Wednesday, 30 August 2023

Gerakan jihad Melayu Aceh menentang tentera salib Portugis di Melaka

Kredit: Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH

admin Jun 15, 2021
Kehadiran tentera salib Portugis di Melaka yang bukan sekadar bertujuan menguasai jalur perdagangan bahkan bercita-cita besar menghancurkan kekuatan Melaka sebagai pusat dakwah Islamiah di rantau alam Melayu.
Portugis cukup jelas dengan keghairahan mereka meneruskan perang salib yang tercetus di Jurussalem beberapa abad sebelum itu kerana mahu membalas dendam setelah diaibkan oleh kejayaan Sultan Salahuddin Ayyubi menghambat keluar tentera salib dari kota ketiga paling suci bagi kaum Muslimin itu.
Kejayaan kerajaan-kerajaan Kristian Eropah menghancur lumat ketamadunan umat Islam di Sepanyol pada tahun 1492 masihi memacu kembali semangat mereka meneruskan misi perang Salib sehingga ke rantau alam Melayu.
Melaka 1511
Tumbangnya kota Melaka bukan hanya mendapat perhatian Kerajaan Demak, tetapi juga Kerajaan Johor-Riau dan Aceh. Tapi sayang sekali, kerana buku-buku sejarah sekolah menutup maklumat gerakan jihad orang Melayu di Melaka menentang Portugis sekitar tahun 1511 masihi sehingga 1641 masihi yang melibatkan lebih 40 kali perperangan dan pertempuran. Ianya juga melibatkan lebih sepuluh buah kerajaan Kesultanan Melayu Islam seperti Demak, Cirebon, Banten, Jepara, Siak, Johor-Riau, Kampar, Champa, Aceh dan lain-lain dalam menebus kejatuhan kota Melaka. Ini menunjukkan bahawa orang Melayu tidak melihat sahaja tanah pusaka mereka dijarah, melainkan mereka bangkit mempertahankannya.
Kesultanan Islam Aceh adalah salah sebuah Kerajaan Islam yang berang dengan serangan Portugis ke atas Melaka, menyeru seruan jihad seluruh Nusantara bangkit memerangi tentara salib Portugis. Mereka tidak pernah bekerjasama dengan Portugis, bahkan menjadi sayap kekhalifahan Uthmaniyah bagi Nusantara. Atas asas itu, bagi membebaskan Melaka dan menghalau Portugis, Kesultanan Aceh telah menyerang Melaka sebanyak tujuh kali (1537, 1547, 1568, 1571, 1578, 1587 dan 1629M), selain turut menyerang Johor-Riau sebanyak sembilan kali (1537, 1564, 1568, 1582, 1613, 1617, 1623, 1630 dan 1634 masihi) kerana bersekutu dengan Portugis. Sebab utama serangan-serangan ini dilancarkan adalah untuk membebaskan Melaka, menyekat gerakan Kristianisasi dan persaingan perdagangan.
Walaupun serangan-serangan telah berlaku ke atas Portugis di Melaka sejak 1537 masihi tetapi serangan besar-besaran dibuat oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Acheh dari 1607 sehingga 1636 masihi dan serangan ketika zaman baginda dikira yang paling berkesan. Selain faktor kepahlawanan Sultan Mahkota Alam, peranan para ulama di Aceh sangat mempengaruhi tindakan-tindakan ke atas Portugis di Melaka. Tokoh ulama terbesar di Aceh ketika ini ialah Sheikh Syamsuddin as-Sumatraie yang merupakan Sheikhul Islam Aceh. Sheikh Abdul Samad al-Falembani di dalam Siyarus Salikin mencatatkan bahawa beliau adalah Perdana Menteri Aceh.
Jihad Aceh di Melaka
Ketika Kerajaan Aceh Darussalam ditubuhkan pada 1514 masihi, Sultan Ali Mughayat Syah yang memerintah dari tahun 1496 masihi sehingga 1528 masihi tidak memberikan perhatian kepada Portugis di Melaka kerana Kerajaan Samudera-Pasai masih wujud. Tetapi, apabila Portugis berjaya menakluk Samudera-Pasai pada tahun 1521 masihi, Sultan Ali Mughayat Syah telah mengukuhkan gabungan semua kerajaan kecil membentuk Aceh Darussalam untuk menghadapi Portugis. Melihat kegelojohan Portugis dalam menyebarkan Kristian dan menguasai perdagangan rempah, Sultan Alauddin al-Qahhar yang berkuasa dari tahu 1537 masihi sehingga 1568 masihi telah melancarkan serangan ke atas Melaka beberapa kali mulai 1537 masihi dan kemuncaknya pada 1568 masihi. Ia berpunca daripada daripada tindakan kerajaan Johor-Riau yang marahkan Kesultanan Aceh kerana menakluk Aru pada tahun 1539 masihi. Perbalahan panjang ini menyebabkan Aceh menyerang Johor-Riau pada tahun 1564 masihi. Kesannya, ketika Aceh menyerang Portugis di Melaka pada 1568 masihi dengan bantuan Khilafah Uthmaniyah, Johor-Riau telah bertindak membantu Portugis. Tindakan Johor-Riau ini menggagalkan usaha menghalau Portugis. Lantaran pengkhianatan ini, kerajaan Aceh menyerang Johor-Riau sekali lagi pada 1568 masihi.
