Oleh: Nazirul Haziq
Apabila filem 300 ditayangkan pada tahun 2007, ramai penonton melihatnya sekadar sebuah filem aksi epik tentang keberanian 300 askar Sparta menentang empayar Parsi dalam Pertempuran Thermopylae. Filem itu dipenuhi visual dramatik: pahlawan Sparta yang gagah, berdisiplin dan mempertahankan kebebasan, menentang tentera Parsi yang digambarkan sebagai gerombolan makhluk pelik, ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Namun bagi ramai ahli sejarah dan pengkritik budaya, 300 bukan sekadar filem aksi. Ia juga dilihat sebagai contoh bagaimana sejarah boleh diolah menjadi naratif propaganda. Dalam filem itu, orang Parsi, nenek moyang kepada bangsa Iran hari ini digambarkan hampir seperti raksasa dengan wajah cacat, bertindik, bersifat sadis, malah ada yang kelihatan seperti makhluk aneh yang tidak berperikemanusiaan. Raja Parsi, Xerxes I, pula digambarkan seperti makhluk pelik yang hampir menyerupai dewa yang kejam.
Gambaran seperti ini bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah budaya Barat. Sejak berabad-abad lamanya, dunia Timur sering digambarkan dalam tradisi pemikiran Barat sebagai eksotik, liar dan tidak bertamadun. Tradisi ini dikenali oleh sarjana sebagai Orientalism sebagai satu cara melihat Timur melalui lensa stereotaip yang memposisikan Barat sebagai simbol peradaban, manakala Timur sebagai ancaman barbarian.
Namun realiti sejarah bangsa Parsi sebenarnya sangat berbeza daripada gambaran tersebut.
Empayar Parsi purba merupakan antara tamadun paling maju pada zamannya. Empayar Achaemenid yang diasaskan oleh Cyrus the Great membina sistem pentadbiran yang sangat teratur, rangkaian jalan raya empayar yang luas serta sistem komunikasi yang menghubungkan wilayah dari Asia Tengah hingga ke Mesir. Malah ramai sejarawan menganggap pemerintahan Cyrus sebagai antara contoh awal pentadbiran pelbagai bangsa dan toleransi agama dalam sejarah empayar manusia.
Lebih penting lagi, selepas kedatangan Islam, wilayah Parsi berkembang menjadi salah satu pusat ilmu paling penting dalam dunia Islam. Dari wilayah luas yang dikenali sebagai Khorasan merangkumi Iran, Afghanistan dan Asia Tengahm melahirkan ramai ilmuwan yang bukan sahaja membentuk tamadun Islam, tetapi juga memberi kesan besar kepada perkembangan ilmu manusia secara keseluruhan.
Dalam bidang matematik, Al-Khwarizmi memperkenalkan konsep algebra yang menjadi asas matematik moden. Malah istilah “algorithm” dalam dunia komputer hari ini berasal daripada nama beliau.
Dalam bidang perubatan pula, tokoh seperti Ibn Sina (Avicenna) menghasilkan karya monumental The Canon of Medicine. Buku ini menjadi rujukan utama universiti-universiti di Eropah selama berabad-abad dan memainkan peranan besar dalam perkembangan ilmu perubatan dunia.
Tokoh saintis lain seperti Al-Biruni pula dikenali sebagai antara ilmuwan paling hebat dalam sejarah manusia. Beliau membuat kajian mendalam dalam astronomi, matematik, geografi dan budaya manusia. Al-Biruni juga mengira lilitan bumi dengan ketepatan yang sangat hampir kepada nilai moden, satu pencapaian luar biasa pada zamannya.
Wilayah Parsi juga melahirkan tokoh hadis paling berpengaruh seperti Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, serta ulama besar seperti Imam al-Ghazali yang pemikirannya memberi kesan mendalam kepada teologi dan falsafah Islam.
Dengan kata lain, bangsa yang digambarkan sebagai “barbarian” dalam filem Hollywood ini sebenarnya berasal daripada tamadun yang melahirkan sebahagian daripada tokoh ilmu paling berpengaruh dalam sejarah manusia.
Namun apabila sejarah dipindahkan ke layar filem, kompleksiti itu sering hilang. Filem tidak memerlukan sejarah yang rumit. Filem hanya memerlukan cerita yang jelas iaitu siapa hero, dan siapa musuh.
Sepanjang sejarah Hollywood, watak musuh dalam filem sering berubah mengikut konteks politik semasa. Semasa Perang Dunia Kedua, Nazi menjadi penjahat utama dalam filem Amerika. Ketika Perang Dingin, Soviet Union pula sering digambarkan sebagai ancaman global. Selepas peristiwa 11 September, banyak filem mula menggambarkan dunia Islam dan Timur Tengah sebagai sumber bahaya.
Dalam konteks geopolitik moden, Iran sering berada dalam konflik politik dengan Amerika Syarikat dan sekutunya. Maka tidak menghairankan apabila naratif budaya Barat kadang-kadang membentuk gambaran Iran sebagai ancaman kepada dunia Barat.
Apabila kita menonton filem seperti 300, kita mungkin menyangka bahawa kita sedang melihat sejarah.
Tetapi hakikatnya, kita mungkin sedang melihat sejarah yang telah disaring melalui lensa politik dan imaginasi budaya.
Kerana peperangan tidak hanya berlaku di medan perang.
Ia juga berlaku dalam cerita, filem dan imaginasi masyarakat.
Dan dalam perang naratif itu, siapa yang mengawal cerita, dialah yang menentukan siapa hero, dan siapa yang digambarkan sebagai raksasa.
Soalan terakhir, mengapa mereka sedaya upaya merendah-rendahkan bangsa parsi atau Iran kini termasuk di layar perak? Adakah ia termasuk dalam usaha menekan Iran dan perang psikologi oleh Blok Barat terutama US dan IS?
Apa pendapat anda?
Tuan Haz
Menyusun dari kaca mata berbeza
C&P: 4/3/2026: 6.23 p.m
No comments:
Post a Comment