Oleh : Firdaus Wong Wai Hung
23 May 2025
Nepotisme berasal daripada perkataan Latin “nepos” yang bermaksud “anak saudara” atau “keturunan.” Dalam konteks moden, nepotisme merujuk kepada amalan memberi keutamaan, peluang kerja, jawatan atau projek kepada ahli keluarga atau kenalan rapat, biasanya tanpa mengambil kira kelayakan, kebolehan atau merit individu tersebut.
Adakah nepotisme itu sesuatu yang buruk secara mutlak?
Andai seorang pemilik syarikat melantik ahli keluarganya sendiri walaupun ada orang yang lebih layak, ya benar itu nepotisme tetapi itu adalah syarikat miliknya, maka terpulanglah kepada dia siapa yang mahu dilantiknya.
Contoh dalam Genting Group. Tan Sri Lim Goh Tong melantik anaknya sendiri iaitu Tan Sri Lim Kok Thay sebagai Pengerusi & CEO Genting Group pada 2003 apabila Tan Sri Lim Goh Tong bersara.
Namun itu hanya merujuk kepada situasi di mana organisai atau syarikat itu dimiliki seseorang. Nepotisme yang negatif pula adalah apabila seorang pemimpin masyarakat yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi melantik atau memberikan projek kepada ahli keluarganya sendiri tanpa melalui proses tender terbuka atau temuduga terbuka.
Itu adalah nepotisme yang negatif kerana seorang pemimpin telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasa yang ada padanya untuk memberikan projek atau lantikan kepada ahli keluarganya.
Apa pula maksud demokrasi?
Demokrasi berasal daripada perkataan Yunani iaitu Demos (rakyat) & Kratos (kuasa/pemerintahan). Maka demokrasi bermaksud: pemerintahan oleh rakyat.
Demokrasi adalah sistem pemerintahan di mana rakyat berkuasa memilih pemimpin atau wakil mereka melalui pilihan raya, dan keputusan dibuat berdasarkan suara majoriti.
KELEMAHAN KRITIKAL DEMOKRASI:
1. Pemimpin popular ≠ Pemimpin berkualiti
• Sistem undi majoriti cenderung memihak kepada siapa yang pandai berkempen, bukan siapa yang paling layak.
2. Manipulasi persepsi
• Rakyat boleh dimanipulasi melalui media, propaganda, atau emosi — bukan fakta atau kelayakan.
3. Wakil rakyat ≠ wakil kebenaran
• Majoriti tidak semestinya betul. Sejarah banyak kali menunjukkan majoriti menyokong penindasan, perang, atau dasar salah.
4. Politik wang dan pengaruh
• Demokrasi sering jadi mainan mereka yang ada dana dan pengaruh, bukan idea atau integriti.
Persoalan yang harus semua fikirkan adalah,
“Kalau rakyat pilih yang tak layak hanya kerana populariti, adakah demokrasi masih adil?"
Apabila kita melihat definisi nepotisme & demokrasi, maka di situ wujudnya konflik antara PERSEPSI dan PRINSIP. Kenapa begitu?
Ini kerana di dalam PRINSIP demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding — termasuk anak, adik, atau menantu seorang pemimpin — asalkan mendapat mandat rakyat.
Tetapi dalam PERSEPSI umum, apabila seseorang itu ada hubungan keluarga dengan pemimpin, dia dituduh mengamalkan nepotisme, walaupun dia dipilih melalui proses demokrasi.
Apa Yang Menjadikan Ini Paradoks?
1. Demokrasi itu bebas memilih, tetapi dalam praktik, rakyat juga menghukum calon kerana siapa keluarganya — bukan apa kebolehannya.
2. Kita laungkan bahawa rakyat adalah penentu, tetapi pada masa sama kita kata “tak sesuai sebab anak PM” — walaupun rakyat yang pilih.
3. Demokrasi tidak larang ahli keluarga pemimpin bertanding, tetapi kita gunakan persepsi nepotisme untuk membataskan hak demokrasi seseorang.
Bezakan antara ‘peluang’ dan ‘perlantikan’. Jika seseorang dipilih melalui undi, bukan dilantik terus oleh keluarga, itu bukan nepotisme — itu demokrasi.
Sekadar perkongsian buah idea yang terbit di minda. Saya tidak memaksa sesiapa untuk menerimanya tetapi saya sangat mengalu-alukan percambahan idea dari sahabat-sahabat semua.
Elakkan label-melabel atau ejek mengejek kerana yang mahu dilihat adalah kita berdiskusi dan bertukar-tukar idea secara matang.
Dah lama saya nak tulis tetapi kesibukan jadual menyebabkan saya hanya boleh menulis dengan panjang lebar di rumah pada malam Jumaat ini.
*Antara yang mencetus untuk saya terfikir untuk menulis tentang nepotisme dan demokrasi adalah pemilihan PKR. Saya bukan ahli PKR apatahlagi kem A atau kem B. Cuma ingin mengajak sahabat semua berfikir dan bertukar idea.
Firdaus Wong
22/5/2025
10.29 malam
Copy and paste:
23 May 2025: 2.21 p.m
No comments:
Post a Comment