Ekoran itu, pada 1569 masihi, Portugis telah mengepung Aceh di pantai Sumatera pada zaman Sultan Hussein Ali Riayat Shah yang memerintah pada 1568 masihi sehingga 1575 masihi, tetapi gagal mengalah Aceh. Sebagai tindak balas, Aceh telah menyerang Portugis pada 1571 masihi namun tidak berjaya. Serangan ke atas Portugis digiatkan semula oleh Sultan Alauddin Mansur Syah yang berkuasa dari tahun 1577 masihi sehingga 1589 masihi, sebanyak dua kali serangan dilancarkan, iaitu pada tahun 1578 masihi dan 1587 masihi. Serangan juga dibuat ke atas Johor-Riau pada 1582 masihi, ekoran tindakan Johor-Riau bersekutu dengan Portugis, tetapi serangan ini gagal mengalahkan Johor-Riau apabila Portugis membantu Johor-Riau. Era inilah dari tahun 1533 masihi sehingga tahun 1587 masihi disebutkan Perang Tiga Segi Johor-Aceh-Melaka.
Setelah usaha beberapa orang Sultan Aceh ini tidak berjaya, pada zaman Sultan Ali Riayat Syah yang mengambil tampuk pemerintahan dari tahun 1604 masihi sehingga 1606 masihi, Portugis meningkatkan tekanan ke atas Aceh untuk mengawal laluan perdagangan, lalu Putera Mahkota Alam telah berjaya menghalau Portugis dan baginda dilantik menjadi Sultan Aceh bergelar Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang bertakhta pada tahun 1606 masihi sehingga tahun 1636 masihi. Sultan Iskandar Muda sangat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Johor-Riau yang mengadakan perjanjian damai pada 6 Oktober 1610 masihi yang mana telah menguntungkan ekonomi Portugis, Baginda telah menyerang Johor di Batu Sawar pada 6 Jun tahun 1613 masihi sehingga dapat menawan adinda Sultan Johor dan Bendahara Tun Seri Lanang. Pada tahun 1623, Aceh sekali lagi menyerang Johor-Riau di atas sebab persekongkolan mereka dengan Portugis.
Kemuncak kepada gerakan jihad ke atas Portugis ini, pada November 1628 masihi, Sultan Iskandar Muda telah mengirimkan 236 buah kapal bersama 20,000 tentera untuk mengepung Melaka. Armada Portugis yang diketuai oleh Deigo Lopez de Francesca telah tersepit dengan kepungan selama lima bulan ini, kerana kebanyakan kekuatan Portugis di Nusantara telah dimusnahkan oleh Belanda, menyebabkan mereka kesukaran mendapat bantuan. Akhirnya, Portugis terpaksa berundur dan Aceh dapat menguasai Melaka selama lapan bulan. Dalam bulan Februari 1630 masihi, Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil III), Sultan Pahang telah menyerang Melaka untuk membantu Portugis dan menyerang Aceh. Terkejut dengan serangan dari Pahang ini dan juga ketibaan bantuan dari Portugis di Goa, Aceh terpaksa berundur dan Portugis kembali berkuasa di Melaka.
Sheikh Syamsuddin as-Sumaterani: Tokoh ulama penggerak Jihad Aceh
Sheikh Syamsuddin as-Sumaterani adalah adalah ulama besar Nusantara pada abad ke-17 masihi, sezaman dengan Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Abdul Rauf al-Singkili. Beliau dilahirkan sekitar awal 1500 masihi di Pasai. Ayahnya, Sheikh Abdullah as-Sumatrani juga seorang ulama. Setelah belajar dengan ayahnya dan beberapa ulama Pasai, Sheikh Syamsuddin dikatakan belajar dengan Sunan Bonang di Jawa dan menjadi murid utama Sheikh Hamzah Fansuri. Beliaulah yang dikatakan mewarisi pemikiran tasawuf Fansuri yang kemudiannya bertembung dengan ar-Raniry, walaupun tidak sempat bertemu dengannya.
Sebagai seorang ulama muda, Sheikh Syamsuddin as-Sumaterani diberikan peranan besar dalam Kerajaan Aceh di mana beliau dilantik sebagai Qadhi Malikul Adil (Ketua Hakim Negara), sekali gus sebagai Ketua Balai Gading Kerajaan Aceh. Qadhi Malikul Adil merupakan jawatan kedua tertinggi di Aceh, di mana pada akhirnya beliau menjadi Sheikh al-Islam Aceh. Beliau juga disebutkan sebagai Penasihat Sultan kepada Sultan Alauddin Riayat Syah IV dan Sultan Iskandar Muda, sekali gus menjadi Perdana Menteri Aceh. Dengan kedudukan dan pengaruhnya itulah, beliau memainkan peranan besar dalam gerakan jihad yang berlaku, terutama untuk menyekat pengaruh Portugis dan membebaskan Melaka.
Sebagai seorang ulama besar, beliau telah menghasilkan sejumlah kitab yang kebanyakannya adalah kitab tasawuf aliran Sheikh Hamzah Fansuri sekitar 20 buah, di mana Sheikh Abdul Samad al-Falembani turut memetik pandangan dalam kitabnya, Jawahirul Haqaaiq dan Tanbiihut Thullab. Ar-Raniri yang tidak sejalan dengan beliau dalam ilmu tasawuf turut mengakui di dalam Bustanus Salatin bahawa “Adalah Sheikh (Syamsuddin) itu alim pada segala ilmu dan ialah yang termasyhur dengan pengetahuannya pada ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditulisnya.”
Jihad Dikhianati: Temui Syahid di Melaka
Di sebalik kemasyhurannya sebagai seorang ulama dan tokoh negarawan yang penting ketika Aceh berada di kemuncak kemasyhurannya, Sheikh Syamsuddin sangat giat mendukung gerakan-gerakan jihad ke atas Portugis di Melaka. Tidak berpuas hati dengan kegagalan Aceh untuk menghalau Portugis sejak 1537 masehi, pada bulan November 1628 masehi, Sheikh Syamsuddin telah turun sendiri untuk memimpin jihad di Melaka sehingga Portugis berjaya ditewaskan. Ia bermula pada November tahun 1628 masehi apabila satu ketumbukan armada Aceh seramai 20,000 orang bersama 236 buah kapal diketuai oleh sebuah kapal perang terbesar, sepanjang 100 meter dan mempunyai tiga layar serta puluhan meriam. Kapal ini dinamakan Cakra Dunia yang bermaksud “Penggegar Dunia.” Mereka bergerak dari Aceh dan menyerbu Melaka.
Dalam perang ini, Sungai Melaka berjaya dikuasai oleh Aceh sehingga tentera Portugis terkeluar dari benteng pertahanan St John. Kemudian kubu Portugis di sebuah gereja bernama Madre de Dios, di atas Bukit Kota Melaka pula pecah setelah dua bulan dikepung. Portugis kemudiannya lari ke benteng terakhir mereka, di Bukit St Paul atau Bukit Cina. Kepungan terus berlangsung selama tiga bulan lagi, dan pada Mei 1629 masehi, Portugis terpaksa berundur dari Melaka setelah bekalan mereka habis. Melaka jatuh ke tangan Aceh selama lapan bulan. Portugis cuba mendapatkan bantuan dari Wizurai di Goa, India dan mencari sekutu dari kalangan raja-raja Melayu. Setelah lapan bulan Aceh menguasai Melaka, pada Februari 1630 masehi, sekutu Portugis dari Pahang telah datang membantu, serentak dengan ketibaan kapal Portugis dari Goa.
Pengkhianatan Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil III), Raja Pahang ketika itu, telah membuatkan keadaan pertahanan Aceh menjadi huru-hara kerana serangan luar jangka ini. Pertahanan Aceh yang dipimpin oleh Orang Kaya Laksamana berada dalam keadaan leka ketika diserbu oleh tentera dari Pahang sehingg kubu Aceh pecah. Di sinilah berlakunya perselisihan antara Orang Kaya Maharaja Sri Maharaja dengan Orang Kaya Laksamana yang disebut oleh ar-Raniri dalam Bustanus Salatin. Akibatnya Kota Melaka tak terkawal lalu diserbu oleh musuh, sehingga ramai tentera Aceh telah syahid, termasuk Sheikh Syamsuddin sendiri. Selepas itu, kedua-dua Orang Kaya yang memimpin tentera Aceh ini terpaksa berundur dari Melaka pada akhir Februari 1630M.
Sejak itu juga, Sultan Iskandar Mudab tidak lagi menyerang Melaka sehingga baginda wafat pada 1636M, kecuali menyerang Pahang di atas pengkhianatan itu pada 1630M dan 1634M. Tarikh kematian Sheikh Syamsuddin dicatatkan oleh ar-Raniry dalam Bustanus Salatin. Raniry mengatakan beliau syahid dalam perang ini pada Isnin, 12 Rejab 1039H, iaitu bersamaan 24 Februari 1630M. Walaupun beliau lahir di Pasai dan berkhidmat sebagai pembesar utama Kerajaan Aceh, tetapi Allah mentaqdir beliau syahid di Melaka. Maqam as-Syahid Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i terletak di Kg Ketek, Melaka. Kematian Sheikh Syamsuddin ternyata memberi kesan yang agak besar terhadap gerakan jihad di Melaka, walaupun selepas itu Sheikh Abdul Rauf Singkel dan ar-Raniry menjadi tokoh ulamak utama dalam Kerajaan Aceh pada abad ke-17M.
Institut al-Balaghul Mubin
Copy and paste:
30 Ogos 2023 > 13 Safar 1445H: 1.18 pm

No comments: