Monday, 28 April 2025

FOTO KENANGAN - LEMBAH KERAMAT

Oleh Hj Zulheimy Maamor
26 April 2025

Lembah Keramat atau lebih dikenali sebagai AU5, terletak dalam kawasan Hulu Kelang yang merupakan kawasan perumahan yang penghuninya adalah 100 % Melayu. 
Sungguhpun terletak di Hulu Kelang, Selangor,  rumah saya yang terletak di Jalan AU 5D/5 adalah dalam kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan saya pun mengundi di Kawasan Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur. 
Lembah Keramat berjiran dengan Wangsa Maju, Taman Permata, Taman Melawati, dan Wangsa Melawati.
Saya mula berpindah ke Lembah Keramat pada penghujung tahun 1979, sebelum itu saya dan keluarga tinggal di Taman Greenwood, Batu Caves, Selangor. Ketika itu saya telah selesai Peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) pada tahun 1978 dan sedang mencari-cari peluang pekerjaan. 


Saya boleh digolongkan dalam golongan Generasi Kedua di Lembah Keramat ini. Generasi pertama adalah generasi Arwah Ayah dan Arwah Ibu saya. Boleh dikatakan majoriti generasi Pertama Lembah Keramat kini telah tiada, hanya ada beberapa orang sahaja lagi yang masih hidup, itupun dah terlalu tua dan uzur. 

Antara Generasi pertama Lembah Keramat termasuk arwah ayah saya (duduk nombor 3 dari kiri). Kesemua mereka dalam foto ini telah pergi menghadap Ilahi. AL FATIHAH. 

Saya sertakan dibawah adalah beberapa foto kenangan sepanjang saya tinggal di Lembah Keramat ini sejak tahun 1979. 


Foto ini adalah tahun 1981, ketika Kakak kedua saya melansungkan perkahwinan. Dalam foto ini kiri sekali adalah arwah ayah saya, Maamor bin Sudin dan sebelah dia itu adalah jiran sebelah rumah saya yang saya panggil Pakcik Mat Noor. 
Kelihatan dibelakang kawasan perumahan itu masih lagi penuh dengan hutan pokok getah. Kawasan itu sekarang adalah Wangsa Melawati. 


Bandingkan foto di atas tahun 1981 dengan foto ini tahun 2013. Hutan pokok getah sudah tidak ada. Foto dimana arwah ayah saya berdiri tahun 1981 itu adalah didepan rumah jiran sebelah saya itu. 



Lihat perbezaan foto tahun 1981, 2013 dan latest tahun 2024. Kelihatan rumah Condo mula kelihatan pada foto tahun 2024




BUKIT DINDING
Dari hadapan rumah saya boleh kelihatan dengan jelas Bukit Dinding. Nampak macam bukit biasa sahaja, namun ramai tidak tahu Bukit Dinding mempunyai banyak sejarah yang mungkin tidak diketahui ramai. 


Bukit Dinding juga jelas kelihatan dalam filem P.Ramlee berjudul "Do Re Mi".

Bukit Dinding, sebuah bukit berhutan setinggi 291m terletak antaa Setiawangsa dan Wangsa Maju di Kuala Lumpur. Asalnya dulu adalah sebuah ladang getah dan merupakan sebahagian daripada Ladang Getah Hawthornden. Ladang ini dibuka pada tahun 1889 oleh J.A.Toynbee yang kemudiannya diambilalih oleh Loke Yew sekitar tahun 1903-1906. 
Ianya adalah lokasi berlakunya Perang Kelang (1867 - 1874) diantara kumpulan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy (menyebelahi Raja Abdullah) dengan kumpulan Syed Mashor dan Chong Chong (menyebelahi Raja Mahadi). 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perang Kelang ini bolehlah merujuk kepada website Cebisan Sejarah Hutan berkenaan Hutan Bukit Dinding


Gambar: Ahli Parlimen Wangsa Maju Nik Nazmi Nik Ahmad membuat tinjauan bersama wakil penduduk mengenai bantahan Projek Pembangunan di Bukit Dinding pada tahun 2022. 


Kawasan Padang AU 4 Lembah Keramat dikatakan tempat berlakunya pertempuran The Battle of Bukit Dinding diantara pasukan Yap Ah Loy dan Pasukan Chong Chong/Syed Mashoor. 


Sungai Gisir di Lembah Keramat (tidak jauh dari rumah saya) telah berubah menjadi longkang besar dimana suatu ketika dahulu dipenuhi dengan sumber bijih timah dan menarik perhatian Raja Abdullah untuk melombong di sekitar kawasan Sungai Gisir ini. Kesan lombong bijih timah ini telah pun hilang di dalam lipatan sejarah dan kawasan Ulu Kelang kini telah pesat membangun tanpa sedikit pun sebarang kesan sejarah yang ditinggalkan di sini.

Rujukan:
1.Wangsa Maju Boy : Sejarah Wangsa Maju: The Battle of Bukit Dinding, The Forgotten War of Perang Kelang. 
2. Zulheimy Maamor : Sejarah Bukit Dinding

DULU DAN KINI

STESEN MINYAK LEMBAH KERAMAT
Stesen Minyak ESSO yang pernah bertapak di AU 5 Lembah Keramat kini telah digantikan dengan Stesen Minyak Shell, bersebelahan dengan Stesen Minyak Petronas di Lembah Keramat. 



MAJLIS PERKAHWINAN
Foto kenangan sekitar tahun 80 an di Lembah Keramat dahulu jika ada majlis Perkahwinan, kami ramai-ramai (jiran, sahabat handai dan saudara-mara) bergotong-royong untuk menjayakan sesuatu majlis perkahwinan. Dari Tukang hidang makanan, tukang masak hinggalah kepada tukang cuci pinggan mangkuk dan gelas. Kumpulan ini dulunya kita panggil kumpulan penanggah. Selalunya pihak tuan rumah akan menyediakan rokok percuma untuk kumpulan penanggah. Begitulah meriahnya suasana majlis perkahwinan dahulu. Bukan macam sekarang ini, semuanya disediakan oleh pihak catering, dari khemah, persediaan makanan sehinggalah para pekerja. Kita cuma datang sebagai tetamu sahaja, selepas makan hidangan tuan rumah masing-masing bawa diri balik ke haluan masing-masing. 




NASI LEMAK LENTOK
Nasi Lemak Lentok adalah antara gerai makanan yang cukup popular di AU 5D Lembah Keramat suatu ketika dahulu. Nasi Lemak dia memang power kata orang sekarang ini. Saya adalah antara pelanggan setia gerai Nasi Lemak Lentok yang terletak belakang Bus Stop.
Namun sayang, gerai ini sekarang hanya tinggal nama dan tinggal kenangan sahaja kerana ianya telah ditutup setelah berpuluh tahun beroperasi. 





KEDAI TEPI SUNGAI
Kedai Makan Tepi Sungai di AU 5D Lembah Keramat adalah merupakan gerai makanan paling lama di AU 5D ini. Kedai yang terkenal dengan Roti Canai Beratur ini telah wujud sejak dari generasi pertama iaitu generasi arwah ayah saya dahulu. Cuma saya tidak pasti adakah pemilik warung ini adalah dari generasi awal turun menurun atau orang lain. 
Gerai ini kalau waktu pagi, kalau nak order roti canai, boleh order dulu, kemudian balik rumah relax-relax, dalam setengah jam nanti datang ambil roti canai yang dah siap, kerana setiap pagi terutama waktu kerja, orang akan beratur panjang untuk order roti canai. Kalau satu orang order 10 keping, jawapnya lamalah kena tunggu. Sungai yang kelihatan seperti longkang besar itu ialah Sungai Gisir yang tersebut namanya dalam sejarah Battle of Bukit Dinding. 


SYED BISTRO / NAAN CORNER
Syed Bistro satu-satu Restoran Nasi Kandar Mamak yang pernah bertapak Lembah Keramat AU 5D suatu ketika dahulu. Lama juga Syed Bistro ini menjalankan perniagaannya di Lembah Keramat ini. Disebelah Syed Bistro ini ada kedai Cuci Kereta. Kalau dulu bila hantar kereta untuk dicuci, saya dan isteri pasti akan singgah di Syed Bistro untuk menjamu selera sambil menunggu kereta siap dicuci. 
Kini Syed Bistro tinggal kenangan dan telah digantikan dengan Naan Corner Restaurant Mr BOOM 1983.  Namun di Taman Permata, bersebelahan dengan Lembah Keramat sekarang terdapat Restoran Syed Maju bertentangan dengan Giant Hypermarket, cuma saya tak pasti samaada Syed Maju ini adalah owner yang sama dengan Syed Bistro. 

Syed Bistro sekarang sudah jadi Naan Corner.






Naan Corner ketika dalam pembinaan tahun 2020. 

Naan Corner Restaurant MR BOOM 1983 mengambilalih premis Syed Bistro yang telah dikosongkan dan diubahsuai sepenuhnya pada 2020. Naan Corner ini pun bukanlah Restoran yang baru ditubuhkan, ianya telah wujud sejak 1983 lagi yang ketika itu beroperasi di Ampang Jaya, Kuala Lumpur. 
Perniagaan Naan Corner ini saya lihat cukup maju dimana selalunya pada hujung minggu akan kelihatan Bas-Bas Ekspress dari pelbagai Negeri datang membawa penumpang mereka menjamu selera di sini, bermakna Naan Corner Lembah Keramat ini dah popular bukan sahaja di Kuala Lumpur malah ke seluruh negara dimana ramai pelancong dalam negeri singgah makan di sini, bila bas Ekspres dah parking tepi kedai ini ada kalanya hingga 3 biji bas, maka akan berlaku sedikit kesesakan di kawasan ini, namun tidak lah teruk sangat. Lagi pun kawasan jalan besar di AU 5D ini kalau peak hour (waktu kerja) terutama waktu petang selepas pejabat akan sentiasa sesak, lebih lagi bulan Ramadan, disebabkan banyaknya gerai gerai tepi jalan yang beroperasi menyebabkan banyak kenderaan di parking di kiri dan kanan jalan. Sehinggakan pernah suatu ketika dahulu bas Park May No. 16 ketika masih lagi beroperasi dulu, pemandu bas adakalanya tidak mahu masuk jalan ini kerana susah bagi bas hendak lalu disebabkan kereta parking kiri kanan jalan. Jadi kami masa itu terpaksa turun di Simpang 3 jalan dan berjalan kaki ke rumah....itu dululah tahun 90 an dan awal 2000 an dulu.... sekarang ini dah ok sikit.... orang-orang lama pasti ingatkan kan zaman Bas Sri Jaya dan Park May dulu.....

SURAU AT-TAQWA
Surau At-Taqwa sudah pun wujud ketika saya dan keluarga berpindah ke Lembah Keramat pada akhir tahun 1979. Arwah ayah saya antara yang aktif dalam aktiviti surau At Taqwa. 
Surau At-Taqwa yang lama telah pun digantikan dengan Surau yang baru yang lebih besar dan luas. 

Surau yang lama

Surau yang baru - 2 tingkat

NAZMI FAIZ MANSOR
13 Jun 2012 - Foto kenangan meraikan anak kelahiran Lembah Keramat, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang berjaya menandatangani Kontrak 3 tahun dengan Kelab Portugas S.C.Beira-Mar di padang AU 5D, Lembah Keramat. 


LAWATAN PM KE AU 5D LEMBAH KERAMAT
10 JUN 2011
Pada 10 Jun 2011, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengadakan ke sesi lawatan ke kawasan Perumahan Lembah Keramat. Ini adalah julung-julung kalinya Perdana Menteri Malaysia datang ke melawat ke kawasan perumahan kami. 





MASJID AS SOBIRIN
Masjid As Sobirin berhampiran dengan rumah ku. Sebelum terbinanya masjid baru ini, jemaah di Lembah Keramat menunaikan solat berjemaah, solat Jumaat dan Solat Hari Raya di Masjid lama yang asalnya sebuah surau tidak jauh dari sini 
Masjid As Sobirin baru ini telah dirasmikan pada 6 Mac 1998 bersamaan 7 Zulkaedah 1418 Hijrah oleh Pemangku Sultan Selangor ketika itu, DYTM Tengku Sharafuddin Idris Shah Ibdun Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. 
Pembinaan masjid ini bermula pada bulan Disember 1994 dan siap pada Disember 1995 dan mulai digunakan pada Januari 1996. 

Masjid As Sobirin yang mula digunakan pada tahun 1996


Masjid lama As Sobirin yang asalnya adalah sebuah surau disebuah rumah yang telah dipinjamkan oleh PKNS, yang kemudiannya digantikan dengan pembinaan masjid yang dibina pada tahun 1985 (sebelum masjid baru). 

MEDAN SELERA LEMBAH KERAMAT
Medan Selera Lembah Keramat ini telah wujud sekian lama sejak arwah ayah dan ibu saya masih hidup lagi. 
Antara gerai favourite saya di sini ialah Gerai Satay Seri Melaka. Kalau teringin nak makan satay saya tak cari kedai lain dah, inilah gerainya sejak dari dahulu lagi sekitar 80 an. 




Gerai Satay Seri Melaka yang menjadi favourite saya dan isteri

Kali terakhir saya makan di Gerai Satay Seri Melaka beberapa hari sebelum terbakar. Foto ini pada 3 Julai 2024, gerai ini terbakar pada 27 Julai 2024.

Gulai kawah yang menjadi kegemaran saya di Medan Selera Lembah Keramat

Namun menyedihkan pada 27 Julai 2024, gerai-gerai disini lebih kurang 8 buah gerai telah musnah dalam kebakaran sekitar 5.45 pagi. Sekarang gerai Satay Seri Melaka masih menjalankan operasinya di gerai sementara di hapadan gerai lama yang terbakar sementara menunggu gerai baru yang sedang dalam pembinaan.


PKP 2020
Pandemik COVID-19 (Coronavirus Disease 2019) iaitu penyakit pernafasan akut 2019-nCoV, sejenis penyakit berjangkit disebabkan oleh SARS-CoV2 melanda seluruh dunia pada 2019 yang mula dikesan di Wuhan, Hubei, China. 
Pada 19 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengisytiharkan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19. Ia adalah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. 
Untuk menguatkuasakan larangan tersebut, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.




Ketika perlaksanaan PKP saya masih ingat lagi bagaimana sunyinya keadaan di persekitaran kita masa itu. Pergerakan adalah terhad, tidak boleh makan minum dikedai-kedai, hanya boleh beli bungkus sahaja. 
Ketika itu pengunaan Applikasi MySejahtera dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19. 


Demikian sedikit sebanyak kenangan Lembah Keramat yang dapat saya paparkan setakat ini. Mungkin ada banyak lagi memori di Lembah Keramat ini, namun kebanyakannya tiada foto-foto kenangan yang dapat disertakan. Hanya yang mana ada dalam simpanan album dan juga komputer ini sahaja yang dapat saya paparkan. Insya Allah jika saya ada terjumpa foto-foto lama Lembah Keramat saya akan update dari masa ke semasa.

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
28 April 2025 : 8.34 p.m























No comments: