Sunday, 3 March 2024

3 MAC 2024 - 100 TAHUN KEJATUHAN KHILAFAH UTHMANIYYAH

Oleh Ayman Rashdan Wong : 3.3.2024

3 Mac 2024 menandakan 100 tahun sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah (Ottoman Caliphate) pada 3 Mac 1924 (28 Rejab 1342 H).
Khilafah Uthmaniyyah merujuk kepada pemerintahan para sultan Uthmaniyyah yang memegang jawatan khalifah Islam dari tahun 1517-1924.
Bermula dengan Selim I, berakhir dengan Abdul Majid II. Berlangsung selama 407 tahun dan seramai 29 orang khalifah.
Khalifah (bermaksud pewaris) ialah gelaran pemimpin ummah (umat Islam) selepas kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 632.
Umat Islam pada asalnya satu, berpusat di Mekah dan Madinah. Jadi, khalifah ialah satu-satunya pemerintah orang Islam. Tiada amir, sultan, malik dan sebagainya.
Khalifah pertama ialah Saidina Abu Bakar (632-634), diikuti oleh Umar (634-644), Uthman (644-656) dan Ali (656-661).
Di bawah pemerintahan mereka berempat, kuasa umat Islam berkembang ke seluruh Tanah Arab, kemudian ke Filastin, Syria, Iraq, Iran dan Mesir.
Empat khalifah ini digelar sebagai al-Khulafa ar-Rasyidin (maksudnya para khalifah yang berada di atas landasan kebenaran) kerana mereka ialah para sahabat yang paling dekat dengan Rasulullah SAW, memiliki sifat terpuji dan memerintah ikut cara Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya.
Selepas Saidina Ali mangkat, jawatan khalifah jatuh ke tangan Muawiyah ibn Abu Sufyan. Di bawah Muawiyah, khilafah dah berubah menjadi seperti sistem raja (mulk). Jawatan diwarisi dari bapa ke anak.
Muawiyah berasal dari suku Bani Umayyah, oleh itu khilafah beliau dan keturunannya dipanggil sebagai Khilafah Umawiyah. Pusat khilafah dipindahkan ke Damsyik.
Khilafah Umawiyah ini kemudian digulingkan oleh Bani Abbasiyyah (dari keturunan Abdullah ibn Abbas) pada tahun 750. Khilafah Abbasiyyah didirikan, pusat khilafah dipindahkan ke Baghdad.
Zaman Khilafah Abbasiyyah ini digelar sebagai Zaman Keemasan Islam. Tapi lebih kepada pencapaian intelektual saja. Di zaman Abbasiyyah inilah umat Islam mula berpecah jadi banyak negara.
Ada pemerintah negara yang pakai gelaran amir, ada yang pakai sultan. Macam Salahuddin al-Ayyubi tu seorang sultan di Mesir.
Para amir dan sultan ni masih beri taat setia kepada khalifah Abbasiyyah di Baghdad, tapi khalifah tak ada kuasa ke atas mereka. Jadi macam boneka saja.
Selepas Baghdad diserang oleh Mongol pada 1258, Khilafah Abbasiyyah berpindah ke Kaherah, Mesir di bawah pemerintahan Sultan Mamluk.
Kaherah jadi pusat Dunia Islam sehingga tahun 1517, apabila Kesultanan Mamluk dikalahkan oleh Kesultanan Uthmaniyyah di bawah kepimpinan Selim.
Kesultanan Uthmaniyyah adalah kerajaan yang diasaskan oleh orang Turk bernama Osman anak Ertugrul pada tahun 1299. Orang Turk ni pada asalnya duk bawah Kesultanan Rum, tapi selepas Kesultanan Rum jatuh, mereka pun buat kerajaan sendiri termasuk kerajaan Osman.
Selim ialah cucu Mehmed al-Fatih yang terkenal sebagai penakluk Constantinople. Tapi Mehmed al-Fatih tak pernah jadi khalifah sebab beliau hanya Sultan Uthmaniyyah. Gelaran Sultan Uthmaniyyah tu pun kena dapat pengiktirafan daripada Mamluk yang pegang Khalifah Abbasiyyah.
Dengan mengalahkan Mamluk, Selim sekali gus memperolehi gelaran khalifah daripada Khalifah Abbasiyyah terakhir, Al-Mutawakkil III. Maka bermulalah zaman Khilafah Uthmaniyyah.
Ada sebab Selim serang Mamluk, bukan setakat mahu kuasa sahaja.
Pada tahun 1509, Mamluk kalah teruk dalam perang dengan Portugis. Mamluk ni jenis yang sangat jumud, meriam tak nak pakai (takut rendahkan martabat pahlawan), perang pakai kapal pun tak pandai.
Kalau dibiarkan Mamluk ni ketuai dunia Islam, habis Portugis serang sampai ke Mekah (dan Albuquerque memang ada plan tu).
Selepas Uthmaniyyah ambil alih, baru perluasan kuasa Portugis diperlahankan. Baru dunia Islam selamat sikit.
Malah di bawah pemerintahan anak Selim iaitu Suleiman, Uthmaniyyah menjadi adikuasa (superpower) dunia ketika itu.
Uthmaniyyah bukan hanya menguasai Anatolia (Turki), Syria, Filastin, Iraq, Tanah Arab, Mesir, Afrika malah wilayah Eropah di Balkan (Bosnia, Serbia, Romania, Bulgaria, Yunani), Crimea dan Hungary.
Negara-negara Islam yang jauh dari pusat dunia Islam seperti Kesultanan Aceh pun memberi taat setia kepada Uthmaniyyah.
Tapi di zaman itu juga wujud kerajaan Islam yang lain seperti Mughal di India, dan Safawiyyah di Iran (Safawiyyah berfahaman Syiah, so ada kontroversi nak kategorikan dia sebagai kerajaan Islam). Dua-dua kerajaan ni tak mengakui ketuanan Uthmaniyyah.
Maghrib (Morocco) pun tak mengakui ketuanan Uthmaniyyah. Sebab Maghrib ni ramai Ahlul Bait (keturunan Rasulullah SAW), sultan dia pun Ahlul Bait. Bukan saja Arab Quraysh tapi keturunan Rasulullah SAW lagi. Uthmaniyyah ni Turk orang gasar saja pada pandangan mereka.
Jadi, nak kata semua umat Islam bersatu ketika zaman pemerintahan Uthmaniyyah pun kurang tepat. Mungkin tak sampai separuh umat Islam yang berada di bawah kedaulatan Uthmaniyyah.
Malah menjelang abad ke-19 (1800-1899), Uthmaniyyah telah mengalami kemerosotan kuasa yang hebat.
Dulu negara-negara Eropah takut dengar nama Uthmaniyyah. Tapi di abad ke-19, Uthmaniyyah diejek sebagai Orang Sakit Eropah (Sick Man of Europe).
Kuasa-kuasa Eropah (UK, Perancis, Rusia, Austria, Itali) ni kalau ada masa free diorang akan pergi buli Uthmaniyyah, ambil tanah dia.
Menjelang tahun 1913, Uthmaniyyah dah hilang 60% tanahnya. Hanya tinggal Turki, Syria, Filastin, Iraq, Tanah Arab.
Mesir dah dijajah UK. Algeria dan Tunisia dah dijajah Perancis. Balkan dah merdeka. Crimea dah diambil oleh Rusia.
Uthmaniyyah pun tak boleh buat apa-apa sebab Uthmaniyyah dah jauh ketinggalan dari segi sains, teknologi dan sistem ekonomi.
Di zaman Selim dan Suleiman, Uthmaniyyah digeruni kerana menguasai teknologi meriam yang paling canggih. Sebab tu negara-negara Eropah pun diorang boleh dapat kalahkan.
Tapi pada abad ke-19, negara-negara Eropah dapat mengalami Revolusi Industri yang pesat. Uthmaniyyah jadi ketinggalan.
Para sultan/khalifah Uthmaniyyah pernah nak buat reform, tapi "too little, too late". Bukan saja reform tak berkesan, tanah hilang, hutang pun bertambah.
Jadi, golongan bijak pandai Uthmaniyyah (yang digelar Young Turks) nak buat gamble besar.
Mereka gulingkan Khalifah/Sultan Abdul Hamid II, menjadikan adiknya Mehmed V sebagai khalifah/sultan boneka, dan paksa khalifah/sultan isytiharkan jihad, masuk Perang Dunia Pertama sebagai sekutu Jerman pada 1914.
Sebab apa buat demikian? Sebab Jerman lawan UK, Perancis dan Rusia.
Kalau menang, Uthmaniyyah ada harapan nak dapatkan balik semua tanah mereka yang hilang, sekali gus hapuskan semua hutang yang Uthmaniyyah pinjam dengan kuasa-kuasa Barat ini.
Namun gamble tu tak berjaya. Jerman menyerah kalah pada 1918, maka Perang Dunia Pertama tamat dengan UK-Perancis sebagai pemenang.
Negara-negara pemenang telah memaksa Sultan Mehmed VI (pengganti Mehmed V) untuk menandatangani Perjanjian Sevres.
Syria dan Lubnan diberi kepada Perancis manakala Filastin, Jordan dan Iraq diberi kepada UK.
Tanah Arab dimerdekakan. Sharif Husayn dari keturunan Rasulullah SAW (sebelah nasab Saidina Hasan ibn Ali) diiktiraf sebagai raja di Hijaz (Mekah dan Madinah), sebagai balasan kepada kerjasama beliau dengan UK semasa Perang Dunia Pertama.
Malah tanah Turki juga diagih-agihkan. Yunani dan Itali dapat belah barat, Armenia dapat belah timur. Malah Constantinople (Istanbul) dijadikan sebagai zon antarabangsa yang dijaga oleh UK dan Perancis.
Perjanjian ini dilihat sebagai penghinaan besar kepada bangsa Turki. Maka nasionalis Turki di bawah kepimpinan Mustafa Kemal melancarkan Perang Kemerdekaan Turki untuk usir UK, Perancis dan Yunani.
Selepas 3 tahun berjuang, nasionalis Turki berjaya memaksa UK dan Perancis untuk merunding perjanjian baharu iaitu Perjanjian Lausanne.
Walaupun UK dan Perancis ialah pemenang Perang Dunia, mereka bukanlah kuat mana. Mereka menang sebab Jerman menyerah kalah, bukan menang betul. UK dan Perancis juga dilanda krisis ekonomi, jadi mereka tak nak panjangkan konflik dengan Turki.
Perjanjian Lausanne menetapkan sempadan Turki seperti hari ini. Pihak Turki juga melepaskan Syria, Palestin dan Iraq. Kira win-win. Sebab Mustafa Kemal waktu tu hanya perjuangkan kepentingan Turki saja. Tanah umat Islam lain dia dah malas nak fikir.
Malah Mustafa Kemal tak nampak lagi apa relevannya nak kekalkan kesultanan mahupun khilafah bagi bangsa Turki.
Maka pada 1 November 1922, Mustafa Kemal memansuhkan Kesultanan Uthmaniyyah dan memindahkan kuasa negara kepada parlimen atau Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki.
Sultan Mehmed VI dibuang negara ke Malta. Sepupunya Abdul Majid II ditabalkan sebagai khalifah, tetapi tidak lagi ada kuasa politik. Cuma sebagai ketua orang Islam secara simbolik sahaja.
Kemudian pada 29 Oktober 1923, Republik Turki diisytiharkan. Mustafa Kemal dilantik sebagai presiden dan diberi gelaran Ataturk yang bermaksud Bapa Turk atas jasanya kepada negara.
Tak lama kemudian, Ataturk rasa khalifah yang setakat simbolik tu pun elok dimansuhkan saja.
Maka pada 3 Mac 1924, Ataturk membuat pengumuman yang mengejutkan (atau sebenarnya tak mengejutkan pun) untuk memansuhkan jawatan khalifah. Semua kerabat Bani Uthmaniyyah (Osmanoglu) dibuang negara.
Sehingga ke hari ini, ramai di kalangan kita masih menyalahkan Ataturk atas kejatuhan Uthmaniyyah dan sistem khilafah.
Tapi kalau kita betul-betul memahami sejarah Uthmaniyyah ini, kita akan sedar bahawa kurang tepat untuk mengatakan Mustafa Kemal Ataturk sebagai punca kejatuhan Uthmaniyyah atau sistem khilafah.
Hakikatnya, Uthmaniyyah dah jatuh pun selepas Perang Dunia Pertama.
Apa yang Uthmaniyyah boleh buat dengan tanahnya yang sedikit itu? Macam mana dia nak memimpin umat Islam dengan keadaan semua tanah orang Islam di luar kawalannya?
Malah kalau bukan Ataturk lawan, saiz Turki hari adalah jauh lebih kecil. Hagia Sophia dah lama jadi gereja balik dengan Istanbul dikawal oleh kuasa-kuasa Eropah.
Ataturk hanyalah orang yang melengkapkan proses kejatuhan Uthmaniyyah itu, ibarat orang yang cabut oksigen bagi pesakit yang dah tak ada kesedaran. Tindakannya tak beretika, tapi tak menjadikan dia punca.
Bukan bermaksud Ataturk perfect. Dia memang seorang nasionalis sekular yang banyak menzalimi umat Islam di Turki. Tapi hal itu dan hal pemansuhan khilafah tak boleh disamakan ketika kita membincangkan sejarah.
Lagi pun, Ataturk tak halang siapa-siapa nak jadi khalifah selepas pemansuhan Khilafah Uthmaniyyah.
Dua tahun selepas itu, pemimpin-pemimpin dan ulama Islam telah berhimpun di Kaherah bagi membincangkan soal khalifah baharu.
Antara calon yang dilihat ada kemungkinan jadi khalifah baharu ialah Fuad (Raja Mesir), Sharif Husayn (Raja Hijaz) dan Abdul Aziz ibn Saud (Sultan Najd).
Tapi mereka ni semua tidak memiliki dominasi ke atas seluruh umat Islam. Lantik Fuad (Mesir) nanti orang Semenanjung Arab tak puas hati. Lantik Sharif Husayn pun tak boleh sebab reputasinya tercalar sejak dia bekerjasama dengan UK. Raja Abdul Aziz juga tidak disenangi oleh ramai kerana fahaman Salafi beliau.
Uthmaniyyah dapat jadi khalifah sebab dia mampu dominasi kerajaan lain termasuk Mamluk. Dia mampu dominasi negara-negara Eropah, menjadi negara adikuasa yang setaraf dengan Portugis dan Sepanyol.
Tapi sejak abad ke-19, Uthmaniyyah dah hilang dominasinya, dan kita tidak lagi menyaksikan adanya kerajaan Islam yang dominan.
Itulah masalah yang dihadapi oleh umat hari ini. Tak ada satu "dominant power" yang boleh membimbing negara-negara Islam untuk mempertahankan kepentingan umat.
Tak kira Turki, Arab Saudi, Mesir mahupun Iran, mereka tidak mampu memainkan peranan ini. Akhirnya semua hanya mampu menjaga kepentingan negara sendiri.
Selagi tak ada satu kuasa dominan, selagi itu umat Islam tidak dapat membela nasib sesama umat Islam, seperti yang sedang berlaku di Filastin.
Merenung sejarah kejatuhan Uthmaniyyah bukan untuk kita jadi romantis sejarah, bernostalgia tentang kehebatan masa silam, atau duk menyalahkan konspirasi Barat, Yahudi dan sebagainya.
Sebaliknya kita kena bermuhasabah dan mencari apakah punca kebangkitan dan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam dahulu, supaya kita kembali berjaya.
Seperti firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 140, keadaan umat Islam ibarat roda. Dulu umat Islam pernah berada di bawah (ditindas, ditekan), pastu naik ke atas, kini di bawah.
Dan sekiranya kita berusaha, kita akan kembali ke atas.
Nak tau macam mana negara boleh mencapai dominasi dan menjadi negara "atas", nantikan buku ADIKUASA.

Copy and paste:
3/3/2024 > 22 Syaaban 1445H: 4.12 pm


No comments: