Tuesday, 8 August 2023

Kedah ada tamadun tertua di Asia Tenggara tapi para pakar kurang pasti sejarah lengkapnya

SOURCE : CHANNEL NEWS ASIA

Seorang pesara penyelidik yang menemui bukti yang tertua di Lembah Bujang menyeru ahli arkeologi muda untuk menyambung legasi misinya dan membongkar kebenaran tamadun purba yang bersejarah itu.

ALOR SETAR, Kedah: Ketika Profesor Mokhtar Saidin membeli sebuah rumah di enklaf persendirian di Sungai Petani, Kedah pada 2005, dia tidak tahu bahawa dia semakin dekat dengan sebuah tapak yang amat bermakna bagi sejarah Malaysia.

“Saya tidak sangka saya akan membuat kerja berdekatan. Tuhan telah merancang ini,” katanya kepada CNA.

Sejak 2007 hingga persaraannya pada 2021, Prof Mokhtar perlu berulang-alik selama setengah jam ke tapak arkeologi Sungai Batu yang berhampiran, di mana dia dan pasukannya dari Universiti Sains Malaysia (USM) menemui bukti bahawa industri eksport besi yang pernah berkembang seawal tahun 788 Sebelum Masihi.

Sebagai konteks, ia adalah jauh lebih tua daripada monumen terkenal Borobudur (abad ke-8) di Indonesia dan Angkor Wat (abad ke-12) di Kemboja, menjadikan Sungai Batu dan kompleks Lembah Bujang yang lebih besar itu adalah sebahagian daripada tamadun tertua di Asia Tenggara.

Pengisytiharan itu diberikan kepada Sungai Batu semasa sebuah perjumpaan mengenai Kedah Purba diadakan pada 2016. Laporan Bernama memetik Prof Mokhtar sebagai berkata bahawa ia ditandatangani oleh lima pakar arkeologi yang mewakili lima tamadun dunia: Mesopotamia, Indus, Mesoamerika, China dan Greek-Rom.

Lembah Bujang dipercayai menduduki sebuah kawasan seluas 1,000 km persegi di pantai barat Malaysia, meliputi kawasan bermula dari bahagian utara Pulau Pinang sehingga ke Kedah dan mungkin ke arah timur hingga sejauh sempadan semasa dengan Thailand.

Sejak lebih satu abad lalu, para penyelidik yang bekerja di lembah itu telah menggali bukti kuil Hindu-Buddha, tapak peleburan besi dan artifak purba.

Menurut mereka, ia adalah bukti bahawa kawasan itu merupakan pelabuhan perdagangan kosmopolitan yang sibuk di laluan pelabuhan kapal dari China ke India dan seterusnya ke Arab.

"Ia betul-betul menunjukkan bahawa kawasan ini penting, bukan hanya untuk Asia Tenggara tetapi dunia, kerana kawasan ini menghubungkan Timur dan Barat," kata Prof  Mokhtar sambil menunjukkan bahawa ciri geografi kawasan itu menjadikannya sebagai sebuah pelabuhan yang "ideal".

Lembah itu mempunyai teluk dan muara untuk kapal berlabuh dan Gunung Jerai yang berdekatan berfungsi sebagai titik laluan yang boleh dilihat bagi kapal yang melakukan pelayaran yang panjang.

“Kapal berhenti di sini selama tiga bulan untuk menunggu angin. Pada bulan-bulan ini agama tersebar, membawa kepada kewujudan kuil. Sungai Batu adalah gambaran kepada sistem perdagangan 2,800 tahun dahulu,” tambah Prof Mokhtar.

Di sebalik kepentingan sejarah tapak yang terlalu besar, kerja-kerja arkeologi di sini terhenti dan Prof Mokhtar - yang sudah bersara dua tahun lalu - berkata tiada siapa yang menggantikannya untuk meneruskan kerjanya itu dan membongkar lebih banyak mengenai tamadun purba itu. 

BANYAK BELUM TERBONGKAR

Prof Mokhtar, yang juga bekas pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, berkata dia pada mulanya tidak percaya bahawa arang kekal yang ditemui pasukannya di tapak peleburan besi adalah dari tahun 788 Sebelum Masihi, berdasarkan pentarikhan radiokarbon.

“Saya perlu melihat stratigrafi yang sebenar; sama hubungkait itu benar,” katanya merujuk kepada urutan kronologi berdasarkan lapisan tanah tertua di bahagian bawah hingga lapisan tanah termuda di bahagian atas.

“Selain itu, tiada dalam buku sejarah kita mengatakan kita mengeksport jongkong besi; kita hanya dikenali sebagai pembekal emas dan bijih timah. Ia sangat mengejutkan saya kerana pengeksportan besi adalah industri berat yang memerlukan infrastruktur yang sangat baik.

“Kami menemui (bukti) pelabuhan yang sangat berteknologi tinggi - bukan sahaja jeti tetapi bangunan pentadbiran dan kastam. Jadi, kita sebenarnya masyarakat berteknologi tinggi.”

Tetapi Prof Mokhtar, yang mula membuat ekskavasi di tapak Sungai Batu pada 2009, percaya bahawa hasil kerjanya selama lebih 12 tahun itu hanya membongkar "10 peratus" daripada apa yang ditawarkan oleh Lembah Bujang.

Prof Mokhtar menyatakan bahawa beliau telah menemui bukti lebih banyak tapak peleburan besi di tebing Sungai Muda, sebatang sungai yang terbentang lebih jauh ke timur ke sempadan semasa dengan Thailand.

“Dari Sungai Muda ke Pattani (di Thailand), selain peleburan besi mesti ada rumah dan bangunan pentadbiran,” katanya.

“Kami dengar Mesir dan Rom masih mencari penemuan baharu. Jadi, kajian mesti diteruskan. Saya mengambil masa bertahun-tahun hanya (untuk sampai ke tahap ini).”

Para penyelidik juga menemui sebutan Qalah - perkataan Arab untuk Kedah purba - tertulis pada dokumen yang digunakan di Mesopotamia pada 1300 Sebelum Masihi, jauh lebih tua daripada penemuannya pada 788 Sebelum Masihi, menurut Prof Mokhtar.

“Ia menunjukkan terdapat hubungan dengan Mesopotamia - tamadun terawal di dunia 8,000 tahun lalu. Tetapi kami belum menemui bukti lagi. Jadi, ia amat penting bagi penyelidikan pada masa depan untuk mendapatkan data ini."

Prof Mokhtar berharap ahli arkeologi generasi akan datang dapat "melengkapkan" datanya untuk menentukan betapa besar dan tuanya Lembah Bujang sebenarnya, sambil menekankan bahawa ia adalah sebahagian daripada warisan semula jadi, identiti dan kebanggaan Malaysia.

"Kerajaan harus melihat Lembah Bujang seperti yang dilakukan Rom untuk Pompeii," katanya.

“Juga kerana arkeopelancongan membawa banyak pendapatan, seperti Borobudur dan Angkor. Anda perlu lihat Lembah Bujang pada tahap itu.”

MENCARI PENYAMBUNG LEGASI

Tetapi Prof Mokthar berkata belum ada sesiapa yang mengambil alihnya untuk mengetuai pasukan yang akan meneruskan penyelidikan di kompleks Lembah Bujang itu. Katanya, dia juga tidak tahu sebabnya.

Walaupun beberapa orang bekas pelajarnya kini bekerja di tapak itu sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka, dia menegaskan bahawa bukan mudah untuk melakukannya sepenuh masa.

“Kerjanya sukar; anda adalah pekerja dan anda juga adalah bos,” katanya sambil menambah arkeologi yang melibatkan kerja manual dan tafsiran dalam proses dokumentasi yang renyah dan memakan masa.

“Apabila saya bersara, saya tidak sangka tiada siapa yang akan meneruskan (kerja saya). Jika seseorang meneruskan, saya boleh membantu.”

Selepas laporan ini diterbitkan, pengarah semasa Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM menghubungi CNA untuk memberi maklumat terkini.

Profesor Stephen Chia berkata pasukan dari universiti itu masih meneruskan kerja di Lembah Bujang. Pasukan ini diketuai oleh Dr Nasha Rodziadi Khaw, seorang sejarawan proto dan seorang pakar tentang tamadun awal di Malaysia dan Asia Tenggara.

Proto sejarah merujuk kepada tempoh perkembangan manusia atau budaya tertentu sejurus sebelum kemunculan tulisan.

"Pada masa ini, USM sedang menjalankan penyelidikan di Pengkalan Bujang dan Bukit Choras di Lembah Bujang dan juga bersama Think City untuk mempromosikan arkeopelancongan di Lembah Bujang, Kedah dan Lembah Lenggong dan Tambun, Perak di wilayah utara Malaysia," kata Prof Chia.

Think City adalah sebuah organisasi yang menyediakan kepakaran projek dalam bidang seperti daya tahan alam sekitar dan sosial, analitik dan pemuliharaan. Ia diasaskan oleh dana kekayaan berdaulat negara Malaysia, Khazanah Nasional.

"Hasil penyelidikan USM mengenai tapak proto sejarah penting di Lembah Bujang di Asia Tenggara ini diharapkan akan menghasilkan naratif yang boleh dipercayai yang sangat diperlukan untuk tapak ini," tambah Prof Chia.

Prof Chia mengakui bahawa aktiviti ekskavasi arkeologi merosakkan dan mahal. Katanya, ia memerlukan "pasukan profesional pelbagai bidang" bagi menjalankan kerja terperinci itu dan memastikan tiada data yang hilang semasa penggalian untuk memberikan tafsiran yang tepat serta komprehensif tentang tapak tersebut.

“Sejak 2009, USM masih bekerjasama dengan rapat dengan Jabatan Warisan Negara selama bertahun-tahun untuk menjalankan penyelidikan arkeologi, pemuliharaan, pembangunan dan arkeopelancongan bukan sahaja di Lembah Bujang tetapi juga di Tapak Warisan Dunia UNESCO Lembah Lenggong dan tapak lain di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, CNA menghubungi Jabatan Warisan Negara yang menguruskan tapak Sungai Batu untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai projek itu. Jabatan itu bagaimanapun belum memberi respons. 

Mohd Faudzi Sulaiman, seorang pembantu kanan muzium di Muzium Arkeologi Lembah Bujang di Merbok, berkata kerja arkeologi memerlukan jumlah pembiayaan yang cukup.

"Ia boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk hanya satu tapak kerana artifak ini mungkin berusia ribuan tahun dan (bersifat) rapuh," katanya kepada CNA, sambil menyatakan bahawa beberapa timbunan di tapak arkeologi Sungai Batu masih belum digali.

"Jadi jika kerja-kerja ini mengambil masa bertahun-tahun, kos untuk membayar pekerja, peralatan dan lain-lain (perbelanjaan) pasti akan meningkat."

Encik Faudzi secara peribadi terlibat dalam kerja arkeologi awal di tapak kuil itu dan kini bekerja di muzium di mana beberapa struktur terbabit sudahpun dipindahkan.

Banyak tapak kuil terletak di kawasan berhutan, jadi ia menyukarkan aktiviti penggalian, katanya. Beberapa tapak itu berada di kawasan kampung, jadi pihak berkuasa terpaksa mencari tempat alternatif untuk muzium atau memujuk para penduduk kampung untuk berpindah.

Kata Prof Mokhtar, begitu juga dengan tapak Sungai Batu yang terletak di sebuah ladang milik persendirian. Pemiliknya "sangat baik" (kerana) membenarkan pasukannya meneruskan penyelidikan itu dengan syarat tidak merosakkan pokok di kawasan terbabit. 

Selain logistik, Lembah Bujang juga menghadapi cabaran dalam isu agama, satu topik sensitif di Malaysia yang majoritinya adalah Muslim.

“Banyak tapak ini berbentuk monumen candi iaitu tempat ibadat (kaum) Hindu dan Buddha. Di sini, kita semua (mengamalkan) Islam, jadi ada bantahan daripada penduduk tempatan,” kata Encik Faudzi.

“Tetapi sebagai jabatan muzium, kami menganggapnya sebagai tapak bersejarah. Jika kita meneliti tempat ini, kita akan tahu sejarah kita.”

PERLU LEBIH BANYAK PENGIKTIRAFAN

Seperti Prof Mokhtar, Encik Faudzi percaya bahawa Lembah Bujang memainkan peranan penting dalam menarik para pelancong ke Malaysia. Jelasnya, banyak rumah inap desa dan gerai makanan mula didirikan di kawasan itu sejak muzium dibuka pada 1980.

Muzium kemasukan percuma itu juga sedang membaiki semula galeri arkeologinya yang menampilkan artifak ditemui di Lembah Bujang seperti tembikar dan patung Buddha. Sebuah lagi galeri perdagangan maritim telah ditambah baru-baru ini.

“Kami menemui puluhan ribu artifak di sini dari China, India dan Arab. Ia menunjukkan bahawa wujudnya aktiviti perdagangan,” kata Encik Faudzi.

“Ramai pelancong antarabangsa dan penyelidik telah datang ke sini. Walaupun monumen di sini tidak sehebat Borobudur dan Angkor Wat, ia jauh lebih tua.”

Melangkah ke depan, Encik Faudzi berharap Lembah Bujang dapat diberikan status Warisan Dunia UNESCO untuk memacu pertumbuhan industri pelancongan selain memperbaiki usaha pemuliharaan.

Bernama melaporkan pada 2019 bahawa Jabatan Warisan Negara sedang melobi UNESCO untuk mengiktiraf lembah itu sebagai tapak warisan dunia. Kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta (AS$2.16 juta) untuk jabatan itu membangunkan infrastruktur di tapak Sungai Batu sebagai salah sebuah tempat pelancongan utama di Malaysia. 

Tetapi jurucakap UNESCO memberitahu CNA bahawa Lembah Bujang belum disenaraikan oleh negara itu dalam inventori pencalonan yang berpotensi, maka ia "belum pun pada langkah pertama dalam proses terbabit".

CNA juga telah mendapatkan komen daripada Jabatan Warisan Negara mengenai isu ini.

Tanpa mengira status Lembah Bujang, Prof Mokhtar merasakan pihak berkuasa boleh menarik lebih ramai pelancong dengan menggunakan teknologi.

Sebagai contoh, tapak Sungai Batu boleh menggunakan teknologi seperti "hologram" tiga dimensi bagi memaparkan rupa struktur itu pada zaman kegemilangannya, katanya.

"Kami menemui serpihan bumbung dan dinding ... jadi kami tahu saiz asal dan boleh mencipta 'bangunan' 3D (tiga dimensi)," katanya.

"Kami perlu mengeluarkan sedikit wang untuk memperbaikinya."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai dua belia radikal yang dapat menyingkirkan fahaman pelampau. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Copy and paste: 8 August 2023 > 22 Muharram 1445H: 11.11 pm


No comments: