Friday, 25 August 2023

Teruskan bongkar sejarah Melayu

Oleh: Muhamad Adham Shadan > KOSMO
11 Ogos 2023

Jika mengikuti TikTok atau YouTube mutakhir ini pasti ramai yang menemukan nama seorang profesor dari Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Solehah Yaacob. Kenyataan-kenyataannya berbunyi kontroversi, tetapi tidak mustahil ada kebenarannya.

Beliau pakar dalam falsafah nahu bahasa Arab dan pemikiran linguistik. Penulis percaya tiada ahli sejarah berkepakaran bahasa Arab yang mengkaji sejarah Melayu hasil daripada penerokaan sumber-sumber kitab Arab kuno, tetapi prof. ini telah melakukannya.

Jika selama ini kita hanya taklid melongo dengan sejarah ditulis orientalis Barat tentang kita, kini ada juga orang Melayu mengkaji asal usul bangsanya sendiri berteraskan al-Quran, kitab-kitab agama samawi dan buku-buku Arab klasik. Justeru, kehadiran pengkaji sepertinya haruslah dialukan-alukan bangsa Melayu.

Ketika dunia Eropah silam kita tahu mengalami zaman kegelapan tanpa ilmu, sudah tentulah sumber sejarah daripada kitab-kitab purba Bani Israel atau kitab Arab zaman khalifah yang lebih dulu menyimpan kisah sebenar dunia. Ada sesiapa mahu menyangkal?

Dakwaannya seperti Melayu berasal dari keturunan Sam bin Nuh, Keturah yang merupakan isteri ketiga Nabi Ibrahim merupakan ibu orang Melayu, Melayu dahulu kala beragama hanifa (agama tauhid sebelum Islam), maharaja Srivijaya sudah beragama Islam berdasarkan surat kepada khalifah Islam cukup asing dan bertentangan daripada kebanyakan kita tahu.

Walaupun kurang dikenali di Malaysia sebelum ini tetapi Professor ini bukan calang-calang. Karya-karyanya lebih banyak diterbitkan di luar negara bahkan pada 2019 menerima anugerah Best Research Peace Award menerusi kertas kerjanya The Contradictory Views on Ancient Literary Works as a Foundation of World Historical Development oleh Rula Awards & Ijrula.

Jika diselami, kata-katanya tidaklah begitu kontroversi kerana sebelum ini banyak ustaz lain yang bercakap hampir sama jika diselongkar di YouTube misalnya mengenai kaitan Keturah dan Melayu, namun kehadiran Solehah diperkukuh dengan pembuktian.

Prof. ini mengupas dari sudut lebih ilmiah. Bagaimana dia mengaitkan Keturah yang bermaksud kayu gaharu dengan satu tempat lama dalam kerajaan Melayu pertama, Champa yang dahulunya bernama ‘Keturah’.

Wikipedia membuktikan benar dakwaannya bahawa Nha Trang yang mengeluarkan gaharu berkualiti di Vietnam itu dahulunya bernama Kauthara ketika kerajaan Champa yang mungkin bunyinya mirip Keturah dalam lahjah Arab.

Tular juga baru-baru ini penemuan cukup mengejutkan oleh seorang profesor wanita dari Universiti Sains Malaysia berkepakaran sains forensik.

Dapatan Prof. Madya Zafarina Zainuddin mendapati DNA mitokondria orang berketurunan rumpun Melayu seperti Kelantan, Banjar, Bugis, Jawa, Champa, Patani dan lain-lain jauh lebih tua berbanding DNA orang Cina di Asia Timur dan tua sedikit daripada orang India! Ia sekali gus menolak teori yang diuar-uarkan selama ini bahawa orang Melayu berasal dari Taiwan atau Yunan sebaliknya orang Melayu memang sudah ada di sekitar Nusantara ini sejak 60,000 tahun lalu. Kajiannya disokong profesor Oxford, Dr. Stephen Oppenheimer.

Copy and paste: 25 Ogos 2023 >  8 Safar 1445H: 3.34 pm



No comments: