Friday, 23 May 2025

PEMBUNUHAN PEGAWAI-PEGAWAI ASKAR MELAYU DI UPPER EAST COAST ROAD

SUMBER : KISAH DAN SEJARAH    

Pada 28 Februari 1942, sekitar jam 10 pagi, 90 tahanan perang tempatan, termasuk tujuh pegawai askar Melayu, dua pegawai Chinese Volunteer Force dan 25 anggota Chinese Company Of The Malacca Volunteer Corps, diarahkan untuk berkumpul di hadapan sebuah rumah di Farrer Park.
Walaupun pihak Jepun tidak memberi petunjuk tentang nasib yang menanti mereka, hanya seorang sahaja yang terselamat. Selebihnya ditembak mati dengan kejam di dalam parit cetek di sebuah bukit di Upper East Coast Road.
Pegawai-pegawai askar Melayu yang terkorban itu ialah Dato’ Naning Leftenan Othman bin Kering (dari Malacca Volunteer Corps), Kapten Raja Aman Shah bin Raja Harun Al-Rashid (kerabat Diraja Perak dan Timbalan Komander dari Batalion Negeri Sembilan - Federated Malay States Volunteer Force), Leftenan Arifin bin Sulaiman, Leftenan Abdul Wahid bin Mat Kidam, Leftenan Ibrahim bin Sidek, Leftenan Muda Ahmad bin Noordin dan Leftenan Muda Mohamed Isa bin Mahmud dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu.
Leftenan Othman adalah Dato’ Naning ke-16 di Melaka. Beliau dilantik sebagai Dato’ Naning pada tahun 1935 dalam usia 23 tahun. Selain menyertai Malacca Volunteer Corps, beliau juga menubuhkan Malay Machine-Gun Platoon.
Pegawai-pegawai itu pada awalnya dibenarkan berkumpul bersama semua anggota tentera tempatan lain selepas British menyerah kalah pada 15 Februari 1942, dan mereka tinggal bersama di Geylang.
Seminggu kemudian, pihak Jepun mengeluarkan perintah yang mengarahkan mereka yang pernah berkhidmat dalam Federation Armed Forces untuk melapor diri di pusat-pusat tertentu.
Leftenan Othman, Kapten Raja Aman Shah, Leftenan Arifin dan Leftenan Abdul Wahid adalah antara mereka yang tetap memakai seragam telah melaporkan diri kepada pihak Jepun.
Pegawai-pegawai dan askar-askar yang mematuhi perintah itu dibawa kembali ke Farrer Park, dan ditahan di sebuah rumah. Mereka juga dipaksa keluar bekerja setiap hari seperti tahanan perang yang lain.
Setiap hari, seorang pegawai Jepun akan datang untuk menyoal siasat para pegawai Melayu itu. Pada satu ketika, Captain Mohan Singh, dari India National Army (INA) telah menemani pegawai Jepun itu dan cuba memujuk para pegawai Melayu untuk menyertai INA, tetapi gagal.
Pada pagi 28 Februari 1942, dua pegawai Jepun datang ke rumah tersebut. Salah seorang daripada mereka fasih berbahasa Inggeris. Mereka ditemani oleh seorang lelaki Melayu yang memakai seragam khas dengan jalur bertulis huruf ‘F’ di lengan kirinya dan dikenali sebagai Ibrahim bin Yaacob. Beliau pernah dipenjarakan oleh pihak British kerana kegiatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM), sebuah organisasi politik Melayu yang dipimpinnya.
Pegawai Jepun yang fasih berbahasa Inggeris itu ingin membebaskan empat pegawai Melayu pada pagi itu, tetapi ditentang keras oleh Ibrahim yang berhujah bahawa mereka pro-British dan anti-Jepun serta akan memberi pengaruh berbahaya jika dibebaskan.
Para pegawai Melayu itu kemudiannya diperintahkan untuk berarak dari Farrer Park ke Tanjong Katong.
Di Tanjong Katong, mereka ditinggalkan di bawah kawalan di sebuah padang tanpa makanan atau minuman sehingga senja.
Sebelum malam tiba, mereka dipindahkan ke dalam kawasan berpagar di sebuah rumah besar, dimana sekumpulan askar Jepun bersenjatakan Machine-Gun sedang menunggu.
Askar-askar Jepun itu mengumpulkan kesemua barang peribadi milik setiap pegawai Melayu itu serta lencana unit dan lencana pangkat mereka. Setiap tangan mereka diikat ke belakang dan dengan kasar dipaksa memanjat ke salah satu daripada tiga lori askar yang berada berhampiran pintu pagar.
Lori-lori itu dipandu menyusuri Upper East Coast Road dalam kegelapan. Mereka berhenti di tepi pantai berhampiran Bedok, berdekatan dengan sebuah bukit yang rendah.
Selepas turun dari lori, para tahanan dibahagikan kepada tiga kumpulan, setiap satu terdiri daripada 30 orang.
Empat pegawai Melayu itu serta tahanan-tahanan Melayu lain dimasukkan dalam kumpulan kedua.
Mereka diarak ke sisi bukit tersebut. Kumpulan kedua dan ketiga kemudian diarahkan berhenti sementara kumpulan pertama bergerak ke dalam kegelapan menuju puncak bukit.
Selepas seketika, dua tembakan Rifle kedengaran. Kemudian askar-askar Jepun itu memanggil kumpulan kedua.
Tidak jauh, beberapa parit telah digali. Parit-parit tersebut enam kaki dalam. Salah satu daripadanya sudah dipenuhi dengan mayat-mayat kumpulan pertama.
Kumpulan kedua kemudiannya dipaksa masuk ke dalam parit lain berdekatan yang dikelilingi oleh sekumpulan askar-askar Jepun yang bersenjatakan Rifle. Mereka pun melepaskan tembakan pada jarak dekat. Setelah memastikan tiada yang terselamat, mereka melemparkan papan ke dalam parit untuk menutupi mayat-mayat tersebut, lalu kembali untuk mengambil kumpulan ketiga.
Tiada sebarang usaha dilakukan untuk mengebumikan mangsa-mangsa pembunuhan beramai-ramai itu.
Pada tahun 1946, nama Dato’ Naning Leftenan Othman bin Kering, Kapten Raja Aman Shah bin Raja Harun Al-Rashid, Leftenan Arifin bin Sulaiman dan Leftenan Abdul Wahid bin Mat Kidam diabadikan pada tugu peringatan Kranji War Memorial dan St Andrew’s Cathedral Malayan Civil Service Memorial Plaque.
***
Foto ihsan:-
Singapore Press Holdings (SPH)
Sumber Kredit Jejak Warisan Singapura
#Lovers Of the World Military & Defence

Copy and paste: 23 May 2025: 10.39 a.m

No comments: