Tuesday, 19 March 2024

Minda PresidenPAS > RAMADAN BULAN TETAMU ALLAH

Oleh: Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Selamat bersama Ramadan menjadi tetamu Allah SWT, dikurniakan kelebihan dengan hidangan makanan jasad yang berkat dan sihat, termasuk hidangan makanan roh dan akal yang kuat. Pada masa yang sama, dikurniakan kelebihan tarbiah untuk membentuk syakhsiah berintegriti yang sejati bagi menghadapi cabaran hidup mencakupi aspek fitrah manusia yang berjasad, bersama akal dan roh, bersendirian, berkeluarga dan bermasyarakat yang sama sekali berbeza dengan makhluk yang lain.
Kesempurnaan Islam itu lengkap dan mencakupi segala aspek kehidupan, tidak seperti agama lain. Jauh sekali sekiranya hendak dibandingkan dengan ideologi dan teori ciptaan manusia.
Orang-orang yang beriman diwajibkan beribadat puasa yang menjadi salah satu rukun Islam, sehinggakan pahalanya tidak terkira dan ia hanyalah di sisi Allah. Oleh itu, meninggalkan puasa tanpa keuzuran syar‘i walau hanya satu hari tidak boleh digantikan pahalanya dengan puasa sepanjang hayat.
Manakala sahur dan iftarnya pula makanan yang berkat berpahala, bukan seperti makan seperti biasa. Melatih diri dengan ikhlas bersyukur dan bersabar, mencipta simpati kepada yang susah berlapar dan dahaga dalam kehidupan bermasyarakat, di samping mencipta syukur dan sabar dalam diri sendiri ketika kenyang dengan rezeki Allah.
Berlatih jihad melawan nafsu dalam diri sendiri terhadap perkara yang halal, ia dilarang pada waktu siang hari sahaja, lebih-lebih lagi melawan perkara yang haram sepanjang masa. Selepasnya menghadapi kehidupan di lapangan yang mencabar bersama sifat taqwa yang menentukan martabat dan darjat manusia di sisi Allah, menyahut seruan Allah SWT dalam firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” 
[Surah al-Baqarah: 183]

Sifat taqwa itu menentukan martabat dan darjat manusia di sisi Allah, bukannya ditentukan melalui pangkat, harta, keturunan, bangsa dan warna kulit. 

Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’) serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” 
[Surah al-Hujurat: 13]

Bertaqwa dengan mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya secara ikhlas hati bukan untuk menunjuk-nunjuk. Itulah sifat yang lahir dalam diri seseorang, apabila menunaikan ibadat puasa yang sebenarnya.
Dalam bulan Ramadan, ibadat wajib yang biasa dilakukan itu digandakan pahalanya, ditambah pula dengan ibadat sunat yang tidak diwajibkan. Melakukannya dapat pahala, meninggalkannya pula tidak berdosa.
Ibadat itu merangkumi ibadat dari sudut jasad, harta dan roh, melalui pelaksanaan solat, zakat, sedekah, dalam keadaan hatinya ikhlas, syukur, sabar dan lain-lain. Sementara itu, menjalin hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia, bermula dengan diri sendiri, keluarga, jiran tetangga dan masyarakat yang besar dan luas dalam kehidupan manusia.

Manusia ditetapkan berada di alam dunia supaya beribadat, berkhilafah (mentadbir) dan menunaikan amanah melaksanakan hukum Allah yang adil terhadap semua. Semua perkara ini dinyatakan dalam ayat-ayat berikut, firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku. (56) Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. (57) Sesungguhnya, Allah itu Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. (58)” 
[Surah al-Zariyat: 56-58]

Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’. Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’.” 
[Surah al-Baqarah: 30]

Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” 
[Surah al-Nisa’: 58]

Firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢
“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” 
[Surah al-Ahzab: 72]

Menepati bulan Ramadan, Allah memilih berlakunya peristiwa Nuzul al-Quran sebagai kitab hidayah (diturunkan al-Quran). Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil). Oleh sebab itu, sesiapa antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan sesiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” 
[Surah al-Baqarah: 185]

Bulan Ramadan dipilih oleh Allah untuk diturunkan al-Quran ke langit dunia sekali gus menjadi satu kemuliaan kepada bulan yang dimuliakan ini. Setelah itu, ia diturunkan secara beransur-ansur supaya menjadi lebih teratur pelaksanaannya, seterusnya lebih berkesan ilmu dan tarbiahnya. Maka, diturunkan wahyu yang pertama.

Berbeza dengan kitab sebelumnya yang diwahyukan seluruhnya pada satu masa kepada umat yang kecil dan zaman yang tertentu. Adapun al-Quran pula, ia diturunkan untuk seluruh manusia sepanjang zaman. 

Firman Allah SWT:
وَقُرۡءَانٗا فَرَقۡنَٰهُ لِتَقۡرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكۡثٖ وَنَزَّلۡنَٰهُ تَنزِيلٗا ١٠٦
“Dan al-Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.” 
[Surah al-Isra’: 106]

Hanya mereka yang bertaqwa sahaja yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuknya. 

Firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣ وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ ٤ أُوْلَـٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥
“Alif lam mim. (1) Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (2) (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. (3) Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. (4) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)”
Penerimaan tanpa ragu terhadap al-Quran hanya oleh mereka yang bertaqwa kepada Allah yang tertanam dalam hati mereka dengan keimanan yang ikhlas tanpa kufur dan munafiq kepada perkara yang nyata, ghaib, cerita terdahulu dan akan datang khususnya tentang Hari Kiamat.
Al-Quran tidak mudah diterima oleh manusia, hanya mereka yang layak sahaja mendapat hidayah daripada Allah. Melaksanakannya dengan menunaikan kewajipan jihad menegakkan Islam yang sempurna daripada al-Quran dan Hikmah Rasulullah SAW yang menyampaikan dan melaksanakannya. 

Firman Allah SWT:
... ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ ...٣
Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu jadi agama bagimu… ” 
[Surah al-Ma’idah: 3]

Selain itu, Allah SWT juga memilih pada bulan Ramadan yang mulia ini berlakunya peristiwa Perang Badar al-Kubra. Perkara ini dinyatakan oleh firman-Nya:

وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرٖ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةٞۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٢٣
“Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Oleh sebab itu, bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.” 
[Surah Ali ‘Imran: 123]

Semua perkara ini menunjukkan al-Quran bukan sahaja wajib dibaca dengan baik bagi mendapatkan pahalanya, perkara yang lebih besar ialah beramal dengan petunjuknya dengan penuh ketaqwaan. Allah memberi amaran kepada kaum Yahudi Ahli Kitab yang hanya membaca kitab Taurat, tetapi tidak beramal dengan petunjuknya. 

Firman Allah SWT:
﴿وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيم١٠٥
“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksaan yang berat.” 
[Surah Ali ‘Imran: 105]

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ ٤ مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka al-Kitab dan Hikmah (al-Sunnah). Dan sesungguhnya, mereka sebelumnya benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata. (2) Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3) Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurniaan yang besar. (4) Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (5)” 
[Surah al-Jumu‘ah: 2-5]

Rasulullah SAW memberitahu akan lahir daripada kalangan umatnya mereka yang sangat baik bacaan al-Quran, tetapi tidak beriman dan tidak beramal dengan hidayahnya. 

Ia disebutkan melalui sabdanya:

سَيَخْرُجُ ‌قَوْمٌ ‌فِي ‌آخِرِ ‌الزَّمَانِ، ‌أَحْدَاثُ ‌الأَسْنَانِ، ‌سُفَهَاءُ ‌الأَحْلَامِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ البَرِيَّةِ، لَا يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ، كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَأَيْنَمَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ.
“Akan muncul satu kaum pada akhir zaman yang pandai bercakap, tetapi tidak berilmu, bodoh impiannya, bercakap dengan sebaik-baik ucapan manusia, mereka membaca al-Quran dengan baik namun sekadar kerongkongannya sahaja mereka terkeluar daripada agama laksana anak panah menuju sasarannya. Maka, di mana sahaja kamu menemuinya, maka hadapilah mereka bagi menentang mereka. Sesungguhnya, penentangan terhadap mereka nescaya mendapat pahala yang besar pada Hari Kiamat kelak.” 
[Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Diyat, No. 6930, daripada ‘Ali bin Abi Talib KW]

Demikianlah cabaran besar yang dihadapi oleh umat Islam dari dalam diri umat yang tenggelam dalam kejahilan, kesan daripada serangan pemikiran pada zaman penjajah, di samping menghadapi musuh luar yang mudah dikenali.
Maka, digalakkan untuk bertadarus al-Quran pada bulan Ramadan dengan membacanya dan menghadiri majlis ilmu bagi memahaminya.
Generasi awal dalam kalangan para sahabat ramai yang mati di perantauan yang jauh semata-mata kerana ingin menyebarkan Islam dan menegakkannya daripada al-Quran kepada seluruh manusia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Ramadan 1445 / 19 Mac 2024
[Bil: 15 / 2024]


Copy and paste:
19 March 2024 > 8 Ramadan 1445H: 4.27 pm




No comments: