Oleh: Helmy Effendy II
Untuk menilai dakwaan bahawa Srivijaya ialah empayar Islam, kita tidak perlu berdebat panjang. Cukup kembali kepada teks asal iaitu prasasti tempatan dan catatan asing sezaman. Di situlah identiti agama Srivijaya terpampang jelas.
1) Isi Keagamaan dalam Prasasti Kedukan Bukit (683M)
Prasasti dalam Bahasa Melayu Kuno ini merekodkan perjalanan suci Dapunta Hyang dan penubuhan wanua (petempatan). Antara frasa penting yang sering dipetik oleh sarjana ialah:
“... dapunta hyang marlapas dari minanga tamwan membawa bala dua laksa ... siddhayatra ...”
Istilah “siddhayatra” berasal daripada Sanskrit-Buddha, bermaksud “perjalanan suci yang diberkati” atau ekspedisi keagamaan yang memperoleh kejayaan spiritual. Kena ingat tau, istilah saya sebutkan ialah istilah dari kosmologi India-Buddha.
Struktur bahasa prasasti Bahasa Melayu pada zaman ini pula penuh dengan kosa kata Sanskrit seperti bhumi, vanua, laksa, dan gelaran keagamaan bercorak India. Tiada istilah tauhid, tiada lafaz keislaman, tiada rujukan kepada Allah atau Nabi. Yang ada ialah kerangka pemikiran dunia India-Buddha yang memang dipegang golongan pentadbir Srivijaya.
2) Prasasti Talang Tuwo (684M): Doa Bodhisattva
Lebih jelas lagi unsur Buddha dalam Prasasti Talang Tuwo yang juga dipahat dalam Bahasa Melayu Kuno. Prasasti ini merekodkan pembinaan taman Sriksetra dan disertakan doa panjang berbentuk aspirasi keagamaan.
Antara isi kandungannya (diringkaskan daripada teks asal):
“Di samping semua doa dan harapan baik itu, semoga mereka mempunyai sahabat yang setia; dan semoga daripada diri mereka sendiri lahir fikiran tentang Bodhi (pencerahan) serta persahabatan.”
Konsep “bodhi” (pencerahan), aspirasi keselamatan semua makhluk, dan ideal kebajikan universal adalah inti ajaran Mahayana. Ini sangat konsisten dengan doktrin Bodhisattva dalam Buddhisme, bukan dengan akidah Islam yang berpusat pada tauhid dan wahyu kenabian.
3) Catatan China: I-Tsing (Yijing) dan Srivijaya
Bukti luar yang sangat kuat datang daripada sami Dinasti Tang, Yijing (I-Tsing). Beliau singgah di Srivijaya sekitar tahun 671M dalam perjalanan ke India.
Dalam catatannya, beliau menyebut bahawa di Srivijaya terdapat lebih 1,000 sami Buddha, dan beliau sendiri menetap beberapa bulan untuk mempelajari tatabahasa Sanskrit sebelum meneruskan perjalanan ke Nalanda.
Beliau menggambarkan Srivijaya sebagai:
• Pusat pembelajaran Buddha yang penting di Laut Selatan.
• Jika Srivijaya sebuah empayar Islam, mustahil seorang sami Buddha China akan menggambarkannya sebagai pusat pengajian Buddha dengan ribuan bhikkhu.
4) Prasasti Nalanda (abad ke-9): Pengakuan Antarabangsa
Prasasti yang ditemui di Nalanda, Bihar, India, dikenali sebagai Prasasti Nalanda, merekodkan bahawa seorang raja Srivijaya bernama Balaputradewa membina sebuah biara untuk para pelajar dari Suvarnadvipa (Sumatera).
Isi penting prasasti itu (diringkaskan daripada terjemahan Sanskrit):
“Raja Balaputra, raja Suvarnadvipa,
yang berpegang teguh kepada ajaran Buddha,
telah membina vihara di Nalanda
untuk kesejahteraan dan kemajuan agama.”
Frasa seperti “berpegang teguh kepada ajaran Buddha” (parama-saugata) jelas menunjukkan identiti agama pemerintah Srivijaya. Ia bukan sekadar toleran kepada Buddha, ia adalah penaung aktif agama tersebut di peringkat antarabangsa.
Nalanda sendiri ialah pusat pengajian Buddha terbesar dunia ketika itu. Hubungan rasmi sebegini hanya berlaku antara kerajaan yang berkongsi tradisi keagamaan yang sama.
[Kesimpulan]
Tidak, Srivijaya bukanlah empayar Islam seperti didakwa. Penemuan satu dua syiling tidak menjanjikan bahawa sebuah empayar itu Islam, kerana peninggalan pelbagai artifak dari pelbagai tamadun dapat dijumpai di sekitar Alam Melayu, malahan peninggalan syiling Rom pada Funan awal Masihi tidak pernah menjadikan Funan sebuah empayar beragama Hindu yang dibina penduduk tempatan sebagai beragama Kristian atau Pagan Rom bukan?
Proses pembuktian harus lebih daripada sekadar syiling. Nota tambahan, syiliing yang disebarkan sebagai katanya dari abad ke-7 Masihi itu selepas dirujuk tipografinya sebenarnya abad ke-17 dan abad ke-18 Masihi, bukan tipografi daripada abad ke-7 Masihi, jadi, bukti mengaitkan empayar Melayu yang beragama Buddha sebagai beragama Islam ni masih tidak cukup.
---
Sejarah Srivijaya sebagai empayar Melayu yang agung saya rakamkan dalam buku saya, KITAB TAMADUN MELAYU yang anda boleh beli pada pautan di Shopee: https://s.shopee.com.my/30Z9za3Fpb
Kalau anda nampak post saya ni, ketahuilah bahawa anda menemui akaun baru saya. Akaun lama saya, MCMC dah block aksesnya untuk tatapan masyarakat Malaysia. Jadi, sila follow saya di akaun saya ni!
C&P:
6/3/2026: 8.16 a.m