Tuesday, 25 October 2022

INDAHNYA MASJID NABAWI, JEMPUT BACA 16 KEUNIKAN MASJID INI

Oleh Ustazah Asma' Harun

SubhanAllah, Madinah al-Munawwarah tempat yang amat istimewa dan tenang, kota yang penuh dengan kerinduan buat seluruh umat Islam. Kami ingin kongsikan 16 KEUNIKAN menarik berkenaan Masjid Nabawi, mudah-mudahan bertambah rasa rindu dan keinginan untuk hadir ke sini.
Masjid Nabawi merupakan masjid kedua paling suci selepas Masjidil Haram. Di sinilah terletaknya makam Rasullullah SAW. Masjid ini asalnya dibina sendiri oleh Baginda, bersebelahan dengan rumah yang Baginda diami selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: “Tidak digalakkan mengembara melainkan tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
1. TERDAPATNYA RAUDHAH
Raudhah merupakan salah satu tempat yang mulia yang terletak di dalam Masjid Nabawi, iaitu antara rumah Nabi Muhammad SAW di sebelah timur dan mimbar Masjid Nabawi di sebelah barat. Dalam masjid ini, ia menjadi tempat beribadah yang utama, tempat turunnya wahyu, majlis ilmu dan sebagainya. Raudhah juga disebutkan sebagai taman Syurga. Daripada Abdullah bin Zaid al-Mazini r.a., Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ الْمَازِنِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Di antara rumahku dan mimbarku terdapat satu taman (raudhah) daripada taman-taman Syurga.”
(HR al-Bukhari hadis sahih)
Bagi umat Islam yang hadir ke sini, ia merupakan salah satu tempat yang amat mustajab untuk berdoa. Kebanyakan jemaah yang hadir akan berebut peluang untuk masuk ke kawasan Raudhah bagi menunaikan solat dan berdoa.
2. PAYUNG GERGASI SIMBOLIK MASJID NABAWI
Payung Masjid Nabawi atau “Masjid Nabawi Umbrellas” adalah payung gergasi yang boleh dibuka di dataran Masjid Nabawi. Naungan payung dibentangkan di empat sudut dan kawasan yang diliputi oleh naungan memanjang sehingga 143,000 meter persegi.
Konsep ini pada asalnya dicipta oleh Raja Abdullah bin Abdul Aziz, yang mengarahkan pembinaan payung untuk dataran masjid yang diawasi oleh Penjaga Dua Masjid Suci. Projek itu telah siap pada bulan Ogos 2010. Pada mula pembinaan, terdapat 182 payung yang menjajarkan tiang masjid di dataran, dan kemudiannya 68 payung ditambah di dataran timur, berjumlah 250 payung. Kos projek tersebut adalah 4.7 billion riyal.
Fungsi payung ini adalah untuk melindungi jemaah-jemaah daripada panas matahari semasa solat serta daripada risiko tergelincir dan jatuh sekiranya hujan. Struktur serupa dibina di dataran masjid seluruh dunia.
3. MASJID KEDUA TERBESAR DI DUNIA
Masjid Nabawi menjadi masjid terbesar kedua di dunia setelah Masjidil Haram di Kota Mekah. Masjid ini didirikan oleh Baginda SAW pada tahun 632M. Kemudian pembesaran pertama dibuat oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan seterusnya hingga ke hari ini.
Ukuran keluasan Masjid Nabawi selepas pembesaran terakhir ialah tingkat bawah seluas 165,500 meter persegi. Dengan keluasan ini ia boleh menampung seramai 257,000 orang jemaah. Masjid Nabawi sekarang mempunyai 27 buah kubah bergerak, 543 buah kamera bagi mengawal keadaan di luar dan dalam masjid, 4 buah eskalator serta 18 buah tangga biasa.
Kedudukannya di tengah-tengah bandar Madinah al-Munawwarah menjadikannya seperti bulan purnama dan permata yang bersinar, sesuai dengan peranannya sebagai sumber cahaya dan keindahan Islam. SubhanAllah.
4. MEMPUNYAI 6 IMAM DAN 17 MUAZZIN
Masjid Nabawi mempunyai kira-kira 6 orang imam antaranya, Sheikh Abdul Mohsen al-Qasim, Sheikh Saleh al-Badir, Sheikh Ahmed Bin Humaid an-Nuaimi, Sheikh Abdullah bin Abdul Rahman, Sheikh Khaled al-Muhanna dan Sheikh Ahmed bin Ali al-Hudhaifi.
Muazzin pertama di Masjid Nabawi adalah Bilal Bin Rabah. Masjid ini kini mempunyai 17 orang muazzin. Antara muazzin utama di Masjid Nabawi adalah Sheikh Abdul Rahman Khashogi, seperti dilaporkan melalui surat khabar al-Riyad. Setiap hari, tiga muazin berganti mengumandangkan azan dari "Mukabbariyyah'' iaitu tempat khusus untuk muazzin.
5. JUMLAH PEKERJA MASJID NABAWI MELEBIHI 1620 ORANG
Pembersihan masjid dilakukan dalam tiga kali pertukaran waktu bekerja iaitu selepas solat subuh, isyak dan pada awal pagi. Setiap pertukaran waktu melibatkan 1,000 orang petugas kebersihan. Mereka membersihkan lantai, kotoran pada tiang-tiang masjid serta payung gergasi yang menaungi perkarangan Masjid Nabawi.
6. TERDAPAT 100 PINTU (PINTU AN-NISA' KE 39 DIKHASKAN UNTUK PEREMPUAN)
Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda membangunkan masjid dengan tiga pintu. Pertama, pintu bahagian selatan saat kiblat masih menghadap Baitul Maqdis di arah utara. Kedua, pintu di bahagian timur yang dinamakan dengan Pintu Nabi, juga disebut dengan Bab Uthman, yang kemudian dikenali dengan Bab Jibril. Ketiga, pintu di sebelah barat yang dinamakan dengan Pintu Atikah kerana berdekatan dengan rumah Atikah binti Abdullah bin Yazid bin Muawiyah.
Tentang pintu 39 atau Bab An-Nisa’ adalah pintu yang di khaskan buat laluan para wanita. Kedudukan pintu ini adalah bertentangan dengan perkuburan Baqi'. Pintu ini diberikan nama Bab An-Nisa' kerana Khalifah Umar Al-Khattab telah membukanya bagi kegunaan kaum wanita memasuki masjid Nabawi. Sebaik sahaja memasuki pintu ini, kita akan melihat di bahagian kiri pangkin yang dikenali sebagai pangkin Ahli Suffah.
7. PERNAH TERBAKAR 2 KALI
Sebenarnya Masjid Nabawi pernah terbakar sebanyak dua kali dalam sejarah. Kali pertama berlaku pada bulan Jamadil Awal 654H (1232M). Ia terjadi apabila seorang penjaga stor Masjid Nabawi masuk ke dalam stor untuk mengambil obor api. Malangnya, selepas keluar, beliau tertinggal lilinnya di atas bekas yang tersimpan obor api tadi lalu menyebabkan kebakaran.
Api mula menyambar ke permaidani masjid, kemudian merebak ke bahagian lain di dalam sehingga memusnahkan mihrab, mimbar, kitab-kitab Al-Quran dan sebagainya. Hanya kubah di bahagian tengah masjid sahaja yang terselamat. Hasil jasa dan sumbangan para pemerintah Islam ketika itu, Masjid Nabawi dipulihkan semula.
Kebakaran ke-2 berlaku pada bulan Ramadan tahun 886H (1464M). Pada satu hari yang mendung, ketika muazzin berada di puncak menara untuk melaungkan azan, tiba-tiba datang kilat menyambar menara tersebut. Dalam kejadian itu, muazzin tersebut meninggal dunia dan api pun mula membakar atap masjid.
Api telah memusnahkan bahagian timur, utara dan barat masjid. Ada juga beberapa orang yang bergegas ke bahagian atap untuk memadamkan api, namun tergelincir dan jatuh daripada atap itu lalu meninggal dunia. Rumah-rumah berdekatan Masjid Nabawi juga turut terbakar. Selepas dua tahun, Masjid Nabawi berjaya dibaiki sepenuhnya hasil usaha kerajaan Mesir, iaitu Sultan Quaitbay.
8.TEKNOLOGI PENURUN SUHU
Pada tepi payung gergasi, terdapat pita biru yang mengelilinginya. Pita itu diperbuat daripada material khusus sehingga membuat suhu di bawahnya turun 8 darjah celcius secara automatik. Hal ini kerana suhu di Arab Saudi sangat panas sehingga boleh mencapai 45 darjah celcius.
9. WILAYAH JAZIRAH ARAB YANG PERTAMA DIALIRI ELEKTRIK
Ketika Kerajaan Uthmaniyyah memperkenalkan aliran elektrik di Jazirah Arab, tempat pertama yang disalurkan aliran elektrik adalah Masjid Nabawi sekitar tahun 1909.
10. KUBAH DI MASJID NABAWI PERNAH BERWARNA UNGU
Kubah hijau yang terkenal di Masjid Nabawi pernah dicat dengan warna ungu sekitar 150 tahun lalu kerana warga Arab ketika itu di wilayah Hijjaz menyukai warna tersebut. Kini warna kubah Masjid Nabawi adalah warna Hijau.
11. KARPET DI MASJID NABAWI PERNAH BERWARNA MERAH
Karpet baru ini dijahit menggunakan teknologi terkini, mereka masih mengekalkan corak lama yang mempunyai logo Arab Saudi di atasnya. Semua ini adalah bagi memberi keselesaan kepada para jemaah yang datang berkunjung untuk beribadah.
12. MEMILIKI 5 MIHRAB
Mihrab adalah tempat imam memimpin solat. Kebiasaannya satu masjid hanya mempunyai satu mihrab sahaja, tetapi jika kita berkunjung ke Masjid Nabawi terdapat 5 mihrab, antaranya Mihrab Nabawi (نَبَوِي), Mihrab Tahajud (تَہَجُّدَ), Mihrab Fatimah (فَاطِمَة), Mihrab Uthmani (عُثْمَانِي), Mihrab Sulaimani (سُلَيْمَانِي).
13. MADINAH TERKENAL DENGAN POHON KURMA
Di Arab Saudi terdapat banyak ladang kurma, lebih 300 jenis kurma yang ditanam di Arab Saudi. Madinah terkenal di dunia kerana pohon kurma dan kilang produksi kurma yang tersendiri. Buah-buahan ini diproses untuk dieksport.
14. THAQIFAH BANI SAIDAH
Di sini merupakan lokasi berkumpulnya para sahabat untuk memilih Khalifah Pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saat jenazah Rasulullah SAW diuruskan oleh beberapa orang sahabat, terjadinya perbincangan hangat antara kaum Ansar dan Muhajirin tentang urusan perlantikan khalifah bagi umat Islam di tempat ini.
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a.:
قَالَ: واجْتَمعتِ الأنْصَارُ إلى سَعْدِ بنِ عُبَادَةَ في سَقِيفَةِ بَنِي سَاعِدَةَ،فَقالوا: مِنَّا أمِيرٌ ومِنكُم أمِيرٌ، فَذَهَبَ إليهِم أبو بَكْرٍ، وعُمَرُ بنُ الخَطَّابِ، وأَبُو عُبَيْدَةَ بنُ الجَرَّاحِ
Maksudnya: “Perawi berkata: Kemudian kaum Ansar berkumpul menemui Sa’ad bin Ubadah di Saqifah Bani Sa’idah lalu mereka berkata: “Daripada pihak kami ada pemimpinnya begitu juga dari pihak kalian (Muhajirin) ada pemimpinnya”. Lalu Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a. dan Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah mendatangi mereka,
فَذَهَبَ عُمَرُ يَتَكَلَّمُ فأسْكَتَهُ أبو بَكْرٍ، وكانَ عُمَرُ يقولُ: واللَّهِ ما أرَدْتُ بذلكَ إلَّا أنِّي قدْ هَيَّأْتُ كَلَامًا قدْ أعْجَبَنِي، خَشِيتُ ألَّا يَبْلُغَهُ أبو بَكْرٍ، ثُمَّ تَكَلَّمَ أبو بَكْرٍ، فَتَكَلَّمَ أبْلَغَ النَّاسِ
Umar r.a. memulakan perbicaraanya namun Abu Bakar r.a. menenangkannya. Sebelumnya Umar r.a. berkata, “Sungguh aku tidak bermaksud hal seperti itu. Aku hanya mempersiapkan perbicaraan yang membuatku kagum namun aku bimbang jika tidak disampaikan oleh Abu Bakar r.a. Kemudian Abu Bakar r.a. mula berbicara dengan kata-kata yang menunjukkan perbicaraan manusia bijak,
فَقَالَ فِي كَلاَمِهِ: نَحْنُ الأُمَرَاءُ وَأَنْتُمُ الوُزَرَاءُ، فَقَالَ حُبَابُ بْنُ المُنْذِرِ: لاَ وَاللَّهِ لاَ نَفْعَلُ، مِنَّا أَمِيرٌ، وَمِنْكُمْ أَمِيرٌ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: لاَ، وَلَكِنَّا الأُمَرَاءُ، وَأَنْتُمُ الوُزَرَاءُ
Dia berkata dalam pembicaraannya: “Kami (Muhajirin) adalah pemimpin sedangkan kalian adalah para menterinya.” Dengan spontan, Hubab bin Munzir berkata, “Tidak, demi Allah, kami tidak mahu seperti itu. Tetapi kami mempunyai pemimpin dan kalian juga mempunyai pemimpin tersendiri.” Abu Bakar menjawab, “Tidak, tapi kami adalah pemimpin sedangkan kalian para menterinya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
15. LOKASI UNTA BERHENTI SAAT KETIBAAN RASULULLAH SAW DI MADINAH
Sebelum menjadi masjid yang besar, kawasan Masjid Nabawi merupakan tanah kosong dengan sejumlah pohon kurma yang tumbuh di atasnya. Tepatnya, lokasi pembangunan masjid ini merupakan tempat berhentinya unta yang ditunggangi Baginda SAW ketika tiba di Madinah al-Munawwarah. Syeikh Ibnu Hisyam di dalam kitab Sirah al-Nabawiyyah menceritakan:
"Unta yang dinaiki oleh Rasulullah SAW berjalan sehingga ke perkampungan Bani Malik bin an-Najar. Ia duduk di sebuah tempat pengeringan kurma milik dua anak yatim Bani an-Najar. Kedua-dua anak yatim tersebut bernama Sahl dan Suhail. Ketika unta itu berhenti dan Rasulullah SAW tidak turun daripadanya, maka unta itu melompat dan kemudian berjalan tidak jauh dari situ. Rasulullah SAW meletakkan tali kendali unta itu dan beliau tidak membelokkannya.
Kemudian unta itu menoleh ke belakang, berjalan kembali ke tempat duduknya semula dan duduk di tempat tersebut. Ketika itulah Rasulullah SAW turun daripadanya. Setelah itu, Abu Ayyub al-Ansari, Khalid bin Zaid membawa bekal perjalanan Rasulullah SAW dan menyimpan di rumahnya. Rasulullah SAW menetap di rumah Abu Ayyub al-Ansari, Khalid bin Zaid. Beliau bertanya tentang pemilik tempat pengeringan kurma tersebut. Muaz bin Afra' berkata kepada beliau, “Wahai Rasulullah, tempat pengeringan tersebut milik Sahl dan Suhail. Mereka anak yatim dan masih ada pertalian dengan keluargaku. Saya akan meminta persetujuan mereka dan kemudian dijadikan tempat tersebut sebagai masjid."
16. MASJID NABAWI TERBINA DARIPADA BATANG DAN PELEPAH POHON TAMAR
Tiang mihrab dan dinding Masjid Nabawi ketika itu dibina daripada susunan batu-bata serta tanah, manakala bumbung masjid diperbuat daripada pelepah tamar. Tiang masjid terdiri daripada batang tamar, lantainya diratakan dengan anak-anak batu dan pasir. Keluasan Masjid Nabawi ketika itu hanyalah 100 hasta dengan lebar yang lebih kurang sama dengan panjangnya.
Rasulullah SAW juga membina ruang-ruang rumah untuk isteri-isteri baginda di sisi masjid. Keadaannya amat sederhana iaitu dibina daripada batu-bata, atapnya daripada pelepah dan batang tamar. Setelah ruang tersebut selesai dibina, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub al-Ansari.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Semoga kita semua direzekikan oleh Allah untuk sampai ke masjid suci ini, mudah-mudahan kita dapat berniat iktikaf dan menunaikan solat di dalamnya bagi mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menghayati perjuangan Rasulullah SAW ketika membina Masjid Nabawi yang sehingga kini menjadi kerinduan buat seluruh umat Islam. Semoga Allah SWT sentiasa mendidik hati kita agar istiqamah dengan ketaatan kepada-Nya. Allahumma ameen.

Rujukan:
1. Kitab Raheeq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri
2. Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibnu Hisyam
3. Mufti Wilayah Persekutuan, Sejarah Permulaan Binaan Masjid Nabi SAW
Asma' binti Harun, Tim Penyelidikan & Tim Travel
Copy and paste: 25/10/2022 > 28 Rabiulawal 1444H: 9.16 am

No comments: