaan tidak lagi wujud atau pupus pada awal abad ke-19 (Sanib, 2010). Orang Kedayan di Sibuti dan Limbang-Lawas turut memilih untuk masuk Melayu atau menganut agama Islam. Malah, mereka merupakan antara orang terawal di utara Borneo yang menerima Islam (Harrisson, 1959) walaupun hakikatnya mereka masih menggelarkan diri mereka Kedayan dan mempunyai jati diri yang jelas.
Orang Pegu sebenarnya berasal dari hulu Sadong dan kemudiannya berhijrah ke Santubong. Charles Grant yang dipetik oleh Roth (1980) yang berpeluang mengunjungi kawasan Samarahan pada akhir abad ke-19 menjelaskan bahawa orang Melayu Samarahan terdiri daripada keturunan Pegu. Ternyata, orang Pegu juga telah “masuk Melayu” apabila mereka memeluk agama Islam. Sebagai satu kaum, Pegu sudah lenyap daripada demografi Sarawak ekoran proses asimilasi sesudah mereka memeluk agama Islam. Hal ini sekali gus membayangkan betapa kuatnya pengaruh agama Islam dan budaya Melayu sehingga melenyapkan identiti asal mereka.
Proses asimilasi berlaku apabila kumpulan minoriti atau kumpulan etnik yang baru mengamalkan budaya dan identiti kumpulan majoriti untuk mengurangkan batas etniknya (Shamsul Amri, 2012). Asimilasi mutlak atau sempurna dalam kalangan kaum Pegu telah menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti sehingga kemudiannya mereka menjadi Melayu.
Pada hari ini, terdapat tiga kategori Melanau, iaitu Melanau Islam, Melanau Kristian dan Melanau yang masih berpegang dengan kepercayaan lama. Lebih 75 peratus daripada suku Melanau telah memeluk agama Islam dan meninggalkan adapt resam dan rumah panjang mereka hasil kejayaan pemerintahan Kesultanan Brunei (Sanib, 1980).
Orang Melanau Islam di Bahagian Ketiga dan Keempat kadangkala menggelarkan diri mereka sebagai orang Melayu dan oleh orang lain meskipun hakikatnya mereka ialah Melanau (Goatly, 1959). Kenyataan ini selari dengan pendapat Sabihah (1990) bahawa ramai orang Melanau di bahagian pesisir pantai yang sudah terpengaruh dengan kebudayaan Melayu dan memeluk agama Islam dan menyebabkan sesetengahnya dianggap Melayu meskipun ada yang lebih suka
mengekalkan identiti mereka sebagai orang Melanau Islam. Mereka tidak lagi tinggal di rumah panjang dan tidak lagi mengamalkan budaya dan adat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Sesungguhnya, mengikut Lee Yong Leng (1981), sesetengah orang mengatakan bahawa orang Melayu terlalu banyak mempengaruhi orang Melanau sehingga mereka mungkin akan diserap ke dalam masyarakat Melayu. Hasil hubungan berkenaan juga, kaum minoriti di Sarawak ketika itu jugamemeluk agama Islam, dan turut menggelarkan diri mereka sebagai Melayu, kerana sesudah memeluk Islam mereka menyifatkannya sebagai “masuk Melayu”. Hal inilah yang berlaku kepada suku Bliun di Sarikei dan di Tembang Bliun apabila mereka berpeluang berinteraksi dengan orang Melayu dari Sadong dan Simanggang (Ismail, 1988). Malah, hasil perkahwinan campur dengan orang Melayu menyebabkan semua suku berkenaan masuk Melayu (Tuton Kuboy, dlm. Ismail, 1988).
Selain itu, James Brooke mencatatkan bahawa ramai orang Iban di Lundu telah memeluk Islam menjelang 1939. Menjelang 1854, mubaligh Kristian, Gomes, menganggap Iban di Lundu “all but Malaised in their language and habits” (Walker, 1995). Malah, seawal 1860, Iban Balau di Bahagian Kedua, Sarawak, termasuk Anak Pegawai Negeri telah memeluk Islam dan masuk Melayu (Pringle, 2010). Iban di Skrang dan Saribas lebih terdedah kepada budaya Melayu dan agama Islam kerana mereka tinggal di kawasan yang sama (Irwin, 1986). Kedua-dua kaum itu sering berinteraksi, malah mereka terlibat dalam kegiatan bersama seperti perdagangan dan ketenteraan. Dalam keadaan demikian, sudah tentu perkahwinan campur dan memeluk agama Islam dalam kalangan Iban lebih mudah berlaku. Sesungguhnya, peralihan daripada satu identiti etnik kepada identiti etnik yang lain, khususnya daripada bukan Melayu kepada Melayu memakan masa.
Kesan daripada amalan agama Islam dan asimilasi dan akulturasi budaya Melayu akhirnya budaya dan jati diri keturunan asal diserap sebagai bangsa Melayu seperti yang berlaku terhadap beberapa kaum, termasuk kaum Iban sesudah mereka memeluk agama Islam, dan masuk Melayu – sesuatu istilah yang agak mengelirukan. Ungkapan ini telah tidak lagi digunakan kerana dalam zaman moden apabila seseorang memeluk Islam, dia tidak lagi dikatakan masuk Melayu, sebaliknya sekadar memeluk Islam dan menjadi mualaf atau saudara baru.
ASAL USUL MELAYU SARAWAK - MENJEJAKI TITIK TAK PASTI
(The Origins of Sarawak Malay: Tracking the Obscure Points)
Dr Jeniri Amir
Fakulti Sains Sosial
Universiti Malaysia Sarawak
Inilah satu huraian panjang yang telah diutarakan oleh bijak pandai di Sarawak di dalam memberikan makna Melayu Sarawak itu berdasarkan kepada sumber ilmiah daripada pakar-pakar sejarah yang lain. Jadi sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Melayu Sarawak itu adalah satu bangsa Sarawak yang unik dan kompleks dan ianya berbeza sama sekali dengan Melayu di nusantara ini. Semoga dengan adanya sumber informasi seperti ini maka ramailah rakyat Malaysia memahami siapakah itu Melayu Sarawak sebenarnya.
Copy and paste:
12 January 2024 > 30 Jamadilakhir 1445H: 7.12 pm

No comments: