Friday, 6 March 2026

Siapa Sebenarnya Datuk Kong Dalam Budaya Cina Malaysia?


Oleh: Azizul Farhan
The Patriots : 4 March 2026
Baru-baru ini tular satu video menunjukkan patung Datuk Kong dipindahkan selepas menerima arahan pihak berkuasa tempatan. Ramai netizen puji pemilik sebab akur tanpa melawan. Ada yang kata, “Ini baru betul, sembahyang di tempat yang betul.” Ada yang seloroh, “Jaga elok-elok, nanti Datuk bagi nombor.”
Di sebalik gurauan dan pujian itu, timbul satu persoalan. Siapa sebenarnya Datuk Kong ini?
Ramai orang sangka Datuk Kong semata-mata kepercayaan orang Cina. Hakikatnya, kisahnya jauh lebih unik dan lebih “Malaysia” daripada yang kita sangka.
Kalau kita memandu sekitar ladang, tapak pembinaan atau tepi kedai lama, kita akan nampak shrine kecil warna merah atau kuning. Dalamnya ada patung lelaki bersongkok, bersamping, kadang-kadang bertengkolok dan memegang keris. Wajahnya pula bukan wajah orang Cina, tetapi beriras orang Melayu.
Itulah Datuk Kong atau disebut juga Datuk Gong, Na Tuk Kong, atau Datuk Keramat.
Kepercayaan ini sebenarnya lahir daripada pertembungan dua dunia iaitu dunia kepercayaan masyarakat Cina dan dunia kepercayaan Melayu lama.
Pada abad ke-19, apabila gelombang besar migrasi masyarakat Cina datang ke Tanah Melayu, mereka membawa bersama sistem kepercayaan mereka.
Dalam tradisi Cina, sudah wujud Dewa Tanah yang dikenali sebagai Tu Di Gong. Dewa ini sangat penting, terutamanya bagi petani dan peniaga kerana dipercayai menjaga kawasan, tanah dan rezeki.
Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu ketika itu masih kuat dengan amalan animisme dan pemujaan keramat dengan percaya kepada semangat penjaga kawasan, kubur orang alim, batu besar, pokok tua dan tempat yang dianggap “berisi”.
Perkataan “keramat” pula berasal daripada istilah Arab “karamah”, merujuk kepada kemuliaan atau kelebihan luar biasa seorang wali.
Bila masyarakat Cina melihat orang Melayu memuliakan Datuk Keramat atau roh penjaga sesuatu kawasan, mereka nampak persamaan dengan konsep Dewa Tanah mereka sendiri.
Maka berlakulah proses asimilasi. “Datuk” diambil daripada gelaran Melayu, “Gong” pula gelaran hormat dalam bahasa Cina. Lalu lahirlah satu figura baharu bernama Datuk Gong, dewa tempatan yang bersifat Melayu tetapi diterima dalam sistem kepercayaan Cina.
Menariknya, kepercayaan ini hampir mustahil ditemui di Tanah Besar China atau Taiwan. Ia hanya wujud di Nusantara iaitu di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand.
Ertinya, Datuk Kong bukan eksport dari China. Ia lahir di sini. Di bumi ini.
Siapa Datuk Kong sebenarnya? Dalam banyak kes, beliau dipercayai berasal daripada roh orang Melayu yang mempunyai kedudukan luar biasa semasa hidup. Mungkin seorang pahlawan, bomoh kuat, ketua kampung atau individu yang dianggap suci.
Dalam kepercayaan masyarakat Cina, seseorang yang banyak berjasa dan mempunyai kuasa luar biasa semasa hidup boleh diangkat menjadi dewa selepas meninggal dunia.
Sebab itu patung Datuk Kong diukir dengan identiti Melayu bersongkok, berkain samping, memegang keris. Ada juga yang memakai kopiah atau tengkolok. Tetapi unsur Cina tetap ada seperti jongkong emas atau ciri simbolik tertentu.
Pada peringkat awal, Datuk Kong tidak semestinya berbentuk patung. Ada yang hanya berupa batu yang diikat kain kuning, busut tanah, pokok besar atau tablet kayu bertulis nama. Lama-kelamaan, barulah patung diukir dan shrine dibina.
Ada juga kes luar biasa. Di Banting, Selangor, terdapat tokong yang dikaitkan dengan Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor keempat. Baginda dihormati sebagai Datuk dalam konteks kepercayaan tersebut dan tokong itu sudah berusia lebih 100 tahun.
Datuk Kong juga bukan satu figura tunggal. Ada Datuk Panglima Hitam, Datuk Panglima Hijau, Datuk Panglima Kuning dan lain-lain, setiap satunya dikaitkan dengan sifat tertentu. Ada yang dianggap garang, ada yang dianggap pelindung rezeki.
Menariknya lagi, walaupun kebanyakan Datuk Kong beridentitikan Melayu, ada juga yang bukan Melayu. Di Broga, terdapat “Sak Dato” yang dikaitkan dengan Orang Asli. Di Kedah pula wujud nama seperti Datuk Che Pu Long (Siam), Datuk Ah Chong (Cina) dan Datuk Mutu (India).
Ini menunjukkan bahawa konsepnya lebih luas, ia tentang roh penjaga tempatan, bukan eksklusif kepada satu bangsa sahaja.
Dalam amalan penyembahan, kerana Datuk Kong sering dianggap Melayu Muslim, makanan yang dipersembahkan biasanya halal. Tiada babi, tiada arak. Ayam atau kambing mesti disembelih secara Islam.
Antara yang biasa dipersembahkan ialah pulut kuning, rendang ayam, kopi O, daun sirih dan rokok daun. Ada yang percaya jika pantang larang ini dilanggar, Datuk boleh “marah”.
Bagaimana sesuatu tempat dikenal pasti ada Datuk? Ada yang mendakwa melalui mimpi. Ada yang kononnya nampak bayangan putih waktu malam. Ada juga melalui peratara atau bomoh yang “memanggil” roh tersebut.
Sewaktu upacara tertentu, perantara akan berada dalam keadaan tidak sedar dan bercakap dalam bahasa Melayu, berjalan seperti orang tua, tanda Datuk sudah “turun”.
Hari jadi Datuk Kong juga disambut. Penganut berkumpul, sediakan makanan, buat persembahan dan memohon perlindungan, kesihatan, keselamatan dan ya, ada juga yang minta nombor ekor.
Jika dilihat dari sudut sosiologi, kepercayaan ini bertahan kerana sistem kepercayaan masyarakat Cina di Malaysia bersifat inklusif. Ia mudah menyerap unsur tempatan selagi dirasakan membawa kebaikan.
Dalam sejarah kolonial, sarjana seperti R. O. Winstedt pernah mencatatkan tentang pemujaan keramat dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society pada tahun 1924. Beliau mengkategorikan keramat kepada beberapa bentuk iaitu objek semula jadi, kubur orang alim, kubur pengasas penempatan dan sebagainya.
Ini membuktikan bahawa pemujaan keramat sudah lama wujud sebelum diasimilasikan dalam bentuk Datuk Kong hari ini.
___
Alang-alang baru lepas Tahun Baharu Cina ni, korang boleh belajar banyak lagi mitos-mitos Cina yang lain bersama KITAB TAMADUN CINA.

No comments: